Saturday, November 21, 2009

SASTERA MELAYU


DI SEBUAH KELAB



Dia politikus terbilang,

Madah bersimpul wang,

Perjuangan bersama habuan,

Hepokrit dan borjois tata fikirnya.

Cakapnya bagaikan rahang tidak bertulang,

Arif hatinya ‘ dia politikus terbuang’.



Usahawan alaf baru,

Hati dan pelupuk matanya ‘kira wang’,

Kemakmuran mimpi dan igaunya,

Semua projek mega kerajaan habuannya,

Laksana harta Qarun terbenam di Aswan,

Hati kecilnya risaukan dirinya jadi muflis.



“Aku pernah nak bunuh diri,

Susah, susah, amat perit rasanya,

nasib baik tidak jadi..., tidak mati...”

Suara lelaki disiksa Tuhan dengan kemewahan,

Laksana lipas kudung mencari habuan,

Cuma jadi alat politikus dan usahawan.



Sang pengarah sebuah jabatan,

Menungnya lama,

Sepasang matanya ke tasik tenang,

Hatinya menilai dirinya sendiri,

Jujurkah aku, amanahkah aku?

Sejuta wang rasuah habuannya.



Si artis berlesung pipit,

Pipinya licin pauh dilayang,

Jerawat batunya tersebunyi malu,

Jutaan manusia memujanya,

Hatinya sedikit gembira banyak duka,

Sesuku abad hidupnya menjanda.



Mualim ijazah syariah bergulung,

Duduk tenang menghadapi tasik,

Bertanya seseorang tentang haram,

Ingin tahu hukum halal,

Senyum mualim sinis,

”Maaf, tak dapat jawab, tak ada tauliah”.



Dia pengurus kelab,

Seribu gadis meninggalkan senyuman,

Pada dirinya untuk semalaman,

Tiada seorang pun cintakannya,

Mereka tahu; isterinya dan anaknya lima,

Sang pengurus meraban dalam rimba asmara.



Wanita gendut bersama rakan,

Suaranya bagaikan halilintar,

Kutuk poligami, kutuk semua gadis,

” ...laki aku tak berani kawin lagi...”,

Para malaikat senyum,

Suaminya ada dua isteri muda ayu.



Tukang kebun,

Medntari membara atas ubunnya,

Sabit masih di tangannya berurat seribu,

Sejak pagi belun sekelumin makanan ditelan,

Jelingan matanya ke dalam kelab,

Di sana para hartawan membazir makanan.


Tasik Perang Besar ...... Mokhtar Petah


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.