Saturday, July 20, 2013

CERPENA

SEBUAH PERPISAHAN 

Oleh: Mokhtar Petah 

Ustazah Syarifah Munirah, pendakwah wanita tersohor. Lesung pipitnya laksana pupur puyuh menghias pipi kanannya. Dua ulas bibirnya bak delima merkah – merah bergincu dari sebuah negara Kristian, di Eropah. Bedaknya tepung wangi dari negara yang sama. Dia menjadi idola peminat-peminat ajaran agama Islam kini - Islam liberal.
Setiap lelaki peminat ajaran Islam liberal menghadiri majlis ceramah Ustazah Syarifah Munirah. Mereka bagaikan membungkus dan membawa pulang senyuman, ulas-ulas bibir dan sinar matanya ke rumah masing-masing. Setibanya di dalam bilik tidur, mereka membandingkan jelita wajah, cantik senyuman, ulasa-ulas bibir dan sinar mata ustazah itu dengan isteri masing-masing. Masya Allah, isteri mereka tidak secantik ustazah yang menjadi idola mereka itu.
“Tengok muka ustazah, sejuk rasa hati, tengok muka bini aku…, meluat...,” sungut kerani sebuah bank.
“Kebanyakan lelaki peminat Islam liberal yang datang ke majlis ceramah Ustazah Syarifah Munirah, tidak ingin mendengar kisah azab kubur. Tidak suka kepada cerita malaikat auditor mencatat baik dan buruk manusia. Muak mendengar ajaran malaikat mendera orang yang berdosa. Mereka ngeri dan tidak ingin mendengar ceramah - ceramah menerangkan kisah-kisah azab dalam kubur dan neraka.
Para lelaki peminat Islam liberal berminat mendengar ustazah pujaan mereka itu menceritakan tentang pahala dan syurga. Berapa banyak balasan pahala dari Tuhan atas wang dan harta yang mereka telah sedekahkan kepada anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, surau dan masjid. Betapa syurga yang indah menanti mereka. Para bidadari jelit menunggu mereka nanti.
- 2 -
“Wallah, wan nabi, setiap kali Ustazah tu berucap, ceramah atau tazkirah, memek mukanya, genyit sepasang matanya, gerak dua ulas bibirnya. liok lentuk tubuhnya,menggoncang jantung saya,”kata Dato’ Kassim bekas pegawai tinggi kerajaan yang dua tahun telah bertalak tiga dengan botol arak.
“Sungguh, jantung saya pun macam tu juga…, cantik, kalau dibandingkan dengan bini kita di rumah, jauh, jauh ..., dah macam antara permata dengan batu nisan kubur tua aje...,” sahut Encik Markum bekas pegawai Tentera Laut di Raja Malaysia.
Dato’ Kasim mengidap kencing manis dan burut. Encik Markum mengidap asma dan darah tinggi.
“Kasian Datuk Marican tak datang, kalau dia dengar cermah ustazah...,” kata Encik Markum.
“Dah lima bula dia lumpuh..., tak dapat bangun, itula, masa muda berjahat dengan bini orang...,” sahut Datuk Kassim yang tidak sedar percakaoannya itu dibenci Ustazah pujaannya itu.
“Kita ni jahat juga..., tapi kita pilih anak dara..., janda...,” kata Encik Kassim.
“Ialah, tapi Datuk Marican macam gajah jantan ...,”kata Datuk Kasim.
Mereka ketawa terkekeh-kekeh.
Walaupun Datuk Kasim dan Encik Markum menghidap sakit kronik, namun nafsu lelaki mereka masih seperti jentera jentolak. Kerana nafsu jantan menguasai peribadi mereka, maka, setiap kali mereka hadir dalam majlis ceramah Ustazah Syarifah Munirah, mereka merenung pendakwah wanita itu dengan mata nafsu berahi masing. Seperti merenung artis yang menyanyi dengan tubuh liuk lintuk atas pentas. Laksana menonton penari dedah perut dan pusat.
Orang yang warak, kuat iman, pengamal ilmu sufi dan tegar hati menyumpah dalam perut akan ustrazah menggiurkan itu. Mereka menganggap ustazah yang jelita dan menggiurkan itu kawan syaitan - syaitan betina. Perempuan yang menempah bala dalam rumah tangganya pada suatu hari nanti.
- 3 -
“Kita orang perempuan, kita bergelar isteri mesti pandai layan suami, belai suami, mesra suami, urut suami…, barulah kita menjadi isteri yang solehah,” kata Ustazah Syrifah Munirah.
“Suami kita, nak kita manjakan mereka, nak kita belai mereka, nak kita urut mereka…, kalau kita tidak layan hajat mereka, mereka akan hilang kasih kepada kita, mereka akan mencari orang lain jadi kawan kita ..., jadi madu kita…,”kata Ustazah Syarifah Munirah lagi.
“Puan-puan, adik-adik, nak bermadu?” Ustazah Syarifah Munirah bertanya.
“Tak nak, getik, meluat...,” suara wanita - wanita yang hadir menjadi satu.
“Bagus, bagus,” suara pendakwah itu menyambut suara mereka.
“…kami tentang poligami, ustazah!” sahut para wanita yang hadir.
Ustazah Syarifah Munirah ketawa. Dua ulas bibirnya merah laksana kuntum bunga mawar kembang pagi. Lesung pipitnya bersinar dipancar cahaya lampu.
“ …saya tak fikir ada seorang perempuan pun yang rela dimadukan, keran madu itu pahit ..., madu itu menjatuhkan status isteri..., walau pun dia permaisuri kepada seorang raja ...,” kata Ustazah Syarifah Munirah.
Ustazah Syarifah Munirah lepasan sebuah universiti seberang laut. Dia berdakwah macam orang bisenes juga. Mesti pandai jaga hati pendengar. Mesti setuju dan sokong akan emosi dan kehendak wanita-wanita yang hadir menentang poligami. Dia mesti jaga hati mereka. Bersetuju dengan kehendak mereka. Mesti menjaga hati mereka. Cara begitu akan menguntungkannya. Berdakwa begitu menjamin pendapatan yang lumaian.
“:Dulu, aku belajar tak siapa yang tolong, bapa, ibu aku yang tanggung, la ni aku mesti pungut duit, ganti balik duit orang tua aku tu,” hatinya berkata.
“Aku mesti cari wang sebanyak-banyaknya…,” kata hatinya lagi.
- 4 -
“ sebagai isteri, kita mesti pandai jaga badan. Makan jamu, berlangir dan berlulut…, supaya wajah kita, tubuh kita sentiasa cantik,” Ustazah Syarifah Munirah menasihati wanita-wanita yang hadir.
Ketika hatinya dibenak kegiatan syarikatnya mengeluarkan ubat-ubatan untuk kaum wanita, terlintas pula dalam ingatannya berbagai jenis tumbuhan menghijau yang boleh menjadikan tubuh wanita sihat, bertenaga lahir batin, cantik dan bernafsu. Tumbuh-tumbuhan kacik Fatimah, janda galak, emas cotek, colek murai, Haji Samad, cekor, lengkuas ranting, halia bara, tunjuk langit, janda galak, ubi jaga dan berjenis-berjenis tumbuhan lagi.
“Sambil berdakwah boleh promosi ubat...,” suara dalam otak Ustazah Syarifah Munirah.
Terlintas dalam otak Ustazah Syarifah Munirah untuk memproses belalang dewan untuk ubat kuat tenaga batin lelaki.
“Kena cari belalang dewa di gunung Lenggong, Perak, Cameron Highlands...,” bisik pendakwah berlesung pipit sebelah pipi itu.
*** ***
Ustazah Syarifah Munirah sering mengukur lebuh raya kehidupan dirinya bersama suaminya, Datuk Bukhara. Lelaki jantung hatinya itu seorang politikus. Ahli perniagaan terkenal. Orang kaya ria. Mereka bergelar suami isteri selama dua belas tahun. Tuhan telah mengurniakan kepada mereka tiga orang cahaya mata. Muhammad Mikail, 5 , Hanim az zahara 3 dan Hasanah Sofia 2 tahun.
Rahim Ustazah Syarifah Munirah laksana bunga delima kembang tengah hujan panans; lambat melekat bibit. Setelah dua tahun mereka merintih kepingin cahaya mata, barulah anak sulung mereka, Muhammad Mikail lahir ke dunia ini.
Seperti falsafah orang tua-tua Melayu; “manusia lapar hendakkan kenyang, dah kenyang henndakkan senang, dah senang hendakkan menang”.
- 5 -
Datuk Bukhara yang telah kenyang mahukan senang dan menang. Kerana nafsu meruntun dirinya, dia menerjunkan dirinya dalam arena politik.
“I nakkan sokongan, nak menang..., nakkan projek, I guna bomoh, I terpaksa sembah tok pekong, sembah tokong...,”Datuk Bukhara berbisik kepada rakannya, Politikus Mat Pilus.
“Sampai macam tu...?” Mat Pilus bertanya.
“Ia, kalau tak buat macam mana nak dapat, nak harapkan orang Melayu mana nak sokong saya, orang lainlah..., masuk tokonglah jawabnya,”jawab Datuk Bunkhara.
Mat Pilus ketawa.
“Tapi, ....you kena tolong I,” kata Datuk Bukhara.
“Tolong, tolong apa?” Mat Pilus bertanya. Hairan.
“Bukan apa, ....malulah I, dia tu orang alim...,” jawab Datuk Bukhara.
“O.K., kita sama-sama simpan rahsia..., you jangan bocor rahsia I kahwin dengan Yami tu,” kata Mat Pilus.
“Baik, mesti...,” sahut Datuk Pilus.
(6)
Malam Jumaat. Hujan lebat. Ribut kencang. Kilat sabung-menyabung. Petir bendentum dentam di sana sini, seperti akan membelah gunug ganang. Memusnah dunia ini. Datuk Bukhara belum pulang dari Masjid. Ustazah Syarifah Munirah nyenyak tidur atas katil bertilam empuk. Dua puntung kakinya mengangkang pada bantal panajang. Dengkur, bunyi gigi sama giginya bergesel mengocah sepi bening bilik itu. Air liur basinya melilih atas bantal berapon warna merah muda.
Sidang jemaah asyik mendengar tazkirah Ustaz Hanafi Al Hafiz. Datuk Bukhara menelan tangisnya sendiri di pejuru masjid. Jantungnya hampir terbakar bersama paru-parunya ketika mendengar suara Ustaz Hanafi Al Hafiz.
“...minta nombor ekor, nak jadi wakil rakyat, nak kaya, nakkan apa-apa aje, kalau sampai minta kepada penunggu kubur, hantu raya, jembalang..., sembah tokong..., murtad , jadi kafir musyrik...” jelas Ustaz Hanafi Al Hafiz.
“Dah mertad, balik ke rumah tak beritahu isteri..., bersetubuh..., dapat anak..., beberapa orang anak, semua anak itu, anak luar nikah, anak dari hasil zina..., anak haram...,” jelas Ustaz Hanafi Al Hafiz lagi.
Kata-kata mualim itu laksana ledakan bom buatan Iran pada tangkai jantung Datuk Bukhara. Hancur berkecai jantungnya seperti belulang, daging, tulang temulang Altantuya Shaariibuu di empangan, Puncak Alam.
“...suami atau isteri murtad ..., jadi kafir musyrik ..., tercerai dari isteri atau suaminya ..., Allah melarang orang mukmin kahwin dengan perempuan kafir musyrik..., perempuan mukminah kahwin dengan lelaki kafir musyrik...,”
Hati jantung Datuk Bukhara maraung. Melolong. Dia tahu. Insaf. Dirinya telah menjadi kafir musyrik. Perbuatan menyembah tokong dilakukan sebelum bibit anak Sulungnya berkembang dalam rahim isterinya.
“...aku dah lama tercerai dengan Pah..., aku berzina dengan my sweet hert..., anak-anak kami jadi anak haram..., Allahu Akbar...,”raung hati Datuk Bukhara.
Tazkirah Ustaz Hanafi Al Hafis hampir sampai ke hujung. Datuk Bukhara bangun payah. Dengan membungkuk tubuhnya dia berjalan di celah-relah sidan jemaah menuju ke pintu besar.
“Aku nak beritahu Pah, aku, dia dah bukan laki bini lagi, dah lama tercerai..., dah lama kami berzaina, ... semua anak kami, anak haram...,” suara hati Datuk Bukhara.
Sesal membungkus hati jantung Datuk Bukhara. Dai meredah dalam hujan lebat menuju ke keretanya, kereta mewah keluaran industri Yahudi.
“Allahu Akbar, Allaaaah...,”laung Datuk Bukhara sambil memandu keretanya dalam hujan ribut menuju ke rumahnya.
- 7 -
Pah, Paaah..., sayang, abang nak cakap, darling,”laung Datuk Bukhara lagi.
“Pah, kita dan bercerai..., kita dah tak jadi laki bini lagi...,” suara Datuk Bukhara parau.
Dari kotak rakaman dalam otaknya, berjela-jela cerita percintaan dia dengan Syarifah Munirah pada lebih tujuh tahun yang lalu. Pada masa itu dia berkhidmat dalam sebuah syarikat perdagangan antarabangsa. Di Tanta, Masir. Dia telah bertemu dengan gadis itu yang masih menuntut di sebuah universiti di sana.
Percintaan mereka itu menjadikan Sungai Nil menjerit. Menjerit duka kerana mahasiswa Syarifah Munirah dan kekasihnya ditipu syaitan tua. Syaitan Firaun. Mahasiswi itu telah menyerah kalah kepada kekasihnya. Mahkotanya kopak, koyak dan rabak dik kerakusan kekasihnya, seorang pemuda berpelajaran tinggi.
Jalan raya terbenam dalam air hujan. Tiba-tiba bagaikan setimba air menerpa kaca depan kereta Datuk Bukhara. Dia hilang arah. Kereta meluncur payah dalam air yang membanjiri jalan raya tersebut. Seperti kekasih dengan kekasih keretanya mencium sebatang pokok akasia, di tepi jalan. Berdetum. Bunyi raung Datuk Bukhara tenggelam dalam deru injin keretanya dan dentuman bunyi petir .
Mulut Datuk Bukhara menjadi pintu alur darah dari ususnya. Dua kalimat syahadat tidak dapat diucapkan. Hatinya tertutup dari mengucap kalima-kalimat mulia pada detik-detik nazaknya itu.
“...share..., my share, duit..., harta aku...,” hati Datuk Bukhara bersuara.
“... projek lebuh raya..., Rancangan 1 Malaysia...., kaya..., kaya...,” hatinya melaung.
“Berapa banyak pegawai nak rasuah, nak duit, nak apa..., aku bagi..., tak bagi melapaaas,”suara hati Datuk Bukhara menerjah mindanya.
Syaitan-syaitan jantan dan betina mengelilingi Datuk Bukhara. Mereka ketawa berdekah-dekah kerana manusia yang baru terpisah dari nyawanya itu telah masuk perangkap mereka.
Pada waktu itu, syaitan - syaitan itu seperti Allah nyatakan salam Quran, surah al Hasyr (16), “Sesungguhnya aku brlepas daripada kamu, keran asebenarnya, aku takut kepaada Allah...”
- 8 -
Dalam kereta yang masih hidup enjin dan semua lampunya masih menyala dalam hujan lebat, nyawa Datuk Bukhara direntap malaikat maut dari tubuhnya. Tubuhnya tanpa nyawa tersandar longlai atas tempat duduk keretanya.
Darah dari mulut Datuk Bukhara tumpah dan membanjiri hamparan di bawah dua puntung kakinya yang lesu. Di luar hujan masih lebat. Bumi sekitarnya menjadi banjir kecil.
Dalam mahligai di pinggir bukit, Ustazah Syarifah Munirah masih nyeyak tidur. Dua puntung pehanya masih mengangkang dan sebatang pahanya terlanggong atas bantal panjangnya.
(habis)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.