Ahmad Tajdid | |
KAHERAH, 21 Jun (Hrkh) - Anggota misi kemanusiaan Yayasan Amal ke Gaza yang berada di sini telah mengambil kesempatan menziarahi dua pelajar Malaysia di New Kasrel Aini Teaching Hospital dekat sini yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Ain Sukhnah, Sinai. Presidennya, Hussin Ismail dan rombongan tiba di hospital berkenaan pada jam 6.00 petang waktu tempatan. Timbalan Presiden Yayasan Amal, Jamuliddin Elias menyampaikan sumbangan kepada keluarga pelajar terbabit yang berada di hospital. Abdul Rahman Ramdzan, 21 dan Mohd Akram Abdul Kadir, 21 pelajar tahun tiga kursus perubatan Universiti Kaherah dimasukkan ke hospital tersebut selepas mengalami kecederaan serius. Seorang rakan mereka, Muhammad Ammar Zulkifli, 21 meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa balik ke tanah air dan disemadikan di Pulau Pinang. Dua lagi rakan mereka, Saif Jamaluddin, 21 dan Muhammad Fitri Tukiran, 21 terselamat. Dalam kejadian 8.00 malam 10 Jun lalu, kereta yang dipandu Saif merempuh pembahagi jalan setelah dipercayai hilang kawalan. Menurut seorang rakan pelajar terbabit, Ahmad Yasser yang ditemui di hospital Kasrul Aini, lima pelajar berkenaan bertolak ke Sinai untuk meninjau lokasi bagi program rehlah para pelajar perubatan. Ibu kepada Abdul Rahman, Nora Baharuddin yang ditemui di hospital berkenaan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana anaknya beransur pulih daripada kecederaan. Beliau baru tiba daripada Kuala Lumpur pagi tadi bersama suami, Ramdzan Mohd Yunus dan menantu Mohd Norhaidi untuk menziarahi Abdul Rahman. Nora menerima berita musibah yang menimpa anaknya pada jam 7.00 pagi Khamis lalu. Beliau juga berhasrat untuk membawa balik anak ketiganya itu bagi mendapat rawatan lanjut di Malaysia jika dibenarkan pihak hospital. Abdul Rahman yang hampir dua minggu dimasukkan ke hospital tersebut sedang menjalani fisioterapi akibat patah kaki kiri. Dalam perkembangan yang sama, Harakah turut menemui ibu Mohd Akram, Rohaya Umar yang sampai di sini bersama suami pada 15 Jun lalu untuk menziarahi anaknya. Suaminya Abdul Kadir Ishak kembali ke tanah air pagi tadi. Menurut Rohaya luka-luka kecederaan yang dialami Mohd Akram sudah beransur sembuh walaupun anak sulungnya itu belum sedar sepenuhnya. - |
(Berita ini dari Harakah Daily, 22 Jun 2009) |
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.