Menteri Pendidikan Indonesia, Profesor Pryono telah berkata, “jika hati telah cinta kata-kata tidak perlu lagi” dan kata falsafah, “cinta itu buta” – tidak kenal rupa dan darjat. Benarkah begitu?
Pada tahun 1937, telah berlaku kejadian benar, iaitu cinta seorang dara, Sofiah dari keluarga kaya dengan seorang teruna miskin, Lukman, perantau dari Rawa, Sumatra, Indonesia.
Pada masa dia hendak merantau dulu, ibunya telah memberi kepadanya sepasang lesung batu.
Kata ibunya, “…ada gunanya lesung batu ni, Man, kalau kau tak gunakan menumbuk sambal, boleh tumbuk ubat (daun, kayu dan akar herba).”
“Kau tau Man, bapa, emak kau ni miskin, kalau kami mati,tak ada yang kami tinggalkan …, lesung batu inilah jadi pusaka,” kata ibunya lagi.
Lukman tinggal dalam sebuah pondok usang di hujung kampung bapa Sopiah. Kerjanya tidak menentu – mencari hasil hutan, menangkap ikan di sungai dan sebagainya.
Kadang–kadang Lukman mengambil upah membersihkan kawasan rumah bapa Sopiah.
Kerana ruang pondok Lukman itu sempit, maka lesung batu itu diletakkan hampar dengan tempat perbaringannya. Pada tiap waktu dia di pondok itu dia dapat melihat lesung batu dan halunya yang hitam, comel itu.
Setiap kali – terutama pada waktu malam – Lukman melihat lesung batu itu, dia teringatkan ibu dan bapanya yang telah bertahun-tahun lamanya berpisah.
Sopiah dan Lukman sama-sama tenggelam dalam tasik cinta. Lukman sedar dia pemuda miskin, seperti pemuda Qais dalam cerita Laila wa majnun (Laila dan pemuda gila).Sopiah tidak peduli. Cintanya kepada Lukman, cinta suci. Miskin Lukman tidak menjadi masalah baginya. Mungkin hati Sopiah seperti sajak ini.
Biar miskin papa kedana,
Relaku, rela dia demi cinta ,
Biar kering selat Melaka,
Cinta kami laksana Titiwangsa.
Walaupun Lukman dan Sopiah ada ilmu agama Islam sekadar fardu ain, tetapi iman masing-masing sekadar nipis kulit bawang, maka syaitan telah mendorongkan mereka kepada perbuatan bermukah. Sopiah telah hamil tiga bulan.
Orang-orang kampung telah mengetahui percintaan Sopiah dengan Lukman. Mereka menasihatkan bapa Sopiah supaya menikahkan sahaja anaknya dengan pemuda perantau itu. Bapa Sopiah mengikut dengan rela akan pandangan orang kampungnya.
Lukman dinikahkan dengan Sopiah dalam satu majlis sederhana. Pada ketika hendak diakadkan nikah, Lukman minta rakannya membuka bungkusan yang dibawanya.
“ Pak cik, pak naib …,” Lukman berkata kepada bakal bapa mertuanya dan naib kadi yang akan melakukan akad nikah.
“Saya miskin, tak ada duit, emas perak jadi mahar …,” kata Lukman lagi.
“Jadi tak ada maharlah kau ni, Lukman?” Naib kadi bertanya.
“Ia, Pak naib,” jawab Lukman.
“Habis apa yang kau ada?” tanya bapa Sopiah.
“Yang saya ada, ini …, lesung batu,” jawab Lukman sambil menarik keluar lesung batu dari bungkusan itu.
“Hal, lesung batu?” tanya bapa sopiah. Terkejut.
“Ia, lesung batu ni pusaka ibu saya, bagi saya, sangat mahal harganya,” jawab Lukman.
“Macam mana tok naib, boleh ke?” tanya bapa Sopiah kepada naib kadi.
“Boleh …,” jawab naik kadi.
Bapa Sopiah senyum. Mengangguk.
Lukman dinikahkan dengan kekasihnya, Sopiah yang sedang hamil dan maharnya, sepasang lesung batu.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.