KENANGAN
PENGALAMAN DALAM HIDUP
Aku telah berkhidmat sebagai wartawan dengan surat khabar Patriot. Pada masa itu, untuk mengirim berita kepada media dengan jalan pos, kapal terbang, telefon. Belum ada komputer dan internet. Aku mendapat kemudahan mengirim berita-berita (yang perlu segera) kepada Harian Patriot dengan perkhidmatan telekom, iaitu menggunakan’collect press’.
Pada masa itu aku masih menulis artikel-artikel untuk surat khabar dan majalah Melayu di Singapura dan Pulau Pinang.
Selama aku mewakili Harian Patriot negara ini, aku telah diundang oleh pihak suratkhabar itu ke pejabat mereka di Medan. Pada kali pertama aku di sana, pada minggu ketiga bulan Mac 1958, kerana menyambut dua orang tokoh politik Indoensia, D.N.Aidid (Parti Komunis Indonesia) dan Subandrio (Menteri Luar Indonesia) yang melawat ke pejabat surat khabar itu. Aku telah berkesempatan berkenalan dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka.
Walaupun D.N.Aidid memperjuangkan komunisme, tetapi dalam masalah bangsa, dia tetap dengan ’satu bangsa, Bangsa Indonesia’. Dia tidak mahu bangsa Indonesia berkongsi kuasa dengan orang-orang keturunan pendatang.
D.N.Idid dan Subandrio sependapat tentang Nusantara atau Melayu Raya. Menurut mereka, pada masa akan datang wilayah Nusantara atau Melayu Raya, tidak mungkin dikalahkan oleh mana-mana kuasa besar, tetapi akan wujud negara-negara di dalam wilayah itu dikuasai oleh penjajah bentuk baru, termasuk penularan kebudayaan barat, bahasa dan perdagangan
Lawatanku kali yang kedua ke pejabat Harian Patriot, ialah dalam perjalananku ke Jakarta atas jemputan pihak pejabat Presiden Soekarno, pada 1 Mei 1958. Aku bersama enam orang wartawan dari Kota Medan, telah mengadap Presiden Soekarno, di pejabatnya pada watu tengah hari. Pada sebelah petangnya kami telah dijemput minum petang di istananya.
Soekarno telan bercakap denganku tentang masa depan Persekutuan Tanah Melayu, perhubungan bangsa dua serumpun, iaitu bangsa Melayu Semenanjung dan bangsa Indonesia dari Sabang hingga ke Maroke, adalah bangsa yang besar di Asia. Menurutnya penjajah bentuk baru sedang berusaha untuk menguasai beberapa kawasan di Nusantara atau Melayu Raya.
Dia telah menekankan, bangsa Melayu dan Indonesia adalah saudara dua serumpun, sepanjang perjalanan sejarah bangsa Melayu, ada kalanya dua saudara itu bergeseran atau berkrisis, tetapi akhirnya mereka bercantum semula seperti ’carik-carik bulu ayam’ atau ’biduk lalu kiambang bertaut’.
Presiden Indonesia itu telah membayangkan, penjajah Inggeris akan menggunakan diplomasi penjajahannya untuk menjadikan Persekutuan Tanan Melayu sebagai benteng mengawal ekonominya, di sekitar kepulauan Melayu, terutama Brunei, Sarawak dan Sabah.
Presiden Soekarno telah menyatakan, hasrat rakyat dalam lingkungan Kalimantan Utara termasuk Brunei, Sarawak dan Sabah untuk berdiri atas kaki sendiri sebagai sebuah negara merdeka akan dihalang oleh Inggeris, kerana dalam wilayah itu Inggeris, Amerika dan negara-negara mempunyai kepentingan eknomi mereka.
Pada waktu kami akan meninggalkan istana, Presiden Soekarno telah menghadiahkan kepada kami masing-masing sebuah gambarnya yang berpakaian seragam serba putih, bersongkok dan sedang memegang tongkat. Setiap gambar itu dalam sebuah bingkai (frame) yang cantik.Aku telah mendapat tahu, memang telah menjadi kebiasaan pada Presiden Indonesia itu, setiap orang yang menziarahnya, dihadiahkan sebuah gambarnya bersama bingkainya sekali.
Selama tiga hari di Jakarta, aku berkesempatan bertemu dengan beberapa orang penulis terkenal di sana, di antaranya, Haji Abdul Malik Karim Amarullah – HAMKA, Mochtar Lubis dan Rusihan Anwar. Aku telah bertemu dengan ramai penulis dan seniman Indonesia di Taman Marzuki.
Mungkin kerana para penulis, wartawan dan seniman Indonesia telah berpengalaman dengan revolusi atau mereka terdiri dari anak-anak pejuang revolusi Indonesia, aku telah mendapati mereka amat mencintai bahasa Indonesia (Melayu) dan aman mementingkan karya seni mereka.
Sebagai contoh atas keperihatinan para seniman terhadap kerya seni mereka, aku telah mengutip dua baris sajak seorang penyair Indonesia ’Angkatan 45’, Asrul Sani, dalam sebuah sajaknya ’Pengungsi’, iaitu:
Kami telah pilih bencana sebagai kerja,
Dan ini hanya berakhir dengan rana.
Manakala dalam sajaknya, ’Elegi Jakarta’:
Ia yang hendak mencipta,
Menciptalah atas bumi ini,
Ia yang akan tewas,
Tewaslah kerana kehidupan.
Kita yang mau mencipta dan akan tewas
Akan berlaku untuk ini dengan cinta,
dan akan jatuh seperti permata mahkota
berderai sebutir demi sebutir.
Kira-kira tiga bulan setelah aku pulang dari Jakarta, aku telah ditawarkan untuk mengikuti kursus singkat sains politik - jarak jauh selama enam bulan - , di bawah kelolaan Pejabat Presiden Soekarno dengan kerjasama pihak sebuah universiti, di Jakarta selama enam bulan.
Kursus itu bertujuan mewujudkan individu-individu yang mempunyai pandangan, bahawa Melayu Raya satu rangkaian negara-negara ’serumpun bangsa’, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia (akan masuk Republik Kesatuan Kalimantan Utara (KKU)-Brunei, Sarawak dan Sabah) yang kuat dalam bidang ekonomi, politik, pertahanan, kebudayaan dan sosial.
Aku dan wartawan-wartawan lain yang telah mengikiuti kursus itu, akan menjadi penterjemah cita-cita dan perjuangan ’ serumpun bangsa’ tersebut.
Pada masa itu dari risikan Pemerintah Indonesia dan Filipina mendapati, bahawa British, Amerika Syarikat, Australia dan Cina Seberang laut sedang merancang untuk memecah-belahkan atas beberapa negara-negara dalam Nusantara untuk menjadi negara baru di bawah pengaruh mereka. Di antaranya, Singapura (Cina seberang laut), Brunei, Sarawak dan Sabah (Amerika Syarikat dan British) dan Irian Barat (Australia).
Selama aku mengikuti kursus itu beberapa naskhah ilmu politik tulisan tangan Presiden Soekarno telah dikirimkan kepadaku untuk kajian dan penyelidikan. Tulisannya yang dapat aku ringkaskan, antaranya dalah seperti berikut:
( 1 ) British dan rakan-rakan penjajahnya khuatir semua
hartanya
di sekitar Borneo – Brunei, Sarawak dan Sabah - , akan
terlepas ke sebuah pemerintahan baru, iaitu Republik
Kalimantan Utara, maka Inggeris akan menggesa Tunku
Abdul Rahman menubuhkan satu gagasan baru yang
meliputi tiga kawasan di Borneo itu.Dengan gagasan
baru itu
semua harta milik Britisah dan rakannya kekal sebagai
milik
mereka.
( 2 ) British mempunyai rancangan supaya Singapura
menyertai Malaysia dan kemudian keluar dari gagasan
baru itu sebagai sebuah negara merdeka. Dengan
demikian British akan berjaya membalas budi orang-
orang Cina seberang laut.
( 3 ) British mahukan bekas tanah jajahannya berubah dari
nama asalnya Tanah Melayu kepada satu nama yang
bersifat kuasa bersama Melayu, China dan India, dan
pada satu masa akan berlaku tindakan pemimpin semua
kaum itu menghapuskan kedaulatan Raja Melayu.
Penghapusan itu akan dengan sendiri menghapuskan
Kedaulatan dan kekebalan Raja Melayu yang menjadi
ketua agama Islam.
Ketuanan Melayu mengikut tradisi akan hilang dan
bangsa Melayu akan menjadi satu kaum sahaja di bumi
mereka sendiri.
Beberapa bulan kemudian, Harian Patriot terpaksa di tutup, kerana pejabatnya di Kota Medan telah diserang oleh beratus-ratus mahasiswa universiti Islam di kota tersebut. Semua alat kelengkapan dalam pejabat itu, mesin tulis, mesin teleprinter, faks, telefon, perabot dan harta benda di dalamnya telah musnah.
Para mahasiswa itu telah bertindak demikian kerana surat khabar itu dimiliki oleh Parti Komunis Indonesia (PKI), di bawah pimpinan D.N.Aidid.
*** ****
Mungkin ada orang yang dapat mengakui, bahawa setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, telah wujud perbedaan menerima kemerdekaan itu di kalangan orang Melayu. Orang Melayu golongan kanan, iaitu memihak di sebelah UMNO telah menganggap kemerdekaan yang telah dicapai itu sebagai satu ’nikmat’ yang tidak ada mudaratnya. Manakala golongan kiri telah berpendapat, kemerdekaan akan menjadi batas waktu merosotnya nilai bangsa Melayu, kehakisan daulat Raja-Raja Melayu dan orang Melayu akan hanya berjaya seperti penyabung ayam, ’ memang sorak kampung tergadai’.
Tetapi kerana Tunku Abdul Rahman bersama golongannya dengan kekuatan dan kekuasaan, telah mewujudkan berbagai-bagai ’nikmat baru’, maka golongan kiri menjadi tersisih dan pendapat mereka tidak berguna lagi.
Tunku Abdul Rahman dan golongannya, secara terang menyifat dan menuduh orang Melayu golongan Kiri, sebagai ’makhluk perosak’ kepada kerajaan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian dinamakan Malaysia.
Contoh–contoh yang nyatakan, Tunku Abdul Rahman telah membelakangi pejuang-pejuang Melayu seperti Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam dan ramai lagi, sebaliknya dia telah menerima pendapat golongan keturunan pendatang – mereka golongan kapitalis -, sebagai rakan membina negara baru, Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).
Manakala cita-cita dan perjuangan orang Melayu yang tidak menyebelahi Tunku Abdul Rahman, telah dianggap oleh orang-orang keturunan pendatang sebagai chauvinist (orang yang telalu mencintai tanahair) yang mesti dikuburkan.
’Biar saya akui, bahawa dalam masyarakat berbilang – bangsa- keturunan di Malaysia juga terdaspat bahaya kemusnahannya sendiri. Kalau dibawah tekanan luar konfrantasi Indonesia, pemimpin-pemimpin bagi berbagai-bagai kaum di Malaysia menyahut seruan bukan dengan sifatnya sebagai bangsa Malaysia, tetapi sebagai sekian ramai orang-orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, maka akhirnya mestilah berlaku perpecahan. Misalnya, kalau pucuk pimpinan di Malaysia yang berhadapan dengan seruan-seruan Indonesia supaya berpegang kepada fahaman chauvinis(orang yang terlampau cintakan tanahair) Melayu cuba menandingi atau membenci orang-orang Indonesia itu, maka tekanan akan dikenakan yang akan membahagikan bangsa kepada bandar dengan luar bandar, kepada orang-orang dagang dengan kanak-kanak Bumiputera, antara orang-orang yang maju ekonominya dengan orang-orang yang mundur ekonominya.
Bahaya yang sebenarnya ialah kelemahan dalam negeri Malaysia sendiri. Iaitu tindakan-tindakan subversiv Indonesia yang ditujukan untuk memikat orang-orang Melayu dalam Malaysia. Kalau pemimpin-pemimpin Malaysia menyahut dengan sekian ramai orang-orang Melayu, Cina dan India dan lain-lain, dan tidak sebagai bangsa Malaysia, maka timbul kerumitan. Kerana semakin kuat pucuk pimpinan Melayu di Malaysia menyuarakan faham kebangsaan Melayu, akan semakin bertambah kuat pula orang-orang bukan Melayu di Malaysia meragukan masa depan mereka. Apa akan terjadi bila perpecahan berlaku terlampau buruk benar untuk difikirkan. Cukuplah dengan mengatakan bahawa dari segi theory ada tiga kemungkinan: pertama. Malaysia akan disedut atau ditaklukkan oleh sebuah kuasa yang ketiga, kedua, satu kaum menguasai kaum-kaum yang lain di Malaysia, dan ketiga, satu pengaliran ke arah pengasingan kaum-kaum akhirnya pembelahan-bahagi Malaysia. Ketiga-tiganya mempunyai pengertian yang mengerikan.
Pada masa itulah, di mana-mana sahaja, terdengar bisikan di kalangan orang-orang Melayu, bahawa Tunku Abdul Rahman ’lembut telinga’ dengan orang-orang golongan tersebut. Manakala kalangan ahli-ahli UMNO yang kuat berpegang kepada cita-cita nasionalis Melayu dan agama Islam, telah memandang serong kepada Tunku Abdul Rahman, lebih-lebih lagi setelah Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan gagasan Malaysia dalam jamuan makan tengahari anjuran wartawan-wartawan Tenggara Asia, di Adelphi hotel Singapura. Tunku tidak berundinng lebih dahulu dengan Majlis Tertinggi UMNO dan ahli-ahli parlimen serta kabinet sebelumnya.
Tidak ramai orang yang mengetahui, bahawa kerana hendak melembutkan hati orang-orang UMNO dan orang-orang dari keturunan pendatang, Tunku Abdul Rahman telah mewujudkan satu gelaran besar kebesaran, iaitu Tan Sri. Gelaran itu tidak ada dalam ’Institusi Istana’ orang Melayu. Yang telah wujud dalam’Institusi Istana’ Melayu ialah, gelaran ’Tun’, iaitu gelaran yang paling tinggi.
Setelah gelaran ’Tan Sri’ diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahaman, aku telah bertanya kepadanya. Jawapannya mudah dan melucukan, katanaya, ”...depa duk nak minta gelaran Tun, ...mana ada banyak, yang duk nak ghamai.”
”...apa salahnya, kita ambik Tan dari nama Tan Cheng Lock, ambil pulak Sri dari nama Sri V.T. Sambanthan, ...Tan Sri...,” kata Tunku sambil ketawa.
Aku mendapati pada sekitar Persekutuan Tanah Melayu di ambang kemerdekaan, kalangan keturunan pendatang di Singapura dan terdapat juga di Semenanjung, mempunyai rancangan yang tidak terfikir oleh semua orang Melayu, iaitu mahu menjadikan Singapura sebuah kerajaan yang tidak diperintah oleh orang Melayu. Usaha mengenepikan para politikus dan pemimpin Melayu pada masa itu telah menjadi ’bisik penjajah bentuk baru’ di Singapura.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan
Paruh, oleh: Mokhtar Petah
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.