Saturday, February 20, 2010

BERITA


'Saya sangka kakak sudah mati'

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Badrul Hizar Ab Jabar
bhnews@bharian.com.my


NOOR Fazilah (kiri) bersama anaknya, Mohamad Muzaffar Mohd Shafie, memeluk Noor Azizah ketika bertemu di Pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: "Saya sangka kakak sekeluarga sudah meninggal dunia. Ketika itu saya cuma pasrah dengan ketentuan Ilahi," kata Noor Fazilah Azmi, adik kepada warga Malaysia yang terkandas sejak gempa bumi melanda Padang, Sumatera, lebih empat bulan lalu.

Noor Fazilah, 24, berkata selepas bencana itu beliau cuba menelefon kakaknya, Noor Azizah, 27, tetapi telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.


"Pada masa itu, saya tidak tahu pada siapa nak minta tolong kerana tidak ada saudara mara di Padang. Namun, saya terkejut apabila dihubungi Konsul Malaysia di Pekanbaru, bulan lalu, yang memaklumkan kakak bersama tiga anaknya masih hidup dan tinggal bersama keluarga angkat di Bangkinang.

"Ketika itu saya cuma mampu menangis dan bersyukur sambil berdoa agar dapat segera menemuinya selepas dua tahun tidak berjumpa," katanya kepada pemberita selepas dipertemukan semula dengan Noor Azizah di Pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, semalam.

Suasana hiba menyelubungi pertemuan dua beradik itu sebaik Noor Azizah dan Noor Fazilah berpelukan dan menangis. Kepulangan Noor Azizah bersama tiga anaknya, Muhammad Hazrul Naim, 5, Muhammad Hazrul Hakim, 2, dan Aisyah Rahma Musfirah, tiga bulan, diuruskan Konsul Malaysia di Pekan Baru dan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

Empat beranak itu yang menaiki pesawat Riau Airlines, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum dibawa ke pejabat biro berkenaan di sini untuk bertemu dengan Noor Fazilah yang datang dari Kuantan.

Dalam gempa bumi terburuk di Padang, September tahun lalu, Noor Azizah yang sarat mengandung, ditemui bersama dua anaknya oleh seorang anggota penyelamat Persatuan Dubalang Amanah Kampar (Damak) dalam keadaan sehelai sepinggang.

Noor Azizah dan anak-anaknya kemudian dibawa ke rumah Ketua Pimpinan Damak, Boostami H K Datuk Duo Balang di Bangkinang sebelum penemuannya dimaklumkan kepada Konsulat Malaysia. Bagaimanapun, urusan membawa mereka pulang menghadapi masalah kerana ketiadaan dokumen perjalanan.

Berasal dari Temerloh, Noor Azizah berhijrah ke Pariaman, Padang, dua tahun lalu, kerana mengikut suaminya warga Indonesia, Sisi Raja Wangsa Sapri, yang dilaporkan hilang dalam bencana itu.

Noor Fazilah berkata, Noor Azizah adalah satu-satunya ahli keluarganya yang masih ada kerana sejak kecil mereka diserahkan kepada keluarga angkat di Temerloh dan sehingga kini tidak pernah berjumpa ibu bapa serta dua lagi adik beradik kandung mereka.

"Sebagai adik, saya akan cuba membantu dan menjaga kakak sedaya upaya. Dulu kakak yang menjaga saya sejak kecil, sekarang saya mahu membalas balik pengorbanannya selama ini," katanya.

Sementara itu, Noor Azizah bersyukur kerana selepas melalui pelbagai dugaan dan trauma akibat gempa bumi itu termasuk kehilangan suami, beliau akhirnya selamat pulang ke tanah air.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 20 Februari 2010)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.