Monday, June 18, 2012


TERKENANG


                      JUAL BUAH BERANGAN


Pada bulan Februari 1943, semua sekolah kerajaan telah dibuka semula. Aku, adikku dan beberapa orang kawan-kawanku telah berulang alik dari ladang kami ke sekolah dengan berjalan kaki yang jauhnya  lebih enam kilometer.                                       
Di antara murid-murid perempuan yang menyertai kami berjalan kaki, ialah Sofiah binti Mahmud, Asiah binti Haji Yunus dan Aminah binti Othman.
Perjalanan kami ke sekolah bemula pada waktu Subuh. Dari rumah berjalan dalam kebun getah kira-kira satu setengah kilometer, menyeberang sungai Ngor yang titinya, hanya dua batang pinang. Berjalan lagi dalam kebun getah dan tanah perkuburan yang semak samun dan mengikuti batas sawah padi sebelum keluar ke jalan raya. Kami berjalan kaki atas jalan ke sekolah kira-kira tiga kelometer jauhnya.
Guru Besar sekolahku, Cikgu Yeop Hasnan telah meninggal dunia kerana telah ditembak oleh orang yang tidak dikenali di Langkau, dekat Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.Guru Besar yang baru, ialah Cikgu Ahmad bin Yasin dan Penolongnya, Cikgu Abdul Rahman dari Malim Nawar, Perak. Isteri Guru  Besar, Cikgu Ramlah adalah guru perempuan yang pertama di sekolah itu selepas perang dunia kedua.
Kerajaan Jepun telah mewajibkan semua murid-murid sekolah di seluruh Semenanjung Tanah Melayu belajar bahasa Jepun. Dua hari dalam seminggu kami telah diwajibkan belajar bahasa tersebut. Selain dari seorang guru khas telah mengajar bahasa Jepun di sekolah kami, dua hari dalam seminggu tiga orang askar Jepun dari khemah mereka di pekan Sauk telah datang mengajar bahasa mereka  kepada kami.     
Aku masih ingat akan kata-kata seorang pegawai askar Jepun kepada kami, iaitu orang Melayu jadi malas kerana orang Inggeris mahu mereka menjadi orang-orang malas dan lemah. Guru yang mengajar dan pelajaran yang mereka ajar terdiri dari orang-orang malas dan lemah dan menjadikan murid-murid mereka bakal pemuda pemudi yang malas dan lemah.
”...guru yang malas bila dia mengajar murid-muridnya dia duduk atas meja depan mereka,” kata pegawai askar Jepun itu.
Dari hari ke hari sehari semua penduduk dicekik oleh kelaparan. Beras dan jagung tidak ada dan kalau ada pun amat sedikit. Mereka terpaksa memakan ubi kayu dan pisang rebus bersama kulitnya. Ada yang memakan nasi randau, iaitu nasi dicampurkan dengan ubi kayu atau pisang yang telah direbus dan kemudian ditumbuk dalam lesung batu.
Selain dari ubi kayu dan pisang, ubi keladi, ubi ara (gadung), sagu rumbia dan ubi-ubi dalam hutan rimba telah menjadi makanan keperluan bagi penduduk-penduduk di kampung-kampung pada masa itu.
Terdapat juga penduduk-penduduk dalam kawasan antara Grik dengan Kroh (Pangkalan Hulu) telah mencampurkan nasi dengan buah jering yang telah masak dan cambah. Buah-buah jering itu direbus sehingga lembut dan kemudian ditumbuk seperti menumbuk ubi kayu.Ada yang makan buah jering tumbuk itu sahaja dan ada yang dicampurkan dengan nasi.
  Pada tiap-tiap hari aku dan adikku telah membawa bekal nasi ke sekolah. Kami tidak terpaksa makan ubi atau pisang atau nasi randau, kerana bapa dan ibuku ada menyimpan padi huma. Selain dari padi yang mereka simpan, pokok-pokok padi huma yang telah mereka tanam telah berbuah dan masak. 
 Pada tiap-tiap hari aku dan adikku telah membawa bekal nasi bungkus ke sekolah. Nasi berlaukkan ikan sungai atau telur ayam yang telah digulai atau digoreng. Malangnya, kami tidak dapat memakan bekalan kami itu pada tiap-tiap hari kerana telah dicuri oleh murid-murid lain.
Berhampiran dengan rumah datukku di kampung kami, ada sepokok berangan yang besar dan berbuah lebat. Di ladang bapaku ada sepokok berangan yang berbuah lebat juga. Maka pada tiap-tiap hari aku telah menjual buah-buah berangan goreng   kepada murid-murid di sekolah. Aku telah menjadi murid yang mengutip ilmu dari guru-guru dan menjual buah-buah berangan goreng kepada murid-murid. Nasib baiklah dalam sekolah itu tidak ada murid yang bernama ’Mokhtar’, kalau ada dua tiga orang lagi bernama ’Mokhtar’, maka tentuklah kawan-kawanku telah menggelarkan aku dengan gelaran ’Mokhtar Berangan’.*

* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, (belum terebit), oleh: Mokhtar Petah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.