Wednesday, August 29, 2012



KISAH DARI NOVEL
   (8)
KASIH IBUKU

BERKONGSI LELAKI BERNAMA SUAMI

Mahani juga telah jatuh hati kepada ayahku. Dia tertarik hati kepada ayahku kerana ayahku ada banyak ilmu agama Islam, baik budi bahasanya, sikap jujur dan suka menolong orang-orang kampung yang memerlukan pertolongannya.
Mahani tidak mahu bersikap telaga mencari timba. Biar timba mencari telaga. Kalau sudah tiba  masa timba mencari timba dan hati masing- masing saling cintai mencintai, Mahani akan datng menemui ibuku untuk meminta keizinan darinya.
 Bagi Mahani, hendak mengambil buah belimbing orang kena meminta kepada tuannya, inikan pula hendak mengambil suami orang; kenalah meminta izin kepada isterinya. Kalau tidak berbuat demikian akan dikata orang dirinya merampas suami orang.
Semenjak pada malam peristiwa beruk jantan mengganggunya,hati Mahani sentiasa teringatkan ayahku. Sesungguhnya dia mencintai ayahku. Dan sesungguhnya ayahku mencintai dirinya.
Pada suatu petang, Mahani telah berkunjung ke rumah ibuku. Dia datang menggonggong hajat. Dengan seketul hati  wanita yang tegas dan berani  demi cintanya kepada bapaku. Dia ibarat pahlawan sejati yang datang tanpa senjata,hanya berbekalkan budi,datang menemui pahlawan yang belum tentu akan boleh menjadi kawan atau musuhnya.
DATANG TIDAK DIUNDANG
Mahani duduk bersimpuh di hadapan ibuku. Dua biji matanya merenung wajah ibuku. Hatinya memohon ihsan dari perempuan ayang baik budi itu. Ibarat orang meminta ubat dari dukun; pertama kali meminta, harap-harap jampi serapahnya mujarab dan penyakit dalam tubuhnya segera sembuh. Dia datang tidak diundang. Datang bukan meminta makanan atau emas dan berlian, tetapi meminta sekelumit budi agar merelakan suami sendiri menjadi isteri orang lain. Rela perempuan yang bergelar madu berkongsi lelaki bernama suami dengannya.
“…kak,…Ani datang ni ada hajat,”kata Mahani kepada ibuku.
“Hajat? Ai, nak kendurike, aaa…?”ibuku bertanya sambil senyum. Mesra.
“Tak,…tapi lain,”jawab Mahani.
“Besar benarkah hajat tu, Ani?” Tanya ibuku.
“Ia,kak, besar hajat Ani ni,…a…,a…,a, Ani nak minta izin dari kakak, Ani ,nak menikah dengan abang  Radzi, suami kakak,”tegas Mahani.
Ibuku senyum. Ibuku merenung wajah janda muda di hadapannya. Hatinya ikhlas kepada perempuan itu. Berkembangan bebunga syukur kepada Allah dalam hatinya.
“…kak syukur kepada Allah, al hamdulillah kerana Ani sudi menjadi adik kakak, sudi menerima abang Radzi jadi suami Ani,”kata ibuku.
“…al hamdulillah, terima kasih kak,” kata Mahani.
Air mata jernih kerana gembira melimpah dalam dua lubuk matanya Mahani. Dia membiarkan air matanya itu luruh ke atas pahanya.
“Kakak rasa, …ialah,  nilah satu ibadat kakak kepada Allah, satu pengorbanan kepada suami kakak,abang Radzi,”kata ibuku sambil senyum.
“Ia,kak,”kata Mahani.
Ibuku memagang tangan kanan Mahani dengan kedua-dua puntung tangannya. Di pegang erat-erat dua puntung tangan berkulit lembut itu.
“Ani, abang Radzi dan beritahu kakak,…dia nak ambil Ani jadi isterinya,”kata ibuku.
“Ia,kak,”sahut Mahani.
“Kak beritahu abang Radzi, biar kakak yang pergi pinang Mahani,”kata ibuku lagi.
“Ia,kak?”Mahani bertanya.
Ibuku mengangguk. Hatinya Ikhlas.
“Ani, Allah benarkan orang  lelaki,…ialah ada isteri lebih dari satu orang, dalam Quran ada sebut, kalau kita tegahke, larangke suami kita madukan kita, berdosa kerana kita derhaka, kita buat lain dari Allah izinkan,…kita tentang hukum Allah,”kata ibuku seperti memberi ceramah agama  kepada Mahanai.
“Ia,kak,”sahut Mahani.
Sambil melepaskan dua puntung tangan Mahani dari pegangan dua puntung tangannya, ibuku berkata, “Kakak minta,…Ani dapat jadi adik kakak, kita sama-sama jaga abang Radzi, kita taat kepadanya,…dah jadi wajib bagi kita,”kata ibuku dengan suara yang lembut.
“Ia,kakak, Ani mengaku, kakak, …Ani anggap kakak ni kakak Ani dari dunia hingga ke akhirat,kak,”katanya Mahani dengan hati yang murni lagi tulus.
“Tak apa, insya Allah pada hari Isnin minggu depan, kakak akan  pinang Ani,”kata ibuku.
LELAKI YANG BAIK BUDI
Ibuku senyum. Mahani senyum. Hati ibuku gembira kerana akan dapat menunaikan hajat suaminya. Hati ibuku berbungkus dalam kegembiraan, kerana dia mempunyai suami yang sanggup membela seorang janda yang telah lama kekeringan nikmat kehidupan sebagai seorang isteri. Mahani gembira kerana ibuku sudi menerimanya sebagai madunya. Tuhan dengan kehendak-Nya, Mahani akan dapat menumpang berteduh dan berpayungkan  seorang lelaki yang  baik budi.
“…ginilah,Ani, bila Ani dah jadi isteri abang Radzi, tunaikan tanggungjawab Ani, …Ani  isteri dia. Jangan ingkar, jangan melawan,…kita ni isteri, …milik suami kita dari hujung kaki hingga hujung rambut,” ibuku berkata dengan jujur.
Mahani tunduk. Percakapan ibuku didengar dengan teliti. Akan diturut semua nasihat bakal madunya itu. Pada waktu itu Mahani seperti seorang penganut agama, di hadapan paderi dalam bilik gereja.
“Kalau ikut dalam Quran, ‘isteri-isteri kamu itu ladang kamu,oleh itu usahakanlah ladang kamu sebagaimana kamu suka’[1]. Kakak ni ladang abang Radzi, bila Ani menikah dengan dia,Ani juga ladang dia,” kata ibuku seperti seorang ustazah layaknya.
“Ia, kak,…kita ladang, kak, …demi Allah, Ani tak akan derhaka kepada abang Radzi, kak,” Mahani berkata dengan wajahnya yang serius. Ada cahaya kejujuran pada wajahnya.
“Eloklah kalau begitu,”sahut ibuku.
Percakapan mereka berdua terhenti. Suara ayahku memberi salam di kaki tangga. Degup jantung Mahani seolah-olah mengopak-ngopak dinding dadanya.*

*  Dipindahkan dari novel Kasih Ibuku, oleh: Mokhtar Petah


[1]  Al Baqarah: 223

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.