“INTEGRITI TERAS KEKUATAN HIJRAH”
(18 DISEMBER 2009 / 01 MUHARRAM 1431H)
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “Integriti Teras Kekuatan Hijrah”.
Menjadi sunatullah setiap yang baharu pasti akan rosak, yang kuat akan lemah dan yang hidup akan mati. Begitu juga dunia yang menjadi tempat tinggal kita selama ini. Umur dunia kini semakin meningkat tua. Setiap masa lanskap muka bumi kita terus menerus mengalami perubahan pesat kerana penguasaan tinggi manusia dalam bidang sains dan teknologi. Sungguh pun begitu, di sebalik perubahan tadi hakikatnya nilai integriti manusia sejak dulu hingga kini pada dasarnya sama dan sering menjadi isu dalam masyarakat dunia.
Menurut tafsiran Kamus Dewan, integriti bermaksud kejujuran, keikhlasan, kesempurnaan atau keutuhan. Secara kasarnya manusia yang berintegriti adalah merujuk kepada sifat jati diri terpuji yang perlu ada pada manusia seperti ikhlas, jujur, amanah, berpegang pada janji, tidak mudah dipengaruhi, bercakap benar dan sifat-sifat positif yang lain. Manusia yang cantik integriti adalah sifat yang tidak boleh dipisahkan dengan sifat kemanusiaan itu sendiri selari kewujudannya yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah at-Tiin ayat 4:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Berdasarkan ayat tadi, kita memahami bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT kerana pada fitrahnya manusia adalah makhluk sosial yang berfikiran waras, rasional, tepat, kreatif, benar, dapat membuat penilaian antara yang baik dan buruk. Mengulas perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan. Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Kepentingan umat manusia menjaga fitrah diri ini sememangnya mendapat perhatian serius daripada Rasulullah SAW dalam sabda baginda iaitu:
Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang menentukan anak itu Majusi, Yahudi atau Nasrani
( Riwayat Ahmad)
Manusia yang hilang kecantikan integriti dari segi zahir atau batin akan merosakan hubungannya dengan Allah SWT, sesama manusia, dan dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran.
Dalam al-Quran telah dirakamkan beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang zalim, penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu Firaun. Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang rosak integriti kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka bumi ini seperti kaum Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat Nabi Hud. Pendedahan azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat dengan pencemaran integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT, maka sewajarnya azab itu menjadi pengajaran kepada manusia.
Berdasarkan kesan buruk yang menimpa umat terdahulu, jelas bahawa kaum yang tercemar integritinya mempunyai kaitan dengan amalan seorang jahiliyah. Mohamad Qutb dalam bukunya 'Masyarakat Islam' menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah iaitu: (1) Syirik dalam ibadah; (2) Wujud sikap menjauhi agama Allah; (3) Wujud Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi hukum Allah; dan (4) Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa nafsu.
Tanpa berpandu dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, agak sukar umat Islam melahirkan manusia yang berintegriti. Ini kerana kesan menghayati dua sumber ini berupaya mengeluarkan umat Islam daripada kepompong jahiliyah tadi. Dari sini mereka benar-benar bertanggungjawab sebagai khalifatullah yang cemerlang.
Renungilah firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110 ini:
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah.”
Dalam ayat tadi, Allah SWT memuji umat Islam yang menjadi ikon bagi umat yang lain. Ini kerana umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia lain dengan menyeru ke arah kebaikan dan melarang melakukan kejahatan. Mengapa Allah SWT memberi penghargaan tinggi kepada umat Islam?. Tidak lain ia disebabkan oleh nilaian prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh umat Islam itu sendiri. Allah SWT amat menyukai umat Islam yang cantik integriti zahir dan batinnya. Jika umat Islam memiliki kecantikan integriti zahir dan batin sudah pasti ia akan menjadi ikutan bangsa dan kaum yang lain.
Islam tidak menghendaki umatnya hanya kelihatan cantik di luar sahaja tetapi batinnya hodoh. Persoalan besar timbul ialah bagaimana kita boleh mewujudkan kecantikan integriti zahir dan batin?. Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya pula terdapat perkara syubhah (tidak jelas) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia.” (Riwayat Muslim).
Selain itu, dalam ilmu fekah telah menetapkan terdapat hukum wajib, haram, harus, sunat dan makruh. Ia bertujuan supaya batas-batas halal dan haram, dapat dipatuhi bagi mencantikan integriti zahir dan batin kita. Kecantikan integriti manusia adalah tanda-tanda orang yang bertaqwa. Oleh sebab itu dalam setiap solat Jumaat, khatib sering memberi peringatan supaya umat Islam sentiasa meningkatkan sifat taqwa agar umat Islam menjadi umat yang cantik akidah, akhlak, moral dan kukuh integritinya. Peringatan tegas yang diberi oleh khatib di dalam masjid yang mulia itu menunjukan sifat taqwa itu menjadi nadi utama kekuatan martabat dan maruah manusia.
Gerakan Hijrah Rasulullah SAW berjaya menghapus amalan jahiliyah dan menegakan ummah yang berintegriti. Kecantikan integriti itu dari segi zahir, batin dan minda umat Islam menjadi model yang menyebabkan ramai masyarakat Arab di Mekah, Madinah dan Rom menganut Islam. Dengan demikian jelas kepada kita bahawa integriti manusia adalah teras kekuatan hijrah. Sempena sambutan Maal Hijrah 1431, maka mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah kita memperkukuhkan integriti kita dalam organisasi dan keluarga dengan menjauhi segala amalan jahiliyah. Semoga dengan itu kita beroleh keredhaan Allah SWT.
Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Israa: 9).
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.