Tuesday, June 23, 2009

MENGENANG MASA SILAM


Mokhtar Petah


Kerajaan tentera Jepun telah mewajibkan semua murid-murid sekolah di seluruh Semenanjung Tanah Melayu belajar bahasa Jepun. Dua hari dalam seminggu kami telah diwajibkan belajar bahasa tersebut. Selain dari seorang guru khas telah mengajar bahasa Jepun di sekolah kami, dua hari dalam seminggu tiga orang askar Jepun dari khemah mereka di pekan Sauk telah datang mengajar bahasa mereka kepada kami.

Aku masih ingat akan kata-kata seorang pegawai askar Jepun kepada kami, iaitu orang Melayu jadi malas kerana orang Inggeris mahu mereka menjadi orang-orang malas dan lemah. Guru yang mengajar dan pelajaran yang mereka ajar terdiri dari orang-orang malas dan lemah dan menjadikan murid-murid mereka bakal pemuda pemudi yang malas dan lemah.

...guru yang malas bila dia mengajar murid-muridnya dia duduk atas meja depan mereka,” kata pegawai askar Jepun itu.

Dari hari ke hari sehari semua penduduk dicekik oleh kelaparan. Beras dan jagung tidak ada dan kalau ada pun amat sedikit. Mereka terpaksa memakan ubi kayu dan pisang rebus bersama kulitnya. Ada yang memakan nasi randau, iaitu nasi dicampurkan dengan ubi kayu atau pisang yang telah direbus dan kemudian ditumbuk dalam lesung batu.

Selain dari ubi kayu dan pisang, ubi keladi, ubi ara (gadung), sagu rumbia dan ubi-ubi dalam hutan rimba telah menjadi makanan keperluan bagi penduduk-penduduk di kampung-kampung pada masa itu.

Terdapat juga penduduk-penduduk dalam kawasan antara Grik dengan Kroh (Pangkalan Hulu) telah mencampurkan nasi dengan buah jering yang telah masak dan cambah. Buah-buah jering itu direbus sehingga lembut dan kemudian ditumbuk seperti menumbuk ubi kayu.Ada yang makan buah jering tumbuk itu sahaja dan ada yang dicampurkan dengan nasi.

Pada tiap-tiap hari aku dan adikku telah membawa bekal nasi ke sekolah. Kami tidak terpaksa makan ubi atau pisang atau nasi randau, kerana bapa dan ibuku ada menyimpan padi huma. Selain dari padi yang mereka simpan, pokok-pokok padi huma yang telah mereka tanam telah berbuah dan masak.

Pada tiap-tiap hari aku dan adikku telah membawa bekal nasi bungkus ke sekolah. Nasi berlaukkan ikan sungai atau telur ayam yang telah digulai atau digoreng. Malangnya, kami tidak dapat memakan bekalan kami itu pada tiap-tiap hari kerana telah dicuri oleh murid-murid lain.

Berhampiran dengan rumah datukku di kampung kami, ada sepokok berangan yang besar dan berbuah lebat. Di ladang bapaku ada sepokok berangan yang berbuah lebat juga. Maka pada tiap-tiap hari aku telah menjual buah-buah berangan goreng kepada murid-murid di sekolah. Aku telah menjadi murid yang mengutip ilmu dari guru-guru dan menjual buah-buah berangan goreng kepada murid-murid. Nasib baiklah dalam sekolah itu tidak ada murid yang bernama ’Mokhtar’, kalau ada dua tiga orang lagi bernama ’Mokhtar’, maka tentuklah kawan-kawanku telah menggelarkan aku dengan gelaran ’Mokhtar Berangan’.

Pada tiap-tiap senja aku pulang dari sekolah, wang hasil jualan buah-buah berangan itu aku telah serahkan kepada ibuku. Aku tidak menggunakan wang itu walaupun setengah sen selagi ibuku tidak memberinya kepadaku. Pada masa aku berusia tujuh hingga sepuluh tahun, aku telah diajar oleh bapaku mengamalkan ’2-A’ ’2-I’ dan ’ 2-A’, iaitu:

A’: ’Aku’, kenal diriku sendiri.Siapa yang telah

menjadikan aku. Dari apa aku telah diciptakan. Untuk

apa aku hidup dan apa tujuan aku hidup.

A’: ’Allah’, Aku kenal Allah yang mencipta diriku dan

semua alam. Dia Maha Kuasa dan Maha Alim. Dia

sahajalah tempat aku menyembah.

I’: ’Iman’, aku beriman kepada Allah kerana aku telah kenal

Allah. Aku tidak membuta tuli beriman kepada-Nya.

I’: Ihsan’; aku memperhambakan diriku kepada Allah.Aku

menyembah Allah seperti aku melihat Allah dan Allah

melihat aku, dan aku mesti ihsan kepada semua makhluk

Allah; dari pokok-pokok, batu batang, haiwan dan

hinggalah kepada manusia.

A’: ’Amanah’, Setiap manusia, walau bagaimana tinggi

darjat imannya kepada Allah, kalau tidak beramanah

tidak ada gunanya. Amanah wajib ada pada manusia.

A’: ’Akhlak’, Setiap orang mukmin mestilah mempunyai

akhlak dan budi pekerti yang mulia. Orang-orang yang

ada akhlak, dia ada motivasi diri dan boleh mencapai

kekuatan diri dan kemasyhuran diri.

Kawan-kawanku ada yang menjual ubi rebus, pisang lempeng dan buah- buahan seperti mempelam telur, ciku, jambu bertih dan beberqpa jenis buah-buahan lagi.

Walaupun aku masih dalam darjah dua, tetapi aku berkawan dengan dua orang murid yang belajar dalam darjah empat. Dia, ialah Sayed Zakaria bin Sayed Mohamad. Bapanya kerani Pejabat Pos, di pekan Sauk (kemudian Syed Zakaria sebagai guru dan bergiat dalam persatuan guru-guru) dan Allahyarham Meor Aris bin Meor Abu Bakar (menjadi guru dan kemudian memegang jawatan ahli Dewan Undangan Negeri Perak dan Exco (kawasan Lubuk Merbau). Persahabatan kami sehingga kami berumah tangga.

Pada sepanjang masa tentera Jepun memerintah Tanah Melayu, aku dan semua murid-murid tidak memakai pakaian seragam sekolah lagi. Aku dan adikku memakai seluar pendek dari kain khakis warna kelabu tanah atau hitam dan baju putih yang telah lusuh. Kami memakai kasut dari getah (latex) tanpa kenbes yang telah dibuat oleh abang saudaraku, Abdullah Kuak.

Ramai kawan-kawan sekolahku yang lelaki dari darjah satu hingga darjah lima memakai seluar dan baju yang dibuat dari guni tepung gandum atau kain yang digunakan untuk langsir atau atap khemah. Ada yang memakai baju atau seluar milik bapa mereka. Murid-murid perempuan memakai baju dari guni tepung gandum juga dan ada yang memakai kain dan baju milik ibu mereka.

Seorang kawanku dari Kampung Changkat Duku, namanya, Awang Ramli atau Awang Merah, kawan-kawannya menggelarnya ’Awang Kubung’ kerana pada tiap-tiap hari dia memakai baju ’over coat’ dari kain khaki warna kuning yang besar, iaitu baju orang dewasa..Apabila dia berlari baju itu mengembang dan mengepak kelihatan seperti kubung yang sedang terbang.

Pada masa itu semua penduduk-penduduk berada dalam rahang derita. Untuk mengisi usus masing-masing, apa sahaja yang boleh dimakan, terpaksa mereka menelannya. Soal sedap atau lazat tidak timbul lagi. Makan untuk bernafas dan untuk menyambung hidup. Kalaulah getah dan guni boleh dimakan, tentulah mereka memakannya. Begitulah Allah telah menimpakan azab sangsara kepada hamba-hambanya. Mungkin kerana dosa mereka ataupun ada hikmat dan rahmat di sebalik penderitaan mereka itu.

Kerana bapa dan ibuku menanam banyak pokok pisang, ubi kayu, ubi keledek dan makanan-makanan lain. Begitu juga petani-petani lain di kampugnku telah menanam tanaman seperti bapa dan ibuku, maka ramai orang-orang dari bandar telah datang membeli bahan-bahan makanan itu dari bapaku dan petani-petani tersebut.

Pada masa belum perang dunia kedua, ramai petani-petani dan orang-orang kampung Ngor, Jenalik Hilir, jenalih Hulu,1 kampung Changkat Duku, Tualang Bengok dan kampung-kampung lain memandang bapaku sebgai seorang ’arif ilmu agama Islam’, sebagai ketua atau ’ada fikiran’ yang boleh mereka menumpang untuk memperbaiki kehidupan, maka telah mendengar nasihat bapaku supaya bercucuk tanam sebagai persediaan pada masa dalam kesusahan.

Di antara orang-orang yang datang membeli beras, ubi kayu, pisang dan sebagainya kepada bapaku dan petani-petani lain, ialah wakil-wakil dari beberapa Orang Besar-Besar Negeri Perak dan Istana Sultan, di Kuala Kangsar, seperti Dato’ Bendahara, Dato’ Temenggung, Dato’ Setia, Iman Paduka Tuan dan Pawang Diraja lain-lain lagi.

Pada masa itu wang kertas British tidak laku. Wang kertas Jepun belum dikeluarkan lagi. Untuk mendapatkan makanan, kalangan berada di Kuala Kangsar yang pada masa Kerajaan British memandang hina kepada orang-orang kampung, maka pada masa ymereka dilanda kelaparan dan kebukuran, mereka terpaksa mendatangi orang-orang kampung meminta makanan.

Mereka telah menukarkan beras, ubi kayu dan pisang dan makanan-makanan lain dengan keris, kain songket, tengkolok, pakaian-pakaian dari sutera, seperti baju kebaya, baju kurung dan sebagainya milik mereka. Pada masa itu Allah telah menunjukkan, bahawsa kebesaran yang ada pada manusia hanya sementara sahaja.

Pada sepanjang tahun-tahun Jepun menjajah Tanah Melayu, semua mata wang menggunakan mata wang Jepun. Wang-wang kertas itu bergambar pokok pisang dan dicetak dimana-mana sahaja. Ramai orang-orang Cina telah mencetak wang Jepun di tempat-tempat rahsia.

Satu pot (tin rokok) beras harganya RJ1,000 hingga 2,000 .Garam RJ700 setahil. Gula pasir RJ800 setahil. Ubi kayu dan pisang muda kira-kira RJ600 hingga RJ800 sekati. Sagu rumbia atau sagu ubi kayu antara RJ2,000 hingga RJ,000 seguni.

Seorang penduduk kampungku memiliki dua ekar kebun getah, kerana tidak sanggup melihat keluarganya kelaparan atau kebuluran, maka dia telah menjual kebun getahnya itu kepada seorang Melayu dari Perak Utara dengaan cara menukar kebun getah itu dengan kira-kira lima guni sagu ubi kayu sahaja.

Dalam keadaan yang menderita kerana kebuluran, manusia boleh melakukan apa sahaja untuk mendapatkan makanan. Di sebuah kampung di Hulu Perak, sepasang suami isteri telah menikahkan - rela dalam paksaan- , anak gadis mereka yang berusia enam belas tahun dengan seorang lelaki Banggali Islam dari Perak Utara, kerana mereka memerlukan wang untuk meneruskan hidup.

Hampir semua penduduk-penduduk di negeri Perak telah menderita diserang penyakit –penyakit, seperti kudis buta, cabuk atau pekong, tokak, perut buncit, sembab, demam kepialu dan sebagainya. Semua jenis penyakit-penyakit itu diubat dengan cara ubat kampung, iaitu akar kayu dan daun kayu dan ada yang menggunakan bomoh.

Semua perempuan-perempuan yang bersalin pada masa itu tidak berpeluang mendapat rawatan di hospital. Mereka menggunakan bidan kampung. Ubat-ubatan hanyalah dari akar-akar kayu, daun kayu seperti lengkuas ranting, halia bara, kunyit bara, biji pelaga, temong dan sebgainya.

Mungkin cerita ini menarik bagi mereka yang gemar makan tempoyak. Di kampungku ada seorang perempuan tua yang berniaga di Pasar Minggu, Simpang Tiga, Changkat Jering, dekat Taiping.Di antara makanan yang telah dijualnya, ialah tempoyak. Abang saudaraku, Abdullah Kuak menamakan tempoyak itu, ’Temposang’, kerana asam isi durian itu dicampurkan dengan isi pisang masak.

Suami perempuan itu menderita sakit cabuk, pekung atau tokak di kaki kanannya. Pada tiap-tiap malam dia telah menggunakan sebuah pasu untuk merendamkan kakinya yang cabuk itu dalam air suam, iaitu air yang telah dimasak dengan asam gelugur. Pada petang Sabtu isterinya telah menggunakan pasu itu untuk mengisi tempoyak yang dijual di pasar minggu tersebut.

Ramai bayi yang meninggal dunia setelah dua tiga hari lahir ke dunia. Mereka itu lahir tidak cukup bulan. Kurang zat makanan. Air mani bapa mereka tidak dari seri pati tanah yang baik. Para ibu mereka tidak mempunyai tenaga yang kuat ketika meneran keluar pada ketika bersalin.

Pada satu petang, aku dan kawan-kawanku sedang berjalan pulang dari sekolah. Di jalan raya, sebuah lori askar Jepun telah tersadai dalam parit. Seorang dari askar-askar Jepun itu telah memaksa seorang lelaki membantu mereka menolak lori itu, tetapi lelaki itu tidak bertenaga kerana dia sakit bisul pada daging punggungnya. Sebaik-baik sahaja askar Jepun itu mengetahui yang lelaki itu sakit bisul, askar itu terus mencapai sekeping papan dan memukul belakang punggung lelaki itu dengan papan itu. Lelaki itu tersungkur di tepi jalan dan terus pengsan.Askar itu dan rakan-rakannya ketawa melihat lelaki yang pengsan itu.

Semenjak dari hari itu hingga kini, aku telah meyakinkan diriku, bahawa manusia-manusia yang paling zalim di dunia ini, ialah orang-orang Jepun, Amerika, Yahudi dan British!

(Dari manuskrip buku , Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid)



























1 Pada masa Datuk Seri Abdullah Badawi baru memegang jawatan Timbalan Perdana

Menteri Malaysia, telah berlaku peristewa ‘ Al Ma’unah’ di kampung itu.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.