"Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan menakul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang enam puluh tiga tahun kewujudannya, Umno telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Umno telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila Umno mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.
Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang-orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan Umno. Umno juga telah membuat pengorbanan besar apabila di dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada tahun 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi Umno sehinggalah kini.
Pencapaian Umno lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli Umno tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.
(Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970). Umno hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya Umno telah terlibat secara pro aktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin Umno yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan Felda serta membangunkan kawasan luar bandar.
(Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980). Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan Umno telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.
(Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990). Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan Umno yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?
(Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 – 2000). Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan Umno yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak Umno juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.
Alhamdulillah, memang ternyata Umno mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.
Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli Umno hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Lanskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.
Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.
Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja.
Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.
Untuk itu, Umno harus berhenti daripada dikaitkandengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan." (Petikan dari ucapan merasmikan Persindangan Wanita, pemuda dan puteri UMNO 2009)
GEli aku tengok muka najis antatuya
ReplyDeletemcm mana blh perdana menteri aku .aku rasa nak cari kerja kat Arab Saudi.