Thursday, July 12, 2012


TERKENANG


                 PERJUANGAN UMAT ISLAM ACEH

Pada tahun-tahun 1953 hingga lepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, di sekitar kawasan pelabuhan feri di Butterworth terdapat banyak rumah-rumah orang Melayu. Rumah-rumah kayu beratapkan daun nipah, dinding papan atau zink, dihuni oleh nelayan-nelayan, pekerja-pekerja pelabuhan kapal dan feri.
Setiap kali aku pergi ke Pulau Pinang, sama ada ke pajabat Warta Negara, toko buku Allahyarham Haji Yusof Rawa di Aceh Street mahupun ke stesen Radio Malaya, aku telah meninggalkan basikalku (rantai dan kunci pada tiang), di rumah sahabat penaku, Mohammad bin Amin.
Sebelum aku datang menuntut di Kepala Batas, beberapa orang tua Melayu yang tahu akan keadaan di Pulau Pinang, tela menasihatkan aku, di antaranya:
( 1 )  Orang pulau itu sering mencuri wang tetamu-tetamu  atau orang-orang yang telah menumpang menginap di rumah mereka, pada waktu tetamu - tetamu itu sedang nyenyak tidur. 
( 2 ) Kalau mereka mengajak ke rumah mereka, kemudian mereka menipu menuduh dengan mengatakan tetamu itu telah menceroboh masuk ke dalam rumah mereka. 
( 3 )  Sesiapa yang menginap di rumah orang Pulau Pinang, tidak boleh menyangkut baju yang ada wang dalam saku di tepi jendela, kerana pada tengah malam ada orang datang memancing baju itu dengan mata kail yang menggunakan joran.

SEMPADAN NUSANTARA

Apabila aku telah bergaul dengan beberapa orang di Pulau Pinang aku tidak pernah mengalami kejadian-kejadian yang tidak baik seperti yang telah dikatakan oleh orang-orang itu.
Aku hanya telah ditipu sekadar lima sen oleh seorang lelaki yang berpakaian sepasang – kemeja dan seluar -, warna putih dan kasut hitam, atas feri yang sedang belayar dari Pulau Pinang ke Butterworth. Pada hari itu penumpang-penumpang penuh sesak dalam feri itu. Aku terpaksa berdiri bersama penumpang-penumpang lain. Lelaki itu telah datang menghampiriku dan sambil senyum bertanya, ”...ada lima sen, ...nak pelaga, nak cabut janggut?”. Dia telah menunjukkan siling lima sen di tangannya kepadaku. Dengan rasa simpati kepada lelaki itu, aku telah memberi syiling lima sen kepadanya. Lelaki itu telah meninggalkan aku dan telah menemui orang-orang lain pula. Dia telah meminta syiling lima sen kepada mereka untuk dipelaga bagi mencabut janggutnya.
Pada tiap-tiap hari Sabtu aku telah pergi ke pejabat Warta Negara, di Argyll Road, Pulau Pinang, untuk memilih cerpen-cerpen dan sajak-sajak yang telah dikirimkan oleh penulis-penulis kepada Warta Mingguan. Aku telah membuat kerja sambilan membantu editor bahagian sastera surat khabar itu.
Pada hari-hari itu kalau tidak pada sebelah pagi, pada sebelah petang aku telah datang ke toko buku, di no.55 Lebuh Aceh . Tokoh buku itu kepunyaan Haji Yusof Rawa. Di toko itu ada menjual banyak buku-buku agama Islam yang ditulis oleh ulama-ulama Tanah Melayu, Arab, Indonesia dan Pattani. 

REPUBLIK INDONESIA

Aku dan Haji Yusof Rawa sering bercakap mengenai masalah orang Melayu, umat Islam Aceh dan sampai kepada perkara-perkara diluar sempadan Nusantara. Dia seorang ilmuan dan  berpandangan luas.
Setiap kali kami percakapan, telah berkali-kali dia meluahkan ’isi hati’nya, iaitu dia khuatir Tanah Melayu yang akan merdeka nanti akan hilang hak-hak orang Melayu dalam politik dan terutama ekonomi. Dia menjangkakan pulau Singapura dan Pulau Pinang akan dikuasai oleh orang-orang bukan Melayu.
Mengenai pergolakan  umat Islam Aceh, kerana menuntut bumi ’Darus salam’ itu di keluar dari Republik Indonesia dan berdiri sebagai sebuah negara Islam yang merdeka dan berdaulat, maka Yusof Rawa telah terlibat sebagai penasihat kepada pihak umat Islam di sana. 
Dalam satu rundingan tolak ansur antara umat Islam Aceh dengan Republik Indonesia pimpinan Presiden Soekarno, maka pihak umat Islam Aceh telah menuntut Republik Indonesia menghadiahkan sebuah Quran kepada setiap individu umat Islam Aceh yang berusia 15 tahun (baligh) ke atas. Presiden Soekarno dan umat Islam telah mencapai persetujuan. Kedua belah pihak telah bersetuju Yusof Rawa menjadi pencetak dan pembekal kitab suci itu kepada umat Islam Acheh.

MEMISAHKAN ACEH

Di toko buku Yusof Rawa itu juga aku telah berkenalan dengan seorang pegawai di konsol Indonesia, di Pulau Pinang, Razif. Kemudian dia telah perkenalkan aku kepada dua orang anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM), iaitu Hassan Tiro dan Daud Berueh. Mereka sentiasa berulang alik ke Pulau Pinang untuk menguruskan perdagangan bagi membantu umat Islam Acheh, termasuk pengiriman sejata-senjata dari Pulau Pinang  ke Banda Aceh, Pasai, Perlak termasuk Aru dan Deli.
Walaupun pada masa itu pihak Republik Indonesia tidak bersetuju dengan perjuangan umat Islam Acheh untuk memisahkan Aceh dari republik itu, tetapi pegawai-pegawai di Konsolat Indonesia, di Pulau Pinang berhubung rapat dengan pejuang-pejuang Acheh yang datang ke pulau itu. 
Umat Islam Aceh telah tidak menyertai perisytiharan kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos 1947, kerana mereka menganggap profensi itu telah merdeka sebegai sebuah Darul Islam (Negara Islam) yang sah. Tetapi Pemerintah Republik Indonesia tetap mempertahankan haknya, iaitu Aceh sebahagian dari Negara Republik tersebut.
Seperti kata Hassan Tero dan Daud Brueh kepadaku, bahawa umat Islam Acheh sampai bila-bila pun akan tetap menuntut hak mereka selagi Republik Indonesia tidak mengakui propensi itu sebuah Negara Islam di luar Republik itu.
Mereka berkata, bahawa Aceh akan menjadi ’duri dalam daging’ kepada Republik Indonesia sampai di ambang pintu kiamat.
Walaupun beribu-ribu orang Islam Aceh telah dibunuh oleh anggota-anggota   Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) atau Tentera Nasional Indonesia (TNI), tetapi mereka yang masih hidup tetap meneruskan  jihad mereka, kerana pada fahaman dan keyakinan mereka, bahawa jihad adalah terhitung dalam falsafah ’fi sabilillah’.
Dalam sejarah Acheh, umat Islam di sana telah menentang penjajah Belanda pada sekitar tahun 1873 – 1903. Seorang  pahlawan Islam Acheh, Tauke Panglima Polim Seri Muda Parkasa Daud (1891 -1941), telah muncul sebagai pemimpin Islam yang gagah berani yang menyambung perjuangan umat Islam di sana. Tiap-tiap kali dia dikepung atau diserang hendap oleh askar Belanda, dia dapat meloloskan dirinya. Dia telah menyebabkan banyak kerugian di pihak penjajah Belanda. 
Pada tahun 1903 Panglima Polim telah dapat ditangkap oleh Belanda dan kemudian dipenjarakan. Pada 30 Jun 1941 dia telah meninggal dunia dan dikebumikan di Aceh. *

*  Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan 
    Paruh, (belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.