KISAH DARI
NOVEL
(7)
KASIH IBUKU
Malam itu kampung Kembang Semangkuk
kedinginan. Semenjak tengah hari lagi hujan turun mencurah-curah. Dedaun di
pepohon berterbangan dibawa angin dan dibasahi oleh air dingin. Daun - daun
kembang semangkuk yang selebar tapak tangan lelaki sasa dan buah-buahnya yang
bersayap seperti burung layang-layang itu berterbangan dan luruh ke bumi di
sekitar kampung hingga ke permukaan sawah padi di sebelah timur.
“Abang, tak usah minta mak Munah, …Ijah
ada, Ijah boleh gi pinang Mahani tu,”ibku berkata kepada ayahku dengan hatinya
yang tulus.
“…ia, Ijah, ia…?” tanya ayahku.
“Ia,…benar, bang,”jawab ibuku. Senyum.
“Sanggupke, Ijah?” ayahku bertanya.
“…ngapa tak sanggup? Abang ingat Ijah
tak suka abang madukan Ijah?,”ibuku bertanya.
Ayahku sengeh. Hati lelakinya kembang
bagaikan bunga bakawali kembang pada waktu subuh.
“Kerana abang, kerana suami, jangankan
gi pinang Mahani, pinang puteri raja pun Ijah sanggup, bang,”jawab ibuku dengan
ikhlas.
“Eh, sampai macam tu sekali,”kata ayahku
sambil melilitkan lengan kanannya kepinggang ibuku.
Ibuku geli geleman.
“…kan Ijah dah kata, kerana abang,
…kerana abang berenang dalam lautan api pun Ijah rela,bang”tegas ibuku.
Ayahku sengeh lagi. Senyumnya memanjang
bagaikan pantai yang sayup mata memandang. Hatinya menari bersama perasaannya
yang dibungkus kegembiran. Hatinya bertaut dengan rasa nafsu lelakinya. Hatinya
berjalin dengan cinta terhadap ibuku. Hati lelaki membara cintanya kepada bakal
isterinya, Mahani.
Lengan kanan ayahku bertambah erat
membelit pinggang ibuku. Perempuan yang berpengalaman dalam penyerahan cinta
kasih suaminya itu arif benar akan hajat
suaminya pada waktu itu. Dia juga sedang dilambung oleh gelora berahinya sendiri.
Bagai pengantin baru ibu dan ayahku
berpelukan di atas tilam gebu dari kapuk kampung. Malam terlalu dingin. Hujan
mencurah-curah turun. Ibukuku lemas dalam kedinginan dalam pelukan ayahku.
Ayahku seorang lelaki sejati yang diwarisi dari para nabi dan datuk neneknya.
Malam amat dingin. Bunyi air hujan yang mencurah turun atas atap rumah ayah dan ibuku dan mengalir
lalu mencurah dan terjun ke bumi. Bunyi
air dan atap telah menenggelamkan segala
bunyi pada waktu itu. Buah- buah kembang semangkuk yang berterbangan dalam hujan lebat itu menjunam ke dalam kubang dan telaga yang
berkocak airnya di tengah sawah
*** ***
Mahani janda muda. Usianya baru menjengkau 24 tahun. Dia
tidak mempunyai anak Hati nuraninya penuh dengan perasaan cinta dan kasih
sayang yang perlu dilimpah ruahkannya kepada lelaki bakal suaminya. Dia
memerlukan seorang lelaki untuk teman hidupnya.
Suami Mahani seorang lelaki keturunan Bugis
telah menghilangkan dirinya entah ke mana. Selama tiga tahun dia terkekang
dalam penderitaan batin. Dia tidak mengetahui di mana belukar dan hutan lara
tempat suaminya bersembunyi. Hati muda dan nafsu mudanya mendesak dia bertindak
menuntut talak dari suaminya. Dia tidak sanggup memaksa dirinya dalam keadaan
‘makan hati berulam jantung’. Demi Allah dia tidak terdaya membiarkan nafsu
berahi perempuan mudanya kekeringan laksana dedaun bertaburan di tengah padang
pasir tandus.
Mahani seorang perempuan yang ada
pengetahuan agama Islam. Dia lebih yakin bertindak mengikut syarak dapat
manfaatkan dirinya sebagai seorang wanita daripada mengikut hukum adat yang
sana sini ada lapuknya dan ada maksiatnya. Kerana ada catatan taklik di
belakang sijil nikah dia dan suaminya,maka Mahani telah mendapat kebenaran
bercerai taklik dengan suaminya dari pejabat kadi.
Kadi yang berusia hampir bersara itu
berkata kepadanya, “ Orang perempuan muda macam kamu ini,tak usah membiarkan
diri jadi macam buah nangka disumpah beruk, masak tidak,gugur tidak,hanya
tergayut kering di dahan.”
“Saya ni tuan, kerana ada sekelumit ilmu
agama,sekadar tahi udang atas kepala, nipis sangat iman kepada Allah, macam
kulit bawang kering, kalau tak…, dah lama saya ikut nafsu saya entah ke
mana,”balah Mahani kepada kadi itu.
Mahani yang berlesung pipit dan dua bola
matanya laksana bintang kejora, bergelar janda muda.
Dia menjadi guru sukarela mengajar kanak-kanak
kampung Kembang Semangkuk mengaji Quran, fardu ain dan ilmu akhlak.
Ayahku kenal Mahani dan Mahani kenal
ayahku. Mereka sama-sama hidup dalam sebuah kampung tradisi orang Melayu. Mereka
hidup dalam rukun jiran tetangga dan gotong royong. Berat sama dipikul ringan
sama dijinjing.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
segala-galanya. Pada suatu malam orang - orang tetangga menjadi gempar.
Beberapa orang daripada mereka itu mendatangi ayahku di rumahnya. Mereka
meminta tolong kepadanya untuk menangkap seekor beruk jantan yang sedang
mengintai janda muda, Mahani, di atas
bumbung rumahnya.
Beruk jantan itu dibela oleh Lebai
Manap. Dia menjadikan haiwan itu sebagai hambanya untuk memanjat pokok kelapa
dan mengambil buah-buahnya., Mengambil buah petai dan mencari siput dan gondang
dalam sungai. Entah bagaimana, pada petang tadi rantai besi yang mengekang leher beruk dan di kunci pada
sebatang kayu di belakang rumahnya telah
putus.
“Eh, takkanlah beruk tu tau Mahani tu
janda atau tidak,” kata ayah kepada orang-orang kampung yang datang menemuinya.
“Beruk ni macam kita juga,abang,”
sahut seorang dari mereka.
“…beruk jantan pun macam kita juga,
abang, tahu mana betina cantik, mana tak cantik,”kata yang seorang lagi.
Ayahku senyum.
Mereka ketawa. Bunyi tawa mereka
mengocak kesunyian kampung kembang Semangkuk.
Dalam perjalanan ke rumah Mahani, hati
ayahku terlontar kepada satu hari pada bulan Muharam kira – kira tiga bulan
yang lalu. Mahani telah datang bertandang ke rumahnya. Dia telah makan tengah
hari bersama ibu dan ayahku.
Kedatangan Mahani ke rumah ayahku kerana
dia meminta ayahku menolongnya, iaitu memberi beberapa petunjuk kepadanya untuk
dia menjawab soalan dalam peperiksaan mendapatkan tauliah mengajar agama
Islam di pejabat agama. Mahani telah
mendapat tahu,iaitu beberapa orang agama di sekitar mukim dalam daerah kami
telah berjaya mendapatkan tauliah mengajar agama Islam setelah mereka
mempelajari siluk belok menjawab soalan dalam peperiksaan.
Semenjak hari itu juga ibuku terasa amat
mesra dengan Mahani. Dalam hatinya
terpendam rasa kasihan kepada perempuan muda lagi jelita yang hidup
tanpa suami itu. Ibuku sanggup bermadu dengan Mahani sekiranya bapaku sudi
menerima janda muda untuk menjadi isterinya yang kedua.
Ibuku sering berdoa dalam hatinya kepada
Allah; mudah – mudahan Allah memakbulkan doanya. Allah membuka hati suami
supaya bernikah dengan Mahani. Bagi ibuku, jika dia menerima Mahani menjadi
madunya, bererti dapat melakukan sejambak ibadat kepada Allah.
Sebaik-baik sahaja ayahku tiba di kaki
tangga rumah Mahani, dia mendengar suara Mahani menjerit ketakutan. Sementara
atas atap rumahnya – atap dari daun rumbia kering,seekor beruk jantan bertaring
panjang sedang merengek-rengek dengan nafsu berahinya kepada janda muda itu.
Kerana ayahku ada kepandaian memujuk beruk, iaitu dengan
membaca sepuntung ayat Quran, “Dengan
nama Allah yang Pemurah dan Penyayang. Dan sesungguhnya kamu mengetahui mereka ayang melanggar aturan di antara kamu
pada hari Sabtu, kerana itu kami kata kepada mereka: hendaklah kamu menjadi monyet yang dibenci orang[1]( Al Baqarah: 65)”. Maka lebih kurang lima belas minit ayayhku
berjaya menangkap beruk itu. Beruk tersebut diserahkan oleh ayahku kepada lebai
Mana.
“Jaga baik-baik beruk ni, lebai,
binatang ni macam manusia juga, tahu perempuan cantik atau tidak,”kata bapaku
kepada Lebai Manap.
“…baiklah,abang,” sahut Lebai Manap lalu
dirantai leher beruknya itu dengan rantai besi yang baru.
“Orang bela gajah kena jaga kosanya,
bela beruk kena jaga rantainya,”tambah ayahku.
“Ia,abang,”sahut Lebai Manap lalu pergi
dalam malam hitam.
Beberapa orang kampung itu mengelilingi
ayahku.
Mahani turun ke tanah. Dia kelihatan
termengah-mengah. Penat. Dia terlalu takut kepada beruk jantan itu.
“…mujur abang ada, kalau tak, tahulah
Ani,bang,”kata Mahani kepada ayahku.
“Tak pa, beruk aja,Ani,”kata ayahku
pula.
“Beruk jantanlah yang Ani takut…,”kata
Mahani agak tersipu-sipu.
“Kalau orang agaknya Ani tak takut,”kata
Wahab, bilal surau di kampung itu.
“Orang tak apa. Orang ada akal, Ani tak
takut,”sahut Mahani.
Mereka sama-sama ketawa.
Semenjak peristiwa beruk jantan mengacau
Mahani itulah hati ayahku terpaut kepada janda muda itu. Dia ingin berkahwin
dengan Mahani. Tetapi dia perlu memaklumkan kepada ibuku.Kalau ibuku setuju dia
berkahwin dengan Manani, barulah hajatnya akan dilaksanakan. Kalau ibuku tidak
setuju, dia akan membatalkan niat sucinya itu.*
*
Dari novel ‘Kasih Ibuku’, oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.