Friday, July 8, 2011

RENUNG JUMAAT






TAATKAN PEMERINTAH

Hai orang-orang yang beriman, taatlah (kepada) Allah, taatlah (kepada) Rasul-Nya, dan orang yang memerintah antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah)nya dan ulil amr (pemimpin) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagi kamu) lebih baik kemudahannya.
Perhatikan ayat Quran di atas, iaitu taat kepada Allah dan Rasul, wahyu Allah itu (taat). seperti ini: ‘Taat kepada Allah’ dan ‘taat kepada Rasul-Nya’. Tetapi taat kepada ulil amr (pemimpin) wahyu Allah itu seperti ini: ‘dan pemimpin’, iaitu tidak dinyatakan ‘ati’u’ (taat). Pokoknya, taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib, iaitu tidak boleh dibantah. Muktamad. Tetapi perintah pemimpin boleh dipertimbangkan, sama ada buruk atau baiknya.
Sheikh Abdullah Fahim menerangkan kepada saya mengenai masalah ini dengan mengambil kira kedudukan Tanah Melayu pada masa itu, di bawah jajahan Inggeris. Dari Raja- raja Melayu hingga kepada rakyat jelata di kampung-kampung pendalaman terpaksa taat kepada
kerajaan. Taat yang terpaksa tidak kira,sama ada pemerintah atau kerajaan itu mengikut jalan Allah atau makruf atau pun tidak.
Dalam keadaan, uma Islam yang terjajah, taat mereka kepada kerajaan penjajah dari orang-orang Kristian atau agama lain, adalah taat yang tidak ikhlas.
Sekiranya sesebuah negara diperintah oleh Presiden atau Raja Islam dan menjalankan pemerintahan atau kerajaan menggunakan perundangan Islam sepenuhnya atau sekadarnya sahaja, maka rakyat yang terdiri dari umat Islam wajib mentaatinya, selagi kerajaan itu tidak menjalankan pemerintahan yang bercanggah dengan Islam.
Sekiranya sebuah negara itu mengamalkan perundangan Islam, maka rakyat yang beragama Islam wajib dengan hati yang tulus ikhlas.
Imam Bukhari dan perawi-perawi lain dari Ibnu Abbas telah memberitahu, bahawa ayat Quran di atas telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. kerana seorang pemimpin tentera Islam, Abdullah bin Hudzafah bin Qais telah diamanahkan oleh Junjungan untuk memimpin sepasukan tentera Islam.
Pada satu hari Abdullah bin Hudzafah telah naik marah kepada anggota-
anggota pasukannya, lalu dia membuat unggun api dan memerintahkan semua anggota pasukannya masuk ke dalam unggun api yang sedang menyala marak itu. Pada ketika itu sebahagian dari anggota-anggota pasukan itu tidak mahu mematuhi perintahnya dan seorang lagi mahu mematuhinya.
Menurut satu riwayat dari Ibnu Jarir ayat di atas (An Nisa:49) diturunkan setelah Ammar bin Yasir melindungi seorang tawanan dengan tidak mendapat perintah dari panglimanya, Khalid bin Walid. Tindakan Ammar itu telah menimbulkan perselisihan.

Maka, dari dua kejadian di atas, dapatlah kita faham, bahawa setiap orang mukmin boleh mentaati pemimpinnya, selagi pemimpin menjalankan pemerintahan mengikut jalan tidak bertentangan dengan hukum Allah dan Rasul-Nya.
Sheikh Abdullah Fahim berpendapat, apabila didapati seseorang pemimpin orang Islam mulai menyimpang kepada jalan mungkar atau berlawanan dengan hukum-hukum Islam, maka rakyat wani menegur atau menasihatinya dengan mau’izah - baik. Jika dia tidak suka ditegur dan tidak mahu menerima nasihat, maka rakyat tidak wajib taat kepadanya.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (pakar dan berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum (peraturan) di antara manusia, (Allah memerintahkan) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (perintah) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah senantiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.
Jika pemimpin negara Islam itu tidak beragama Islam, maka rakyat dalam negara itu tidak wajib mentaatinya.
Sultan Ketua Agama
Keterangan
[Pada tahun 1951, satu kongres alim ulama seluruh Tanah Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Di antara keputusan yang dicapai dalam kongres itu, ialah, Raja Melayu menjadi ketua agama di negeri masing-masing (negeri yang ada raja). Keputusan itu di bawa kepada UMNO Malaya yang dipimpin oleh Dato’ Onn bin Jaafar supaya di kemukakan kepada Kerajaan Inggeris agar dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti ( pada 31 Ogos 1957). Hingga hari ini Raja Melayu bertaraf Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu di negeri masing-masing.-mp]
Sheikh Abdullah Fahim menjelaskan kepada saya, bahawa dia terlibat secara langsung dengan Jawatankuasa Khas UMNO Malaya mengadakan kongres itu. Keputusan itu dengan tujuan, apabila Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan, Raja-raja Melayu terus kekal dan menjadi kepada ‘Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu’ di negeri masing-masing.
Raja-raja memerintah di negeri masing-masing dengan kekuasaan yang ditentukan oleh Perlembagaan. Mereka berada di bawah Quran dan Sunnah. Tidak ada kekebalan seperti raja dalam negara yang beragam Hindu atau yang telah diamalkan oleh orang-orang Rum.
Dalam negara Islam, Raja- raja yang berkuasa tidak ada hak untuk mengampuni rakyatnya yang telah melakukan kesalahan dalam hudud (peraturan) Allah, seperti membunuh orang dan sebagainya. Hak mengampunkan dosa manusia adalah di tangan Allah.
Pengampunan yang dilakukan oleh Raja-raja Melayu adalah mengikut undang-undang ciptaan manusia. Pengampunan itu tidak menghapuskan dosa. Dosa orang yang membunuh orang tidak akan diampunkan oleh Allah selagi tidak orang itu melakukan hudud (peraturan) qisas (bunuh balas).
‘Mufti Kerajaan Perak, Dato’ Harussani bin Haji Zakaria, dalam satu pertemuan dengan saya di pejabatnya, di Ipoh, pada bulan November 1989 telah memberi pandangannya mengenai hubungan Raja-raja dan masa depan negera kita.
Menurutnya, Raja-raja Melayu elok mengkaji semula akan perlembagaan Negara Islam.
Beliau menekankan, bahawa perpecahan orang Melayu tidak harus dipandang sepi oleh Raja-raja Melayu, keran perpecahan itu akan mengakibatkan bangsa Melayu hancur dan Raja-raja Melayu akan turut hancur.
Sultan Perak, Sutan Azlan Shah (masih Ketua Hakim Negara), telah berucap di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pada tahun 1982, antara kandungan titah Baginda itu seperti berikut:
‘Di negara kita, takhta masih kekal sebagai satu simbol lambang perpaduan, sebagai punca dan tongkat keadilan, sebagai tempat memohon kasihan belas dan pengampunan, dan sebagai gedung pengurniaan bintang-bintang kehormatan.
Sejarah telah menunjukkan bahawa di setengah-setengah negara takhta telah dialihkan dari istana dan ditempatkan di muzium untuk dijadikan bahan sejarah budaya. Pada awal abad kesembilan belas, ada lebih daripada 900 buah takhta dalam dunia ini, tetapi bilangan ini telah turun satu demi satu – kepada 240 buah dalam abad kedua puluhan, dan pada hari ini – pada dekat kelapan abad kedua puluh – hanya terdapat 40 buah takhta sahaja.
Takhta Merak Kayangan di Iran telah dialih dari istana ke muzium sejarah kerana rakyat telah tidak lagi memberi kepercayaan dan taat setia kepada takhta, kononnya takhta Merak Pahlawi telah melebihi kuasa yang ada padanya.’
Pada tahun 1953, Tanah Melayu masih di bawah jajahan Inggeris. Raja-raja Melayu terletak di bawah nasihat dan perintah Inggeris. Sheikh Abdullah Fahim tidak bercakap mengenai Tanah Melayu selepas mencapai kemerdekaan. Dia sering berharap kerajaan Tanah Melayu setelah mencapai kemerdekaan akan beransur berubah menjadi sebuah Darul Islamiah (Negara Islam) yang perlembagaannya berdasarkan Quran dan Sunnah.
Pemimpin Bukan Islam
Sheikh Abdullah Fahim secara tegas berkata kepada saya, “ …orang Islam ambil orang kafir jadi ketua, berdosa…, bala…”. Dia lalu membaca sebuah firman Allah dalam Quran:
Katakan (hai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa kerajaan, Kamu berikan kerajaan kepada orang yang Kamu kehendaki. Kamu memuliakan orang yang Kamu kehendaki dan Kamu hinakan orang yang Kamu kehendaki. Di tangan Kamulah segala kebajikan. Sesungguhnya, Kamu Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Janganlah orang - orang yang beriman mengambil (melantik) orang-orang kafir menjadi teman ikrab (pemimpin-pemimpin) dan meninggalkan orang-orang beriman (lain). Dan sesiapa melakukandemikian maka tidak ada perhubungannya tidak dari Allah , kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya dari pihak mereka (orang kafir). Dan Allah perintahkan kamu supaya beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (memaksa kamu) Dan kepada Allah jugalah tempat (kemu) kembali.
Sheikh Abdullah Fahim meminta saya mengingati sejarah Nabi Muhammad s.a.w., bahawa dalam pemerintahan Nabi Muhamad s.a.w. yang bertaraf pemimpin atau eksekutif dari orang kafir yang duduk dalam majlis syura (parlimen) junjungan. Tetapi orang bukan Islam yang bertaraf kafir zimmi (setia) menjadi wakil golongan mereka ke majlis syura (parlimen).
Umat Islam dalam sesebuah negara Islam atau negara umat Islam tidak mendapat keredaan Allah jika mereka mengambil orang kafir menjadi pemimpin mereka, kecuali terpaksa, seperti akan menghadapi bahaya perang dan sebagainya. Perbuatan itu bertentangan dengan perintah Allah dalam firman-Nya di atas (Ali Imran: 28). Mereka tidak akan mendapat keredaan Allah.
Umat Islam juga tidak dibolehkan mengambil pemimpin mereka dari kalangan orang-orang munafik , iaitu orang-orang seperti Abdullah Ibnu Ubai, ketua golongan munafik pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. memerintah memimpin pemerintahan Islam di Madinah Al Munawwarah.
Dalam sejarah Islam, pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., bahawa dua pendeta Yahudi, Kaab bin Usaid bersama Abdullah bin Syuria telah datang menghadap Junjungan dengan tujuan untuk memesongkan Junjungan dari agama Islam. Mereka memberitahu Junjungan yang mereka pemimpin dan berpengaruh di kalangan kaum Yahudi. Jika mereka memeluk agama Islam dan mereka terus menjadi pemimpin, nescaya pengikut-pengikut mereka akan mengikut Junjungan, iaitu memeluk agama Islam.
Pada masa itu telah berlaku perselisihan di kalangan kaum Yahudi, dua pendeta itu mengharapkan Nabi Muhamamad s.a.w. menyelesaikan perselisihan itu. Mereka juga telah memberi
Jaminan (cara orang kafir atau munafik), bahawa mereka semua akan memeluk agama Islam. Junjungan s.a,w. Telah menolak hajat dua pendeta itu. Allah telah menurunkan firman-nya kepada Junjungan s.a.w., iaitu:
Dan hendaklah kamu menghukum di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah, dan kamu tidak boleh menurut kemahuan mereka yang rendah itu. Dan berhati-hati terhadap mereka, supaya mereka tidak sampai menyesatkan (mengelirukan) kamu dari sebahagian peraturan yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu. Tetapi kalau mereka enggan, ketahuilah, bahawa Allah hendak membinasakan mereka disebabkan sebahagian dari dosa-dosa mereka. Sesungguhnya
kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang jahat. Apakah hukum zaman jahiliah (kuno) yang mereka cari. Hukuman siapakah yang lebih baik dari hukuman Allah bagi kaum yang yakin?
Satu riwayat menyebabkan Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w., bahawa tokoh munafik tegar di Madinah, Abdullah bin Ubay bin Salut dan seorang tokoh Islam dari Bani Auf bin Khazraj, Ubadah bin Shamit terikat dengan perjanjian untuk saling mempertahankan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, iaitu ketika kaum itu memerangi Nabi Muhammad s.a.w., tetapi Abdullah bin Ubai tidak terlibat.
Abdullah bin Ubaidah bin Shamit telah menghadap Nabi Muhammad s.a.w. dengan tujuan untuk membersihkan dirinya kepada Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. dari ikatan dengan Bani Qainuqa’ serta memihak kepada Junjungan – menyatakan ketaatannya kepada Allah dan Junjungan. Allah telah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:
Hai orang-orang yang beriman, jangan kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani Kristian menjadi pemimpin, sebahagian mereka menjadi pemimpin yang lain. Sesiapa di antara kamu sekalian mengambil mereka (orang Yahudi dan Kristian) menjadi pemimpin, maka orang-orang itu termasuk dalam golongan mereka (Yahudi dan Kristian). Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan pimpinan kepada kaum yang zalim.
Dari Abi Hurairah r.a., bahawa dia telah mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda: “sesungguhnya orang yang paling jahat, ialah orang yang bermuka dua, datang kepada orang ini dengan stu muka dan kepada orang itu dengan satu muka lain.”
Orang-orang Islam wajib mentaati pemimpin negara mereka dari orang Islam, selagi pemimpin itu tidak menyimpang dari Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.).
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Hendaklah kamu mendengar dan mematuhi perintah, biar pun yang diangkat untuk memerintah kamu sekalian, seorang hamba, bangsa Habsyi, rambutnya bagaikan anggur kering.”
Dari Abdullah r.a., dari Nabi S.a.w.: “ seorang Islam perlu mendengar dan mematuhi perintah, yang disukainya atau tidak disukainya, selama tidak disuruh mengerjakan maksiat, tetapi apabila dia (pemimpin) menyuruh mengerjakan maksiat, tidak boleh didengar dan tidak boleh ditaati.”
Pengertian maksiat dalam Hadis di atas ini, ialah segala sesuatu yang ditegah oleh Allah dan Rasul- Nya, sama ada maksiat yang besar mahupun maksiat yang kecil.
Di antara maksiat-maksiat itu, ialah perjudian, menjual beli dan minum arah, perbuatan riba dalam perniagaan dan perdagangan, tidak adil atau pilih kasih, rasuah dan tidak amanah.
Menurut Sheikh Abdullah Fahim, sekiranya pemimpin menghalalkan perniagaan yang bersifat perzinaan, arak, judi dan sebagainya, maka rakyat wajib menentangnya. Kalau tidak menentangnya, rakyat turut memikul dosanya.
Tanggungjawab Pemimpin
. Sheikh Abdullah Fahim telah menjawab pertanyaan saya mengenai tanggungjawab pemimpin terhadap yang dipimpinnya dengan berkata, bahawa tanggungjawab seorang pemimpin sangat berat. Tanggungjawabnya bersangkutan dengan falsafah iman, ihsan ,amanah, dan akhlak. Pemimpin yang tidak mengambil berat ke atas yang dipimpinnya, maka dia tidak ada salah satu atau semua falsafah yang di atas ini.
Nabi Muhamamad s.a.w. telah bersabda:
Tiap-tiap kamu adalah pemimpin (ketua) dan tiap-tiap kamu bertanggungjawab atas yang dipimpin- nya.
Tiap-tiap orang yang berjaya naik ke atas menjadi pemimpin negara dan rakyat, adalah dengan kehendak Allah. Dia memikul amanah Allah untuk memimpin semua rakyat yang dipimpinnya, walaupun rakyat itu tidak sama dalam harakah atau parti politiknya.
Pemimpin yang tidak menjalankan tanggungjawabnya ke atas rakyat, dia akan menerima kemurkaan Allah dan akan mendapat azab di akhirat.
( hadis) 1900 Bukhari
Dari Ma’aqil r.a., katanya: “Saya akan memberitahu kepada kamu hadis yang saya telah dengar dari Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang pemimpin yang memerintah rakyat (dari) umat Islam, apabila dia meninggal dunia, sedangkan dia tidak jujur terhadap rakyat (nya), nescaya dia dilarang oleh Allah memasuki syurga.
Tanggungjawab Rakyat
Sheikh Abdullah Fahim telah menyatakan perasaan mengenai masa depan Tanah Melayu (pada masa itu Tanah Melayu belum merdeka), bahawa dia khuatir apabila Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan nanti, rakyatnya, terutama dari umat Islam akan tidak mendapat layanan yang sempurna dari kerajaan. Mereka itu, terutama orang-orang kampung tidak diberi pengetahuan yang cuku, makan minum yang cukup dan keperluan hidup yang cukup. Akibatnya Tanah Melayu yang merdeka akan menjadi tidak menentu atau berada dalam keadaan rakyat berperasaan tidak puas hati atau kemungkinan berlaku huru-hara dan sebagainya.
Menurutnya, rakyat akan tidak boleh mentaati kerajaan dan pemimpin mereka, sekiranya kerajaan pemimpin mereka itu termasuk dalam golongan pemimpin seperti dalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w. di bawah ini.
Dari Ma’aqil ra.a., katanya, saya akan memberitahu kepada kamu Hadis yang saya dengan dari Rasulullah s.a.w. dan saya mendengar Junjungan bersabda: “Seseorang yang telah ditugaskan memerintah rakyat, kalau dia tidak memerintah rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tidak akan mendapat bau syurga.
Sheikh Abdullah Fahim menjelaskan, rakyat yang tidak bertanggungjawab kepada Kerajaan atau negaranya yang memerintah berdeasarkan hukum Allah, iaitu Quran dan Sunnah, maka rakyat itu akan menerima azab daripada Allah, kerana mereka tidak bertanggungjawab.
Tanggungjawab rakyat kepada kerajaan terlalu banyak, di antaranya:
* Menjaga keamanan negara dan orang ramai.
* Mempertahankan negara dari ancaman musuh luar
dan dalam.
* Menjaga kesihatan dan sama-sama menghapus
penyakit.
* Menjaga nama baik negara dan rakyat umum.
* Melengkapkan diri sendiri, ahli keluarga dengan
ilmu pengetahuan yang penting.
* Menjaga kebersihan rumah tangga, msyarakat,
bandar dan alam sekitar.
* Menjaga harta benda negara, walaupun sebatang
jarum kertas (jarum peniti).
* Menegur atau mengkritik pemimpin dan
kerajaan sekiranya berlaku penyelewengan
atau melakukan sesuatu yang menentang
hukum Allah.
(Suntingan dari manuskrip buku, Sheikh Abdullah Fahim Pelopor
Kemerdekaan umat Islam Nusantara, oleh: Mokhtar Petah)













No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.