Friday, February 19, 2010

BERITA


Najib sampai ucapan dasar pada Konvensyen UMNO Pahang

KUANTAN 18 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan ucapan dasarnya ketika merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Bandar Jengka, Kuala Krau, esok.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Najib yang merupakan Presiden UMNO akan menyentuh pelbagai isu yang berkisar kepada semangat 1Malaysia dalam ucapan dasarnya itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, ucapan dasar dan konvensyen itu akan diadakan secara tertutup.

''Intipati ucapan dasar Presiden parti akan menyentuh soal agama, pendidikan, politik, ekonomi dan media baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Kampung Padang Jaya dekat sini hari ini.

Beliau menganggarkan seramai 1,500 ahli dan pemimpin UMNO termasuk daripada sayap parti akan hadir pada konvensyen yang berakhir Ahad ini.

''Penutupan konvensyen ini akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Presiden parti pada Ahad ini," katanya.

-----------------

Setiausaha politik dibebas dengan jaminan RM50,000

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Setiausaha politik seorang menteri kanan yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada Khamis lalu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000.

Beliau yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 dibebaskan pada Ahad lepas setelah percakapannya diambil.

Menurut kenyataan SPRM, suspek ditahan reman selama lima hari bermula 12 Februari lalu, iaitu sehari selepas dia ditangkap.

“Bagaimanapun, suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin pada 14 Februari selepas percakapannya diambil.

“Turut disita adalah sebuah kenderaan dan sejumlah wang bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan suruhanjaya itu yang dikeluarkan hari ini.

SPRM menahan setiausaha politik berkenaan di Pulau Pinang pada 11 Februari lalu kerana disyaki melakukan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 18 Februari 2010)



No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.