Oleh: Mokhtar Petah
Baik hati Kerajaan Melaka akan anugerah gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan, samalah dengan orang menghadiahkan cincin emas permata berlian kepada orang tidak berjari jemari, mencemarkan budaya Melayu dan sekali gus memalukan Yang Dipertuan Agong.
Dalam sejarah Negeri Melaka, Sultan dan para pembesarnya telah melakukan perbuatan ‘baik budi, kera dihutan disusui dan anak mati kelaparan dalam buaian’, lalu negeri itu hancur hingga kini tiada Sultan.
Pada abad ini pula Ketua Menteri dan Kerajaan Melaka akan melakukan baik budi ‘berbudi gelaran kepada seorang rakyat dalam sebuah negara tidak beraja atau republik, iaitu India.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, walaupun ada keritikan dan bantahan terhadap cadangan beliau dan Kerajaan Melaka untuk menganugerahkan pingat Darja Mulia Seri Melaka (DMSM) – bergelar Dato kepada bintang filem India itu, namun rancangan itu tetap diteruskan.
Alasan Ali Rustam bahawa anugerah itu kerana mengenangkan sumbangan bintang filem tersebut kepada Melaka kerana melakukan penggambaran filem One Two Ka Four di A Famosa.
Saya bersama beberapa orang budayaan dan penulis (ramai penulis blogs) telah ketawa besar, kerana penggambaran filem India di A Famosa bukan menjulang nama Melaka, tetapi menjulang atau mempromosikan Portugis yang berjaya memodenkan negeri itu dan mengekalkan budaya penjajah di sana.
Hingga pada hari ini Ali Rostam sering menyanjung sejarah atau kesan sejaran Portugis dan Belanda di negeri itu, terutama dalam sektor pelancongan.
Alasan Ali Rusatam itu memperlihatkan beliau tidak faham sejarah dan peranan penjajah yang telah mewarnakan negeri itu hingga kini dan sebiangan rakyatnya memuja kesan sejarah penjajah.
Saya tidak tahu, sama ada tokoh-tokoh budaya di Melaka setuju dengan rancangan Ali Rostam, Khalil Yaakob dan kerajaan Negeri Melaka itu. Mungkin mereka tidak setuju. Tetapi kerana kepentingan politik mengatasi segala-galanya, apa hendak dikatakan lagi.
Secara mendalam dengan fikiran budayawan, saya tegaskan, bahawa alasan Ali Rustam sama dengan peribaha Melayu, ‘ kalau tak ada berada masakan tempua bersarang rendah’.
Mungkin juga Ali Rostam yang memegang kuasa politik di Melaka, kurang faham sains politik global. Tidak dapat membezakan antara negara bercorak republik dengan negara beraja atau monarki.
Demikian juga tidak faham akan semangat dan pandangan rakyat dalam mana-mana negara yang bercorak republik dan negara beraja atau monarki. Rakyat dalam negara republik tidak menghargai anugerah gelaran Datuk dan apa jua gelaran bersimbulkan Raja atau Sultan.
Dalam sejarah dunia. Raja Arab Saudi yang kaya Raya dan Raja atau Shah Iran Redza Pahlawi yang luas pengaruh pada zamannya, tidak pernah menganugerahkan gelaran atau bintang kebesaran kepada rakyat mana-mana negara repubik.
Sebaliknya, negara-negara beraja dan rakyatnya menghargai anugerah dari negara-negara republik kerana anugerah-anugerah itu bersifat intelektual, misalnya ijazah tertinggi di universiti, bintang pahlawan dan sebagainya.
Negara atau negeri beraja atau monarki seperti Malaysia, hanya sesuai dan tidak memalukan jika menganugerahkan bintang atau pingat kebasaran kepada negara-negara beraja atau monarki seperti negara , Inggeris, Arab Saudi, Siam dan negara-negara lain yang beraja.
Mungkin Ali Rostam terlalu ghairah melakukan publisiti dan menjulangkan namanya, maka beliau telah menampakan ketidak - fahamannya menganai dasar beberapa jenis politik dan mencemarkan nama budaya Melayu.
Mungkin Gobarno Melaka, Tun Khalil Yaakob setuju dengan kehendak Ali Rostam memberi pingat kepada Shah Rukh Khan itu, tetapi Yang Dipertuan Agong yang arif ajaran agama Islam dan kebudayaan Melayu, tentulah tidak setuju dengan murah hati kerajaan Melaka itu. Sha Rukh Khan dan bintang-bintang Bollywood terkenal dengan ‘dedah aurat’ dan aksi yang hampir dengan seks.
Sepatutnya sebelum Negeri Melaka – Ali Rostam dan Khalil Yaakob hendak menganugerahkan pingat atau gelaran datuk kepada Sha Rukh Khan, perkara itu dirujukkan kepada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu lebih dahulu kerana Baginda dan Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, di negara ini dan (Raja-Raja Melayu), di negeri masing-masing.
Kalau hendak memberi anugerah kepada Shah Rukh Khah kerana menghargai usaha beliau membuat penggambaran filem di negeri itu, bukan dengan gelaran dari takhta, tetapi lebih baik menghadiahkan ijazah seperti Ph.D – bergelar doktor kepada bintang filem India itu.
Seperti kita maklum, beberapa buah universiti di negara ini telah menganugerahkan ijazah-ijazah Ph.D kepada orang-orang tertentu yang telah membuat jasa dan sebagainya.
Mengapa kerajaan Melaka tidak berfikir ke arah itu?
Mungkin Ali Rostam dan Kerajaan Melaka tetap berkeras akan menganugeahkan juga pingat tersebut kepada bintang filem India itu. Biarkanlah mereka lakukan. Tetapi pada hakikatnya Melaka telah tercatat dalam sejarah sebagai sebuah negeri yang mencalar budaya Melayu dan memalukan Yang Dipertuan Agong.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.