Sunday, December 27, 2009

BERITA


Kehilangan enjin F-5E dilapor kepada AS

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Malaysia akan menyerahkan laporan kehilangan dua enjin pesawat tempur, F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Washington.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan kehilangan dua tahun lalu itu akan diperincikan secara kronologi dan dihantar melalui Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

"Bagaimanapun, laporan itu hanya akan diserahkan setelah mendapat nasihat daripada Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail)," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, AS meminta Malaysia menyediakan laporan lengkap kehilangan dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik TUDM dua tahun lalu.

Difahamkan, permintaan dibuat atas kapasiti AS sebagai negara pengeluar pesawat dan mahu menggunakan laporan itu untuk siasatan kerana membabitkan isu keselamatan.

Pada Jun dan November 2007, dua enjin pesawat F-5E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth, Pulau Pinang dilaporkan hilang ketika proses penyenggaraan rutin.

Ia dipercayai didalangi orang dalam syarikat penyenggaraan pesawat dan skuadron tersebut.

Kehilangan enjin pertama dilaporkan di Gudang Material Udara I, Sungai Besi manakala enjin kedua sebaik sahaja meninggalkan pangkalannya di Butterworth untuk ke ibu negara.

Ia dipercayai dijual sebagai komponen alat ganti kepada sindiket antarabangsa di luar negara.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin bernilai RM100 juta itu hanya disedari setahun kemudian sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 4 Ogos 2008.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 27 Disember 2009)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.