Mokhtar Petah
(Ulangan)
Pada tahun sembilan belas tujuh puluh empat.
Perjuangan umat Islam menuntut kemerdekaan empat wilayah di Selatan Siam dari dijajah oleh Kerajaan Siam telah memakan masa yang terlalu lama. Aku mengambil kira dari masa yang pendek sahaja, iaitu dari zaman kerajaan Siam pimpinan Phibul Songgram sekitar pada hujung tahun 1938.
Perjuangan itu berlanjutan di bawah kezaliman kerajaan Siam sehingga mereka membunuh peminpin Gerakan Umat Islamn Pattani, Pimpinan ulama Allahyarham Haji Sulong bin Haji Abdul Kadir. Dia telah dibunuh oleh polis Siam pada 13 Ogos 1954, seperti yang aku telah jelaskan dalam bahagian 13 di atas.
Perjuangan mereka itu tidak mendapat perhatian yang serius dari kebanyakan kerajaan-kerajaan umat Islam di dunia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Sebab utama perjuangan mereka telah tidak diberi perhatian, kerana mereka itu umat Islam yang menuntut hak dari kerajaan bukan Islam.
Sebenarnya perjuangan orang Melayu dan umat Islam Selatan Siam sama dengan perjuangan umat Arab di Palestin. Beribu-ribu orang telah terkorban syahid akibat kezaliman umat manusia beragama lain dari Islam.
TOK TANGGUT
Semenjak peristiwa itu aku telah didesak oleh keinginanku sendiri untuk menemui Tok Janggut. Menurut banyak punca, bahawa pemimpin mujahidin Selatan Siam itu tidak akan mendeahkan nama sebenarnya. Dia hanya memperkenalkan dirinya dengan nama ’Tok Janggut’.
Menurut cerita yang masih samar-sama, bahawa gelaran ’Tok Janggut’ telah wujud sejak umat Islam menentang penjajah Siam pada zaman silam. Apabila Tok Janggut telah meninggal dunia, muncul orang kanannya bergelar Tok Janggut juga dan begitulah hingga kepada Tok Janggut pada masa kini. Nama itu diturunkan kepada pengganti-penggantinya seperti yang telah berlaku pada wali abdal’(berganti) di Iraq.
Pada bulan Januari 1974, aku telah pergi ke Bandar Betong, sebuah bandar kecil kira-kira 8 kilometer dari bandar kecil Pangkalan Hulu Perak. Di sana aku telah bertemu dengan seorang yang dikatakan orang Tok Janggut. Dia seorang guru agama Islam (tidak sebut namanya), tinggal di Kampung Rambung. Aku telah meminta bantuannya suapaya aku dapat bertemu dengan pemimpin gerila itu.
Pada satu hari dalam bulan Februari aku telah menerima surat dari Pengkalan Hulu. Surat itu dari seseorang dan memberitahu kepadaku, yang Tok Janggut sedia menemui di suatu tempat di Grik, Hulu Perak pada 27 Mac 1974. Dia telah meminta aku menghubungi Penolong OCPD, Balai Polis Grik, ASP Faizol bin Uda Sohor.
CAWANGAN KHAS
Pada tahun 1974, Pegawai Daerah Grik, Kamaruddin Ma’amor, OCPD, Datuk Zaman Khan, Timbalan Ketua Pegawai Polis, ASP Faizol bin Uda Sohor dan Pegawai Polis Bahagian Cawangan Khas, Ahmad bin Susah.
Sebelum aku pergi ke Kampung Pelang, aku telah menghubungi ASP Faizol di Balai Polis Grik menerusi telefon. Dia telah ketawa terkekeh-kekeh dalam telefon sebaiki-baik sahaja mendengar maksudku itu.
”...you datang, I tunggu, ...I tak pernah jumpa dia, I takut...,”ASP Faizol berkata.
”...you tau le, ...wartawan macam I ni mana ada rasa takut,”aku berkata.
ASP Faizol ketawa lagi.
RUMAH REHAT
Setiap kali Tok Janggut datang ke kawasan negeri Perak, dia telah bertemu dengan ASP Faizol. Mereka seperti dua rakan yang sukar dipisahkan. Tetapi pegawai-pegawai atasan ASP Faizol tidak mengetahui akan perhubungannya dengan ketua mujahidin di Selatan Siam itu.
Aku telah tiba di Bandar Grik pada petang 26 Mac 1974. Aku telah menginap di Rumah Rehat Grik. Sebaik-baik sahaja kami selesai makan malam di Rumah Rehat itu, kami telah pergi ke Kampung Pelang dengan menaiki kereta ASP Faizol. Kampung Pelang teletak di luar Bandar Grik, iaitu hala ke Pengkalan Hulu. Rimba raya di belakang kampung itu sambung menyambung dengan rimba raya di Selatan Siam.
Dalam perjalanan ke Kampung Pelang, ASP Faizol telah menceritakan kepadaku akan latar belakang Tok Janggut. Pergerakan mujahidin itu mempunyai wakil-wakil atau pejuang-pejuangnya di beberapa buah negara umat Islam di seluruh dunia, di antaranya, Libya, Iran, Arab Saudi, Sudan dan Indonesia.
”...you berani, ...I puji you, ”kata ASP Faizol kepadaku setelah kami tiba di kampung Pelang.
”Mengapa?” Aku bertanya.
”Ialah, tak ada orang yang berani jumpa orang tua tu, ...I dulu baru jumpa dia, menggigil you...,”jawabnya.
MEMBANTU WANG
Aku telah memberitahu kepada ASP Faizol yang aku membawa amanah dari sebuah negara umat Islam, yang mahukan laporan lengkap tentang Tok Janggut dan perjuangannya. Akulah orangnya yang akan membuat laporan itu. Negara itu mahu membantu wang kepada Tok Janggut dan organisasinya. Aku telah diberitahu, wang bernilai $1juta telah disediakan oleh negara itu, di kedutaannya, di Kuala Lumpur.
ASP Faizol telah memberhentikan keretanya di bawah pokok besar, dekat sebuah rumah berdinding buluh dan beratapkan daun rumbia atau daun sang. Kami telah dibawa oleh dua orang lelaki Melayu, ke sebuah rumah penduduk kampung itu.
Di beberapa buah kampung di sekitar Pengkalan Hulu, Kelian Intan dan Grik banyak kaum kerabat Tok Janggut. Setiap kali Tok Janggut datang menziarah kaum kerabatnya di sana, tidak ada siapa pun yang menyangka dia seorang pemimpin gerila umat Islam Selatan Siam, kerana dia berpakaian sebagai seorang lebai di Selatan Siam dan di Malaysia.
NEGARA ISLAM
Dalam pertemuan aku dengan Tok Janggut, aku telah memaklumkan kepada- nya mengenai hasrat sebuah negara Islam untuk membantunya.
”...Allahu Akbar, kami ni dok jihad tak sudah-sudah... Selagi negeghi kami tak bebas daghi musuh Siam, kami tak beghenti, ...kami jihad kerana Allah, ...kami nak bebaskan umat Islam daghi oghang kafir yang duk jajah negeghi kami,”katanya.
”...adat oghe bepeghe, biasalah..., kalau kami tak bunuh oghe, oghe pulak bunuh kita..., tapi kalau mati kami..., mati syahid,”katanya.
”Kami ni duk sambung pejuange oghe dulu, ....pejuange kami akan disambung pulak oleh anak cucu kami, ...selagi bumi kimi tak bebas daghi penjajah Siam, sampai bila pun kami bejuang...,”tambah Tok Janggut.
Tok Janggut memberitahu, Kerajaan Siam telah menjalankan tindakan memperkecilkan penduduk-penduduk Islam di sesuatu tempatan dalam wilayah Selatan Siam dengan menempatkan orang-orang Siam dan Cina yang didatangkan dari tempat-tempat lain.
UMAT ISLAM
Tanah milik orang-orang Islam telah diambil oleh kerajaan Siam dengan sesuka hati dan diberikan kepada orang-orang Siam dan China mendudukinya. Tindakan itu telah menjadikan umat Islam hidup dalam kemiskinan.
Tok Janggut juga memberitahu, askar dan polis Siam sering menjalankan tindakan menculik alim ulama yang mereka sangka telah menyebelahi pergerakan pemisah di sana. Ramai dari mereka itu telah dibunuh dan mayat mereka di campak dalam sungai atau dalam longkang. Ramai pula dari ulama-ulama itu telah hilang kerana diculik oleh askar dan polis Siam.
Dalam pertemuan itu, Tok Janggut memberitahu kepadaku, yang dia dan orang-orangnya hanya mengetahui namaku sebagai salah seorang penulis Islam, tetapi mereka tidak pernah mengenali aku secara dekat. Tok Janggut juga memberitahu, bahawa buku karanganku, ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ telah menjadi buku bacaan pejuang-pejuang Islam di sana.
MERERDAKAN PERJUANGAN
Sepanjang percakapanku dengan Tok Janggut, ASP Faizol tidak banyak bercakap. Sebelum kami meninggalkan rumah itu, Tok Janggut dan kami telah sama-sama berdoa kepada Allah memohonkan umat Islam di Selatan Siam dan di seluruh dunia dipeliharakan oleh Allah dan meredhakan perjuangan mereka.
Pada waktu dalam perjalanan pulang, ASP Faizol memberitahu, bahawa dia bersimpati dengan perjuangan Tok Janggut, kerana mereka bukan pengganas, tetapi rakyat yang berjuang menuntut hak negara mereka sendiri.
Pada masa itu Malaysia telah bekerjasama dengan Kerajaan Siam untuk membasmikan musuh-musuh kedua negara termasuk gerila-gerila pemisah yang berjuang menuntut kemerdekaan empat wilayah di Selatan Siam. Mereka itu dianggap sebagai pengganas oleh Kerajaan Siam.
Kerjasama Malaysia dengan Siam telah terikat dengan satu perjanjian yang telah dibuat pada zaman Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Perjanjian itu dikuatkan lagi oleh maufakat negara-negara dalam ASEAN.
Sesuai dengan perjanjian itu, satu batalion Polis Hutan Malaysia telah ditempatkan di bandar kecil Betung, dalam wilayah Yala. Aku sering melawat ke khemah Polis Hutan Malaysia di sana bersama pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia dengan menaiki helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia. Dalam tahun 1970-an juga batalion Polis Hutan di Betong telah ditarik balik ke Malaysia.
Malaysia adalah sebuah negara penting dalam OIC. Aku berharap, Malaysia di bawah pimpinan Abdullah Badawi akan dapat mencari jalan bagi menyelesaikan masalah umat Islam di Selatan Thailand. Sejarah mengajar kita, bahawa wailayah Selatan Siam adalah hak orang Melayu di sana. Mana-mana jua negara yang menguasai negara orang lain adalah dianggap penjajah. Maka masalah itu perlu diselesaikan oleh organisasi-organisasi dunia dan Asia.(Dari MPSBP.mp)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.