REVOLUSI TUNTUT KEMERDEKAAN BRUNEI
Semua anggota Parti Rakyat Brunei (PRB)dan penyokong mereka yang telah melakukan revolusi menuntut kemerdekaan Berunei pada 8 Desember 1962, telah ditangkap dan ditahan oleh askar dan polis Kerajaan Inggeris pada hari tersebut dan telah dikurung dalam khemah Tahanan Politik, di Barakas, Brunei. Pemimpin mereka A.M. Azahari telah berjaya mendapat suaka politik dari pemerintah Republik Indonesia.
Pada 12 Julai 1973 semua tahanan politik itu telah berjaya melepaskan diri masing-masing dengan sebuah bot laju ke Malaysia Timur, Sabah. Mereka telah diberi suaka politik oleh Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein.
Khemah Tahanan Barakas pada masa itu dibawah kuasa seorng suprintendent (penguasa) bangsa Inggeris dan Timbalannya, suprintendent, Raja Azlan bin Raja Ngah Ali, berasal dari Kuala Kangsar dan telah lama bersahabat denganku, iaitu pada masa dia berkhidmat di penjara Batu Gajah. Dia seorang nasionalis Melayu anti British dan bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Raja Azlah dari keluarga Sultan Perak, Almarhum Habibullah(1874-77) yang terlibat dalam gerakan orang Melayu menentang Inggeris, di Pasir Salak pada tahun 1875.
Raja Azlah bersama kira-kira 40 orang warder penjara dari Malaysia telah berkhidmat (kontrak) dengan Kerajaan Brunei.
Setelah berlaku orang-orang tahanan khemah Tahanan Barakas telah melarikan diri, dia telah mengirimkan kepadaku sebuah dokumen 26 muka surat, melalui seorang pegawai, di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Malaysia, di Kuala Lumpur. Dokumen itu bertajuk ’Detiki-Detik Peristiwa Yang Mencemaskan Di Khemah Tahanan Barakas, Brunei, pada 30 Julai 1973.Dokumen itu mengandungi catatan mengenai dia telah menjalankan peranan membebaskan para tahanan politik Brunei itu.
PARA PATRIOTIK
Bekas pejuang-pejuang kemerdekaan Brunei itu telah ditempatkan, di Sabah. Mereka telah mendapat perlindungan Ketua Menteri, Tun Mustapha. Tidak lama kemudian, mereka telah dipindahkan ke Kuala Lumpur. Mereka telah tinggal di sebuah banglo yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia, di satu kawasan yang berhampiran dengan Wisma Putera dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada petang 24 Ogos 90, bekas Timbalan Naib Presiden Parti Rakyat Brunei (PRB), Haji Zaini Haji Ahmad telah menemui aku dan menghadiahkan kepadaku buku yang ditulisnya, ’Partai Rakyat Brunei’. Dia telah meminta aku hadir dalam satu perjumpaan bekas pejuang-pejuang Kemerdekaan Brunei yang akan diadakan di sebuah restoran dalam Bandaraya Kuala Lumpur.
Aku telah menghadiri perjumpaan itu. Perjumpaan tersebut telah dihadiri oleh para patriotik bekas anggota Parti Rakyat Brunei (PRB). Di antara mereka itu, ialah:
( 1 ) Haji Zaini Haji Ahmad - Pemangku Naib Presiden.
( 2 ) Jasin Affandi (penulis terkenal di Brunei) - Setiausaha Agung.
( 3 ) Osman Latif – Ketua Jabatan Penerangan.
( 4 ) Mesir bin Awang Keruddin – Peminpin Tentera Revolusi Brunei.
KEMERDEKAAN BRUNEI
Dalam ucapan mereka di majlis itu, mereka telah mengucapkan terima kasih kepadaku kerana mereka telah mendapat tahu, ’konon’nya aku telah memainkan peranan bersama pihak yang berusaha melepaskan mereka dari Khemah Tahanan Barakas, Brunei pada 12 Julai 1973.
Dalam ucapanku yang singkat, aku telah menerangkan, bahawa aku telah mendapat tawaran berkhidmat dalam Jabatan Kerajaan Brunei, tetapi setelah buku karanganku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ terbit pada tahun 1966, maka aku tidak dibenarkan datang ke sana kerana aku telah disenaraikan sebagai orang yang tidak diingini oleh Kerajaan di bawah penjajah Inggeris itu.
Aku telah berkata ”...walaupun perjuangaan saudara-saudara telah gagal, tetapi pada hakikatnya, tetapi dalam sejarah Brunei dan Kalimatan Utara tercatat perjuangan saudara-saudara yang memacakkan mercu tanda revolusi rakyat Brunei pada 8 Disember 1962.”
”Perjuangan menuntut kemerdekaan sesebuah negara tidaklah mudah dan perjuangan itu memakan masa yang lama, seperti yang dialami alami oleh rakyat Palestin dan Afrika Selatan,”kataku lagi.
”Biasanya apabila negara itu telah mencapai kemerdekaan, kebanyakan dari pejuang hanya menerima hadiah dua batu nisan atau dua puntung tongkat tompang bahu sahaja,”tambahku.
Semenjak perjumpaan itu, semua bakas pejuang-pejuang kemerdekaan Brunei itu sering bertemu denganku. Mereka dengan semangat waja menelan duka dan rindukan isteri dan anak-anak mereka di bumi tumpah darah mereka sendiri.
Brunei Darul salam yang telah merdeka telah menerima mereka pulang sebagai rakyat yang setia kepada Sultan negara itu. Kecuali Osman Latif, mereka telah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing di sana. Osman Latif telah berkeluarga di Gombak.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan
Paruh, (belum terbit)oleh: Mokhtar Petah.
Paruh, (belum terbit)oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.