Sunday, December 27, 2009

BERITA


10 maut bas dua tingkat terbabas di lebuh raya



KAKITANGAN hospital membawa masuk sebahagian daripada 10 mayat mangsa kemalangan ke rumah mayat Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh, semalam.

IPOH: Seramai 10 penumpang terbunuh, manakala dua cedera, termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dua tingkat Sani Express Sdn Bhd (Sani Express) yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas yang membawa 48 penumpang itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kangar dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di laluan terus tanpa henti Kuala Lumpur-Pulau Pinang.

Mereka yang terbunuh ialah pasangan suami isteri, Shaharin Mohd Noor, 61, dan Supiah Adam, 46, dari Klang; dua rakan karib, Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dan Mohd Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor; dua pasangan beradik, Ng Kah Kit, 12, dan Ng Ph Ngoh, 23, dari Alor Setar, Kedah serta Sharifah Raheel Al Junid Syed Harun, 21, dan Sharifah Hassanah Syed Harun, 15, dari Sungai Petani, Kedah.


Dua lagi ialah Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah dan Noor Jasmi Noordin, 25, dari Kangar Perlis. Anggota tentera, Md Razip Fadzir, 43, dilaporkan cedera parah, manakala Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Abdullah Ishak, berkata, 10 penumpang yang duduk di tingkat bawah meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan serius dan kecederaan teruk di beberapa anggota badan termasuk kepala, manakala mangsa yang parah masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudian melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

MANGSA NAHAS: (dari atas, kiri); Sharifah Hassanah Al Junid, Sharifah Raheel Al Junid, Shaharin Mohd Noor, Supiah Adam, Musa @ Ismail Abdullah. (dari bawah, kiri); Noor Jismi Noordin, Mohd Bilal Osman, Ng Ph Ngoh, Ng Kah Kit dan Mohd Shukri Mohd Ali.

Beliau berkata, besi daripada pembahagi jalan menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan pertama (di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Berikutan itu, katanya, polis menahan reman pemandu bas terbabit, Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

"Ketika disiasat, pemandu bas terbabit mengaku mengantuk dan terlelap ketika kemalangan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian iaitu kira-kira lapan kilometer (km) dari Tol Jelapang, di sini, semalam.

Katanya, siasatan itu mendapati pemandu terbabit tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol kerana kedua-dua ujian yang dijalankan didapati negatif.

Wan Abdullah berkata, polis masih menjalankan siasatan, termasuk mengumpulkan maklumat daripada saksi kejadian dan laporan pengguna lebuh raya lain yang berada di tempat kejadian.

"Siasatan mendapati pemandu bas dari Klang memulakan perjalanan pada jam 9 malam dan berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah kerana ada penumpang ingin ke tandas. Pemandu itu juga bercadang untuk berehat (bertukar pemandu) sebaik berhenti di R&R Sungai Perak," katanya.

Kemalangan ngeri itu adalah kejadian pertama berlaku di laluan terus tanpa henti sejak ia dibuka pada 14 Julai lalu. Laluan sepanjang 14.7 kilometer antara Plaza Tol Ipoh Utara dan Ipoh Selatan bernilai RM283 juta itu diubahsuai sejak Jun tahun lalu dan mula dibuka secara berperingkat kepada lalu lintas beberapa bulan kemudian.

Sementara itu, Siti Munira yang menceritakan detik cemas itu, berkata dia sedang tidur di tingkat atas bas sebelum dikejutkan dengan jeritan kuat penumpang terutama dari bahagian bawah.

"Saya tersentak dan melihat penumpang di tempat belakang saya mengerang kesakitan kerana tersepit akibat hentaman kuat. Saya hanya mampu mengucap kalimah Allah selepas mendengar pekikan mangsa yang terkejut dengan dentuman itu," katanya.

KRONOLOGI: Antara kemalangan maut membabitkan bas ekspres

  • 2009

    14 April: Enam termasuk pemandu sebuah bas ekspres maut, manakala tiga lagi parah apabila kenderaan dua tingkat membawa 32 penumpang hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Beruntung, Rawang.

  • 2008

    8 Disember: Sepuluh penumpang termasuk seorang doktor dari Hong Kong maut, manakala 18 yang lain cedera selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 146.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tangkak, Muar, Johor.

  • 2007

    15 Ogos: Dua puluh termasuk tiga pasangan suami isteri maut manakala sembilan lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang, Taiping.

  • 2006

    31 Julai: Sebelas maut dan 35 cedera termasuk sembilan parah apabila bas pesiaran yang mereka naiki untuk menghadiri upacara keagamaan di Gereja St Anne's di Bukit Mertajam, terbalik di Kilometer 160.8 Lebuh Raya Utara Selatan, empat kilometer selepas susur keluar Plaza Tol Jawi di Butterworth.

  • 2005

    28 Mac: Lima penumpang bas ekspres maut manakala enam lagi cedera parah apabila bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 58, Jalan Sibu-Bintulu di Sibu, Sarawak.

  • 2004

    24 Disember: Lima orang, termasuk dua pelancong asing terbunuh, manakala 17 lagi parah apabila sebuah bas ekspres Kurnia Bistari terhumban ke gaung sedalam 25 meter di Kilometer 12, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Pos Slim, Ipoh.

  • 2003

    1 Disember: Empat belas terbunuh manakala 30 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas sekolah yang dijadikan bas tambahan sempena Aidilfitri dan sebuah kereta di Kilometer 63, Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.
  • (Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 27 Disember 2009)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.