Friday, December 26, 2008

NIK AZIZ DAN CINTA

la Nik Aziz bercakap pasal cinta

Oleh Hasbullah Ahmad
Gambar oleh Jamal Foto

SELAYANG, 26 Dis: "Nik Aziz bercakap pasal cinta? Wow ini sudah bagus."

Itulah persepsi awal apabila Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan akan berceramah di Bandar Tasik Puteri, Rawang Sabtu 20 Disember lepas.
Nik Aziz telah digandingkan dengan seorang tokoh kontroversi PAS Selangor dalam ceramah itu iaitu anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Turut serta adalah Yang Dipertua PAS Selayang, Haji Muhamad Abdul Rahman dan juga Ketua PKR Selayang, Abdul Rahim.

Padang permainan kanak-kanak di bandar baru yang penduduknya 90 peratus Melayu itu penuh dengan penonton walaupun hujan turun renyai-renyai menjelang ceramah itu.

Di malam itu, Nik Aziz bercakap dengan penuh semangat walaupun memberitahu penulis, "letihlah" sebaik sahaja tiba dari Rumah Kelantan ke situ.

Dengan umurnya 78 tahun, memang Nik Aziz kelihatan letih sebaik sahaja tiba dengan diiringi motor superbike dari tol Rawang ke Bandar Tasik Puteri.

Namun, kerana di depan beliau adalah penonton baru yang mungkin tidak pernah beliau temui, Nik Aziz kelihatan bersemangat luar biasa.
Nik Aziz menghuraikan cinta yang sepatutnya ada pada umat manusia. Bukan setakat cinta sesama makhluk tetapi juga kepada pencipta manusia iaitu Allah.

Beliau melahirkan rasa hairannya dengan sikap manusia yang sentiasa menanamkan benih-benih benci sesama manusia atas alasan berlainan bangsa.

"Lihat isu bahasa papan tanda di Pulau Pinang. Papan tanda tak mahu bagi tulis tulisan Cina padahal bercakap dibenarkan. Bahasa ini adalah hak semua manusia," kata beliau.

Khalid Samad pula menghuraikan kepentingan para penyokong Pakatan Rakyat untuk menolak segala benih-benih kebencian dan kekeliruan terhadap kerajaan negeri Pakatan khasnya Selangor yang cuba dicucuk Umno sekarang.

"Puas hatilah...ini kali pertama saya mendengar dia ceramah secara live," kata seorang penyokong PAS di situ kepada penulis.

Di majlis itu, Nik Aziz melancarkan buku ulasan beliau, Kisah Cinta dari Al Quran.

Selepas majlis pelancaran, berpuluh-puluh penonton berbaris panjang untuk mendapatkan tandatangan beliau ke atas buku yang diterbitkan semula dengan ulasan beliau itu.

Yang mendahului adalah pimpinan PAS kawasan Selayang sendiri yang jarang-jarang bertemu secara langsung dengan beliau.

"PAS kawasan mengucapkan tahniah di atas kejayaan penganjuran ceramah semalam," tulis Yang Dipertua PAS Selayang, Muhamad Abdul Rahman terhadap majlis itu.

Pemuda PAS cadang semua bergabung bantah PPSMI

KUALA LUMPUR 26 Dis: Dewan Pemuda PAS mencadang agar semua pihak yang membantah perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) dalam Bahasa Inggeris bergabung bagi menghasilkan tindakan yang berkesan.
Mereka beranggapan sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini.
Demikian kata Suhaizan Kayat (gambar), Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Pusat dalam satu kenyataannya kepada Siasah.
Katanya, Pemuda PAS telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah.
"Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini," katanya mengulas tindakan saman yang hendak diambil oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena).
Bagi mengajar orang-orang politik, katanya, pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi.
Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihanraya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agong parti mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak, katanya.
Tapi, katanya, orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang di luar medan persidangan.
Individu dan NGOs ini pula, katanya, perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Gabungan Penulis Nasional (Gapena) khususnya Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik," kata Suhaizan.
Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan (bekas Pengerusi MAS) telah menyatakan bahawa perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) bercanggah dengan undang- undang negara.

Tafsiran Tan Sri Aziz Abdul Rahman bahawa “maksud bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi” dalam Perkara 152 Perlembagaan negara turut merangkum bidang pendidikan sebagai bidang urusan rasmi negara. Undang-undang negara yang secara khusus dan secara terang-terangan dilanggar ialah Akta Pendidikan 1996 (Perkara 17(1)) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.
Kementerian Pelajaran pula telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak. Malangnya, kata Suhaizan, tujuh pilihan yang dirumuskan dalam pertemuan meja bulat pada 16 Disember 2008 itu kabur dan mengelirukan sehingga boleh menyusahkan ibubapa dan pelajar-pelajar selepas ini.
PPSMI ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 hinggalah sekarang.
Beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Pemuda PAS dan lain-lain lagi.

Ramai individu pula telah memberi pandangannya termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Bin Yatim; Bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Muhammad Khair Toyo; Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Fuad Zarkasi; bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Bekas Menteri Pendidikan, Tun Abd Rahman Yaakob; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hassan Ahmad Datuk Dr Zainal Kling; Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein; Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi.
Malangnya, pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, kata Suhaizan.
Menurut Suhaizan, pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini dan tidak mustahil ISA akan digunakan.
"Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini?" kata beliau.

Agenda Najib disekat?

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Walaupun tidak sampai 100 hari lagi bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri, semua agenda Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendapat sekatan.
Dari pembelian Eurocopter, pemilihan calon BN untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu hinggalah yang terkini usaha untuk menswastakan Intitut Jantung Negara (IJN) kepada kumpulan Sime Darby Berhad disekat satu persatu.
Ekoran itu, ada yang berpendapat, Datuk Seri Abdullah semakin berkuasa dan besar kemungkinan akan kekal sebagai Perdana Menteri selepas Mac 2009 nanti.

Zahar Hashim serta 13 AJK bahagiannya sertai PAS

Kapten (b) Datuk Zahar Hashim, Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan bersama dengan 13 AJK bahagian dan 28 ketua Umno cawangan di bawahnya menyertai PAS Rabu 24 Disember lepas.
Zahar yang kini digantung keahliannya dalam Umno berikutan isu Eurocopter menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.
Gambar atas: Abu Zahar menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Nasharudin dengan diperhatikAbuan Hassan Ali 24 Disember lepas.
(Berita - berita ini diambil dari SIASAH 26 Disember 2008)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.