Negara maju perlu sediakan dana
|
|
COPENHAGEN 18 Dis. – Negara-negara maju merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon yang mengakibatkan pemanasan global dan mereka harus bersedia menebus kembali hutang itu dengan menyediakan dana mencukupi untuk menangani krisis perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dari segi prinsipnya adalah adil dan wajar negara-negara maju membayar balik hutang kepada dunia sekarang kerana merekalah penyebab utama kepada pemanasan global.
Najib berkata, negara-negara maju perlu komited menyediakan dana permulaan berjumlah AS$200 bilion setahun sehingga 2012 bagi membantu negara-negara membangun mengurangkan pelepasan karbon, jika tidak ia hanyalah sesuatu usaha yang retorik semata-mata.
“Pemimpin-pemimpin negara membangun sedar negara-negara maju juga mempunyai komitmen yang besar di negara mereka, bagaimanapun, negara-negara maju harus bertanggungjawab dan ini menuntut sedikit pengorbanan daripada mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini malam tadi.
Ketika berucap pada persidangan itu semalam, Najib telah mencadangkan supaya negara-negara maju menyediakan dana berjumlah AS$200 bilion setahun dalam usaha itu dan meningkatkannya kepada AS$800 bilion setahun selepas tempoh itu.
Menurut Perdana Menteri, dana sebanyak AS$10 bilion yang dicadangkan oleh negara-negara maju sebelum ini untuk membantu negara-negara membangun menangani masalah itu adalah terlalu kecil.
Ditanya reaksi pemimpin-pemimpin dunia terhadap ucapannya, Najib berkata, banyak pemimpin negara membangun mengucapkan syabas atas pendirian Malaysia.
“Secara keseluruhannya kita tidak tahu lagi apa reaksi mereka (pemimpin dunia terhadap ucapannya). Kita tengoklah dalam sehari dua ini apa reaksi mereka (kepada ucapannya) tetapi saya cuba untuk melakarkannya bukan sahaja dari segi perspektif Malaysia tetapi juga negara-negara membangun,” katanya.
Mengenai tindakan kerajaan sekiranya negara-negara maju bersedia menyediakan dana kepada Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, Najib berkata, kerajaan perlu membuat perancangan dalam bentuk menyediakan tenaga yang berkesan, tenaga yang boleh diperbaharui, teknologi hijau, mengawal penebangan hutan dan pelbagai cara lagi.
Perdana menteri mengulangi kebimbangannya bahawa persidangan ini gagal mencapai kata sepakat ke arah satu perjanjian yang dipersetujui semua pihak.
“Saya lihat masih terdapat banyak perbezaan pendapat yang agak ketara antara negara-negara membangun dengan negara-negara maju, bagaimanapun ia tertakluk kepada apa yang akan berlaku dalam tempoh 24 jam ini.
“Setakat ini, nampaknya sukar untuk dicapai suatu persetujuan yang mengikat,” tambah beliau.
Najib bagaimanapun tidak menolak kemungkinan semua negara boleh mencapai komitmen politik, tetapi ia mestilah disusuli dengan satu perjumpaan dalam masa terdekat iaitu pada tahun depan supaya satu perjanjian dapat dimeterai antara semua negara. – Utusan
------------------
Tokoh Maal Hijrah
|
|
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua dari kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah yang diperoleh Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Kuala Lumpur, semalam.
Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) juga merupakan penerima anugerah itu. Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online – BERNAMA, 19 Disember 2009)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.