Tuesday, March 24, 2009

PERDANA MENTERI:

Henti taktik kotor

Daripada M Thillinadan di Bandar Raya Kuwait
bhnews@bharian.com.my


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi


"HENTIKAN taktik kotor menjatuhkan lawan menjelang pemilihan Umno atau sedia menghadapi tindakan, termasuk oleh polis," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada mereka yang menggunakan kaedah itu untuk kepentingan diri menjelang pemilihan parti.

Sehubungan itu, Presiden Umno berharap semua pihak khususnya yang terbabit dalam pemilihan parti minggu ini mengelak perbuatan memfitnah, mengata kawan, melakukan perbuatan buruk sama ada dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat layang.


"Ini bukan cara untuk mendapatkan undi atau mengalahkan rakan sendiri dalam pemilihan bagi jawatan tertentu.

"Kalau pihak yang melakukan perbuatan itu dikenal pasti, mangsa boleh buat aduan termasuk kepada polis untuk membolehkan siasatan dan tindakan diambil kerana menghasut, memfitnah dan memalukan orang lain," katanya pada sidang media pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Abdullah yang juga Perdana Menteri mengulas pelbagai taktik kotor yang didakwa digunakan calon atau ejen mereka menjelang pemilihan parti itu.

Terbaru Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz mendedahkan penyebaran SMS berbaur fitnah disebarkan pihak tertentu mengenainya dan penyokongnya menjelang pemilihan pergerakan itu, esok.

Rafidah yang bertanding untuk mempertahankan jawatannya menghadapi tentangan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Kelmarin, calon Ketua Pemuda yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat laporan polis terhadap penulis buku, Yahaya Ismail kerana menerbitkan buku memfitnahnya.

Abdullah yang kecewa dengan perkembangan itu, bagaimanapun yakin ahli Umno kini bijak dan hanya akan memilih seseorang berasaskan sejauh mana mereka mengenali calon dan dengan menilai peranan calon itu kepada parti sebelum ini, selain sumbangan dan kemampuannya.

"Bila tiba masa mengundi, saya yakin itulah kriteria dicari perwakilan. Saya percaya mereka tidak akan terpengaruh dengan perbuatan tidak elok ini. Akhirnya, mereka hanya akan memilih pemimpin yang baik, yang dianggap boleh memimpin parti dan untuk berada di dalam kepimpinan Umno.

"Saya tahu... saya sudah lama dalam parti. Mereka tidak mempedulikan semua taktik kotor ini atau dipengaruhi duit ketika mengundi," katanya.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang membayangkan Perlembagaan Umno perlu dipinda dalam usaha merubah parti itu selaras keadaan dan keperluan semasa, Abdullah setuju banyak pembaharuan perlu dilakukan dalam Umno.

"Asalkan ia membawa kepada kebaikan parti, saya percaya ahli akan memberi sokongan," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online 24 Mac 2004)


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.