Sunday, April 12, 2009

CERPEN

REDA BERMADU

Oleh: Mokhtar Petah

Khairiah Jilid, 35 tahun, berlesung pipit pada pipi kiri. Peniaga. Sakinah Maulud, 28 tahun, berkening lentik. Penganalisis perdagangan. Asmah Laili , 25 tahun, bertahi lalat manis atas pipi kiri. Peguam perundangan Islam -syarie.

Tiga isteri bermadu itu duduk bersimpuh di hadapan suami mereka, Khalid, 46 tahun. Lelaki itu berwajah tenang. Janggut. Misai. Jambangnya bersulam uban perak menghiasi wajahnya. Tubuhnya yang masih kuat itu berbungkus dalam baju Fatihah warna putih. Kain sarung Samarinda warna biru tua. Ketayap putih terserkup atas kepalanya. Rambutnya bagai bunga-bunga lalang tepi paya menghiasi kepalanya. Bahagian dahi dan ubun-ubunnya rambut masih jarang-jarang subur laksana menerung dalam sawah padi di Perlis.

Cinta tiga perempuan beriman itu kepada suami mulia mereka laksana gunung emas bersinar dalam hati masing-masing. Teguh. Ikhlas berbungkus taqwa kepada Al Quds.

Khalid telah berhijrah ke ibu kota dari Kampung Air Meleleh, sebuah kampung di pendalaman, di Negeri Perak. Pada hari dia melangkah meninggalkan anak tangga terakhir rumah ibunya, usianya telah menjangkau 25 tahun. Tujuannya menjadi perantau untuk mengutip rezeki Tuhan di mana-mana. Dia jenis manusia yang senantiasa mengharapkan reda Tuhan sepanjang perjalanan usianya.

SEKOLAH AGAMA

Dengan menggonggong Sijil Pelajaran Malaysia sekolah menengah dan pengetahuan agama Islam yang dipungut dari sekolah agama (rakyat) di kampungnya, Khalid berjaya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pelancong ‘Haji dan Umrah’ di Kuala Lumpur.

Khalid salah seorang dari ramai manusia yang kenal akan diri dan kenal akan Tuhannya. Maka dia telah berjaya membina kejayaan dirinya. Namanya terkenal di kalangan umat Islam yang pergi balik kerana menunai ibadat di Mekah dan Madinah.

Kata orang tua-tua di kampung; hati pemuda kampung lebih kaya cinta suci dari hati pemuda bandar. Hati Khalid mencintai ramai wanita. Arwah Ibunya telah meninggalkan amanah kepadanya; di mana-mana Khalid berada, hendaklah menyayangi manusia sejenis ibunya. Ramai perempuan mencintainya. Tetapi dia mengambil tiga orang gadis cuma untuk menjadi teman hidupnya.

Sebelum berkahwin dengan isteri-isterinya itu, dia telah merenung dengan mata hatinya dan memastikan gadis-gadis itu beriman tegar kepada Allah. Akhlak mulia. Aurat mereka tidak terdedah di luar rumah masing-masing. Pusat dan perut mereka tidak pernah dijilat cahaya matahari.

BERPERASAAN CEMBURU

Khalid juga tahu, mereka jenis manusia tidak panas baran. Tidak takbur. Tidak berperasaan cemburu dalam diri masing-masing. Bercakap lemah kembut. Sentiasa tersenyum. Reda atas susah atau sukar menimpa diri mereka. Bersyukur ketika menerima nikmat atau rahmat.

Tubna..., ma fa’alna.”

tubna..., ma fa’alna.”

tubna..., ma fa’ala...”

Butir-butir suara Khalid lembut. Sayu. Hiba terluah dari mulutnya memenuhi ruang solat itu. Dengan setulus ikhlas hatinya, dia mengadu dan memohon kepada Tuhan. Isteri-isterinya menyambut suaranya dengan suara senada. Merdu. Manis. Sayu. Padu.

Ya Allah, ampunilah diriku, isteri-isteriku yang cinta dan setia kepada diriku. Sesungguhnya mereka taat dan taqwa kepada-Mu, ya Tuhanku!”

Amiiin,” suara tiga isteri setia.

...sesungguhnya aku telah banyak melakukan salah dan silap terhadap-Mu, ya Allah. Aku telah memadukan perempuan-perempuan ini. Mereka isteriku yang setia. Mereka menjadi satu hati dalam kasih sayangku. Aku suami mereka yang kasihkan mereka, ya Allah.”

Amiiin,” suara isteri-isteri itu menjadi satu.

Aku telah mengikut petunjukmu dalam Quran, ya Allah, seperti bilangan tiga dalam surah An Nisa: ... Kahwinlah perempuan-perempuan yang kamu sukai; dua ,tiga dan empat...”

Amiiin, tubna ma fa’alna,” manis dan manja suara isteri-isterinya.

Ya Allah, sesungguhnya, ya Allah, walaupun aku telah berlaku adil kepada mereka,Ya Allah, tetapi aku sedar, sebagai manusia yang lemah, aku tidak terdaya berlaku adil seperti kehendak-Mu kepada semua isteriku.

Amiiin, tubna ma fa’alna,” suara isteri mengusap puncak hati Khalid.

Ya Allah, Kau jadikanlah aku dan isteri-isteriku hambamu yang ikhlas dan ‘tidak melakukan tipu daya dan Kaulah ya Allah, sebaik-baik pembalas tipu daya’. Ya Allah.”

Amiiin, tubna, ma fa’alna...,”sahut ketiga-tiga isterinya.

...Kau jadikanlah isteri-isteriku ini seperti firman-Mu bilangan dua ratus dalam surah Ali Imran: Hai orang-orang yang beriman bersabarlah, dan perteguhkan kekuatanmu dan taqwalah kepada Allah, supaya kamu menjadi beruntung.Ya Allah.”

Amiiin, tubna, ma fa’alna..., alhamduka,ya Karim ...,”suara semua isteri itu lemah lembut. Merdu.

MERENUNG MESRA

Cahaya lampu dalam ruang solat rumah itu menjilat wajah lelaki bersama tiga isterinya. Wajah Khalid tenang. Dua biji matanya yang bersinar, merenung mesra kepada isteri-isterinya dalam telekung warna kapas. Semua wajah perempuan solehah itu manis. Berseri. Ada cahaya keimanan. Taqwa.

Khairiah memuji suaminya dalam hatinya. Memuji dan bersyukur kepada Tuhan kerana menjodohkan dia dengan suaminya. Mereka dikurniakan lima cahaya mata – tiga lelaki dan dua perempuan. Semua anak mereka masih menuntut di peringkat sekolah menengah.

Sakinah bersukur kepada Allah kerana menjodohkannya dengan Khalid. Allah mengurniakan kepada mereka dua cahaya mata. Yang sulung belajar dalam darjah empat di sekolah rendah agama Islam,. Anak yang kedua masih nakal di taman didikan kanak-kanak.

Asmah Laili telah berkahwin dengan Khalid setelah mereka tenggelam bersama dalam tasik cinta selama dua tahun. Sebelum bercinta Asmah Laili telah berikrar dengan Khalid; dia akan setia dan jujur kepada suaminya dan berbaik dan setia dengan madu-madunya.

MENYAYANGI WANITA

Dua isteri Khalid – Khairiah dan Sakinah telah meminang Asmah Laili untuk dimartabatkannya sebagai madu mereka. Ibu bapa Asmah Laili seperti ‘tidak cukup nyiru tapak tangan ditadahkan’, menerima Khalid menjadi menantu mereka. Dari Asmah Laili mereka menerima cerita; Khalid lelaki sejati – jujur, tabah, tawakal, dedikasi dan menyayangi wanita.

...dia tu macam wali, emak, dahlah kacak, jujur, rajin sembahyang pula,”kata-kata Laili Asmah masih terlekat pada papan conteng dalam hati ibunya.

Asmah Laili lepasan U.I.A., telah berjaya menanam dakwah Islamiah ke dalam hati ibu dan bapanya dengan mengutip falsafah Perdana Menteri.

Khalid tak cari harta bertimbun-timbun, emak, dia ambil banyak tunjuk ajar dari Quran, Hadis dan Sunah..., dia ikut Iman Ghazali, Iman Shafie, emak, dia tak berfoya-foya..., emak,” Asmah Laili memberitahu kepada ibunya.

Bagus benarla tu, yang macam tu emak nak...,”kata ibunya.

...ia, alhamdulillah, saya tak nak bakal menantu kita kejar harta, kaya raya, berfoya- foya..., bongkak, lupa Tuhan..., elok macam Si Khalid tu, ...lagi pun saya dah kenal dia tu...,”kata bapa Asmah Laili.

IMAN DAN TAKWA

Khalid memberitahu isteri-isterinya, Allah telah menetapkan dalam Quran, lelaki boleh berpoligami sekiranya mereka mampu berlaku adil. Sesiapa menentang ketetapan Allah dalam Quran akan menjadi kafir.

...orang perempuan harus menasihati suami depa supaya ta memadukan depa, sekiranya suami depa tak dapat berlaku adil, tetapi tak boleh tegah...,”kata Khalid.

Allah dah menjadikan semua perempuan suka suami depa tu memadukan depa, fitrah manusia perempuan begitu..., kalau depa kuat iman dan taqwa, depa reda dimadukan,”kata Khalid sebagai pendakwah.

... tapi kebanyakan orang perempuan tak dak ilmu pengetahuan agama Islam yang mendalam, tak cukup iman, tak taqwa kepada Allah..., depa jadi mangsa rasukan syaitan dan iblis, tebal perasaan cemburu..., sebab tu depa tentang poligami...,” Khalid menjelaskan kepada isteri-isterinya.

La ni, ghamai orang perempuan tak ada pengetahuan agama Islam, tak cukup iman, tak taqwa, sebab tulah depa jadi macam-macam...,”jelas Khalid lagi.

Perempuan yang beriman, taqwa, depa yang taatkan Allah, tak bantah hukum Allah, taatkan suami, ...suami yang baik, yang beriman, taqwa, hormatkan isteri,” tambah Khalid.


PUNTUNG TANGAN

Semua isteri Khalid mengangguk. Mereka faham. Percaya. Hati mereka menerima dengan ikhlas akan penjelasannya.

Ya Allah, kami telah menganiaya diri kami sendiri; dan kiranya Engkau tidak mengampun dan mengurniakan rahmat kepada kami, tentulah kami

termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi,” suara Khalid memenuhi ruang solat itu.

Amiiin, tubna ma fa’alna,”suara isterinya sekati.

Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka,” Khalid mengakhiri doanya dari ayat Quran bilangan dua kosong satu, al Baqarah.

Amiiin, tubna ma fa’alna...,” suara tiga isteri itu lembut. Manja.

Ya Tuhan kami, janganlah kami dihukum, jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan atas kami beban yang berat, sebagaimana Engkau telah pikulkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kami,” suara Khalid lembu. Suara suami budiman.

Amiiin, tubna ma fa’alna,”suara tiga perempuan itu sayu.

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan atas kami apa yang tidak upaya kami pikul, maafkanlah kami, ampunilah kami, dan berilah kami rahmat; Engkaulah Pelindung kami, sebab itu tolonglah kami terhdap kaum yang zalim,” Suara Khalid bergema lembut memenuhi ruangan solat yang sentiasa di kunjung oleh para malaikat dan wali itu.

Amin, tubna ma fa’alna,” tiga perempuan itu memohon kepada Allah sambil mengesat air mata masing-masing dengan telekung,

Sebaik-baik sahaja selesai membaca doa, Khalid menyalami dua puntung tangan isteri pertamanya, di ikuti dua puntung tangan isteri kedua dan isteri ketiganya. Masing-masing mengucup tangannya.

Khalid dan isteri pertamanya memiliki syarikat pelancongan yang membawa umat Islam menunaikan ibadat haji dan umrah di Mekah dan Madinah.

BULUH AKAR

Ramai yang memanggil namanya, Ustaz Khalid Al Malihi (dari nama Kampung Air Meleleh).

Hari raya Fitrah tahun ini – Syawal 1427, rindu Khalid terubat. Pada hari raya yang ke -10 abang saudara entah berapa pupu dengannya, Amin Ghazali dari Kampung Air Meleleh, telah berkunjung ke rumahnya, di Taman Lomomba, Kuala Lumpur. Orang tua itu datang bersama isterinya dan lima orang saudara sepupunya.

Sambil makan Lemang buluh akar dan ketupat daun palas berlaukkan rendang pedas daging ayam kampung, Khalid bertanya kepada abang saudaranya, “...tak nak ikut macam saya ke, abang wa?”.

Orang tua berusia lebih tujuh puluh tahun itu senyum memanjang. Sambil menjeling kepada isterinya mahasiswa MA universiti tempatan, dia berkata, “...siapa tak nak ikut Sunnah Nabi, Lid..., tapi abang wa ni dah macam batang buruk hanyut dalam sungai, katak hijau pun tak nak numpang....”

PUNTGUNG GIGI

Mereka ketawa. Dalam mulut masing - masing pulut lemang, ketupat berbaur rendang pedas tersentil di celah puntung-puntung gigi yang jarang.

Abang wa ni dah di tahap, tangga kata pergi, kubur kata mari...,”kata Amin Ghazali.

Isteri Amin Ghazali, Aminah Lo’lo’ merenung tiga isteri Khalid. Dia memuji perempuan-perempuan yang solehah itu. Kagum hatinya.

...aku nak syurga, tapi aku tak sanggup bermadu...,”suara hati isteri abang saudara Khalid, Aminah Lo’lo’.

Ruang tamu rumah Khalid penuh dengan bunyi tawa mereka.

Hati Khalid masih muda. Lelaki tua berhati muda tak di hinggap penyakit. Dia akan berkahwin lagi. Calon isterinya telah ada. Gadis itu, Asmawati Tero, 20 tahun dari Aceh. Sedang menuntut di UIA, Gombak.

Ketiga-tiga isteri Khalid telah menemui Asmawati Tero pada malam Qiamul lail di Masjid Syedina Uthman ibnu Affan. Menurut jadual, pada hari ketiga, raya korban nanti, Khalid akan dinikahkan dengan Asmawati Tiro.

Pada waktu abang saudara Khalid dan tetamu-tetamu lain akan meninggalkan rumahnya pada petang itu, Asmawati Tiro tiba di halaman rumah Khalid. Dia di sambut oleh tiga isteri Khalid dengan mesra.

Khalid dan isteri-isterinya memperkenalkan gadis dari Aceh – dari kaum kerabat Hassaan Tiro itu kepada Amin Ghazali.

Bertuah..., Khalid,”kata abang saudaranya dan mereka yang hadir.

...ikut Sunah, abang wa...,” sahut Khalid. Senyum.

Alhamdulillah...,”sahut Amin Ghazali.

Dalam cahaya petang lepas hujan, dua biji mata Khalid terpacak dalam lubuk mata gadis berdagu lekuk itu.

(tamat)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.