Sunday, June 28, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah


Pada tahun 1964, seorang tokoh ulama, sastera dan politik Islam, Timbalan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan ahli Dewan Rakyat (Bachok), Kelantan, Prof.Dato’ Zulkifli Muhammad telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di atas jambatan Kuantan pada malam 6 Mei 1964.

Satu perkhabaran yang menyedihkan..., seorang ulama muda, sasterawan dan seorang negarawan – Encik Zulkifli Muhammad telah meninggal bertindih riba dengan isterinya, Cek Asiah binti Kamaruddin dalam satu pelanggaran jalan raya dekat Kuantan, Pahang pada 6 Mei 19643.

Allahyarham meninggal dalam perjalanan ke rumah saki – khilangan itu merupakan satu kerugian kepada bangsa Melayu di segala bidang.Sebagai seorang negarawan jenazah Zulkifli dan isterinya telah diterbangkan dengan kapal terbang Tentera Udara Diraja daripada Kuantan ke Ipoh. Kapal terbang itu telah menjalankan tugas khasnya itu dengan perintah Tun Abdul Razak bin Hussein Menteri Pertahanan.’1

Kerana pada ketika aku melaku penyelidikan untuk menulis buku biografi Zulkifli Muhammad, bapanya, Haji Muhammad bin Arshad telah memberi syarat kepadaku, iaitu dia akan memberi kerjasama denganku kalau aku sanggup menulis dan merakamkan dalam buku itu nanti, akan semua fakta dan segala yang ada hubung kait dengan Zulkifli Muhammad, maka aku telah bersetuju dengan syaratnya itu.

Setelah buku itu terbit dan beredar dalam pasaran, pihak ibu mertua Zulkifli Muhammad telah menyaman aku dan penerbit buku itu. Perbicaraan dijadualkan dalam Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan.

Belum sempat perbicaraan itu dijalankan, satu rundingan di luar mahkamah bagi menyelesaikan perkara itu telah diadakan. Peguam Tengku Ahmada Rethaudeen telah mewakili pihak aku dan penerbit buku itu. Dalam rundingan itu, peguam telah memaklumkan apa yang telah ditulis dalam buku itu - yang menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pihak yang menuntut - , tidak ada niat yang buruk, tetapi semata – mata untuk merakamkan fakta sebenar dalam biografi Allahyarham Zulkifli Muhammad2 dan bertujuan baik. Dengan persetujuan bersama, satu perenggan dalam buku itu telah dimansuhkan. Lihat lampiran ( 2 ).

Dalam buku itu aku telah merakamkan sebuah sajak ’ Zul Dalam Kenangan’ seperti berikut:

Zul,

Hangat sejuk mesra tanganmu mendakap jari jemariku masih

terasa,

Nada madahmu antara mendayu dan dentuman petir masih nyata,

Senyum hilaimu daripada mata tajam tergaris pada sukma,

Kau punyai nafas mesra...

Zul,

Kini kau tiada di samping kami...,

Pergilah ke wajah Tuhan kita – kami warismu dan ke sana jua,

Doa restu kami kau dan pujaanmu dalam pelukan Tuhan,

Pecipta segala,

Dan di bibir kami namamu berpesta.

Zul,

Bagi semua pujangga kau sasterawan bangsa,

Kau Negarawan ulung di atas bumi pusaka,

penjunjung kalimat Qudus kau ulama kasteria,

Ibnu Khaldun rakanmu, Iqbal taulanmu.

Zul,

Bila kala kau ditatang melintasi wajah kami ke pusara,

Pada hibalah kami menyambut pamitanmu di hujung masa,

Aku rakanmu, dalam gelanggang yang sama.

Zul,

Bersemadilah,

Ke syurgalah,

Kami ini insan masih berkayuh biduk jua,

Bagi kami, bagi bangsa menjunjung perintah Pencipta segala.Sebagai mengiring buku Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan itu, sebuah buku prasejarah dan politik, berjudul Bangsa Melayu Menggugat Dunia (Jawi), telah diterbitkan oleh penerbit yang sama. Buku itu adalah himpunan rencana-rencanaku yang tidak sempat disiarkan dalam surat khabar suara UMNO, bulanan ’Merdeka’ yang diterbitkan di Ibu Pejabat UMNO, di Johor Bharu.

Pengarang surat khabar bulanan ,Merdeka’ , Sheikh Anwar telah meminta aku menulis artikel bersiri untuk surat khabar tersebut. Hanya beberapa buah sahaja artikelku sempat disiarkan, maka telah berlaku krisis dalaman – antara Sheikh Anwar dengan Jawatankuasa suratkhabar itu yang menyebabkan surat khabar itu terhenti sementara. Artikel-artikelku itu tidak sempat disiarkan. Sheikh Anwar telah mengirimkan semula artikel-artikel tersebut kepdaku. Dalam suratnya dia berharap aku membukukan semua artikel itu.

Akhbar bulanan ’Mereka’ telah diterbitkan semula pada tahun 1964, oleh Percetakan Malaya Merdeka, No.13, Jalan Bungan Kantan, Setapak Kuala Lumpur. Tetapi terpaksa diberhentikan penerbitannya kerana tidak mendapat sambutan dari ahli-ahli UMNO.

Kira-kira setahun setelah buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ itu terbit, seorang pensyarah di Hawaii Universiti, Hawaii, Barbra Andaya telah datang ke rumahku dengan membawa salinan naskhah buku itu. Dia telah membuat kajian mengenai Semenanjung Tanah Melayu dengan berpandukan buku tersebut. Kira-kira seminggu dia telah tinggal bersama keluargaku, di Kuala Kangsar.

Profesor Khoo Kay Kim dari Universiti Malaya, telah mengirim surat kepadaku meminta aku menerima seorang mahasiswanya, Johan, dari Negeri Sembilan, untuk menggunakan buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’, untuk digunakan sebagai kajian untuk tesisnya bagi melayakkannya mendapat ijazah dari universiti tersebut. Johan telah tinggal bersama keluargaku, di Kuala Kangsar, selama beberapa hari untuk mengkaji dan berbincang denganku mengenai kandungan buku tersebut.

Pada masa itu beberapa orang mahasiswa universiti Malaya, yang menuntut dalam jurusan sejarah dan sains politik telah datang menemuiku untuk mendapat penjelasan dariku mengenai buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’. Mreka telah hairan mengenai beberapa fakta sejarah dalam buku tersebut berbeda dengan fakta-fakta sejarah dalam buku-buku yang mereka telah mempelajari.

Mereka telah meminta aku menjelaskan beberapa fakta sejarah dan pengalamanku sejak tahun 1951 hingga tahun 1960-an. Mereka juga telah berbincang denganku mengenai beberapa fakta sejarah dalam kebanyakkan buku-buku sejarah yang telah meragukan mereka.

Aku telah menerangkan kepada mereka, bahawa kebanyakkan buku-buku sejarah Melayu telah ditulis oleh bekas pegawai-pegawai British yang memerintah, seperti penasihat British, maka mereka telah mengikut selera penjajah atau memang diarah supaya menulis begitu.

Kemudian, buku-buku mereka menjadi buku teks atau rujukan pelajar-pelajar Melayu. Akibatnya fakta sejarah bangsa Melayu telah menjadi celaru atau tidak tepat, bahkan salah.

Aku juga telah menerangkan kepada mereka, iaitu, oleh kerana sebilangan besar orang Melayu lalai atau tidak menghargai sejarah bangsa mereka sendiri, maka ramai dari generasi Melayu selepas merdeka tidak memgahami cita-cita dan perjuangan orang Melayu sebelum negara ini bebas dari penjajah Inggeris.

Sesiapa yang tidak mengambil berat akan sejarah bangsanya, maka dia boleh dianggap pengkhianat kepada bangsanaya sendiri,” aku telah berkata kepada penuntut-penuntut itu.

1 Mokhtar Petah, 1965, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan, Kota Bharu, Penerbitan Pustaka

Aman Press, hlm.i,ii.

2 Talib Samad, Pensyarah Kesusasteraan Modern, Jabatan Sastera,Fakuklti Sastera, Universiti

Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, telah menulis buku ‘Zulkifli Muhammad Dari Perspektif

Islam’ dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2002.Dalam buku ini terdapat

23 gambar-gambar dari bukuku, ’Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan’ 1965, Pustaka Aman

Press dan ’Zulkifli Muhammad; Pelopor Angkatan Islam Di Malaysia’ Tra-Tra, 1983.

(Dipindahkan dari manuskrip buku, Nenoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Sharir Aidid)


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.