UCAPAN PRESIDEN PAS DATO HAJI HADI AWANG DI PARLIMEN KECAM PENCEROBOHAN ISRAEL |
| |
"Padan dengan rakyat mengutuskan kasut ke atas muka presiden yang akan berhenti beberapa hari lagi. Kita menyedari bahawa kasut bukan budaya kita tetapi itulah budaya orang kaki lima yang mengajar pemimpin yang tarafnya kaki lima juga." (Berikut adalah teks penuh ucapan Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang ketika sidang Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat 12 Januari lalu yang mengecam pencerobohan Israel ke atas Wilayah Gaza di Palestin) Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dan seluruh yang hadir. Pertama saya mengucapkan syabas kerana sidang khas yang diadakan pada petang ini walaupun kita sedang bertanding di Kuala Terengganu, tetapi kita bersatu di sini. Pada hari penamaan calon saya bermukabalah dengan Yang Berhormat Jelebu, Menteri Luar berbincang betapa perlunya kita mengadakan pendirian yang bersama kerana masalah ini masalah kemanusiaan dan masalah kebinatangan. Berlakunya tindakan-tindakan yang di luar perikemanusiaan, pembunuhan yang kejam tanpa batas terhadap kanak-kanak, orang tua, orang awam yang uzur yang tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan dan tidak boleh ambil apa tindakan yang sepatutnya. Bahkan dalam kajian haiwan ada binatang yang bersimpati kepada yang kecil dan yang tua. Tindakan yang berlaku di Gaza adalah satu tindakan yang sangat melampau dan tidak boleh diizinkan oleh masyarakat antarabangsa dan kita adalah sebahagian daripada masyarakat antarabangsa. Oleh kerana itu kita lupakan pertelingkahan cabang, pertelingkahan pandangan dalam beberapa isu tetapi dalam perkara naluri kemanusiaan kita wajib bersatu. Langkah kita ini bukan fanatik kepada kaum walaupun kita menyedari bahawa ada negara yang dipengaruhi oleh Zionis meluluskan undang-undang anti semantic seolah-olah tidak boleh anti terhadap kaum Yahudi. Bermakna anti pada kaum lain tidak mengapa. Alhamdulillah di negara kita tidak ada undang-undang yang seperti ini. Kita anti terhadap kaum-kaum yang tertentu. Sikap kita pada hari ini bukan benci kepada bangsa Yahudi tetapi benci kepada kezaliman yang dilakukan oleh golongan pelampau Zionis yang juga ditentang oleh kalangan orang-orang Yahudi sendiri. Kita penganut agama Islam diwajibkan beriman dengan nabi-nabi Bani Israel, rasul-rasul Bani Israel, pemimpin-pemimpin Yahudi yang baik dalam sejarah yang disebut nama-nama mereka dalam Al-Quran kita wajib beriman dan mempertahankan nama baik mereka. Akan tetapi sikap melampau kaum Zionis yang dicatatkan dalam Al-Quran yang telah menyebabkan mereka menjadi bangsa yang melarat yang tidak boleh diterima oleh kaum dalam sejarah manusia. Sehingga dalam sejarah moden rakyat Palestin dipaksa, dirampas tanah air mereka untuk mendirikan sebuah negara yang dinamakan negara Israel. Kita tidak menafikan bahawa Palestin adalah tanah suci daripada kaum Yahudi, tanah suci kepada orang Islam, tanah suci kepada orang Kristian tidak dinafikan. Akan tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh menghalang hak-hak kaum yang lain untuk hidup dengan cara yang sewajarnya untuk mengecap kenikmatan di bumi tanah air masing-masing. Apa yang menakutkan rakyat Palestin bukan sahaja dihalau dengan pengiktirafan daripada negara-negara besar. Ketika penubuhan negara Israel bahkan tindakan mereka secara demokratik tidak diakui Golongan Hamas dan dipantau oleh NGO barat termasuk Yayasan Jamie Cater daripada Amerika Syarikat yang memantau pilihan raya yang telus dan adil dan memberi kemenangan kepada Hamas. Malangnya kerajaan Hamas telah dikepung, telah disekat, telah dihalang dan telah diperlakukan. Apabila tidak dapat dijatuhkan dengan cara itu maka diambil tindakan ketenteraan dengan cara yang sangat ganas. Malangnya keganasan ini disokong oleh kuasa besar dunia yang dianggap paling maju dan paling bertamadun yang paling mendukung demokrasi. Malangnya negara Amerika Syarikat yang dimaksudkan itu menguasai bangsa-bangsa bersatu sehingga undang-undang antarabangsa dikendalikan oleh bangsa-bangsa bersatu laksana sarang labah-labah. Ianya serangga yang kecil yang boleh diambil tindakan yang melekat. Helang-helang yang besar seperti Amerika boleh rempuh begitu sahaja dan boleh bertindak mengikut sesuka hati mereka. Dalam hal ini kita tidak menafikan realiti kita berada dalam masyarakat antarabangsa dan menerima kewujudan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Apa yang penting ialah kita memainkan peranan yang pro aktif dalam pertubuhan antarabangsa ini. Sama ada melalui kita sendiri negara Malaysia ini termasuk secara kolektif melalui rakan-rakan dalam negara berkecuali (NAM) untuk mengambil satu tindakan yang sebaik-baiknya bagi memulihkan bangsa-bangsa bersatu itu sendiri. Bunuh pemimpin Islam, 100 akan berganti Sangat malu bagi kita yang berjiran yang hampir dengan Palestin kepada Venezuela yang jauh daripada Palestin dan mengambil tindakan yang berani memutuskan hubungan menghalau duta Israel. Di sana ada negara-negara yang masih malu-malu kucing terhadap Amerika Syarikat. Apa kita gerun dengan Amerika Syarikat? Dunia telah membuktikan kezaliman tidak akan kekal dan kezaliman tidak mengekalkan sesuatu kuasa besar dalam sejarah dunia. Keadilan yang baik yang akan kekal. Mereka tidak berjaya menghapuskan perjuangan Palestin kerana perjuangan Palestin adalah perjuangan yang menuntut hak. Israel telah bertindak membunuh pemimpin-pemimpin Palestin, pemimpin Hamas. Dibunuhnya Sheikh Ahmad Yassin yang lumpuh yang tidak boleh berjalan bergerak dengan kerusi roda sahaja dibunuh juga. Dibunuhnya Yahya Arshad dibunuhnya Abdul Hadi Rantisi dan lain-lain, dibunuhnya pemimpin-pemimpin Palestin dikutip satu demi satu sebagai satu langkah untuk menghapuskan kepada Ketua Rakyat Palestin. Apa yang berlaku kepada kita rakyat ini tidak boleh dihapuskan dengan membunuh pemimpin-pemimpin. Satu pemimpin dicantas 10 dan 100 tunasnya akan tumbuh Bukan cara itu. Caranya ialah mengendali dengan sebaik-baik dan seadil-adilnya. Kuasa besar dunia Amerika yang memberi perlindungan kepada Israel. Hari ini sudah runtuh imejnya dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Maka kita tidak perlu segan lagi kepada kuasa besar ini. Padan dengan rakyat mengutuskan kasut ke atas muka presidennya yang akan berhenti beberapa hari lagi. Walaupun kita menyedari kasut tidak boleh melawan Toma Hawk. Kita menyedari bahawa kasut bukan budaya kita tetapi itulah budaya orang kaki lima yang mengajar pemimpin yang tarafnya kaki lima juga. Dalam hal ini Insya-Allah kami akan bersama-sama dengan kerajaan untuk turun ke padang sama ada untuk menggerakkan rakyat dalam negara kita di kalangan semua kaum untuk tunjuk kepada dunia luar kita boleh bersatu dalam perkara yang menjadi titik persamaan antara kita. Hari ini kita dalam satu barisan dan satu pakatan. Saya mencadangkan supaya pihak kerajaan mengambil satu tindakan yang lebih tegas untuk membolehkan tindakan yang sewajarnya terhadap jenayah yang dilakukan oleh pengganas yang bersifat negara. Bukan lagi pengganas individu pengganas yang bersifat state maka satu tindakan yang perlu diambil. Dalam usul Perdana Menteri sudah disebut beberapa perkara yang menjadi alasan untuk menyeret Israel dan pemimpin-pemimpin Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa. Mencabuli undang-undang antarabangsa. Kedua, mencabuli undang-undang hak asasi manusia. Ketiga, mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Keempat, mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kelima, melanggar dan memijak Konvensyen Geneva. Ini satu perkara yang jelas, yang nyata, yang tidak boleh di selindung lagi. Apa yang penting, selepas ini kita bergerak bukan saja di Parlimen, kita bergerak mengikut kemampuan kita masing-masing dan terima kasih. Saya menyokong usul ini. - azm_ (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 2 Februari 2009) |
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.