TERKENANG
PARTI KOMUNIS MALAYA
Pada 1945. Dua
orang perempuan Cina masih muda kader Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Che Som
dan Che Bee telah menjadi penyebar fahaman komunis di kalangan kaum ibu Melayu
di kawasan Kuala Kangsar telah tiga kali datang ke kami.
Mereka telah meminta bapaku, supaya memujuk seorang perempuan muda yang
cantik, isteri orang, di kampung Changkat Duku supaya menjadi kader Parti
Komunis Malaya (PKM) seperti mereka. Tetapi bapaku telah menolak pemintaan
mereka itu.
Pada satu hari, dalam satu
perjumpaan antara Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) dengan orang-orang
kampungku, telah tercetus pertengkaran antara bapaku dengan beberapa orang ahli
Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Pera.
Pertengkaran itu terjadi setelah bapaku menentang pendapat mereka yang mengatakan
komunisme sama dengan Islam.
”Kalau nak ajak kami masuk komunis,
kami tak nak, kami orang Islam,... kami boleh bekerjasama kerana melawan
Jepun,...tapi kalau ajak kami jadi kafir kami tak boleh,” kata bapaku kepada
mereka.
Pertengkaran
itu telah dapat diredakan setelah Baharuddin ’topi mengkuang’ menyokong
pendapat bapaku. Dia memberitahu, fahaman komunis tidak boleh diterima oleh
orang-orang Islam. Orang-orang Melayu boleh bekerjasama dengan orang-orang
komunis kerana sebab-sebab tertentu, seperti menentang penjajah. Walau pun
pertengkaran itu menjadi reda dan masing-masing telah faham, tetapi beberapa orang lelaki China telah
menyimpan perasaan marah kepada bapaku.
CINA SEBERANG LAUT
Sebenarnya di kalangan Parti Komunis Malaya
(PKM) ada di antara orang-orang Cina – sama dengan orang-orang China dalam
parti-parti politik mereka sekarang - , yang berhasrat hendak menjadikan Tanah
Melayu sebuah negara Cina baru atau Cina seberang laut (nan yang) - negara komunis dan semua orang Melayu menganut komunis.
Singapura yang dulunya sebuah negeri
Melayu, tetapi kerana cita-cita kalangan orang-orang Cina seperti yang aku
utarakan di atas ini, maka kini pulau itu Temasik itu telah menjuadi sebuah
republik yang dikuasai oleh orang-orang China seberang laut.
Sebagai seorang yang telah dewasa
dengan pergolakan politik tanah air dan dunia, aku mendapati penjajah yang
dilakukan dengan senjata dan politik sama bahasanya dengan penjajahan ekonomi
seperti yang wujud di negara kita sekarang ini.
Kejayaan penjajahan ekonomi oleh
penghijrah-penghijrah (immigrants)
dalam sesebuah negara, akan menjadikan penduduk-penduduk asal negara itu lemah
dalam semua bidang. Mereka terkapai-kapai ke sana kemari dalam keadaan ’menang
sorak kampung tergadai. Anak-anak muda mereka, walaupun berpendidikan tinggi,
tetapi tidak lebih dari jadi buruh dalam negara sendiri, sama ada buruh kasar
atau pun buruh berkolar putih.
PERGERAKAN PARANG PANJANG
Tiga malam kemudian, kira-kira tujuh orang lelaki China
telah datang ke dangau kami. Mereka telah mengajak bapaku mengikut mereka ke
dalam kebun getah tidak jauh dari belakang dangau kami kerana hendak berunding.
Tetapi apa bila tiba dalam kebun getah itu mereka telah menangkap bapaku dan
mengikatnya pada sebatang pokok getah di situ.
Mereka memberi kata dua kepada
bapaku; kalau bapaku mengaku akan
bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM), mereka tidak akan
membunuh bapaku, tetapi kalau bapaku tidak mahu bekerjasama dengan mereka, maka
mereka akan membunuhnya.
Menurut bapaku, setelah dia mengaku
akan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan tidak akan menyebelahi
Jepun, maka mereka telah melepaskan bapaku dan mereka telah meminta maaf
kepadanya.
Semenjak dari malam itu, bapaku
telah berpura-pura bekerjasama dengan orang-orang Parti Komunis Malaya (PKM).
Secara sulit dia telah berhubung dengan dua orang sheikh ’Pergerakan Parang
Panjang’, iaitu Sheikh Othman di Kampung Baiyan, Taiping dan Kiyai Salleh, Batu
Pahat, Johor.
KAMI MEMBACA QURAN
Kerana bapa dan ibuku mementang pelajaran aku dan adikku,
lebih-lebih lagi kerana di huma kami tiada guru untuk mengajar kami membaca
Quran, maka mereka mengambil keputusan berpindah dari huma itu ke kampung kami.
Setelah kami berpindah ke kampung,
tidak ramai orang Parti Komunis Malaya (PKM) yang datang ke rumah kami. Hanya
Wang Seng dan Baharuddin topi mengkuang yang sering datang secara
bersembunyi-sembunyi.
Pada tiap-tiap malam gurila-gurila
Parti Komunis Malaya (PMK) sentiasa berkeliaran di sekitar kebun getah dan
belukar di pinggir kampung kami. Mereka juga telah menyebarkan surat-surat
khabar Parti komunis Malaya (PKM) di kampung kami dan kampung-kampung lain. Di
antara surat-surat khabar dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi dan
Jawi, ialah Bintang Merah, Berita Benar, Suara Rakyat dan Bintang Timur.
Perigi tempat kami mengambil air
mandi terletak di bawah bukit, kira-kira 300 ela dari rumah kami. Kira-kira
seminggu sekali aku mendapati surat-surat khabar itu diletak di pinggir telaga
itu dan ditutup dengan daun pisang.
SURAT KHABAR LAMA
Sama ada di rumah datukku mahupun di rumah bapaku tidak
ada tersimpan surat-surat khabar lama. Datuk dan bapaku seperti kebanyakan
orang kampung Melayu di hulu-hulu negeri dan di pendalaman pada masa itu amat
jarang membaca surat khabar.
Pada masa itu hanya surat-surat khabar Parti Komunis Malaya (PKM) itu sahaja
yang ada. Media itu telah menjadi bahan bacaanku dan sumber ilmu pengetahuan
am(general knowlege)ku, terutama
mengenai media hal ehwal dunia.
Aku masih ingat, iaitu pada muka dua
surat khabar Bintang Merah ada sebuah artikel tiga kolum. Dalam artikel itu ada
tulisan lebih kurang begini ’...British, Amerika dan mereka yang beragama
Kristian tidak akan henti-henti untuk memusnahkan umat Islam. Mereka
mempengaruhi umat Islam dengan kemewahan hidup, budaya alat mereka yang
berlawanan dengan Islam dan bahasa Inggeris, kerana bahasa itu menjadi bahasa
dunia’.
Walaupun aku masih belajar dalam
darjah tiga di sekolah Melayu, tetapi kerana aku rajin membaca surat khabar
Jawi dan buku-buku agama bertulisan jawi juga, maka aku telah mempunyai
pengetahuan am yang agak baik berbanding dengan murid-murid sedarjah denganku,
di sekolah Melayu tempat aku belajar.
PANDAI MENULIS RENCANA
Walaupun aku masih kanak-kanak, tetapi aku telah
mengetahui kerja dan peranan pemberita dan wartawan. Pada usia begitu aku telah
mempunyai cita-cita untuk menjadi wartawan seperti Wang Seng anggota Parti
Komunis Malaya(PKM) atau macam abang saudaraku, Abdullah Kuak yang pandai
menulis rencana-rencana untuk majalah-majalah agama di Pulau Pinang dan
Singapura.
Aku mulai mengetahui tugas dan
peranan wartawan ialah dari Baharuddin (topi mengkuang) dan Wang Seng. Manakala
Wang Seng telah mengajarku mengenai surat-surat khabar di negara China dan negara-negara lain.
Aku masih ingat akan kata-kata Wang
Seng, ”...orang baca surat khabar dapat banyak ilmu, orang tak baca surat
khabar fikirannya jadi lemah.”
Wang Seng juga orang yang pertama
telah mengajar ilmu kewartawanan kepadaku. Walaupun dia tidak mengajarku
bagaiamana menulis berita, rencana dan sebagainya, tetapi dia telah memberitahu
kepadaku, di mana surat khabar di terbitkan, bagaimana berita-berita,
rencana-rencana dan gambar-gambar didapati oleh surat-surat khabar di seluruh
dunia. Dia juga memberitahu, orang-orang China memandang wartawan sebagai ’Raja
yang tidak bermahkota’.
KERJA SEBAGAI WARTAWAN
Dengan menggunakan surat khabar ’Bintang Merah’, Wang
Seng telah mengajarku mengenai kepala berita (head line), berita dalam negeri, berita luar negeri dan beberapa
pengetahuan mengenai persurat khabaran.
Wang Seng telah menasihatkan aku,
apabila aku telah tamat belajar nanti, pekerjaan yang baik bagiku ialah bekerja
sebagai wartawan. Katanya, bekeraja sebagai wartawan boleh memusing dan
mencorakkan dunia ini. Menurutnya guru hanya mengajar murid-muridnya di
sekolah, tetapi wartawan mengajar semua manusia, walaupun mereka itu raja,
presiden, pegawai kerajaan, pedagang, buruh kasar atau para petani di
kampung-kampung.
Sementara Baharuddin ’topi
mengkuang’, telah memberitahu ramalannya kepada bapa dan ibuku, iaitu apabila
aku telah besar dan dewasa nanti, aku akan menjadi orang yang berilmu
pengetahuan dan terkenal atau tersohor. Manakala adikku, Ghazali, akan menjadi
seorang yang berilmu pengetahuan, tetapai tidak terkenal atau tidak tersohor
seperti aku.
Perkataan dan ramal Baharuddin ’topi
mengkuang’ itu telah merangsang semangatku untuk menjadi seorang pemberita atau
wartawan.
(Aku telah membuktikan kemahuanku, iaitu pada masa aku belajar dalam darjah
empat, aku telah
menulis
karangan pendek dan ringkas pada kertas kosong dan aku memberi kepada
kawan-kawanku
untuk
membacanya. Di antara artikel-artikel aku itu, ialah mengenai orang-orang
kampung
menangkap ikan
terbul dan pucuk pisang yang beribu-ribu ekor dari tasik cenderoh yang masuk
membuang telur
ke dalam Sungai Air Tukul’ di belakang kampungku. kerana bertelur atau
pada malam hujan lebat. )
Kerana cita-cita itulah agaknya,
aku telah menjadi seorang kanak-kanak yang rajin membaca. Ingin mengetahui
sesuatu yang wujud di alam ini. Di sekolahku, aku pernah dimarah oleh dua tiga
orang guruku, kerana aku telah banyak bertanya kepada mereka akan
perkara-perkara yang mereka tidak dapat menjawabnya atau sengaja tidak mahu
menjawab.
Aku masih ingat, pada masa itu
kebanyakan guru tidak suka murid-murid mereka lebih pandai dari mereka. Mereka
itu masih kuat memegang pada fahaman ’guru makan garam dulu dari murid’.
Aku sering mendengar dua orang kader
Parti Komnunis Malaya (PKM) itu bercakap dengan bapaku, bahawa orang-orang
komunis yang menentang Jepun bertujuan untuk membela orang-orang Melayu,
membela agama Islam dan menolong mereka menuntut kemerdekaan. Tetapi, walaupun
aku masih kecil, aku tidak percaya kepada percakapan mereka itu. Aku sering
diberitahu oleh ustaz Mohd.Amin Farid dan ustaz Mohd. Khir Nawawi yang mengajar
aku mengaji Quran, iaitu orang-orang komunis tidak percayakan Allah dan musuh
agama Islam.*
* Dari manuskrip buku,
Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
m(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.