SAMA – SAMA CEGAH RASUAH
Oleh: Mokhtar Petah
(Pertama)
‘Pada suatu hari, pada ketika saya sedang bercakap dengan Datuk Abdullah Badawi di pejabatnya, di Menara Tun Razak, Kuala Lumpur, tiba-tiba datang dua orang lelaki yang berpakaian kemas. Mereka daripada golongan korporat di Kuala Lumpur. Mereka kenal akan diri saya tidak tergolong dalam manusia-manusia pengamal politik.
Dalam pertemuan dengan Datuk Abdullah Badawi kira-kira empat puluh lima minit, mereka menawarkan bantuan kewangan cara ‘sponsor’ daripada orang-orang tertentu kepada beliau untuk digunakan bagi menjalankan kempennya.
Saya yang turut serta dalam pertemuan itu dan biasa atau berpengalaman dengan sikap kebanyakan tokoh-tokoh politik nasional di negara ini; biasanya apabila seseorang menawarkan wang kepada mereka, maka mereka akan bertanya, “Berapa…?” Tetapi Datuk Abdullah Badawi dengan wajahnya yang senyum ikhlas menolak tawaran orang-orang itu.
“…tak apalah. Biar saya bertanding tak guna duit, kalau Allah Ta’ala berkehendak saya menang, saya menang juga..,” katanya.
Setelah orang-orang itu beria-ia benar hendak menolongnya, beliau berkata, “…kalau nak tolong saya kempen saya terima, tapi jangan duit.”
Dua orang korporat itu kelihatan termangu-mangu. Mereka saling memandang antara satu dengan lain. Saya merenung wajah Datuk Abdullah Badawi dan dalam detik-detik begitu saya teringat akan kata-kata datuknya, Sheikh Abdullah Fahim1 pada waktu mengajar ilmu Hadis kepada saya dan rakan-rakan dalam satu majlis di Kepala Batas pada 1954, bahawa orang yang makan suap dan yang memberi suap akan dilaknat oleh Allah Ta’ala.
Menurutnya, hasil daripada sesuatu yang dilaknat Allah, seperti wang dan harta benda adalah haram digunakan dan dibelanjakan untuk membeli makanan.
Wang haram tidak boleh digunakan untuk melakukan ibadat haji,sedekah dan amal jariah,men urutnya.
Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim men jelaskan, bahawa orang-orang yang mendapat laknat Allah akan mendapat akibat seperti berikut:
* Kalau dia kaya daripada hasil yang dilaknat
oleh Allah itu, maka kekayaan itu akan
memalukan dirinya dan akan menghinanya.
* Kalau dia memperoleh pangkat dan
kedudukan, maka pangkat dan
kedudukannya itu akan menjatuhkan
dirinya dan dia akan menerima kehinaan di
kalangan umat Islam. Dia akan dimasukkan
ke dalam neraka.’2
Kisah di atas telah berlaku pada hari-hari menghadapi Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1990. Pada masa itu Abdullah Badawi tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet kerana beliau telah disisih atau disingkirkan oleh Dr. Mahathir Mohamad. Pada masa itu ada tokoh lain yang lebih penting daripada Abdullah Badawi. Seperti peribahasa Melayu, ‘sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi’.
Semenjak itu saya mula berminat untuk menulis sebuah buku tentang diri Abdullah Badawi. Pada firasat saya; beliau akan naik ke atas hingga menjadi Perdana Menteri Malaysia pada satu masa nanti.
Apabila beliau memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara Malaysia – berpejabat di Wisma Putera – dekat Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Bandaraya Kuala Lumpur, saya telah mengunjungi beliau dan menyatakan hasrat saya untuk menulis buku tentang diri beliau.
POLITIK WANG
Sebaik-baik sahaja Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri negara ini, beliau telah menyuarakan hasratnya untuk mencegah dan membasmi perbuatan rasuah di semua kementerian dan jabatan kerajaan dan sebagainya. Di samping itu beliau telah melihat secara langsung ke dalam parti yang memimpin kerajaan,iaitu UMNO yang telah dinodai oleh perbuatan rasuah - politik wang – oleh sebilangan ahli-ahli parti itu di peringkat nasional,negeri,bahagian dan cawangan.
Abdullah telah bertemu dan berbincang dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan,terutama para hakim, pendakwa raya dan pihak-pihak lain mengenai rasuah. Semua rakyat negara ini bagai terpukau dan ada yang terpaksa mengurut dada, apabila seorang bekas menteri,bekas anggota exco kerajaan negeri telah dihadapkan ke mahkamah- mahkamah atas tuduhan rasuah.
Dalam satu kenyataan kepada akhbar pada 4 Disember 2004, bahawa Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO telah mengambil langkah positif membenarkan Badan
Pencegah Rasuah menyiasat politik wang dalam UMNO yang berelau pada masa pemilihan UMNO September 2003, jika perbuatan itu melanggar undang-undang negara.
‘Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor menganggap kegiatan membeli undi pada pemilihan jawatan seuatu parti politik sebagai jenayah rasuah walaupun tiada laporan dikemukakan kepada badan itu.’3
PERTANDINGAN
Sesungguhnya, kalau penyiasatan dilakukan secara bersungguh- sungguh dan yang telah mengamal dan terlibat dapat berdiri sebagai seorang ‘manusia Islam’, relah ke hadapan, membuat laporan dan sebagainya, tentulah masalah itu dapat dilaksanakan.
Seorang ahli pemuda dari sebuah negeri pada waktu bertemu dengan saya, mengakui dia telah kalah dalam pertandingan merebut ketua pemuda bahagian,kerana dia tidak ada wang dan kalau ada wang pun tidak sanggup melakukan rasuah; yang menentang banyak wang. Pada hari diadakan pemilihan bahagian ada orang-orang telah memberi wang kepada ahli-ahli Pergerakan Pemuda yang hadir hingga dalam tandas.
Sebenarnya, selagi individu-individu yang mengamalkan rasuah – pemberi dan penerima – tidak mempunyai iman yang kuat, akhlak mulia dan menghormati undang-undang dan takut kepada hukuman selagi itu sukar untuk menghapuskan perbuatan rasuah di negara ini.
Cara memberi dan menerima rasuah pada zaman serba canggih itu berbeda dari zaman lalu. Pada zaman lalau pada umumnya rasuah diberi secara berunjuk kepada penerima atau cara-cara lain yang mudah dikesan atau dilihat. Tetapi pada masa ini ada berbagai-bagai cara, di antaranya:
1.Memberi wang rasuah kepada penerima rasuah melalui orang tengah atau wakilnya.
2. Memberi rasuah kepada penerima rasuah di padang atau kelab golf, iaitu menghadiahkan satu uncang alat-alat golf dan dalam uncang itu dimasukkan wang sogokan.
3. Memberi kad dan nombor pin mengeluarkan wang dari bank atas
nama pemberi rasuah atau orang lain kepada penerima rasuah dan
penerima bolehlah mengeluarkan wang itu mengikut kehendaknya.
4. Memberi wang kepada penerima rasuah dengan cara memindahkan wang melalui bank perdagangan.
5. Penerima rasuah boleh menerima rasuah dengan cara memberi barang kemas atau barang-barang lain di luar negara seperti England, Australia, Singapura dengan menggunakan kad kredit pemberi rasuah atau pemberi rasuah memindahkan wang dari akuannya dalam bank ke akaun gedung atau kedai yang menjual barang kemas atau barang lain itu.
Dalam Negara Islam dengan rakyatnya yang beragama Islam – beriman dan berakhlak mulia – mungkin dapat mengurangkan perbuatan rasuah, tetapi tidak dapat menghapuskannya, kerana manusia tetap manusia – lemah, mengikut hawa nafsu dan ada ketikanya manusia sanggup menentang hukum Allah. Perhati dan insaflah maksud firman Allah yang maksud berikut ini:
Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat gelisah. Apabila sahaja (ada yang) menyinggungnya, dia keluh kesah.4
Sesungguhnya manusia itu bertindak melanggar batasan (hukum). Disebabkan dia melihat dirinya serba boleh.5
Suatu peringatan untuk manusia. Bagi siapa di antara kamu semua yang hendak maju atau mundur ke belakang. Setiap diri tergadai kerana perbuatannya.6
Setelah memahami maksud firman- firman Allah di atas, maka selain daripada tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah menjalankan tanggungjawabnya membanteras atau menghapuskan perbuatan rasuah, maka tanggungjawab demikian terpikul atas batu jemala pihak-pihak yang bertanggungjawab dengan agama Islam di negara ini, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Fatwa Kebangsaan, semua majlis dan jabatan agama Islam di negeri-negeri, badan-badan dakwah dan alim ulama untuk menjalan tugas atau tanggungjawab, seperti mengadakan kempen, penerangan, kursus, dakwah dan sebagai mengenai salah dan buruknya perbuatan rasuah di sisi agama Islam.
Allah tidak menerima sembahyang seseorang sedangkan
dalam perutnya berisi makanan haram.7
Allah melaknat – kutuk – pemberi rasuah dan penerima
rasuah.8
(Mulai hari ini kami akan menyiarkan tulisan mengenai 'Pencegahan Rasuah ini pada tiap hari secara sambung menyambung, dari buku, Pencegahan Rasuah, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid).
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.