Wednesday, July 4, 2012


TERKENANG


                      BINTANG FILEM

Perayaan tahunan (ihtifal) sekolah, Daeratul Ma’ariful Wataniyah, telah diadakan pada tahun 1954. Dalam perayaan itu telah diadakan berbagai acara, seperti majlis ucapan oleh Pengetua, Haji Ahmad Badawi, guru-guru dan wakil-wakil penuntut, pertandingan pidato dan selama tiga malam, telah diadakan pementas sandiwara oleh para penuntut.
Sandiwara yang telah dipentaskan, ialah secebis kisah dari sejarah Pulau Pinang, pada tahun 1787, mengenai penentangan orang Melayu terhadap penjajah Inggeris dan Captain Francis Light  bagi pihak kompani Inggeris, ’East Indian Company’ yang memerintah Pulau Pinag.
Guru sekolahku, Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin dari Kampung Ketapang, Pakan, Pahang, dengan bantuanku telah menulis skrip sandiwara itu. Di antara para pelakonnya, Tahir Jais (Kuala Kangsar), Khairuddin Haji Ahmad dan Arif Haji Yasin (Bagan Datok) Sharif dan Abu Bakar (Yan dan Tokai, Kedah) dan Aku telah memegang peranan sebagai Captain Francis Lifght.
Di antara orang-orang yang menonton sandiwara itu, ialah beberapa orang dari Syarikat pengeluaran Filem, Nusantara Film Production, Singapura. Mereka sedang menjelajah seluruh Malaya Utara untuk mencari pemuda-pemuda Melayu yang berbakat untuk menjadi pelakon atau bintang filem dalam syarikat itu.
ORANG MUDA
Jurugambar dari syarikat filem itu telah mengambil gambar beberapa adegan lakonan dalam sandiwara itu, termasuk lakonanku.
Dua hari kemudian, dua orang wakil syarikat Nusantara Filem itu, telah datang menemuiku dan  menawarkan kepadaku untuk menjadi pelakon atau bintang filem dalam syarikat tersebut. Pada waktu itu, sebagai orang muda, menerima tawaran itu dan dengan sokongan angan-anganku untuk menjadi bintang filem dan penulis skrip filem terkenal telah menyebabkan aku lupakan arah harapan ibu dan bapaku.
Pada zaman itu, kebanyakan cerita-cerita filem Melayu, termasuk cerita-cerita yang dipadankan dari sejarah yang diterbitkan oleh dua buah syarikat filem terbesar di Singapura, ditulis oleh penulis-penulis India yang fanatik kepada kebudayaan dan kepercayaan yang berunsurkan agama Hindu.
Seminggu kemudian, aku telah diuji bakat (screen test) di sebuah hotel terkenal pada masa itu, di George Town. Itulah kali yang pertama aku diuji bakat dan berhadapan dengan lensa kamera filem. Hasil dari uji bakat itu, aku telah beroleh kejayaan.
MANUSIA PERASAN
Pihak syarikat Filem Nusantara telah memberi surat tawaran kepadaku. Jika aku bersetuju menjadi pelakon filem dalam syarikat itu, maka satu perjanjian akan dimenteraikan dalam tempoh yang terdekat. Setelah menerima surat tawaran itu, aku telah menjadi manusia ’perasan’ dan tinggi angan-angan, iaitu diriku akan terkenal seperti  pelakon-pelakon filem, P.Ramlee, Romai Nor dan Osman Gomanti.
Sehari kemudian aku telah pulang ke kampungku, dengan membawa surat tawaran menjadi bintang filem Melayu. Dalam perjalanan pulang dengan keretapi dari Bukit Mertajam ke Kuala Kangsar, aku telah dipengaruhi oleh angan-anganku dan keyakinan, iaitu ibu dan bapaku akan bergembira anak mereka akan menjadi bintang filem.
Kerana aku masih muda dan mudah terpengaruh kepada sesuatu yang indah dan seronok, maka aku tidak terfikir yang ibuku itu, manusia yang kuat berpegang kepada ajaran agama Islam dan tidak pernah menonton wayang gambar dan apa-apa jenis hiburan jua pun.
Sebaik-baik sahaja aku selesai sembahayang fardhu Maghrib, aku telah memaklumkan kepada ibu dan ayahku mengenai diriku telah mendapat tawaran menjadi bintang  filem dan syarikat Filem Nusantara itu. 
LEPAT PISANG
Aku tidak menyangka, Sebaik-baik sahaja aku selesai memberitahu hasratku kepada  ibu dan bapaku, tiba-tiba ibuku telah ’naik berang’. Kebetulan di ruang dapur ada beberapa batang pelepah pisang muda yang daunnya telah digunakan oleh ibuku untuk membungkus lepat pisang, maka sepantas kilat layaknya, ibuku telah mencapai sebatang pelepah pisang itu, lalu memukul beberapa kali pada peha dan daging punggungku. Aku melompat dan mengaduh kesakitan. 
Ibuku telah menangis. Dalam tangisannya, dia telah berkata, ”...emak  tak nakmu jadi isi neghaka, ...bukan jadi syetan, ...emak nakmu jadi oghang ’alim..., oghang beghiman...”
Bapaku hanya merenung ibuku memukulku. Dengan perasaan insaf dan kasih kepada ibu dan bapaku, aku telah mengaku tidak akan menerima tawaran syarikat filem itu. Pada waktu itu, aku disambar oleh perasaan berdosa, kerana aku telah melencong dari harapan mereka.
Bapaku telah berkata, ”...ayah sughuh tidak, laghang tidak, ...mu dah pandai, ....ada keghja baik, ada tak baik, ...ghezeki Tuhan ada yang halal, ada yang haram, ...ghazeki jadi bintang filem, jadi anak wayang tu..., mu taula.”
”...ayah tak nampak halalnya, dah dekat dengan zina..., pegang oghang peghempuan, bini oghang,  peluk anak dagha oghang...,”kata bapaku lagi.
”...ikut sukamu, ...di akhirat ada syurga, ...ada neraka...,”tambah bapaku. Serius.
Bapaku pernah menonton tayangan filem Arab dari Mesir, seperti filem-filem lakonan Seniman Abdul Wahab dan seniwati Umni Kalthum. Dia telah melihat adegan-adegan pegang dan peluk antara lelaki dan perempuan dalam filem itu.
PALING BURUK
Pada malam itu, setelah ibu dan bapaku tidur, kerana aku telah diselubungi penyesalan dan sedih, maka aku telah membaca kitab suci, Quran. Aku telah membaca dan menghayati firman Allah:
 ’ Jangan kamu hampiri perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu satu perbuatan keji (tidak sopan) dan jalan yang buruk’. 
Dalam Quran secara terang Allah telah menegah ’menghampiri zina’. Ertinya zina itu satu perbuatan yang paling buruk atau hina. Kerana zina itu buruk, keji dan bahaya, maka Allah telah melarang menghampirinya. Perbuatan yang menghampiri zina, ialah  saling peluk memeluk antara lelaki dengan perempuan yang sah nikah, menciumi dahi lelaki atau perempun, pegang tangan dan mana-mana anggota tubuh perempuan dan lelaki, mendedahkan perut dan pusat dan sebahagian dari buah dada. 
Hasil dari lakonan demikian – wang, harta benda, makanan dan sebagainya, adalah haram bagi orang mukmin menggunakan dan memakannya. Wang hasil dari lakonan demikian tidak diterima oleh Allah untuk ibadat wajib dan sunat termasuk mengerjakan haji dan umrah.
Dengan menjunjung Quran, aku mengaku di hdapan Allah yang Maha Esa, aku tidak akan menerima tawaran berlakon dari syarikat filem itu. Aku akan menunai harapan dan amanat ibuku atas diriku, iaitu menjadi orang alim dan beriman. Tetapi sampai pada waktu aku menulis buku ini, aku masih terasa diriku belum alim.*
           
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, 
   (belum terbigt), oleh: Mokhtar Petah. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.