JARUM PATAH KELINGKING BEDARAH
(Oleh: Mokhtar Petah)
Lima tahun lalu, Datuk Makhdum dan isterinya, Tengku Anum, bagaikan tikus jatuh ke beras. Kaya raya. Tinggal dalam sebuah banglo laksana mahligai, di lereng bukit, di pinggir bandaraya. Semua perabot dan barang perhisan dalam banglo itu jenis mewah yang diimport dari negara Barat.
Walaupun mereka memilik emas bertimbun, wang bergedung dan hartanah ibarat seluas negeri Perlis, tetapi hati masing-masing menagih kasih. Isteri menagih kasih suami dan suami menagih kepada gadis-gadis lain. Mereka hidup tidak tenteram. Tidak aman.
Kehidupan Datuk Makhdum dan isterinya berbeza dari masa sepuluh tahun lalu. Pada masa itu mereka telah membeli sebuah rumah teres yang baru, di sebuah kawasan elit antara kaum. Sepasang suami isteri itu hidup dalam bahagia. Kasih antara mereka tidak tumpah ke mana-mana. Antara mereka tidak ada cacat dan celanya. Ibarat kuntum bunga di lembah rimba yang baru kembang. Warnanya indah dan harum semerbak baunya.
Pada masa itu Makhdum masih belum bergelar Datuk dari sultan sebuah negeri monarki. Sebaik-baik tamat dari univesiti dalam bidang perbankan dia memegang jawatan penolong pengurus bahagian kredit di sebuah bank swasta. Makhdum bukanlah Mat Jenin, tetapi cita-cita dan daya fikirnya macam Mat Jenin. Sepanjang masa dia bekerja di bank itu, cita-cita dan hajatnya tinggi; untuk menjadi orang kaya, kaya raya dan terkaya di negara ini.
“…yang Engku, kalau kita dah kaya raya, harap-harap kita hidup bahagia,” kata Makhdum kepada isterinya sambil memeluk tubuh genit itu, dalam cahaya senja.
“Anum pun harap begitu, bang, …Anum nakkan kasih sayang, cinta kita tak berubah, tak layu, bang …,” kata Tengku Anum manja dalam pelukan suaminya.
Pada senja itu Makhdum dan isteri sedang berdiri dalam taman kecil rumah teres mereka. Kasih antara mereka kental. Kukuh. Jangan harap orang ketiga dapat menganggu-gugat cinta mereka.
Tengku Anu keturunan raja tanpa takhta di Kuala Nerang. Pada masa dalam tingkatan lima di sekolah menengah, seorang anak raja dari Pokok Sena telah memintanya. Tengku Hanum meminati anak raja itu juga. Tetapi setelah dia melanjutkan pelajaran di universiti, minatnya berubah. Tengku Anum telah memiliki cinta dalam sebuah jambangan yang sama dengan Makhdum, mahasiswa bidang perbankan.
Makhdum berasal dari negeri Johor, anak tunggal kepada seorang lelaki keturunan Bugis, nakhoda kapal dagang Belanda. Bapa dan ibunya telah lama meninggal dunia. Makdum telah memiliki harta peninggalan mereka di negeri itu; hartanah yang ibarat sebuah daerah dalam negeri. Kebun getah, kelapa dan dusun buah-buahan. Tetapi pada masa itu semua tanah itu semak samun dan tidak mengeluarkan hasil.
Apabila keadaan berubah dan pembangunan muka bumi turut berubah, maka tanah milik Makhdum telah turut berubah. Semua tanah bertaraf pertanian itu telah bertukar kepada tanah pembangunan – perbandaran, perumahan dan perindustrian.
Cita-cita Mat Jenin Makdum berjaya. Semua tanah itu dibangunkan. Sebahagian bertukar menjadi kawasan perbandaran dan sebahagian lagi berubah menjadi kawasan perumahan dan industri.
Tengku Anum masih bekerja tutor disebuah kolej swasta. Walaupun dia hidup kaya raya, mewah macam Farah Diba, tetapi dia tidak dapat melupakan peristiwa dua ekor ular tedung hitam telah masuk ke rumah teres mereka pada malam mereka berpindah ke rumah itu. Sepasang ular tedung itu sedang tidur bergulung atas katil dalam bilik orang gaji mereka.
Tengku Anum juga masih teringat akan kata-kata seorang lelaki tua yang menolong mereka menangkap ular tedung itu. Kata lelaki itu, “…ular tedung masuk rumah ni dengan kehendak Allah, …ada hikmatnya….”
“Zaman Nabi Musa, telah menjelma ular sawa besar, semua ular ahli sihir Firaun ditelannya, …Nabi Musa bahagia, Firaun yang ada kuasa, kaya raya, tapi hati dia tak tenang, derita…, tak aman…,” kata lelaki itu.
“Ular tedung ni macam tu juga…, takut jadi tak aman…, kena rajin sembahyang, tolak balak, minta Allah jauhkan semua yang buruk…,” kata orang tua itu lagi.
Pada masa itu Tengku Anum dan suaminya tidak percaya. Karut. Tak sesuai dengan fikiran manusia pada zaman moden ini. Orang lepasan universiti tak percaya, orang intelektual tidak terima cakap begitu.
Kemudian mereka telah menjual rumah teres tempat dua ekor ular tedung bertandang itu. Mereka telah membina sebuah banglo laksana mahligai di lereng bukit.
Biasanya orang kaya raya, mudah mendapat gelaran dari Maha Mulia atas tahkta. Makhdum telah bergelar Datuk. Dia telah dianugerahkan gelaran itu dari seorang Sultan sebuah negeri di Semenanjung ini.
Kata seorang sahibul fadilah ahli sufi dan kasyasyaf, “tidak selama mana air terjun dari lata dalam rimba.”, “Hujan selalu pendekkan masa kemarau.” Dan “sekali bah sekali pantai berubah.”
Katanya lagi, “Cinta tak kekal, jika ada di antara pasangan suami isteri tak ikhlas, tak sehaluan, tak seiring jalan, tak sejantung hati.”
Dalam banglo laksana mahligai itu Datin Tengku Anum diratah derita. Saban malam bermandi air mata. Makan tak lalu minum dan makan tak berselera. Laksana peremouan menjahit pakaian, jarum patah jari berdarah. Sakit. Perit. Dia telah mendapat tahu suaminya telah mengembangkan sayap cinta berahinya. Cintanya macam jala yang ditebar di permukaan muara. Apa jua jenis ikan terperangkap. Ramai gadis cantik, kerani, peramugari, pegawai, penari dan penyanyi telah termasuk perangkap Datuk Makhdum. Ada di antara mereka seperti ikan hilang sisik, ada yang pucat isang dan ada yang hanya tinggal tulang.
Untuk melarikan diri dari penderitaan. sering makan jantung. Hati terdera macam cicak makan kapur. Datin Tengku Anum rela berundur dari menagih kasih kepada suaminya. Mereka sama-sama rela mengambil keputusan berpisah. Mengorbankan cinta dan alam rumah tangga yang panjang. Mereka bercerai.
“…kita dah, abang…, abang kahwinlah dengan siapa yang abang suka, Anum tak sakit lagi, tak cemburu lagi…,” kata Tengku Anum kepada bekas suaminya.
“…ia, Anum, I nak kahwin, tapi abang tak tau dia tu sungguh nak kawin dengan abangke,” kata Datuk Makhdum dengan bangga.
“Siapa abang?”Tengku Hanum bertanya.
“Penyanyi…, tak payah I sebut nama dia, Anum nanti tau juga…,”kata Datuk Makhdum.
Tengku Anum teringat akan adik saudaranya, Tengku Noni. Gadis itu penyanyi kelab malam. Dia pernah perkenalkan penyanyi, gadis cantik dari Pulau Pinang kepadanya dan suaminya.
Tidak ada seorang perempuan di dunia ini yang tidak cemburu. Begitu juga Tengku Anum. Cemburu masih terselit pada celah hatinya. Walaupun dia telah bergelar janda dan hidup menjada, tetapi cemburu gadis-gadis yang mendampingi bekas suaminya.
Tengku Anu terpaksa mengulangi gedung saloon, pusat spa atau pusat kecantikan untuk menjadikan wajahnya dan tubuhnya lebih muda dari usianya. Lebih jelita dari gadis-gadis teman bekas suaminya.
Wartawan ketagih berita sensasi memburu Datuk Makhdum. Mereka menghidu cerita, kononmnya Datuk Makhdum akan berkahwin dengan penyanya dandut, Puteri Sendayu. Datuk Makhdum yang telah menduda itu mengaku dia mencintai Puteri Sendayu. Tetapi penyayi itu mengaku kepada Tengku anum, “…wallah, wabillah, kak, Ayu akan kahwin dengan kekasih Ayu, …dia peguam, penyanyi juga.”
(tamat)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.