Friday, April 26, 2013

KHUTBAH JUMAAT

PRINSIP KEIMANAN YANG TINGGI

”Ditegah daripada melaksanakan sesuatu
tanpa merujuk kepada syariat Islam 
terlebih dahulu.” 

Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Maka pembentukan dan pemilihan seseorang pemimpin itu ditentukan melalui proses yang dipanggil demokrasi melalui pilihanraya. Pemimpin yang dipilih dengan jumlah majoriti, bertanggungjawab memegang amanah sebagai wakil kepada rakyat yang memilihnya.
Sistem ini memberi hak dan kuasa kepada rakyat dalam menentukan masa depan dan martabat negara sentiasa dipelihara di bawah kerajaan yang mereka yakini mampu mengurus, mentadbir dan membangunkan negara serta memastikan kedaulatan agama terus terpelihara.
Pastikanlah pemimpin yang bakal dipilih itu ialah orang yang boleh dipercayai, amanah, berilmu, mampu melaksanakan kewajipan untuk mentadbir negara. Ini bertepatan dengan ingatan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Bahawa agama Islam telah meletakkan prinsip keimanan yang tinggi kepada Allah SwT sebagai asas utama dan mengangkat manusia sebagai khalifah. Jelasnya, amalan-amalan di dalam demokrasi itu hendaklah sejajar dengan anjuran Islam yang merujuk kepada al-Qur'an dan as-Sunnah.
Dalam konteks ini, kita sebagai khalifah ditegah daripada melaksanakan sesuatu tanpa merujuk kepada syariat Islam terlebih dahulu agar mendapat keredhaan Allah SwT di dunia dan akhirat. Firman Allah SwT di dalam surah al-Araafayat 3:
“Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu, dan janganlah kamu menurut pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”
Dalam pelaksanaan sistem demokrasi ini, Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik kepada kita. Demokrasi yang didukung oleh Rasulullah SAW tidak pernah mengenepikan hak rakyat selagi tidak bertentangan dengan Islam. Manakala isu-isu berkaitan pentadbiran dan yang ditetapkan oleh syariat diselesaikan melalui musyawarah di kalangan ulama’ dan umara’.
Demokrasi menunjukkan wujudnya kesepakatan antara rakyat dan pemerintah yang dipilih dalam menentukan masa depan mereka dan cara sebegini menghindarkan rakyat daripada tersalah pilih pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan mengakibatkan mereka menjadi umat yang lemah dan menderita pada masa hadapan. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 9:
Maksudnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang yang jika ditakdirkan mereka meninggalkan anak-anak yang daif di belakang mereka akan merasa bimbang terhadap anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul.”
Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya pemerintah yang dilantik itu berkemampuan, bertanggungjawab, menepati janji serta berlaku adil terhadap rakyat.*

* Sedutan khutbah Jumaat, di Masjid Putra, Putrajaya, Pada hari ini, yang
dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia -JAKIM

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.