Thursday, August 20, 2009

MENGENANG MASA SILAM



Mokhtar Petah

Sembilan belas lima puluh lima.

Dalam Mesayurat Agung UMNO bahagian Kuala Kangsar, yang telah dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua Agung UMNO, Allahyarham Dr Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, di istana lama, di Jalan Idris, Kuala Kangsar, aku bersama Ustaz Khalid Abbas bin Adam dan Ashaari bin Shafie, telah dicalonkan untuk menjadi calon-calon UMNO – Perikatan, yang akan bertanding dalam pilihanraya umum pada 27 Julai 1955 - , bagi kawasan-kawasan Negeri Padang Rengas dan Senggang, dalam kawasan Dewan Parlimen (Kuala Kangsar).

Pada masa itu aku baru berusia 21 tahun. Setelah diundi, aku telah mendapat 26 undi, Ustaz Khalid Abas 22 undi dan Ashaari bin Shafie 16 undi.

Sebaik-baik sahaja keputusan undian diumumkan oleh pengerusi, aku telah bangun dan menyatakan menarik diri, kerana aku akan melanjutkan pelajaran dan mempunyai minat yang tinggi untuk menjadi wartawan dan bukan untuk menjadi orang politik. Alasan aku yang lain, kerana aku baru berusia 21 tahun.

MENCAPAI KEMERDEKAAN

Dr Ismail sebagai pengerusi mesyuarat agung UMNO bahagian itu, telah mengesyorkan; oleh kerana aku telah menarik diri, maka tidak payah diadakan pemilihan lagi dua orang calon bersama aku itu diterima menjadi calon-calon UMNO - Perikatan. Ustaz Khalid Abas bin Adam bagi kawasan Padang Rengas dan Ashaari shafie bagi kawasan Singgang.

Apabila Allahyarham Tan Sri Mohd.Ghazakli Jawi melepaskan jawatan Menteri Besar Perak dan dilantik menjadi Duta ke Republik Arab Bersatu Mesir pada tahun 1963, maka Ashaari bin Shafie telah dilantik oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Yusof Izzuddin Shah untuk memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak, iaitu Menteri Besar yang kedua bagi negeri itu setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Pada masa itu aku telah mendapat sedikit wang pada tiap-tiap bulan, iaitu elaun dari syarikat akhbar Utusan Melayu Singapura kerana aku menjadi pemberita sambilan, di Kuala Kangsar, iaitu di bawah Aziz Ishak, di Kuala Lumpur. Aku juga telah mendapat elaun dari Warta Negara Pulau Pinang kerana menyumbangkan artikel-artikel dan cerpen-cerpen kepadanya di samping membantu. Selain dari aku membantu wartawannya, di Ipoh, Abdul Rahman Al Ayubi.

SUMBER KEWANGAN

Manakala Surat khabar Melayu Raya Singapura, telah membayar honorarium kapadaku, pada tiap-tiap bulan kerana aku telah membekalkan artikel-artikel kepadanya.

Pada masa itu banyak sumber kewangan yang aku telah perolehi dari surat-surat khabar Melayu, tetapi jumlahnya sedikit kerana honorarium atau sagu hati bagi tiap-tiap sebuah berita, artikel dan cerpen terlalau rendah, iaitu sekadar antara $5.00 dengan $30.00.

Aku telah mengirim semua berita-berita penting dan perlu disiarkan segera oleh surat-surat khabar itu, dengan menggunakan telefon cara panggilan ’revers of charge’.

SUARA RAKYAT

Kira-kira dua bulan sahaja aku membekalkan berita-berita dan rencana-rencana kepada surat khabar Melayu Raya, kemudian aku menyerahkan kerja sambilan itu kepada rakanku, Allahyarham Haji Fadhil Khalid – seorang bekas penulis surat khabar pimpinan Ahmad Boestaman pada tahun 1945, iaitu Suara Rakyat.

Jawatankusa UMNO Bahagian dan Pemuda Kuala Kangsar telah menerima cadanganku untuk menjemput empat orang penting UMNO Malaya, ke kampungku, iaitu Kampung Ngor dan Sauk. Mereka itu, ialah, Yang Dipertua Agung UMNO, Tunku Abdul Rahman, Naib Ketua Pemuda, Haji Ahmad Badawi, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Syed Jaafar Albar1dan Ketua Kaum Ibu UMNO, Puan Khadijah Sidik2.

Mereka itu telah diundang menghadiri perhimpunan anjuran UMNO yang tidak sama masa dan tempatnya. Haji Ahmad Badawi telah datang dalam satu perhimpunan di padang Sekolah Melayu, Sauk. Syed Jaafar Albar dan Khadijah Sidik dalam perjumpaan di rumah UMNO cawangan Sauk. Manakala Tunku Abdul Rahman telah hadir dalam satu perhimpunan di kampungku. Perhimpunan itu dianjurkan oleh UMNO dengan kerjasama penduduk-penduduk kampungku dan kampung-kampung sekitarnya.

Pada waktu makan bersama orang-orang kampungku, Tunku Abdul Rahman telah memberitahu mereka, ” ...Mokhtar ni peghnah mai ke ghumah saya di Telaga Ayak, ...dia ni nak jadi wartawan masyhuk..., macam Alex Joessy3, ...saya baca banyak artikel dia tulis..., saya habhap ada anak-anak muda kampung ni jadi macam dia...”

Oghang-oghang di sini kena duk sokong UMNO..., UMNO berjuang keghana nak jadikan oghang Melayu ada daulat, ...merdeheka,...tak duduk bawah kaki penjajah Inggeris, ...UMNO akan jadikan Tanah Melayu ni sebuah Negagha Islam...” tambah Tunku Abdul Rahman.


(Sedutan dari manuskrip buku, Patah Sayap, Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid.

1 Syed Jaafar Albar telah menjadi teman rapatku sehingga ke akhir hayatnya.Aku memangil

dia ’Ustaz’ kerana dia pernah mengajar di sekolah agama di Sumatera, Singapura dan

Kelantan.

2 Khatijah Sidek (memoir),1995 Puteri Kesetiaan Bangsa, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan

Malaysia.

3 Wartawan Inggeris – Yahudi, yang telah menulis banyak berita dan artikel yang telah

menimbulkan kemarahan di kalangan ahli-ahli UMNO.Dia kemudian menetap

di Singapura. Tidak dinafikan, sedikit sebanyak dia telah menyuntikkan fikirannya kepada

golongan keturunan pendatang, di Singapura supaya menyokong gagasan Malaysia oleh

Tunku Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.