Lambakan warga asing luar biasa
|
|
PUTRAJAYA 16 Feb. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut dengan lambakan warga asing yang disifatkan beliau luar biasa.
Fenomena tersebut, katanya, semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.
Menurut beliau, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing berada di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.
“Dalam tempoh cuti umum sempena sambutan Tahun Baru Cina, saya berkesempatan meninjau sendiri suasana di ibu negara.
“Sememangnya amat jelas setiap kali cuti umum yang panjang khususnya apabila rakyat tempatan balik ke kampung, ibu negara akan dibanjiri oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, hasil tinjauan mendapati sebahagian besar daripada mereka bukan pelancong asing tetapi mendakwa bekerja di negara ini secara sah.
“Saya mendapati keadaan ini sebagai luar biasa dan membimbangkan.
“Berdasarkan pemerhatian rambang, kita dapat melihat sebahagian besar warga asing yang membanjiri ibu negara ini adalah daripada beberapa negara tertentu,” katanya.
Beliau berkata, selain dikhuatiri mendatangkan kesan sosial, isu keselamatan serta ketenteraman awam, keadaan itu boleh menjejaskan imej negara termasuk menyebabkan pelancong asing yang tulen berasa tidak selesa.
Dalam hal ini, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan cadangan awal strategi menangani lambakan warga asing yang akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) pada 22 Februari ini.
Jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hishammuddin berkata, cadangan itu menumpukan kepada empat fokus penambahbaikan iaitu kajian undang-undang, semakan prosedur kemasukan, penambahbaikan mekanisme pemantauan dan sistem maklumat serta pemantapan strategi penguatkuasaan.
Jelas beliau, cadangan tersebut akan membabitkan 13 kementerian berkaitan.
“Penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing melalui strategi dan pendekatan yang baru perlu dilaksanakan sejajar dengan senario semasa seperti kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti pekerja asing dalam negara yang sukar dikesan melalui pendekatan konvensional.
“Sebagai contoh, sungguhpun operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi dijalankan dari semasa ke semasa, namun ia masih belum dapat menangani lambakan pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa, tambahnya, pemantauan komprehensif hanya boleh dijalankan sekiranya kerajaan memiliki sistem maklumat yang bersepadu.
“Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sekalipun.
“Kita akan membina mekanisme dan sistem yang boleh memantau setiap seorang warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula.
“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, majikan juga memainkan peranan penting bagi memastikan penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan memahami ketegasan kerajaan untuk keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 17 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.