TERKENANG
KAMPUNKU
Sejak zaman berzaman hinggalah kepada zaman Perdana Menteri Malaysia yang ke tiga, Tun Tun Hussein Onn , kampungku tidak pernah dikenali oleh orang-orang Malaysia dan peringkat antarabangsa, tetapi apabila berlakunya peristiwa sekumpulan pemuda-pemuda yang mengamalkan ilmu silat, Al Ma’unah, di katakan dan kononnya, mereka telah mencuri senjata-senjata yang tersimpan dalam khemah tentera Malaysia, di Grik, Perak, maka nama kampungku terlonjak dan terkenal ke peringkat antarabangsa. Sebahagian wajah kampungku ditayangkan di kaca televisyen di seluruh dunia.
Dalam peta Negeri Perak, kampungku, iaitu Kampung Ngor, terletak dalam mukim Chegar Galah dan dalam daerah Kuala Kangsar, kira-kira 25 kilometer dari Bandar Diraja tersebut dan berhampiran dengan sempadan Kuala Kangsar – Hulu Perak, di Jenalik Hulu. Kampungku terletak dalam kawasan Dewan Rakyat (Tasik Chenderoh).
Perkataan ‘Ngor’ tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Menurut Datukku, Allahyarham Haji Jaafar bin Putih (Datu?), bahawa ‘Ngor’ dari bahasa orang Melayu Kampuchea atau Champa yang bererti ‘tempat singgah’ bagi pengembara-pengembara. Tetapi menurut Allahyarham Haji Sulong bin Haji Abdul Kadir Pattani , erti ‘ngor’, ialah ‘cinta yang patah’ atau ‘cinta singgah sebentar’.
Menurut datukku, bahawa pada zaman Kerajaan Kampochea atau Champa memerintah Negeri Perak tua – iaitu meliputi Beruas, Dinding (Manjong) hingga ke Pulau Pangkor, pada sekitar tahun 1135M - 530H (tarikh ini sukar diyakini), orang-orang Kampochea yang menentang kerajaan Siam telah lalu lalang dari sempadan Thailand ke kawasan Dinding melalui kaki banjaran gunung Bintang hijau di belakang kampungku atau melalui sungai Perak dari kawsasan Temengor(bukan Temenggor) atau Merah Janin, Grik dan Kota Tampan, Lenggong hingga ke kampungku yang sebelum itu bernama Kampung Lama. Kampung itu telah ditenggelami air tasik Chenderoh dan sebahagian lagi telah tinggal terbiar dan menjadi belukar.
Orang-orang Kampochea itu singgah di kampung Ngor sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Kampung Pauh dan Bruas – Dindings atau ke kawasan lain.
Pada zaman orang-orang Kampoche memerintah sebahagian kawasan negeri Perak, beberapa kawasan di negeri itu termasuk sungai Perak telah menjadi jalan penting yang menghubungkan kawasan selatan Siam, ke kawasan Dindings, Bagan Datok dan sekitar kawasan Perak Selatan.
Sebagai bukti orang Kampochea atau Champa telah memerintah negeri Perak terdapat bahan sejarah, di antaranya pihak Muzium Negara telah menjumpai kubur lama orang-orang Kampochea, di Kota Tempat dalam daerah kecil Lenggong.
Selain dari itu terdapat bukti-bukti lain, iaitu Bukit Tambun Tulang (tulang askar-askar siam yang telah dibunuh oleh orang-orang Kampochea dan Melayu) dekat Ampangan Chenderoh. Lubuk Caping (emas atau besi tiga segi untuk melindunjgkan kemaluan wanita) . Kampung-kampung di tepi sungai Perak menggunakan nama dari bahasa Melayu Kampochea – Champa, seperti Temong (tumbuhan seperti kunyit) Enggor (tebing) dan Chenderoh yang ertinya kawasan lembah yang luas. Manakala di Tanjung Malim terdapat sebuah kampung bernama Kampung Kemboja.
Aku juga dapat mempercayai keterangan datukku, bahawa nama kampungku itu telah diberi oleh orang-orang Pattani (asal Champa) yang telah membuka kampung itu, iaitu asal usul datukku keturunan Datu Putih (raja), Kuala Bekah dalam kawasan Pattani. Mereka telah berhijrah dari Pattani sekitar tahun 1818 – 1890M, iaitu pada zaman Kerajaan Siam di bawah pemerintah Rama III Pra Nang Klao (1824 – 1851M), kemudiannya oleh Rama IV Maha Mongkut (1851 – 1868M) dan raja-raja kemudian dari mereka.
Pada zaman itu telah wujud Negeri Melayu – Islam yang meliputi wilayah – , kawasan, antaranya: Pattani, Taluban, Saiburi, Nongchik, Legih dan Reman. Negeri-negeri itu telah menggunakan perlembagaan Islam dan undang-undang Islam yang berdasarkan al Quran as Sunnah, Ijmak Ulama dan kias.
Mereka juga mengikut aliran Imam Shafie dan Imam Ghazali dari mazhab Ahlus sunnah wal Jama’ah.
Pada zaman itu, Kerajaan Siam dan askar-askarnya yang terkenal dengan gelaran ‘askar Siam perut hijau’ amat zalim. Mereka telah menyerang Negeri Melayu - Islam itu. Sepanjang masa mereka menyerang negeri tersebut, mereka telah membunuh orang-orang lelaki Islam, orang-orang tua. Mereka telah meliwat kanak-kanak lelaki dan merogol orang-orang perempuan. Kemudian mereka membunuh mangsa itu secara kejam. .
Kerana pahlawan-pahlawan Melayu yang kebal dan biji mata mereka tidak dapat dicungkil dengan besi atau pahat, maka askar-askar Siam telah mencocok copeng telinga orang-orang perempuan dan kanak-kanak dengan besi panas atau besi tajam.Kemudian lubang pada copeng telinga dimasukkan rotan seni yang panjang seorang demi seorang sehingga mereka berangkain seperti manik-maik yang dikarangan.
Kerana kezaliman itu orang-orang Melayu telah melarikan diri dari selatan Siam ke Baling, Kuala Nerang dan Sadau dan bebrapa kawasan lagi dalam Negeri Kedah melalui hutan belantara.
Di antara orang-orang Melayu Pattani yang telah melarikan diri ke Negeri Kedah, ialah mereka yang yang seangkatan dengan moyang kepada moyang Allahyarham Sheikh Abdullah Pak Him (Fahim) datuk kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia , Wan Tempawan binti Wan Hanafi ibu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Seri Abdul Hamid Othman Penasihat Hal Ehwal Agama Islam, di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
Manakala orang-orang Melayu yang telah melarikan diri ke Perak melalui Kroh (sekarang Pengkalan Hulu), iaitu melalui rimba sempadan Perak – Selatan Siam menuju ke Kerunai dekat Koh Dahulu (Grik) dan kampung Pelang, Barsia, Ulu Kenerong, Kenayat dan Tawai. Ada pula di antara mereka yang telah melarikan diri ke dalam rimba yang kini terkenal dengan Belum dan Temengor.
Di antara keturunan orang-orang Melayu tersebut, ialah Allahyarham Wan Mohamed bin Haji Wan Teh bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Toh Johan bin Lahamat bekas ahli Dewan Undangan Nergeri Perak dan Profesor Dato’ Wan Hashim bin Haji Wan Teh bekas pensyarah Univesiti Kebangsaan dan kini ahli Dewan Rakyat (Grik).
Sebahagian dari orang-orang pelarian itu ada yang meneruskan perjalanan ke kampung-kampung dalam daerah kecil Lenggong, iaitu kampung-kampung, Sumpitan, Bukit Sapi, Gua Badak, Rambung, Geluk, Ulu Jepai, Bukit Nangka, Kampung Lahar dan Ulu Lenggong dan Chain.
Di antara keturunan mereka itu ialah Tan Sri Haji Mohd.Ghazali Jawi bekas Menteri Pertanian dan Menteri Besar Perak, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Yeop bekas ahli Dewan Rakyat kawasan Kuala Kangsar, Allahyarham Dato’ Haji Ahmad bin Said bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Dato’ Mohd.Nor bin Dahan ahli Dewan Rakyat (Grik), Dato’ Haji Saidin Mat Piah (bekas ahli Dewan Negeri kawasan Lenggong) dan Dato’ Mohd.Nazri bin Abdul Aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
Sebahagian dari pelarian-pelarian itu telah melalui Sumpitan ke Ijok dan Batu Kurau. Di antara keturunan merekia itu, ialah Allahyarham Dato’ Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa bekas Menteri Besar Perak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohd. Zihin bin Hj. Mohd.Hassan, Pengerusi UDA.
Rombongan pelarian yang berhijrah bersama nenek moyangku telah berhijrah ke kampung Changkat Berangan, Raban, Kuak dan Lata Papan dalam daerah kecil Lenggong dan ke kampung Jenalik dan kampungku, iaitu Kampung Ngor dalam daerah Kuala Kangsar.
Kampung Ngor yang asal, iaitu kampung Lama – kampung datuk nenekku telah tenggelam dalam tasik setelah sebuah Ampangan Perak River Hydro – Chenderoh Dam, yang dibina oleh syarikat Inggeris dengan saham-saham diperuntukkan kepada Sultan Perak, almarhum Sultan Iskandar Shah dan hartawan- hartawan Melayu dan kaum lain, di Tanah Melayu pada tahun 1930-an.
Kampung Ngor yang baru telah dibuka di kiri kanan jalan raya Kuala Kangsar –Grik tidak jauh dari kampung lama.Di antara orang-orang dari Legih, Patani yang tinggal di kampungku ,ialah Allahyarham Haji Yunus, Lebai Salleh dan datukku, Haji Jaafar bin Putih. Allahyarham Haji Yunos tidak meninggalkan keturunan. keturunan Lebai Salleh , ialah aku, Ustaz Salleh Sani bin Haji Harun al Hafiz bekas pegawai di Pusat Islam dan kini pengetua Ma’ahad Al Hafiz, Padang Balang, Kuala Lumpur dan ahli Lembaga Pengawalan Pelesenan Pencetakan al Quran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Kebanyakan pednduduk-penduduk kampungku terdiri daripada keturunan orang Pattani, sedikit dari orang-orang dari Pulau Pinang, Perak Utara dan Kedah Selatan. Mereka bekerja sebagai petani, penoreh getah dan nelayan tasik Chenderoh.
Pada masa ini ramai dari keturunan mereka telah berjaya menjadi insan yang berguna kepada negara ini, pegawai kerajaan, pensyarah universiti, ahli politik, pegawai bank, peniaga dan sebagainya.
Aku dan adikku, Ahmad Razali (Ghazali Petah) adalah generasi yang kedua yang telah melanjut pelajaran di luar kampung kami. Adikku telah melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Lucknaw, India. Sebelum memegang jawatan Pegawai Kebajikan FELDA, di Padang Piol, Pahang, dia telah berkhidmat sebagai guru agama di sekolah menengah Kerajaan Brunei Darus Salam.
Generasi pertama yang telah melanjut pelajaran hingga ke Indonesia, ialah Allahyarham Abdullah bin Lebai Salleh atau Dolah Kuak.
Pada umumnya orang-orang kampung dari keturunan Pattani gemar makan buah durian, petai, kerdas atau keduak dan jering. Mereka juga gemar makan budu, pekasam ikan, pekasam daging lembu dan pekasam daging kerbau.
Sayur – sayuran yang menjadi pengisi usus penduduk-penduduk kampungku pada tahun 1930-an hingga kepda zaman Jepun – jarang memakanan sayuran-sayuran yang ditanam oleh petani-petani China - , pucuk paku, paku rawan, kangkong, pucuk salang, putat dan jenis-jenis umbut, seperti kabung, bayas, rotan, remedin hinggalah umbut tepus.
Berbagai jenis ikan air tawar terdapat dalam sungai Perak dan tasik Chenderoh, di antaranya, temoleh, pating, jelawat, belida, toman, tengalan, kelabau, sebarau, kaloi, sebarau dan betuk atau ikan hantu.
Masih wujud dalam ingatanku, iaitu pada masa aku masih kanak-kanak – bersekolah Melayu dalam darjah tiga dan empat – kebanyakan orang kampungku buta huruf Rumi tetapi celek hurup Jawi. Ramai pula yang boleh membaca tulisan Arab dari Quran, Hadis dan kitab-kitab agama Islam yang kebanyakannya dibawa masuk dari Pattani, di antara kitab-kitab itu ialah:
( 1 ) Furu’ al Masail, terjemahan
Sheikh Daud Abdullah Pattani.
( 2 ) Hdayatul mutaallim, Sheikh Daud
Abdullah Pattani.
( 3 ) Khulasatul Asrar, terjemahan
Sheikh Abdul Kadir AbdulRahman.
( 4 ) Anwanul Falah, Sheikh Ahmad
bin Muhammad Zain bin Mustafa
bin Muhammad Pattani.
( 5 ) Al Bahrul wafi wan nahrus sofi,
Sheikh Ismail binDaud Pattani.
Sebelum orang-orang dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara behijrah ke kampungku, mereka hidup dalam keadaan bermuafakat atau hidup dalam aman dan damai serta bergotong-royong. Pendeknya penduduk-penduduk yang kira-kira tujuh ratus orang itu hidup dalam keadaan sebuah keluarga dalam sebuah ’rumahku syurgaku’.
Sama ada orang-orang dewasa mahupun pemuda pemudi mempunyai peribadi mulia. Mereka menghormati antara satu dengan yang lain. Tidak wujud kejadian jenayah dan perbuatan mengganggu anak isteri jiran tetangga.
Tetapi setelah negara mencapai kemerdekaan, keadaan di kampungku telah berubah, iaitu keadaan yang baik dan mulia beransur hilang dan keadaan itu berganti dengan keadaan ysng tidak baik. Wujud di dalam kampugku kejadian-kejadian seperti hasad atau dengki, umpat keji, jenayah kecil seperti mencuri, mencurahkan cuka getah kepada haiwan ternakan jiran tetangga dan sebagainya.
Pada tahun 1940-an hingga hujung tahun 1950-an masih ada lagi amalan yang berlawanan dengan agama Islam atau akidah oleh sebilangan kecil dari penduduk-penduduk kampungku, seperti menjamu hantu jembalang. Menjamu dengan menggunakan sangkak dibuat dari buluh yang diisi dengan makanan dan diletakkan di belakang rumah, memotong ekor lembu dara dan diarak sekeliling kampung untuk menjamu penunggu.
Apabila isteri hamil sulung diadakan istiadat lenggang perut dengan si isteri itu berbaring di muka pintu dan dilakukan lenggang perut oleh mak bidan. Begitu juga percaya kepada perkara-perkara tahyul, menggunakan bomoh – bomoh yang menggunakan jin, jembalang atau pelesit dan penunggu-penunggu kubur dan sebagainya.
Aku mengakui, bahawa peranan mu’allim (guru agama), di antaranya Syeikh Haji Nawawi Mohammad (janggut merah), Lebai Salleh dan Haji Omar Lata Papan telah berjaya memperbaiki akidah dan akhlak penduduk-penduduk kampungku sekitar tahun 1930-an hingga kepada zaman pemerintahan tentera Jepun.
Walaupun tentera-tentera Jepun zalim dan penduduk-penduduk kampungku menderita kelaparan, berpenyakit dan sebagainya, tetapi dari penderitaan yang dilakukan oleh askar Jepun mereka diberi rahmat oleh Allah; mereka didatangi kesedaran untuk merdeka dari penjajah Inggeris.
Selain daripada kezaliman askar Jepun, mereka telah mendapat kesedaran dari beberapa orang guru agama dan mubaligh yang telah datang ke kampungku. Mereka itu telah menerangkan kepada penduduk-penduduk kampungku, bahawa Allah dan rasul-Nya telah menunjuukkan kepada umat manusia supaya hidup bebas dan merdeka di bawah kalimah tauhid dan bebas dari cengkaman kekuasaan manusia. *
Pada Julai 2000 kampung Ngor dan Jelaik terkenal ke seluruh dunia kerana
Anak kampung ini, Mohd. Amin bin ghazali bin Hussein telah dituduh mengetuai gerakan Al Ma’unah.Dia dituduh dengan tuduhan berat dan digantung di penjara, Sungai Bulur.
Al-Ma'unah adalah sebuah organisasi pengganas militan di Malaysia yang terkenal dengan keberaniannya melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan. Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Sauk, negeri Perak dan terlibat dalam pertempuran di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.(Wekipedia)
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.