Friday, August 17, 2012



TERKENANG


                                  IBUKU MENANTIKU DI SHYURGA
                                                     (3)
                                  TAHU BAHASA BURUNG PIPIT
                “ Mereka makan ubat dari daun- daun dan akar-akar kayu dari hutan, tak masuk hospital, tak ada yang makan ubat doktor, …tak telan vitami.”
               “Benar, Cikgu, ... betul, Cikgu.”
               “Emak saya barut perut dengan ubi gadung,” laung seorang murid lelaki.
               “Emak saya, ...gila meroyan, Cikgu,” laung seorang murid prempuan yang duduk di sebelahku.
                Wajah Cikgu Sharif hilang dari otakku kerana dibaolan oleh suara ibuku, “… kami nak hantarmu mengaji di sekolah agama, sekolah Arab…, madrasah Nurul Anuar.”
“Ia,emak,”sahutku.
                 “...ada sekolah, ... madrasah Al Huda, Madrasah Ihasniah, madrasah Al Masyhur, ...Al Attas, Addiniah...,” kata ibuku.
             Aku senyum menatap wajah ibu.Wajahnya, wajah wanita tani yang takwa kepada Allah. Ibuku menjadi petani sepenuh masa.Penternak kambing,ayam dan itik. Ibuku tahu bahasa burung-burung pipit dalam sawah,tekukur dan ketitir di belukar. Suara dan ragam lotong kakah di hutan rimba..
“…burung pipit, ketitir, kambing, ayam, itik selalu sebut nama Allah, emak tahu…,”kata ibuku kepadaku pada suatu hari.
“Ayam jantan berkokok, kata, uzkurullah ya ghfilun, ingatkan Allah hai orang-orang lalai,” ibuku berkata seperti mengajar bahasa  Arab kepadaku.
Ibuku tak pernah belajar di mana-mana sekolah. Dia buta huruf Rumi tapi tidak buta huruf Arab atau huruf Jawi. Dia boleh membaca dari alif hingga ya. Boleh membaca fatihah, ayat-ayat lazim, surah Yasin hingga semua ayat-ayat Quranul karim.
Dari celah dua bibir mulut ibuku sering tercurah kalimat- kalimat  bismillah, Allahu Akbar, al hamdulillah,astaghafirullahal Azim dan berapa kalimat pendek lagi.
Ibuku mengaji ilmu agama Islam,seperti ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf  pada tuan-tuan guru   di kampungku, Lebai Salleh atau ayah Leh dan Haji Nawawi Muhammad atau Tuan Cek Wi janggut merah.
“…tuan Cek Wi kata, anak-anak kalau belajar bahasa orang putih,tak mengaji agama Islam dulu, tak kenal Nabi Muhammad,tak pandai mengucap dua kalimat syahadat, …kenal nabi Isa,… tapi nabi Isa palsu,”kata ibuku.
“Ayah Leh kata, banyak anak orang Arab,Turki, Serani,jadi kafir kerana belajar bahasa orang putih,tak belajar agama Islam dulu,” Ibuku.
Ibuku mengucap  istighfar di hujung perkataannya.
“Emak tak emboh mu jadi macam anak Tuan Kadi, Haji Mat Jais  tu, anak jantan dia,kecil lagi dah hantar belajar di negeri orang putih, tak mengaji agama Islam dulu…,” kata ibu dan dua biji matanya yang bersinar dalam cahaya pelita minyak tanah itu menatap wajahku.
Aku senyum kepadanya. Aku akur dengan kata-kata ibukuj itu.
“…anak tuan kadi tu, dah tamat belajar di negeri orang putih,…bawa balik betina orang putih,”ibuku bercerita.
“Malam-malam menari di kelab,…minum arak, di rumah demo ada bela anjing,…anjing duk dalam rumah, duk bawa kerusi, bawah katil…,”kata ibu dengan tujuan menanamkan ajaran yang difahaminya kepadaku.
Ibu merenung kepadaku dengan perasaan seorang ibu yang warak.
“…bila mu dah pandai bahasa Arab,dah ada ilmu agama Islam,tak apa mengaji bahasa Inggeris…,”kata ibu sambil bingkas bangun dari atas tikar mengkuang.
Pendapat ibu, bapa, datukku dan tuan Cek Wi tak sama dengan pendapat guru besar sekolahku, Cikgu Yeop Nordin.Dia mahu murid-muridnya masuk sekolah Inggeris,belajar bahasa Inggeris,pandai cakap Inggeris dan tak perlu  belajar ilmu agama Islam.
“…engkauma belajar agama,belajar bahasa Arab,tak boleh cari makan,…jadi drebar orang, jadi kuli, jadi tok siak masjid bolehla,…belajar bahasa Inggeris boleh jadi D.O., jadi Hakim…,  jadi kerani kereta api, kerani tuak, jadi apa-apa lagi,…gaji besar.”kata cikgu Yeop Nordin.
“Anak saya, Muin tu, saya nak hantar ke sekolah Anderson di Ipoh,” Cikgu Yeop Nordin berkata dengan wajahnya yang bongkak.     
Pada masa aku belajar dalam darjah satu, Cikgu Yeop Nordin telah mengajar dalam darjah itu. Dia mengajar aku dan murid-murid lain, iaitu, ‘…ular mematuk,ayam jantan berkuku,ayam betina berketuk,ketam menyepit.’
Cikgu Yeop Nordin  mengajar kami berpantun. Di sebalik erti pantun itu ada  kelucahan, iaitu:                                  
                                Buai laju-laju,
                                sampai balik sana,
                                 apa dalam baju,
                               kuntum bunga sena.
Pada malam itu, ibuku dan aku bercakap dalam keadaan mesra dan manja. Dia aku hidup pada masa depanku berilmu pengetahuan duniawi dan akhirawi. Hatinya membungkus harapan agar aku menjadi seorang anak yang soleh. Sepanjang hayatku senantiasa mendapat keredaan Allah dan diberkati oleh-Nya pula.
“…emak tak nak mu jadi anak Cina hisap candu,anak orang India minum tuak,”pesan ibuku di hujung percakapan kami.
Di kaki tangga terdengar gayung bertingkah dengan guri. Ayahku baru pulang dari surau. Dia sedang membasuh kaki dengan air dalam guri di kaki tangga.
Assalamu alaikum,”suara ayahku memberi salam.
Kami menjawab salamnya dengan penuh mesra.

*    Dipindahkan dari novel,(2005 -1426)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.