Sunday, July 6, 2008

BUAH DURIAN BERMUSIM


Pada masa ini musim buah durian gugur di dusun. Ramai pemilik dusun durian sedang mendapat rezeki bagaikan durian runtuh. Mereka menjual buah durian. Makan pulut durian. Gulai ikan air tawar dengan durian. Cicah ulam dengan asam durian atau tempoyak. Ramai yang tidur dalam dangau durian.

Di beberapa tempat dalam Bandaraya Kuala Lumpur telah menjadi pasar durian. Di antara tempat-tempat itu Chow Kit, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Pasar Keramat dan Taman Melawati.

Pada zaman dulu para pemilik durian hanya memperolehi buah durian dari pokok-pokok tradisi. Durian tembaga (tebal isi dan kuning warnanya), durian burung (durian jenis kecil) dan durian gusi (nipis isi nampak biji).Tetapi sekarang pokok durian dicantum atau kahwin seperti orang Melayu kahwin orang Arab atau orang-orang asing. Ulas-ulasnya besar macam anak kucing tidur.

Dengan kepandaian yang diajar oleh Tuhan kepada manusia; kini terdapat durian bertaraf D9, 24 dan beberapa kelas lagi. Sekali dengar semacam P.H.D.

Walau bagaimanapun buah durian Malaysia tidak dapat mengatasi buah durian Siam. Buah durian di sini tidak tahan lama dan tidak boleh dihantar keluar negara, tetapi durian Siam telah di eksport ke seluruh dunia.

Pada masa saya di China Town, London tempoh hari, saya mendapati sebiji durian dari Siam sebesar kepala kerbau jantan. Beratnya lebih tiga puluh kilo dan harganya antara £4 hingga £8 sekilogram.






Kata orang tua-tua Melayu, kalau tak suka makan buah durian, tak sah jadi orang Melayu atau orang Cina ataupun orang Asia.

Buah durian digunakan dalam peribahasa Melayu, iaitu seperti mentimun dengan durian, bergolek rosak, digolek rosak jua. Ibarat orang bawahan dengan bos atau pegawai atasannya. Macam wakil rakyat dengan perdana menteri.

Pujangga Hamka dan pendeta Zaaba pada waktu bercakap dengan saya pada tahun 1960-an, mereka sependapat; orang yang berdosa besar tidak boleh lalu bawah pokok durian yang buahnya sedang masak. Kalau orang tidak berdosa besar tidak ditimpa buah durian.

Memang amat jarang kita mendengar orang ditimpa buah durian. Tetapi di Barat sering kita mendengar orang ditimpa buah epal atau limau.

Kalau kita merenung dengan hati berilmu ladunni, ternampak buah durian macam tabiat manusia juga. Buah durian berada di tempat yang tinggi, tetapi tidak berani, terpaksa berkulit tebal dan berduri tajam. Macam kita orang Melayu tidak berani berjihad kerana Allah, Islam, bangsa dan tanah air sendiri.

Manakala buah tembikai, buah telanjang bogel tetapi berani bergolek dan digolek di mana-mana, tetapi ia kalah dengan buah durian.

Petua orang tua-tua Melayu, jika makan durian terlalu banyak dan perut rasa sebu, ambil kulit durian, masukkan sedikit air dalam ruang pangsanya dan minum air itu, Insya Allah, perut sebu segera betah.

Datuk dan bapa saya ada beberapa ekar dusun durian. Pokok durian besar. Mereka menanam sebelum perang dunia kedua atau pada zaman pendudukan tentera Jepun. Walaupun buah durian banyak pada tiap-tiap musim, tetapi mereka tidak menjualnya. Mereka menjemput orang-orang kampung dan sahabat handai mereka ke dusun atau kerumah mereka untuk memakan buah durian.

Pada tiap-tiap pagi Jumaat mereka mengadakan kenduri kecil pulut durian.

Mereka menanam anak-anak durian tidak dengan niat kerana hendak mendapat wang banyak. Mereka berkata atau berniat, “untuk anak cucu ..., manusia nak makan ...”. Oleh itu saya mendapati datuk dan bapa saya tidak kaya, tetapi mereka kaya budi, kaya ketenangan hidup dan kaya iman kepada Allah; rajin beribadah.

Pada masa ini, setiap orang mula tanam anak durian dalam dusun, niat atau suara mereka, “ ...bila pokok durian ni berbuah banyak, hanya dapat duit.” Mereka menjadi orang kaya, tetapi miskin kebahagiaan hidup, malas beribadat dan jadi hamba harta.

Pada tahun 1967, saya telah mengikuti pegawai-pegawai Jabatan Orang Asli Negeri Perak, mengembara ke dalam rimba Temenggor dan Belum di hulu Negeri Perak. Dalam rimba tersebut banyak pokok durian burung sedang gugur buahnya. Buahnya kecil dan boleh ditelan oleh gajah.

Beberapa orang pegawai orang Asli dan Tok Batin (penghulu) memungut buah durian tahi gajah, iaitu buah-buah durian yang dimakan oleh gajah. Bila gajah itu berak, buah-buah durian itu keluar dari buntutnya berbalut dengan rerumput dan dedaun. Menurut mereka buah durian tahi gajah itu sedap rasa seperti dimasak atas api atau rasa lempuk.

Bagi kaki arak, kalau lepas makan buah durian, mereka minum arak, kalau umur masih belum tiba ke hujung selamatlah, tetapi kalau telah tiba pada janji Tuhan, dia mati kerana panas tali perut.

Pada masa ini orang-orang dari Amerika, England, Bosnia dan negara-negara Arab yang datang ke negara ini menjadi gemar makan buah durian. Mereka gemar makan buah durian seperti gemarkan wanita-wanita Melayu.

Menurut cerita orang-orang tua, di kampung Manora (dekat tempat persinggahan di lebuh raya, tepi sungai Perak, pada tahun 1950-an telah berlaku seorang lelaki yang bersumpah menjunjung Quran dalam masjid, kira-kira jam 8.00 malam, pada jam 11.00 dia mati ditimpa buah durian dalam dusunnya. Kepalanya pecah.

Ceritanya begini, lelaki itu dibawa ke masjid itu kerana dia didakwa atau dituduh oleh seorang janda yang lelaki itu telah memperkosanya. Pada zaman itu, kebanyakan orang tua di kampung tidak suka dibawa ke tengah atau ke balai polis. Mereka berunding dan muafakat sesama mereka untuk mencari kebenaran yang berpandukan Allah.

Lelaki itu menafikan dakwaan atau tuduhan janda itu. Dia sanggup bersumpah dengan menjunjung Quran. Imam masjid dan orang-orang kampung itu setuju. Maka berlakukan istiadat bersumpah menjunjung Quran dalam masjid itu.

Isi durian muda atau belum masak, rasanya lemak dan boleh dibuat gulai dengan kerang, udang, ikan air tawar, daging dan sebagainya.

Manakala isi durian yang telah masak boleh dibuat kuih muih, lempuk dan tempoyak. Tempoyak boleh dicampur sambal belacan dan makan dengan ulam-ulam segar atau digulai dengan ikan patin atau lain ikan-ikan air tawar.

Bila menulis tentang tempoyak, saya teringat pada zaman Tanah Melayu diperintah oleh tentera Jepun dulu. Ramai warga kampung berpenyakit. Ubat untuk mengubat penyakit tidak ada. Mereka mengubat penyakit dengan menggunakan herba – dedaun, akar-akar dan buah-buah kayu dan sebagainya.

Di kampung saya (kampung tempat berlaku peristiwa Al Ma’unah pada tahun 2006. Amin Ghazali telah dihukum gantung), ada seorang perempuan tua, nenek Jenab namanya. Kerjanya menjaja di pasar minggu.

Suami nenek Zainab, tok Awang, sedang menderita sakit tokak atau cabuk - kudis besar pada dua dua puntung kakinya, daging reput, darah bercampur nanah dan busuk baunya. Pada tiap-tiap pagi Isnin hingga pagi Sabtu, dia merebus keping-keping asam gelugur dan kemudian setelah air itu suam-suam kuku, dimasukkan ke dalam pasu yang boleh memuat kira-kira tiga gantang tempoyak. Tok Awang merendam dua puntung kaki yang bertokak atau cabuk itu dalam pasu tersebut selama kira-kira satu jam.

Air asam gelugur itu, selain dari boleh menanggalkan darah, nanah pekat dan daging reput dalam tokak atau cabuk itu, boleh melekangkan kerupin dan menjadi ubat penyakit itu.

Pada tiap-tiap pagi Ahad nenek Zainab telah membasuh pasu itu hingga bersih dan dia telah menggunakan pasu tersebut untuk mengisi tempoyaknya yang di bawa berjaja ke pasar minggu (hari Ahad), di Changkat Jering, Taiping. Ramai pengunjung pasar minggu itu yang telah membeli tempoyak nenek Zainab telah memuji tempoyaknya kerana sedap.

(Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.