Hilang kerakyatan
KUALA LUMPUR 28 Dis. – Rakyat Malaysia yang memiliki atau menggunakan pasport negara lain untuk keluar negara berdepan dengan risiko dilucutkan status kerakyatan mereka.
Walaupun ada negara lain yang menerima kaedah tersebut namun undang-undang Malaysia tidak membenarkan rakyatnya mempunyai dua kewarganegaraan.
Sehubungan itu Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan pasport negara asing untuk ‘keluar masuk’ negara ini.
‘‘Jika perbuatan itu dikesan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen. Selain itu status kerakyatan mereka juga boleh ditarik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas kecenderungan segelintir rakyat negara ini yang menggunakan pasport asing untuk ‘keluar masuk’ negara.
Golongan yang dipercayai menggunakan pasport asing itu terdiri daripada mereka yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa termasuk Imigresen atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan jenayah.
Turut dikatakan memiliki dua kerakyatan itu ialah pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini dikehendaki oleh pihak polis berhubung dua kes fitnah melibatkannya.
Raja Petra didakwa bolos dari sempadan negara ini dan kini dipercayai berada di London.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sebelum ini pihak Imigresen telah mengesan beberapa kes menggunakan pasport negara asing untuk ‘keluar masuk’ di negara ini.
Katanya, individu terbabit telah dilucutkan kerakyatan mereka melalui proses undang-undang.
‘‘Bagaimanapun tindakan tersebut tidak dilakukan serta merta. Selain siasatan rapi dibuat, individu terbabit telah diberi peluang membuat pilihan untuk terus menjadi warga negara Malaysia atau sebaliknya ,’’ katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menjelaskan, bilangan kes yang dilucutkan kerakyatan kerana mempunyai status dua kerakyatan tidak ramai.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihak Imigresen sentiasa mengawal ketat semua pintu masuk negara sama ada jalan udara atau darat.
‘‘Pemantauan tidak dilakukan secara bermusim. Kita sentiasa memperketatkan kawalan. Kerjasama semua pihak sangat diharapkan,’’ katanya.
(Brita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 29 Disember 2009)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.