Sunday, November 1, 2009

BERITA

Ikut suara rakyat

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


DATUK Seri Najib Razak merasmikan buku kenang-kenangan Ulang Tahun LLN/TNB ke-60 sambil diperhatikan Tan Sri Leo Moggie (kanan) dan Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kiri) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.

Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksana jika semua kaum sepakat: PM

KUALA LUMPUR: Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan mengubah dasar itu berdasarkan kepada kehendak masyarakat demi kepentingan mereka.

"Kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan, kita (kerajaan) akan ubah, selagi masyarakat tidak bersedia kita akan kekalkan seperti sedia ada. Tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial.

"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.

Isu sekolah satu aliran dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh beberapa Ahli Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah sedemikian seperti dicadangkan tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu.

Khoo mencadangkan sistem pendidikan negara disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar jika dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada dikekalkan. Kita memberi warga Malaysia daripada kumpulan etnik hak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu, jadi perubahan kepada sistem pendidikan satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran, malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih. Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 1 November 2009)

-------------------------------

Masih ada berharap Pas-UMNO bergabung


KUALA LUMPUR - Walaupun Pas sudah menutup pintunya untuk bekerjasama dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, masih ada suara yang berharap dua parti Melayu itu mencari persamaan dan berdamai atas dasar agama dan silaturrahim.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mahu Pas menamatkan pakatannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dikatakan tidak sesuai dengan parti berteraskan Islam itu, katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009.

“PKR ini parti koboi, Pas tidak sesuai dengan dia. DAP pula memang ‘tidak boleh tidur satu selimut’ dengan Pas.

“UMNO kita sebangsa, seagama, senadi, sekiblat, semengucap...rapat...kita carilah persamaan, jangan kita cari perbezaan. Atas sifat sillaturrahim mari kita berdamai,” katanya.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk di negara ini dan mendapat soko- ngan beberapa pemimpin parti itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga Menteri Besar Kelantan itu baru-baru ini mencadangkan supaya diadakan Muktamar Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada pemimpin pro-Kerajaan Perpaduan itu.

Semasa menjawab pencelahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) mengenai cara untuk mengatasi halangan untuk merealisasikan harapan itu, Mohamad berkata, kedua-dua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada dalam menghadapi sebarang cabaran.

“Yang baik tetap baik...memang yang baik cabarannya besar, hebat. Marilah dengan lapang dada kita hadapi segala cabaran demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

(berita ini diambil dari Sinar Harian Online - Bernama, 1 November 2009)


10 resolusi perkukuh Pakatan di Perak
Dzulfikar Mashoor
IPOH, 31 Okt: Kepimpinan PAS, DAP dan PKR peringkat negeri sebulat suara bertekad memperkukuhkan Pakatan Rakyat melalui 10 resolusi bersama demi menumbangkan Barisan Nasional melalui pilihanraya akan datang.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan bahawa usaha mengukuhkan Pakatan Rakyat itu termasuk menghapuskan segala prasangka dan prejudis sesama rakan-rakan parti dalam Pakatan.

"Kita juga akan terus mengamalkan prinsip membuat keputusan secara kolektif melalui meja rundingan untuk menyelesaikan apa juga cabaran, kerana Umno senantiasa mengintai peluang untuk memecahkan Pakatan yang mendapatkan mandat rakyat," jelasnya.

Ujarnya lagi, semua parti dalam Pakatan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Muafakat Pakatan di setiap peringkat.

"Kita (Pakatan) kalau boleh disetiap ranting, ditubuhkan jawatankuasa...di setiap cawangan dan kawasan ditubuhkan sekretariat untuk semua pemimpin setiap peringkat berusaha bergerak dengan Majlis Muafakat Pakatan," tegas Nizar lagi.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat menegaskan bahawa Majlis Pakatan yang dibentuk itu mesti sedaya upaya menghapuskan doktrin perkauman sempit (oleh) Umno dengan meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak istana sendiri.

ImageKetiga-tiga parti juga diminta fokus memilih calon yang lebih berwibawa dan berintegriti demi memastikan calon-calon tersebut kelak mampu menang majoriti di peringkat Dun dan Parlimen.

Pakatan Rakyat Perak juga bersetuju menjadikan prinsip 5K - Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan amalan sekiranya diberi peluang memerintah kerajaan Perak kelak.

Untuk memenangi pilihanraya peringkat negeri kelak, Majlis Muafakat Pakatan juga bertekad turut menjelajah ke seluruh kawasan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, di mana usaha mengadakan program penerangan secara bersama dipertingkatkan.

Jelas Nizar lagi, Pakatan Rakyat Perak mencadangkan gagasan Pakatan Rakyat segera didaftarkan di peringkat nasional dengan menggunakan suatu logo.

Bercakap dalam kenyataan media itu, Pengerusi DAP Negeri Ngeh Koo Ham dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Mustafa Kamil Ayub.

Dipercayai 10 resolusi tersebut dibuat sebagai persiapan awal Pakatan Rakyat untuk menempuhi pilihanraya kecil yang boleh berlaku bila-bila masa.

Gagasan 10 resolusi itu juga menjadikan Pakatan Rakyat Perak sebagai model pada Pakatan de negeri-negeri lain dan nasional kelak.


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.