PEMIMPIN - PEMIMPIN KITA
“Jika dipanjangkan usia kamu akan tiba kepada kamu satu zaman nanti, ramai juru khutbah (pemidato), sedikit ulama yang berwibawa, ramai yang meminta, sedikit yang memberi, hawa nafsu memacu ilmu pengetahuan. (zaman itu) ialah apabila sembahyang dihina (ditinggalkan), rasuah diterima, agama dijual (tukar dengan harta benda)”.[1]
Pada waktu saya menulis artikel ini, ingatan saya terhimbau kepada tahun 1953; pada tahun itu saya masih menuntut di sekolah Daeratul Maariful Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perak. Tahun itu berada dalam zaman orang Melayu menuntut kemerdekaan tanah air. Pemacu perjuangan orang Melayu pada zaman itu, ialah Allahyarham Tuanku Abdul Rahman.
Mudir (pengetua) sekolah agama itu ialah, Allahyarham Haji Ahmad Badawi, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya. Manakala bapanya, Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim memikul tanggungjawab sebagai penaung dan penasihat sekolah tersebut.
Pada satu petang, seperti petang-petang sebelumnya, sebelum ke masjid untuk sembahyang Maghrib, kami bercakap-cakap di tanah lapang sekolah itu. Di antara rakan-rakan saya pada petang itu, ialah Khairudin Haji Ahad (Bagan Dato), Muhammad Mawardi dan adiknya, Muhammad Arif Haji Yasin (Bagan Dato), Ali Haji bin Hussein (bapa biduan Jamal Abdillah) (Teluk Anson), Salleh Taib (Kepala Batas) dan seorang kanak-kanak lawa, murid sebuah sekolah Inggeris Bukit Mertajam.
Entah mengapa; saya telah berkata kepada kanak-kanak itu, “...bagus, ana fikir enta ni pada satu masa nanti akan jadi macam Tunku Abdul Rahman...” Kanak- kanak itu hanya senyum. Mungkin pada waktu itu, dalam sarang kepalanya tidak terlintas akan apa yang saya katakan itu. Ertinya dia tidak tahu hal ehwal politik pada zaman itu.
Pada tahun 1997, saya telah pergi ke Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra, dekat Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pemergian saya ke sana untuk bertemu dengan ‘kanak-kanak lawa’ yang telah berjawatan Menteri Hal Ehwal Luar Malaysia.
Beberapa minggu sebelum saya pergi ke Wisma Putera, saya sering teringat akan kata-kata saya kepada ‘kanak-kanak lawa’ pada tahun 1954. Saya telah menggonggong keyakinan saya, bahawa kanak-kanak yang telah menjadi ‘bapa kanak-kanak’ itu akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Sang ‘bapa kanak-kanak’ itu, ialah Abdullah Badawi. Saya pergi ke Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia itu dengan tujuan untuk menemui beliau dengan tujuan untuk menulis sebuah buku tentang beliau, iaitu, ‘Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’.
Jarak waktu antara tahun 1953 dengan tahun 2003 terlalu panjang. Abdullah Badawi telah memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003.
Najib Tun Razak yang pernah diramalkan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri oleh guru agama kepada Abdullah Badawi pada tahun 1953, Allahyarham Ustaz Abdul Kadir bin Kamaluddin, Kampung Ketapang, Pekan, Pahang.
Ustaz Abdul Kadir bekas guru sekolah agama Kuliyatul Lughah wad Din, Pekan 1954. 1966 sekolah Sekolah Menengah Agama Al Attas, Pekan. 1967 Pegawai Pemeriksa Hal Ehwal Agama Islam dan bersara pada 1978. Mengambil kurus khas di Universiti Al Azhar, Masir hingga tahun 1982. Kemudian pada tahun 1988 bertugas sebagai guru agama PERKIM, Pengarah Muzium Sultan Abu Bakar dan guru agama sukarela Pahang.
Allahyarham telah menterjemahkan buku karangan Imam Ghazali, ‘Minhajul Abidin’ dengan nama ‘Cermin Budiman Bagi Mukmin’, diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pada tahun 1997.
Pada masa Abdullah Badawi masih Menteri Hal Ehwal Luar Malaysia, saya telah menziarahi Allahyarham di Kampung Ketapang, Pekan. Dalam percakapan dengan saya, dia meramalkan Abdullah Badawi akan naik ke tahap Perdana Menteri dan Najib Tun Razak akan menjadi pemimpin nombor dua negara ini.
Ramalan Allahyarham Ustaz Abdul Kadir itu telah menjadi kenyataan.
Najib Tun Razak menjadi rakah berganding bahu memimpin negara ini. Sebagai mengenanginya, maka, Hadis Nabi Muhammad s.a.w. di atas ini, saya telah cabut dari bukunya, ‘Cermin Budiman Bagi Mukmin’.Tujuan saya, ialah untuk menjadi panduan kepada dua pemimpin kita itu dan kita semua dalam menghadapi dua serba mencabar ini.
Kata-kata ulama bukan firman Tuhan dan bukan Hadis Nabi Muhammad s.a.w., kita boleh percaya dan boleh tidak percaya. Allahyarham Sheikh Haji Nawawi bin Muhammad - Tuan Cek Wi janggut merah(Perak), Haji Hussein Cek Dol dan Haji Abdul Rahman Merbuk (Kedah) ada berkata kepada zaman Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan, iaitu:
* “ Kalau kita dah merdeka pemimpin kita elok oghang Kedah, oghang mana-mana negeri, asal oghang Islam, tapi tak boleh oghang Kedah (termasuk Seberang Perai) bersama oghang Johor,” kata Sheikh Haji Nawawi Muhammad.
* “Kalau oghang kedah jadi pemimpin negeri kita, dia tak boleh bersama pemimpin dari Johor, tak elok..., dengan oghang negeghi-negeghi lain tak apa..., ”kata Haji Hussein Cek Dol.
* “ Oghang negeghi mana boleh jadi pemimpin, tapi kalau oghang Johor jadi pemimpin tak boleh sama dengan pemimpin daghi Kedah..., tak sebaluh...,”Haji Abdul Rahman Merbuk.
Pendapat ulama itu telah disokong oleh beberapa orang mualim kemudiannya, iaitu pada zaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman bergeser dengan Allahyarham Tun Dr. Ismail. Di antara mereka, Allahyarham Haji Mat Saman Kati (Perak), Guru Agama Istana Sultan Perak, Haji Khalid Ahmad (Kuala Kangsar), Haji Ibrahim Akibi (Pulau Pinang), Sheikh Tahir Jalaluddin (Kuala Kangsar), Sheikh Abu Bakar Ashaari (Perlis) dan Sheikh Fadhlullah Shuhaimi.
Saya telah bertanya kepada mereka akan sebab-sebab mereka berkata demikian. Mereka mengakui, bahawa ‘cakap mereka’ tidak boleh dipakai sangat. Boleh percaya dan boleh tak percaya.
Menurut mereka pada zaman silam, telah ada pergisiran politik berlaku antara orang Negeri Kedah dengan orang Negeri Johor (termasuk Singapura). Pergeseran itu menjadi besar. Akhirnya seorang mualim dari Padang Mat Sirat- Pulau Langkawi, telah di bunuh oleh orang-orang Johor pada waktu mualim itu sembahyang dalam sebuah masjid di Singapura.
Setelah orang-orang suruhan golongan politikus Negeri Johor itu menikam mualim itu, mereka meninggalkannya dalam masjid itu dengan menyangka mualim itu telah mati. Tetapi mualim itu tidak mati. Dia sempat balik ke kampungnya dengan cara luar biasa seperti yang berlaku pada para wali Allah.
Tragedi itu telah menjadi kisah yang sentiasa meniti atas bibir orang-orang Melayu yang arif tentang sejarah Nusantara. Sebuah pantun mengenai tragedi itu telah menjadi ingatan ahli-ahli sejarah hingga pada masa ini. Iaitu:
Telur itik dari Senggora,
Sayang pandan di langkahi;
Darah titi di Singapura,
Badan terdampar di Langkawi.
Pada tahun 1973, Perdana Menteri, Tun Razak telah melawat rasmi ke kawasan Taiping. Pada sebekah petang, Tun Razak, Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Kamaruddin Haji Mat Isa dan saya bercakap-cakap sambil minum teh di Rumah Rehat, dalam Bandar Taiping. Dalam percakapan itu saya bertanya pendapat Allahyarham tentang pendapat para ulama mengenai pemimpin-pemimpin seperti pendapat para ulama yang saya telah nyatakan di atas.
Kata Tun Razak “...saya ada juga dengar beberapa orang guru agama berkata macam tu, ...tapi pemimpin dari Negeri Pahang boleh kerja dengan pemimpin dari negeri mana juga....”
“Saya tak taulah pendapat ulama tu..., pandangan ulama tak sama dengan pandangan kita, mereka ada yang mursyid, ada yang kata orang pandang tembus..., kasyaf, laduni...,”kata Tun Razak.
Menurut Tun Razak, bahawa siapa juga menjadi pemimpin mesti jujur dengan kawan-kawannya yang sama memimpin, “saya dengan Tuanku Abdul Rahman contohnya, Tunku jujur kepada saya, saya jujur kepada Tunku, kami tak dapat dipengaruhi atau dicucuk (hasut) oleh orang lain.
Pendapat para ulama telah menjadi kenyataan. Pemimpin dari orang Kedah tidak boleh bersama pemimpin dari orang Johor. Tun Hussein ‘clash’ dengan Timbalannya, Dr.Mahathir Mohamad. Dr.Mahathir Mohamad ‘clash’ dengan timbalannya, Tan Sri Musa Hitam. Dr. Mahathir Mohamad ‘clash’ dengan timbalannya, Anwar Ibrahim. Akhir sekali, Dr Mahathir Mohamad setelah meninggalkan jawatan Perdana Menteri ‘clash’ dengan Abdullah Badawi.
Rakyat dan kerajaan Malaysia kini dipimpin oleh Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak. Di tangan mereka dan dengan sokongan para menteri kabinet, hala tuju negara ini dalam tangan mereka. Mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk meninggikan taraf orang Melayu dan menstabilkan ‘hidup saksama dan bersefahaman’ antara rakyat negara ini yang terdiri dari berbagai-bagai keturunan dan menganju berbagai-bagai agam.
Kita melihat mereka sama-sama meneruskan hasrat dan tindakan untuk menghapuskan rasuah. Rasuah dalam di kalangan manusia dalam kerajaan dan manusia dalam parti-parti politik, iaitu yang disebut ‘politik wang’. Seperti yang
kita maklum, selagi berbuat rasuah dan politik wang tidak dihapuskan, maka selama itu Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak menghadapi ‘jalan sukar’ untuk menegak kesaksamaan antara rakyat dan meninggikan ekonomi orang Melayu.
Walau bagai mana usaha yang mereka buat untuk memajukan orang Melayu dalam perniagaan dan perusahaan, tetapi kalau amalan rasuah masih berleluasa di kalangan pemegang kuasa dalam kerajaan, maka selama itulah orang Melayu tidak mendapat peluang memajukan perniagaan mereka. - Mokhtar Petah
[1] Hadis Nabi Muhammad s.a.w.: Dari Ibnu Masu’d kepada Harith bin ‘Umairah
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.