Tuesday, June 19, 2012




TERKENANG


       SULTAN GEMAR SANTAP IKAN KELI BAKAR

Pada masa Menteri Besar, Wan Mohamed ramai orang Melayu di kawasan Hulu Perak yang telah menjadi ’orang kaya baru’ atau ’kaya mee segera’. Mereka itu telah mendapat kawasan kayu balak yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri kepada syarikat milik masing-masing.
Di antara orang kaya baru itu, ialah Encik Ismail Dibong. Semenjak dia menjadi hartawan dia telah tinggal di Ipoh. Dia bersama beberapa orang penggiat  politik, di Hulu Perak telah menjadi rakanku.
Pada satu malam, secara kebetulan aku telah tertembung dengan Ismail Dibong di sebuah hotel mewah, di Jalan Tambon, dalam Bandar Ipoh. Dia telah meminta aku menghantarnya ke kediaman Menteri Besar, kerana menurutnya, dia hendak menyerahkan beg kulit (briefcase) yang masih baru kepada Wan Mohamed.
PENIAGA BALAK
Sebaik-baik sahaja kami sampai di perkarangan kediaman Menteri Besar, Wan Mohamed telah menjemput kami masuk ke dalam bilik tamu. Dalam bilik tamu itu Ismail Dibong telah menyerahkan beg itu kepada Wan Mohamed. Kemudian telah membawa beg itu keluar dari bilik tetamu tersebut. Kira-kira sepuluh minit kemudian dia telah datang semula kepada kami. Aku telah mengesyaki sesuatu yang tak kena antara peniaga balak itu dengan Wan Mohemad.
Oleh kerana Ismail Bidong seorang rakan baikku dan dia seorang yang ’betul benar’, maka dalam perjalanan dari kediaman Menteri Besar ke hotel mewah tadi, dia telah memberitahu akan sesuatu yang ada dalam beg yang telah diberi kepada Wan Mohamed itu.
Pada tengah hari esoknya aku telah menemui Wan Mohamed di pejabatnya. Aku telah bercakap dengan dia mengenai beg kulit yang diterimanya dari Ismail Dibung pada malam tadi. Aku juga telah mengingat kembali percakapannya dengan aku pada hari-hari sebelum dia memegang jawatan Menteri Besar, iaitu dia akan adil, bersih, amanah dan bekerjasama dengan Sultan Perak.
BANYAK NASIHAT
Mungkin pada hari itu Wan Mohamed ada ’kirisis’ dalam dirinya, sebaik-baik sahaja dia mendengar percakapanku, dia telah melenting dan berkata, ”...you jangan cuba nak ajar I, ...I tau apa yang I buat..., I tak peduli orang lain kata...”
Aku bangun dari sofa di hadapanya dan berkata, ”...terima kasih, ...kita tunggu apa akan jadi pada you nanti...”.
Aku telah bersalaman dengannya dan keluar dari pejabatnya.
Sultan Idris Shah telah tidak puas hati terhadap Wan Mohamed, kerana Menteri Besar itu dikatakan mengikut banyak nasihat dari Ghazali Jawi. Pendeknya Sultan Idris Shah telah menganggap Wan Mohamed telah membelakangkan Baginda dalam semua perkara yang berhubungan dengan kerajaan negeri itu.
Pada satu hari, semua Orang Besar-Besar Negeri Perak telah mengadap Sultan Idris Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.  Mereka telah mengadu kepada Baginda mengenai beberapa perkara yang menimbulkan tidak puas hati di kalangan rakyat jelata, seluruh negeri Perak. Di antara mereka yang telah mengadu itu, ialah Toh Purba(Grik), Dato’ Setia(Parit), Dato’ Panglima Kinta (Ipoh) Dato’ Temenggung(Kuala Kangsar) dan Dato’ Panglima Bukit Gantang (Larut dan Matang).
MEMENDEKKAN TEMPOH
Sultan Idris Shah telah mengambil langkah mendekati rakyat jelata. Pada tiap-tiap hari Jumaat, Baginda telah berangkat sembahyang Jumaat di beberapa buah masjid, di luar bandar seluruh negeri Perak. Dalam semua titah ucapan Baginda di masjid-msjid tersebut telah di sentuh mengenai  Menteri Besar dan beberapa perkara lagi mengenai pentadbiran negeri.
Tindakan Sultan Perak itu telah menggoyangkan kedudukan Wan Mohamed sebagai Menteri besar. Dia amat khuatirkan kalau-kalau Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad akan memendekkan tempoh kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak.
Pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam. Beliau mempunyai hubungan yang erat dengan beberapa orang tokoh UMNO Negeri Perak yang tidak menyebelahi Wan Mohamed.
Cerita Sultan Idris Shah telah berunding dengan Musa Hitam untuk memendekkan tempoh Wan Mohamed dari jawatan Menteri Besar, telah tersebar dari mulut ke mulut di kalangan orang ramai.
KALANGAN POLITIKUS 
Walaupun cerita itu tidak menjadi berita dalam mana-mana media, tetapi Wan Mohamed sendiri berada dalam keadaan gelisah.
Sementara dari Hulu Perak timbul cerita Wan Mohamed telah menggunakan bomoh atau dukun untuk melembutkan hati Sultan Idris Shah. Cerita itu segera menjadi buah mulut orang ramai. Cerita itu  telah menjadi penggerak kepada beberapa orang ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang mempunyai hajat untuk menduduki kerusi Menteri Besar Perak setelah dikosongkan oleh Wan Mohamed. Disebar pula oleh kalangan politikus yang mencari peluang menangguk di air keruh.    
Seorang ahli Dewan Undangan Negeri di Perak Selatan, seorang dari Teluk Intan, seorang dari Parit dan  tiga orang dari Perak utara, telah menemui aku dan meminta aku menolong mereka, iaitu menyembahkan hajat mereka itu kepada Sultan Idris Shah, supaya Baginda melantik mereka menjadi Menteri Besar. Aku telah memberitahu mereka, kononnya Sultan Idris Shah telah ada orang yang akan dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.
Ada pula di antara mereka bersikap golok mata dua; pada waktu berada di hadapan Sultan Idris Shah, mereka membruk-burukkan Wan Mohamed dan pada ketika di hadapan Wan Mohamed, mereka memburuk-burukkan Sultan Perak pula.
KELI BAKAR
Pada tahun 1982, Sultan Idris Shah telah berangkat ke Kota London. Sebelum berangkat ke London, Baginda telah mengajak aku pergi bersamanya ke sana, tetapi kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan aku tidak mengikuti Baginda.    
Kira-kira 27 jam Sultan Idris dan rombongan Baginda berada di Kota London, kira-kira jam 11.00 malam, aku telah menerima titah dari Baginda melalui telefon dari Bandaraya Inggeris itu. Baginda telah memberitahu, yang Wan Mohamed bersama adiknya, Wan Othman  dan beberapa orang lagi, telah berada di Kota London dan mereka akan membawa ikan keli bakar (Sultan Idris Shah gemar makan ikan keli bakar)  kepada Baginda.
” ...good news for you, ...itu le  you, I ajak you datang, tak mau, kalau you ada, kan baik...,”titah Sultan Idris Shah.
”Ampun, Sir , ai, bagus tu, apa dia, Sir?” Aku bertanya.
”...Wan Mohamed dah ada di sini, ...nak mengadap aku, ...dia nak bawa ikan keli berbakor weh...,” titah Siltan Idris.
 Ketawa.    
”...eh, ia ke, Sir?” aku bertanya.
”Entah le, deme yang kata ikan tu berjampi..., you tanya Tok Purba...,”jawab Sultan Idris.
”...berjam, ai, mana ada bomoh di London tu, Sir, ...sin sih Cina ada di China Town tu,”aku berkata.
”...eh, bukan sin sihle, ...bomoh Siam, ...nak lembutkan hati aku,”titah Sultan Idris.
”Macam ilmu pengasih aje,” kataku.
”...bolehke aku makan...?” Sultan Idris Shah bertanya.
”...boleh, santap le, senang aje, ....belum Sir santap, baca al fatihah, baca ayat yang Sheikh Abdullah Pak Him beri tu..., tawarle jampi mentera tu...,”aku berkata kepada Sultan Idiris Shah.
”Iale, ...hai, tak pernah dibuat orang, ikan keli bakar..., bawa ke London ni,”titah Sultan Idris sambil meletakkan telefon.
KELI BERJAMPI
Besoknya aku telah menelefon To Purba Lahamat, di Grik. Aku telah bertanya perkara ikan keli bakar itu. Dia telah menjelaskan, memang benar Wan Mohamed telah membawa ikan keli bakar ke Kota London, tetapi dia tidak dapat mengetahui sama ada ikan itu telah dijampi atau  tidak.
Aku juga menghubungi beberapa orang yang rapat dengan Wan Mohamed di Grik dan Penkalan Hulu. Mereka telah mengakui yang Wan Mohamed telah membawa ikan keli bakar  kepada Sultan Idris di London. Ikan keli itu telah dijampi oleh seorang bomoh dari Selatan Siam.
 Aku telah menulis beberapa artikel mengenai krisis politik di negeri Perak dan disiarkan dalam minggu Bumi. Artikel mengenai Wan Mohamed membawa ikan keli berjampi kepada Sultan Idris Shah di Kota London, telah menarik perhatian ramai pembaca. Pada masa itu surat khabar tersebut telah menjadi bahan bacaan yang laris, di seluruh negeri Perak.*

* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
   (belum terbit) , oleh: Mokhtar Petah Shahrir Aidid

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.