ADAT RESAM DAN KHURAFAT
Oleh: Mokhtar Petah
[Artikel ini dipindahkan dari buku Kepala Batas Dalam Sejarah Kemerdekaan bangsa Melayu, oleh: Mokhtar Petah. Buku ini belum diterbitkan. –Editor, Petah Shahrir Aidid.]
Sesungguhnya, pada masa sebelum tahun 1930-an dan hingga 1950-an orang Melayu dalam kawasan Kepala Batas seperti orang Melayu di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan negeri-negeri lain juga, iaitu walaupun telah beragama Islam dan mengamalkan sebanyak mungkin ajaran dari Quran dan Hadis, tetapi kebanyakan mereka masih mengamalkan beberapa acara, adat atau perbuatan yang dianggap khurafat dan bidaah dalam Islam.
Walaupun ada ulama yang telah mengeluarkan pendapat atau fatwa atas apa yang mereka lakukan itu berlawanan dengan ajaran Islam, namun, kerana telah menjadi adat dan resam dalam masyarakat, maka amalan itu amat sukar dihapuskan.Di antara amalan-amalan tersebut, ialah:
1 Istiadat memulakan mencedung atau menanam anak padi dalam sawah, diadakan upacara menjamu penunggu atau dikatakan puja ‘semangat padi’. Upacara itu didahului oleh pawang atau bomoh yang memuja semangat padi. Di ikuti dengan menjamu penunggu atau pemegang semangat padi. Dipacak buluh yang di hujungnya dibuat seperti sangkak ayam. Di atasnya diletak sebarang jenis daun muda dari pokok yang tumbuh di sekitar sawah padi, seperti tembusu, bongor, keladi, bemban atau teratai. Atas daun itu diletakkan aneka jenis makanan seperti bertih, tepung tawar, kuih muih dan rokok - tembakau yang dibalut dengan daun nipah.
2 Upacara mengawal kampung atau disebut bersemah. Upacara itu didahului oleh seorang bomoh atau pawang. Seekor lembu betina masih dara, di potong ekornya dan diarak sekeliling kampung atau permatang dengan tujuan supaya darah yang keluar dari ekor lembut itu menitik atas bumi diminum oleh penunggu bumi kampung itu, iaitu jembalang, hantu tanah atau hantu raya.
Apabila lembu yang kehabisan darah itu telah tumbang, maka di situlah diadakan majlis menjamu makanan kepada mereka yang hadir, iaitu sebelum bangkai lembu itu ditanam.
3 Adat berkhatan. Sebelum diadakan istiadat khatan ke atas kanak-kanak lelaki, kanak-kanak itu dalam sungai atau disiram air telaga hingga kesejukan dan menggigil.
Sebelum kanak-kanak itu dimandikan, mudin menyiram segeluk air yang dijampi; meminta kanak-kanak itu sihat sepanjang hayat dan tidak mati pucuk.[1] Kemudian mudin itu melakukan istiadat memuja semangat menjamu dengan menjamu bertih dan tepung tawar kepada pemegang semangat (syaitan).
4 Adat memastikan dara, iaitu untuk mengetahui sama ada seseorang gadis itu masih ada dara atau tidak. Pada malam pertama gadis yang baru berkahwin tidur bersama suaminya, mak bidan atau wanita yang arif mengenai adat tersebut masuk ke bawah katil sebelum pasangan itu masuk beradu.
Bidan itu menunggu hingga pasangan itu ‘belayar’. Sebaik-baik sahaja pelayaran itu tamat, mak bidan itu mengunjukkan sapu tangan putih kepada pengantin perempuan. Pengantin itu melakukan seperti yang disuruh oleh ibunya dan mak bidan. Kemudian sapu tangan itu disua kembali kepada mak bidan.
Apabila pasangan pengantin itu telah nyenyak tidur, mak bidan merayap keluar dari bilik itu lalu menyerahkan sapu tangan putih itu kepada ibu atau waris pengantin perempuan tersebut.
Jika pada sapu tangan itu ada kesan darah, ertinya pengantin perempuan itu masih ada dara, maka, pada esok paginya diadakan makan-makan sesama keluarga kerana kesyukuran. Jika tidak ada kesan darah, maka akan terjadilah hal-hal yang tidak dingini, terutama oleh pihak pengantin lelaki.
5 Adat lenggang perut, iaitu seorang isteri telah hamil, terutama anak sulung, apabila cukup tujuh bulan atau hampir sembilan bulan, maka diadakan upacara lenggang perut pada malam purnama.
Perempuan hamil itu baring di ambang pintu rumah dan mendedahkan perutnya kepada cahaya bulan. Bidan menggunakan buah kelapa tua yang telah dilicinkan tempurungnya dan digolek-golek ringan atau perlahan atas perut perempuan hamil itu dan perempuan itu melenggang -lenggangkan perutnya dengan perlahan. Sementara membaca jampi manteranya dan memuja bulan selama berapa minit.
Kononnya adat itu untuk meminta kepada bulan supaya ‘memberi tuah’ kepada anak yang akan lahir itu nanti.
6 Setiap kali mengadakan kenduri doa tahlil atau aruah, dibakar kemenyan dalam dupa atau mangkuk sehingga asap kemenyan itu memenuhi ruang rumah. Dalam ajaran Islam tidak ada amalan itu. Menurut adat (mungkin kepercayaan dalam agama lain), kononnya asap itu menyampaikan permohonan manusia yang memohon kepada dewa tempat mereka memohon.
KETERLANJURAN PEMELUK ISLAM
Kepercayaan mengikut tradisi atau khurafat ini berlaku di mana-mana di seluruh Kepulauan Melayu bahkan di rantau Asia. Kepercayaan dan amalan khurafat itu telah menjadi bahan khutbah di masjid-masjid, surau-surau dan menjadi topik perbincangan antara para ulama dan mereka yang insaf akan keterlanjuran pemeluk Islam kepada perbuatan yang bersifat menyekutukan Allah.
‘Bagaimanapun di tengah-tengah perkembangan ilmu kalam yang pesat itu, unsur-unsur kepercayaan tradisional masih mampu mengekalkan kekuatannya. Misalnya kepercayaan adanya penunggu, hantu, semangat atau pemujaan kepada arwah nenek – moyang yang diwarisi daripada tradisi megalitik, semuanya itu tetap hidup di celah-celah perkembangan pengaruh baru dengan mengalami penyesuaian. Khusus tentang pemujaan nenek-moyang kesannya dapat dilihat akan upacara kenduri aruah pada malam ketujuh, keempat puluh, keseratus dan sebagainya. Menurut HAMKA (Abdul Karim Amarullah, orang alim dan pujangga Indonesia), amalan itu pada hakikatnya merupakan saki baki animisme belaka, kerana nenek moyang kita dahulu percaya bahawa dengan berkumpul beramai-ramai pada malam-malam tersebut dapat menghindarkan gangguan roh si mati.[2]
Sekitar tahun 1950 – 1955 adat itu telah tidak wujud lagi di kalangan orang Melayu dalam kawasan Kepala Batas. Kehakisan amalan karut itu disebabkan dakwah yang serius oleh guru-guru agama. Orang-orang tua yang tebal dengan kepercayaan karut telah meninggal dunia. Orang-orang angkatan baru kuat berpegang kepada ajaran agama Islam dan kuat iman mereka kepada Allah..
AMALAN KAHWIN PAKSA
Selain dari amalan khurafat yang telah saya utarakan di atas, terdapat pula amalan yang kebanyakan isteri dari orang Melayu hidup dalam keadaan ‘rela dalam paksaan’, iaitu amalan ‘kahwin paksa’.
Dalam kawasan Pinang Tunggal (bersempadan dengan Padang Serai, Kedah), Pongsu Seribu, Bumbung Lima, Penaga, Sungai Dua dan beberapa kawasan lagi terdapat ramai ‘gadis pingitan’, iaitu gadis yang berkurung dalam rumah. Mesti mengikut kata ibu bapa, hatta untuk bersuami sekali pun. Mereka tidak mendapat pendidikan peringkat sekolah menengah. Gadis-gadis yang telah menerima ‘seksaan’ begini kerana ibu bapa mereka fanatik kepada adat resam dan kurang pendidikan agama Islam.
Manakala dalam kawasan Tasik Gelugur, terdapat sebilangan kecil ibu bapa yang mengamalkan adat resam kuno yang berlawanan dengan maruah Islam, iaitu anak gadis mereka yang dikahwinkan dengan seseorang pemuda, tidak dibenarkan bersama suaminya pada malam pertama, malam kedua dan malam ketiga. Pada malam keempat barulah gadis pengantin baru itu dibenarkan beradu dengan suaminya.
PENGANTIN LELAKI
Menurut seorang berdua orang tua-tua di sana, perbuatan itu kerana hendak mengelakkan anak gadis itu dari menjadi takut, terkejut atau mengalami sesuatu yang tidak baik pada dirinya. Misalnya akibat dari perbuatan gelojoh pengantin lelaki.
Pada tahun-tahun saya tinggal di Kepala Batas, adat ini telah hampir pupus atau kurang, iaitu para remaja yang hendak beristeri, maka gadis yang bakal menjadi pasangannya itu mestilah gadis yang dipilih oleh ibu bapa mereka. Ertinya, cinta sebelum kahwin tidak dibenarkan berlaku. Tetapi, cara begitu tidak termasuk dalam hitungan kahwin paksa, kerana sama ada remaja mahu pun gadis yang hendak dijodohkan itu diperkenalkan dan ditanya pendapat mereka terlebih dahulu. Kalau mereka sama-sama berkenan dan bersetuju barulah istiadat meminang dijalankan.
Biasanya ibu bapa yang hendak datang menengok atau merisik anak gadis bakal menantu mereka itu, mereka datang bersama orang perempuan atau lelaki yang arif tentang perempuan dan anak gadis. Mereka datang ke rumah gadis itu pada sebelah pagi, iaitu kira-kira pada waktu gadis itu baru pulang lepas mandi di sungai atau telaga. Biasanya, pada waktu itu, gadis tersebut hanya berkemban dan menutup tubuh dengan kain basahan. Dua puntung betisnya telanjang, kerana kain batik yang dipakainya singkat, disebabkan dia bergetang (ketang) dadanya. Wajahnya tidak bersolek menampak keayuannya yang sebenar.
BAK DELIMA MERKAH
Si arif perempuan dan gadis akan melihat dan merenung wajah, dua tumit dan pinggul pada ketika gadis itu berjalan masuk ke rumahnya. Dari situ si arif tadi mengetahui akan keadaan diri gadis itu. Wajahnya cantik – manis ada menawan pun ada. Cerdik dan tidak panas baran. Kulit halus dan bibir cantik bak delima merkah atau bak limau seulas.
Si arif gadis dan perempuan akan melihat dan merenung pinggul gadis itu sedang berjalan. Dia akan mengetahui sama ada gadis itu masih anak dara atau ibarat ‘nyiur ditebuk tupai’ perempuan dan anak Dia membandingkan pinggul anak gadis itu dengan huruf-huruf Jawi. Iaitu: Kalau pinggul gadis itu berbentuk ‘alif’, ‘lam’, ‘ra’ atau ‘dal’, maka anak gadis itu masih anak dara. Kalau pinggul anak gadis itu berbentuk mengembang seperti ‘ba’, ‘sad’, ‘dad’, ‘ta’, ‘da’, ‘ha’ dan ‘ya’, maka anak gadis itu bukan anak dara lagi.
Selain dari pinggul, si arif gadis dan perempuan merenung betis dan tumit anak gadis itu. Biasanya kalau betis gadis itu besa, mengembang atau tembam, maka dikira kurang baik, tetapi yang baiknya, ialah betis yang seperti batang padi bunting.
KELUARGA PENGANTIN LELAKI
Tumit juga menjadi penentu sama ada anak gadis itu baik atau tidak menjadi isteri kepada remaja berkenaan. Orang tua-tua Melayu amat mengetahui akan bentuk tumit seseorang anak gadis. Perkara itu adalah rahsia yang bersangkutan dengan seks.
Pak Harun Jurutera dan Cikgu Mat Awang, pak Ghani di Matang Bendahari (dia telah berhijrah ke sebuah kampung di Kuala Kangsar), telah bercerita kepada saya, bahawa pada zaman lampau pernah berlaku perbalahan antara keluarga pengantin lelaki (orang Kedah) dengan keluarga pengantin perempuan (orang Seberang Perai). Pada malam pertama pasangan pengantin baru telah berbalah dan akhirnya pengantin lelaki meninggalkan pengantin perempuan pada malam itu juga. Kejadian itu disebabkan pengantin lelaki mendapati isterinya ‘ tidak anak dara’ sebelum bersama dengannya.
Pengalaman yang saya telah dapati dan hasil dari penyelidikan saya, sekitar tahun 1952 – 1955, terdapat ramai anak gadis Melayu di Pulau Pinang dan Seberang Perai amnya dan Kepala Batas khasnya telah dikahwinkan secara paksa oleh ibu bapa atau waris mereka. Ada yang dipaksa berkahwin dengan lelaki lebai, guru agama, peniaga dan ramai pula dengan ahli perniagaan dari keturunan India Muslim atau terkenal dengan panggilan ‘mamak’.
PENGETAHUAN AGAMA ISLAM
Pada umumnya para ibu bapa dan waris yang mengahwinkan anak gadis mereka secara paksa itu, terdiri daripada mereka yang tidak faham akan pengetahuan agama Islam secara mendalam. Mereka itu mengikut Islam secara keturunan, iaitu ibu bapa mereka beragama Islam, maka mereka pun beragama Islam juga. Ertinya mereka beragama Islam tidak kerana pengetahuan dan iman, tetapi kerana keturunan atau ‘orang Islam baka’.
Pada tahun 1954, saya telah mendapat gambaran yang terang dari seorang perempuan Melayu di Matang Kucing, Butterworth. Dia telah berkahwin dengan seorang lelaki yang dikatakan alim dan telah mempunyai dua orang isteri. Seorang isterinya di Sik, Kedah dan seorang lagi di Tikam Batu, Kedah juga. Lelak itu telah mendampingi bapa gadis itu. Kemudian bapa gadis itu telah berkenan akan itu untuk dijadikan menantunya. Kononnya anak gadis berkahwin dengan lelaki lebai atau alim, bila dia telah mati akan masuk syurga. Maka si bapa memaksa anak gadisnya berkahwin dengan lelaki itu.
Kebanyakan ibu bapa pada zaman itu berkenan untuk bermenantukan lelaki yang telah dewasa, alim atau lebai. Mereka tidak bertanya pendapat anak gadis mereka lebih dahulu. Walaupun anak gadis mereka ada pemuda pilihan mereka untuk dijadikan teman hidup. Mereka memaksa anak gadis mereka untuk mengikut kehendak mereka.
MEMBAYAR SECARA ANSURAN
Seorang perempuan Melayu bersuamikan orang India Muslim yang berniaga kedai kain dan pakaian di pekan Kepala Batas. Dia berasal dari Pulau Pinang. Nasibnya seperti kebanyakan gadis Melayu di Pulau Pinang pada zaman itu. Menurut cerita perempuan itu, pada masa dia berusia 16 tahun, bapa dan ibunya telah memaksa dia berkahwin dengan seorang lelaki India Muslim yang berusia kira-kira 45 tahun. Lelaki itu telah mempunyai seorang isteri di India.
Pokok pangkal kejadian, bahawa Ibu bapa gadis itu sering membeli kain dan pakaian di kedai lelaki India itu di Goerge Town, Pulau Pinang. Kerana mereka sering membeli kain dan pakaian di kedai itu, lebih-lebih lagi lelaki India itu telah melihat anak gadis mereka, maka oleh tauke kedai itu telah memberi kemudahan kepada mereka membeli kain dan pakaian di kedai itu dengan cara berhutang,iaitu membayar secara ansuran. Mulanya hutang mereka hampir kurang, ditambah lagi hutang yang baru dan begitulah seterusnya. Akhirnya hutang mereka itu menjadi banyak dan mereka tidak dapat melangsaikannya.
Lelaki India itu memberi dua cara kepada mereka untuk melangsaikan hutang mereka, iaitu menyerahkan rumah dan tanah mereka di Kampung Dodol kepadanya atau kahwinkan dia dengan anak gadis mereka. Sepasang suami isteri itu telah memilih jalan mudah, iaitu mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki India itu. Setelah menjadi isteri tanpa cinta, perempuan itu meneruskan hidupnya bersama suaminya yang telah tua itu dalam keadaan ‘rela dalam paksaan’.
SEORANG BOMOH TUA
Di sebuah kampung di Seberang Bumbung Lima, iaitu dalam Negeri Kedah, telah berlaku pada tahun 1952, seorang gadis berusia 23 tahun dipaksa berkahwin dengan seorang bomoh tua yang berasal dari sebuah kampung di sempadan negeri kedah dengan Selatan Thailand.
Cerita yang saya dapati, pada zaman itu menjadi malu kepada ibu bapa jika anak gadis mereka tidak berkahwin selepas usia 18 tahun atau hingga 23 tahun. Mereka malu, kerana anak gadis mereka bergelar ‘anak dara tua’. Maka pada satu malam mereka telah membawa anak gadis mereka itu untuk berubat atau membuang sial kepada seorang bomoh yang tinggal di sebuah rumah kecil di hujung kampung mereka.
Bomoh itu menyuruh anak gadis itu masuk ke dalam biliknya untuk diubati dan membuang sial. Sementara Ibu bapa gadis itu disuruh menunggu di halaman rumah, kerana tidak ‘rasi ubat’ kalau mereka melihat bomoh itu sedang mengubat gadis itu.
Akhirnya, selepas tiga malam berubat pada bomoh itu, ibu bapa gadis itu terpaksa mengahwinkan anak gadis mereka dengan bomoh tersebut, kerana anak gadis mereka telah sembuh dan hilang sialnya, tetapi dia telah menjadi ‘gila laki’ kepada bomoh. Mahu atau tidak mahu, ibu bapa gadis itu terpaksa menerima bomoh itu menjadi menantu mereka.
Berhubungan dengan kahwin paksa, saya telah bertanya kepada beberapa orang ulama, di antara mereka, Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin (Perak) dan Haji Nawawi Muhammad (Perak),Haji Husein Cik Dol dan Haji Abdul Rahman Merbuk (Kedah), Tan Sri Taqiduddin Qandil (Mesir) dan . Ustaz Salleh Othman (Perlis). Mereka sependapat, bahawa kahwin paksa bukan sahaja tidak baik, bahkan tidak sah nikah di segi Islam, kerana Islam tidak membenarkan pemeluknya melakukan sesuatu dengan cara paksaan. Sesuatu yang hendak dilakukan mestilah dengan rela dan ikhlas.
(Tamat)
[1] Seorang tukang urut, Pak Mat, di Kampung Gajah Perak, telah memberitahu saya pada bulan Jun
2007, bahawa ramai pemuda berusia antara 20 hingga 28 tahun datang berurut kepadanya, kerana
mereka menghadapi lemah tenaga batin atau mati pucuk. Menurutnya, bahawa sebab utama yang
menyebabkan orang-orang muda itu berkeadaan demikian kerana pada masa bayi ibu mereka memakaikan cawat atau pampus ketat sehingga zakar mereka tidak dapat bergerak dan tidak dapat membesar.
Seorang mudin di Raban, Lenggong, Perak, Allahyarham Mohd. Thani bin Mat Isa berpendapat, bahawa kebanyakan kanak-kanak yang berkhatan pada doktor apabila telah remaja atau dewasa mereka mengalami mati pucuk.
[2] H. Rushdi Hamka, Hamka Membahaskan Soal-Soal Islam, 1983, Jakarta, Pustaka Panjimas, hlm. 394.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.