Tuesday, July 10, 2012


TERKENANG


                         KUDIS BUTA DAN DUNIA PENULISAN


Aku telah melanjutkan pelajaranku dalam darjah tahdhiriI awal (darjah satu), di sekolah Arab (agama) Madrasah Nurul Anwar, di Kampung Gelok, Lenggong, Hulu Perak. Sekolah itu mempunyai tiga orang guru, iaitu Ustaz Sulaiman Najib bin Taib (salah seorang ahli jawatankuasa Parti Hisbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir, Gunung Semanggul), dari Teluk Anson, Ustaz Haji Daud Ahmad dari Tapah dan seorang guru perempun, Ustazah Halimah dari Titi Serong, Parit Buntar.
Aku telah belajar di sekolah itu kira-kira setahun setengah. Aku terpaksa berhenti, kerana sekolah itu ditutup di sebabkan Jawatankuasanya tidak dapat membayar gaji guru-gurunya kerana kekurangan wang disebabkan murid-murid tidak ramai. Orang-orang kampung pula tidak mahu membantu sekolah tersebut.
Pada masa aku belajar di sekolah itu, aku terpaksa mandi dalam sungai yang airnya kotor, kerana di bahagian hulunnya kira-kira lima kilometer panjangnya digunakan oleh penduduk-penduduk dari beberapa buah kampung untuk mandi manda dan membuang najis dan sebagainya.Akibat dari aku mandi air sungai itu, aku terpaksa di rawat di hospital daerah Kuala Kangsar selama dua minggu kerana seluruh tubuhku dihingapi kudis buta (scabies).
Ustaz Sulaiman Najib Taib dan Ustaz Haji Daud telah kembali ke tempat masing-masing dan mereka telah mengajar di Madrasah Ihsaniyah, di Jalan Pasar, Teluk Anson. Manakala Ustaz Halima telah kembali ke Titi Serong dan berkahwin dengan seorang guru agama di sana.
Kira-kira tiga bulan kemudian aku telah belajar di Madrasah Ishaniyah Teluk Andon, iaitu pada bulan Februari 1951. Aku belajar di sekolah itu pada sebelah pagi. Pada sebelah petang aku telah belajar bahasa Inggeris di sekolah itu juga. Guru bahasa Inggeris ialah Mr Abdul Manan. 
Di antara kawan-kawanku yang menuntut di sekolah tersebut, ialah Ali bin Haji Hussein dari Jalan Pasir Berdamar, dalam bandar itu, iaitu bapa kepada penyanyi Jamal Abdillah dan Jamilul Hayat. Kini dia tinggal di Ipoh dan memegang jawatan Pengerusi Tetap UMNO bahagian Pasir Salak.
Selama kira-kira dua tahun aku menuntut di Teluk Anson, aku telah mendapat banyak pengalaman yang dapat membina diriku untuk meneruskan kehdiupanku pada masa depan. Di antara pengalaman-pengalaman itu, ialah Guru Besar sekolah itu, Ustaz Sulaiman Najib Taib menjadi pemberita surat khabar Majlis. Aku sering ke rumahnya, di Durian Sebatang. Dia menulis berita dengan pena dan huruf Jawi (surat khabar Majlis menggunakan tulisan Jawi). Daripadanya aku mendapat pengetahuan dan pengalaman bekerja sebagai pemberita surat khabar.
Ustaz Sulaiman Najib sering membanggakan dirinya di hadapanku kerana dia menjadi pemberita surat khabar. Tetapi aku tidak pernah melihat dia mencari dan menulis berita-berita besar dan panas. Semua berita yang ditulisnya dikirim dengan pos. Tidak menggunakan telefon atau dengat kawat yang menggunakan kemudahan kad cellect press  dari Jabatan Telekom.
Semasa menuntut di Teluk Anson, aku mulai menulis artikel-artikel untuk majalah-majalah dan surat-surat khabar yang diterbitkan di Singapura. Di antara media-media itu, iaitu Sinaran (diterbitkan oleh pemimpin Pergerakan Islam Singapura, Karim Ghani), Mastika (Utusan Melayu) Hiburan (Royal Press), Mutiara (Harmy), Kencana (Mibs). Surat khabar Utusan Zaman (Utusan Melayu). Aku juga telah menulis untuk surat khabar Melayu (Jawi) terbit di Pulau Pinang, iaitu Warta Negara dan Warta Mingguan. 
Pada satu hari aku telah menolong Ustaz Sulaiman Najib menulis sebuah berita mengenai pekebun-pekebun nenas di Selabak, dekat Teluk Anson yang telah mengalami kemerosotan pendapatan mereka. Empat hari kemudian berita itu telah disiarkan dalam surat khabar Majlis. Aku telah mendapati editor surat khabar itu tidak membuang atau menokok tambah perkataan dan ayat berita yang aku telah tulis itu.
Semenjak berita yang aku telah tulis itu tersiar dalam surat khabar Majlis, maka kemudiannya, hampir setiap hari Ustaz Sulaiman Najib meminta aku menolongnya menulis berita-berita yang telah didapatinya. Dia tidak mencari berita, tetapi orang-orang dari UMNO, Kelab Melayu Hilir Perak, persatuan-persatuan dan sebagainya telah menghantar kenyataan-kenyataan dan bahan-bahan berita kepadanya.
Peluang yang telah diberikan oleh Ustaz Sulaiman Najib kepadaku untuk menulis berita-berita itu untuk surat khabar Majlis telah menjadi anak kunci bagi aku membuka pintu pagar waja untuk aku meneruskan perjalananku  ke arah menjadi penulis pada masa hadapan.                                            
Pada masa itu royalti atau honorarium yang diberi oleh penerbit-penerbit surat khabar dan majalah kepada penulis-penulis sekadar $5.00 hingga $10.00 bagi satu rencana. Kalau rencana itu bersifat investigating dan reporting di bayar antara $10.00 hingga $30.00. Cerpen dibayar antara $5.00 dengan $20.00 dan sajak antara $5.00 dengan $10.00
Sebahagian dari wang honorarium yang telah menerimanya, aku telah membeli buku-buku bacaan seperti politik, sejarah, agama Islam, novel atau romen yang ditulis oleh pengarang-pengarang dan sasterawan-sasterawan Indonesia. Di antara novel-novel, ialah: Pertemuan, oleh: A.St.Pamuntjak N.S (1927), Darah Muda, oleh: Adinogoro (1927) Kerana Anak Kandung, oleh: M.Enri (1940) Layar Terkembang, oleh: Sutan Takdir Alisyahbana (1936), Salah Asuhan, oleh: Abdul Muis (1928), Di Bawah Lindungan Kaabah, oleh:HAMKA (1936), Tenggelamnya Kapal Ven Der Wijck, oleh:HAMKA (1938), Merantau Ke Deli, oleh:HAMKA (1939), Tuan Direktor, oleh:HAMKA (1939), Belenggu, oleh: Armijn Pane(1940), Kasih Ibu, oleh: Pasulus Supit (1932) Di Dalam Lembah Kehidupan, oleh: HAMKA (1940), Atheis, oleh: Achdiat Miharja (1949) dan banyak lagi.
Pada penghujung tahun 1951 telah berlaku kejadian ikan-ikan laut berulat, iaitu ikan yang masih hidup atau segar terdapat ulat-ulat sebesar ulat nangka dalam dagingnya.Orang ramai tidak mahu membeli ikan di pasar-pasar. Tiap-tiap hari aku makan nasi dengan ikan terbuk dan ikan-ikan yang besar.Pada masa itu seekor ikan terubuk hanya 5 sen, ikan senangis 20 hingga 40 sen, ikan jenahak 10 hingga 30 sen sahaja. Walaupun orang ramai tidak mahu makan ikan, tetapi aku tetap makan ikan. Orang yang tidak banyak wang seperti aku, ulat dalam isi ikan tidak menjadi masalah kerana tidak membahayakan atau tidak mendatangkan penyakit. 
Aku telah menulis beberapa buah artikel mengenai ikan-ikan berulat dan telah disiarkan oleh beberapa buah majalah dan surat khabar. Wang royalti artikal-artikal itu telah meringan beban ibu dan ayahku selama kira-kira tiga bulan kerana dalam tempo itu  mereka tidak susah-susah  mengirimkan wang kepadaku.*

* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, 
   (belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.