TERKENANG
ULAMA REDORMASI
Pada pertengahan bulan Januari 1954, aku bersama dua orang rakan sekolahku, dengan menggatih basikal masing-masing telah melawat ke berapa tempat di negeri Kedah dan negeri Perlis. Lawatan kami ke sana kerana mencari pengetahuan dan pengalaman.
Kami telah melawat Istana Sultan Kedah, sekolah agama Ma’ahad Mahmud, di Alor Setar dan beberapa tempat di sana, termasuk rumah bapa Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami telah menumpang tidur di bilik sewa Fuad yang bersamaku telah menjual julap cacing kerawit seperti yang telah aku ceritakan.
Pada esok paginya kami telah melawat ke Pokok Sena dan ke Kuala Nerang. Di sana kami telah melawat rumah Tunku Abdul Rahman. Dari sana kami telah pergi ke Jitra dan melawat ke sekolah Ma’ahad Ehya Al Ulumnud Diniyah, Tanjung Pauh. Di sekolah itu kami telah di jamu makan tengah hari oleh Mudirnya, Haji Abdullah Abbas Nasution.
Di Negeri Perlis, kami telah melawat istana Raja Perlis dan sekolah agama Alawiyah, di Arau. Di Kangar kami telah bertemu dengan seorang ulama terkenal, Sheikh Abu Bakar Ashaari. Dia adalah salah seorang dari alim ulama yang dianggap ’kaum muda’ di Tanah Melayu pada masa itu.
BID'AH
Sheikh Abu Bakar Ashaari bersama beberapa orang alim ulama di negeri Perlis telah melakukan reformasi terhadap amalan-amalan dalam agama Islam, di antaranya mengenai masalah as Sunnah, amal ibadat, bida’ah, taqlid dan sebagainya.
Kerana reformasi beliau dan alim ulama lain, umat Islam di negeri Perlis telah menjalankan amalan dalam agama Islam mengikut mengikut al Quran dan as Sunah (mengenepikan amalan bermazhab).Tetapi setelah sebuah bukunya, ’Ibadat Rasulullah’, diterbitkan pada tahun 1955, maka fatwa dan amalan beliau telah mendapat tentangan dari kalangan ulama yang mengikut mazhab yang empat, di seluruh tanah air.
’Abu Bakar Ashaari dilahirkan pada tahun 1903 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Selepas menuntut di Sekolah Melayu Chowrastar hingga darjah lima, beliau melanjutkan pelajarannya ke sekolah Anglo Chinese School, Pulau Pinang. Bagaimanapun beliau menukar alirannya dengan memasuki pula Madrasah al Masyhur. Dan pada tahun 1925 hingga 1932 beliau meneruskan pengajiannya di Universiti al Azhar, Mesir.
Ketika berada di Mesir pada tahun 1928 beliau dilantik sebagai pengarang majalah Seruan Azhar yang diterbitkan oleh pelajar-pelajar Melayu-Indonesia. Bersama-sama dengan Abdul Kahar Muzakkir (yang kemudiannya menjadi profesor terkenal di Indonesia) beliau menubuhkan persatuan pelajar Melayu-Indonesia yang bernama ’Jami’ah al Khairiya’. Dan dari tahun 1930 hingga 1932 beliau yang menjadi pengerusi persatuan tersebut. Beliau juga pernah mewakili persatuannya ke Muktamar Islam di Jurusalem, Palestin.
UMNO
Sekembalinya ke tanahair beliau mengajar di Pulau Pinang di samping menulis dalam akhbar Saudara. Melalui inisiatif ’Tiga Mat’ tersebut beliau dibawa ke Perlis pada tahun 1936 dan dilantik sebagai Imam Besar Majis Alawiyah Kangar. Dalam Jawatankuasa Zakat dan Fitrah beliau juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasanya. Sebenarnya beliau juga terkenal sebagai pengarang yang politik lagi tajam penanya.
Dalam perjuangan politiknya beliau pada mulanya juga seorang penyokong UMNO. Tetapi sejak tahun 1956 beliau menjadi ahli PAS dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama Pas Perlis pada awal 1960-an.Sheikh Abu Bakar Ashaari kembali ke rahmatullah pada 6 April 1970 di rumah anaknya, di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Lawatan kami yang akhir ialah ke Pulau Langkawi. Kami telah bermalam di surau di Padang Mat Sirat. Pada malam itu kam telah dijamu nasi dengan lauk kari daging, ikan bakar dan ikan pekasam oleh imam surau itu.
Pada masa itu, aku mendapati masih ramai penduduk-penduduk Islam di pulau itu percayakan tahayul, penunggu dan melakukan perkara-perkara bida’ah dalam ’mengamal ibadat’ dan kehidupan seharian. Di antaranya masih mengamalkan melinggang perut bagi perempuan ’bunting sulung’, menjamu di tasik Dayang Bunting, bersemah dan perbuatasn-perbuatan bersifat percaya kepada apa yang dikatakan keramat dan berkuasa lain dari Allah.
Di satu kawasan di sana, terdapat banyak pasir hitam seperti beras hangus. Pasir itu sejenis galian yang berharga, tetapi penduduk-penduduk di pulau itu percaya sebagai ’beras terbakar’ yang ada hubung kait dengan cerita Mahsuri. Galian yang berharga itu telah diangkut oleh orang-orang dari Siam dengan perahu dan dibawa pulang ke negara mereka untuk tujuan perniagaan.
Di kampung Kuah, kami telah menemui seorang bomoh lelaki yang telah tua, aku telah memanggil namanya Pak Itam, kerana dia memakai pakaian serba hitam.Dia tidak mempunyai isteri dan tinggal, di sebuah rumah, di hujung kampung itu.
Menurut cerita bomoh itu kepadaku, dia berasal dari sebuah kampung dalam kawasan Baling. Dia boleh menggunakan jampi dan ubat ramuannya, untuk menjadi suami tunduk kepada isterinya, anak gadis lambat kahwin akan segera dilamar orang. Setiap orang perempuan termasuk gadis-gasdis yang datang berubat kepdanya, dikenakan pengkeras’ selain dari wang lima suku, iaitu satu ringgit dan dua puluh lima sen (boleh beri lebih), pisau lipat dan sehelai kain hitam panjang lima hasta. Mereka itu dikendaki bermalam dengannya sekadar satu malam. Kalau tidak mahu melakukan demikian, ilmunya tidak menjadi.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan
Paruh, (belum), oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.