AKU ADALAH AKU
Walaupun aku tidak pernah masuk dalam mana-mana peraduan pidato, tetapi aku bersyukur kepada Allah kerana aku boleh berpidato dengan baik. Seringkali orang-orang kampung di sekitar Kepala Batas mengadakan majlis keagamaan, seperti maulidur rasul, Isra’ dan mi’raj dan sebagainya, mereka telah menjemput aku untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis tersebut.
Sebenarnya pada masa aku belajar di Sekolah Nurul Anuar, di Kampung Gelok, Lenggong, aku adalah satu-satunya penuntut yang amat takut berpidato. Guruku, Ustaz Sulaiman Naji Taib pernah memaksa aku berucap kepada bangku-bangku kosong dalam bilik darjah, tetapi aku tidak dapat berucap, kerana aku takut, tubuhku menggigil dan terasa sejuk bedi.
Apabila aku belajar di Teluk Anson, aku telah mendapat fatwa mengatasi darah gemuruh dan malu dari guru agama tersohor di sana, Haji Sulaiman Pagar. Dia telah memberi petua kepadaku, iaitu pada waktu aku bangun tidur pada tiap-tiap, sekadar tiga pagi, menyapukan tapak kaki kanan atau tapak kaki kiri pada muka sebanyak tiga kali. Sebelum menyapu tapak kaki ke muka, mesti membaca tiga kali, ’basmalah’ dan ’Allahu Akbar, tarmihin bi hijaratin min sijjil’ (Allah Maha Besar, melimpari mereka dengan batu yang keras’). Aku telah mengamalkannya. Semenjak lepas mengamalkan petua itu, aku tidak takut berpidato, tidak berdarah gemuruh dan aku boleh berucap dalam satu-satu perhimpunan ramai.
Setelah aku mengamal fatwa aku telah berucap di banyak tempat, iaitu dalam majlis ihtifal madrasah al Yahyawiyah, Padang Rengas, berucap kerana menjual julap cacing kerawit di pasar minggu di Alor Setar, dalam majlis- majlis-UMNO dan sebagainya.
UNIVERSITI ISLAM
Sesungguhnya aku mengaku, kerana aku telah berkecimpung dalam bidang penulisan, menjadi aku terasa luas bergaul dan ramai kawan dari berbagai peringkat manusia. Rakan-rakanku di sekolah yang tidak berkecimpung dalam tersebut, aku mendapai mereka tidak luas bergaul dan mereka tidak mempunyai rakan-rakan yang aku telah alami.
Pada satu hari, secara kebetulan, aku telah bertemu dengan seorang pegawai di Konsulat Republik Indonesia, Pulau Pinang, Ghazli, di pejabat Warta Negara. Dalam pertemuan bersama wartawan Zin Arif, Ahmadi Asmara dan Ramli, pegawai tersebut telah menawarkan kepadaku untuk melajukan pelajaran ke universiti Islam Cokroaminoto , di Indonesia.
Tiga hari kemudian, Ghazali telah menjemputku ke pejabatnya, di Konsulat Indonesia. Dia telah memberi surat tawaran itu untuk aku melanjutkan dalam jurusan syari’ah dan sains politik Islam di universiti tersebut.
Dalam surat tawaran itu, pihak Konsulat - dari sebuah badan bukan pemerintah- , hanya akan mengadakan wang untuk tambang, makan dan minum dalam pelayaran ke Indonesia serta yuran universiti. Sewa tempat tinggal dan makan minum selama aku menuntut, di sana kira-kira $500 menjadi tanggunganku sendiri.
MENGIKAT PERUT
Dua harinya kemudian, aku telah pulang ke kampungku untuk berbincang dengan ibu dan bapaku mengenai aku tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti Cokroaminoto itu. Walaupunh ibu dan bapaku setuju aku melanjut pelajaran ke sana, tetapi aku sendiri tidak sanggup. Jika ibu dan bapaku menanggung aku menuntut pelajaran di sana, selain dari adiku, Ghazali Petah tidak dapat melanjutkan pelajarannya, pada saban hari ibubapa terpaksa dalam keadaan mengikat perut kerana tidak cukup belanja.
Setelah aku menolak tawaran dari pihak konsul Indonesia itu, seorang hartawan Melayu (aku tidak sebut namanya di sini), melalui Yusof Rawa telah menawarkan bantuan kewangan kepadaku untuk aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Cokroaminoto. Tetapi dia dengan baik hati telah mengenakan syarat yang aku tidak dapat menerimanya, maka aku telah menolak tawarannya itu dengan baik.
Aku terus belajar di Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas. Selepas kegagalan aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Chokroaminoto itu, aku sentiasa berada dalam keadaan tidak gembira.
Semenjak itu aku bertekad; kalau mahasiswa mampu membaca lima buah buku dalam masa sebulan, aku akan mampu akan mampu membaca dua kali ganda lagi. Aku telah membeli buku mengikut yang aku mampu. Maka universitiku adalah buku-buku dan alam maya ini.
MENOREH GETAH
Pada pertengahan tahun 1955, aku telah berhenti dari sekolah Daeratul Ma’arifula Wataniyah. Aku telah pulang ke kampungku. Sementara menunggu mendapat pekerjaan, aku telah menjalankan kerja-kerja biasa, di kampung, iaitu menoreh getah dan menangkap ikan, di Tasik Chenderoh.
Selain dari itu, aku telah meneruskan juga kegiatanku dalam bidang penulisan. Aku telah menulis berita-berita dan rencana –rencana untuk surat khabar Warta Negara, Utusan Melayu di Singapura dan beberapa buah surat khabar dan majalah Melayu yang pada masa itu kebanyakkannya terbit di Singapura.
Kira-kira dua bulan kemudian, aku bersama pemuda-pemuda Melayu di kampungku, Kampung Sauk, Kampung Biong, Kampung Changkat Pinang, Kampung Seterus dan Kampung Jenalik telah menubuhkan Pemuda UMNO cawangan Sauk. Cawangan itu bersama cawangan UMNO (dewasa) terletak di bawah UMNO bahagian Kuala Kangsar.
Pada masa itu, semangat perjuangan menuntut kemerdekaan sedang membara dalam dadaku. Aku bersama beberapa orang ahli jawatankuasa pemuda, kaum ibu dan UMNO bahagian Kuala Kangsar telah menjelajah ke kampung-kampung di seluruh daerah itu untuk memberi penerangan berkenaan perjuangan UMNO dan mengajak penduduk-penduduk menyertai parti tersebut.
PERJUANGAN UMNO
Di antara kawasan dalam daerah Kuala Kangsar, ialah Padang Rengas, Lubuk Merbau, Kati, Manong, Manora, Chegar Galah, Enggor dan Sungai Siput Utara. Pada masa itu belum ada bahagian dalam kawasan Sungai Siput Utara.
Kadang-kadang aku telah dijemput untuk memberi penerangan mengenai perjuangan UMNO di bahagian-bahagian parti itu di beberapa kawasan di negeri Perak.
Aku masih teringat, iaitu sebaik-baik sahaja aku selesai memberi ucapan di sebuah kampung, berpuluh-puluh orang lelaki dan perempuan termasuk pemuda telah menyerahkan borang keahlian UMNO bersama yuran kepada jawatankuasa cawangan kampung tersebut. Mereka telah menyertai UMNO dengan harapan parti kebangsaan Melayu itu dapat memerdekaan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris dan sebilangan dari mereka berharap Tanah Melayu akan yang merdeka akan menjadi sebuah negara Islam.
Kebanyakan warga seluruh kampung sekitar daerah Kuala Kangsar pada zaman itu, apabila menyebut kerajaan Islam, maka yang terlintas dalam kepala mereka, ialah pemerintahan Islam di Madinah, pemerintahan para sahabat Nabi Muhammad s.a.w., para Khalifah hinggalah kepada kerajaan Othmaniyah Turki.
KERAJAAN ISLAM
Kerana cetek ilmu pengetahuan mereka tentang politik dan sejarah negara-negara Islam, mereka mempunyai kepercayaan yang kerajaan Arab Saudi itu sebuah kerajaan Islam, kerana Mekah dan Madinah wujud di dalamnya.
Pada masa itu tidak ramai dari jawatankuasa UMNO bahagian Kuala Kangsar dan cawangan-cawangannya yang memiliki kereta. Untuk pergi ke kampung-kampung yang masih menggunakan jalan tanah merah, berlumpur atau berdebu terpaksa menggatih basikal atau menumpang kereta sewa yang menggunakan minyak tanah.
Pada satu hari aku telah memberi ucapan dalam satu perjumpaan yang telah diadakan oleh UMNO Bahagian Parit, Perak, di sebuah dewan dalam bandar Parit. Ramai ahli-ahli UMNO dalam perjumpaan itu telah bertanya kepadaku mengenai perjuangan UMNO, hala tuju perjuangannya, Sejauh mana keikhlasan UMNO hendak menegakkan kedaulatan bangsa Melayu dan negara Islam. Pertanyaan-pertanyaan mereka itu sama dengan falsafah perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr Burhanuddin Helmi.
Kawasan Parit – meliputi kawasan Simpang Tiga Manong, Belanja, Lengkuas, layang-layang-layat, Bota, Pulau Tiga hingga ke kawasan Pasir Salak mempunyai semangat juang yang kuat untuk memerdekaan tanah air.
PEMBAKAR SEMANGAT
Semangat juang orang-orang dewasa Melayu dalam kawasan tersebut masih tegar, kerana mereka masih tidak melupakan perjuangan orang Melayu di Pasir Salak menentang penjajah Inggeris pada sekitar tahun 1875. Cerita kematian Residen British, J.W.W.Birch di tangan orang Melayu menjadi pembakar semangat mereka.
Mereka itu terdiri dari orang-orang Melayu yang kuat berpegang kepada semangat bangsa Melayu dan masih wujud dalam hati mereka, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) adalah satu-satunya parti politik Melayu yang berjuang untuk mendaulatkan bangsa, negara Melayu dan agama Islam. Mereka tidak yakin yang UMNO akan dapat menyambung perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Aku telah mendapati orang-orang Melayu di sana pada zaman itu, mempunyai semangat kebangsaan Melayu dan keagamaan Islam, kerana beberapa faktor, di antaranya:
( 1 ) Kesan sejarah jihad orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Pasir Salak sehingga terbunuhnya Rasiden British, J.W.W.Birch pada minggu pertama bulan Julai 1875.
( 2 ) Pengaruh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Di sana ramai bekas ahli parti tersebut, di antaranya, Ustaz Haji Zabidi, Nasaruddian Rais dan Abdullah C.D. atau Che Dat.
( 3 ) Pengaruh alim ulama dan kesultanan dan kepahlawanan Melayu.
( 4 ) PAS menjadi parti politik alternatif bagi kebanyakkan penduduk- penduduk di sana.
SAHABAT PENA
Rakan-rakanku dalam Sahabat Pena dan bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Belia Sedar(AWAS) dan ahli Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS) telah mengecam aku kerana berjuang dalam UMNO. Mereka telah menuduh aku menjadi alat untuk memusnahkan cita-cita pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahaun 1945.
Pada hakikatnya pada masa itu, orang-orang Melayu, ulama, penulis, guru, orang-orang kampung yang berpendidikan Islam dan anti kapitalis serta yang faham akan kemana hala tuju UMNO, telah enggan menyertai UMNO. Mereka lebih berminat menyertai Parti Islam Se Malaya (PAS) atau berdiri atas pagar sahaja.
Mereka itu telah serik dengan tindak tanduk Yang Dipertua UMNO Pertama, Onn bin Ja’afar yang telah bekerjasama dengan British mengeluarkan perintah menangkap pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair dalam parti-parti politik di luar UMNO, pada tahun 1948 dan tahun-tahun berikutnya.
Mereka juga telah menyifatkan UMNO telah membuka pintu kepada orang-orang bukan Melayu mengambil bahagian dalam politik di Tanah Melayu .
Seorang bekas pejuang kemerdekaan tanahair pada masa sebelum perang dunia kedua dan telah dibuang bersama keluarganya ke Pulau Labuan, Ali Kafi, tinggal di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, telah berkata kepadaku, ”....deme tu, oghang-oghang Melayu yang ditangkap oleh keghajaan oghang putih pada tahun 1951, pejuang kemerdekaan yang sebenornye, ...oghang-oghang Melayu dalam UMNO banyak yang main taghik tali dengan oghang putih,... orang-orang pendatang.”
”Meke tengokle, ...kalau dibiorkan, oghang lain naik kepale..., oghang kita jadi macam pak kadukle...,”katanya lagi.
Pada zaman sebelum perang dunia kedua, pertubuhan-pertubuhan politik orang Melayu tidak didaftarkan. Kerajaan Inggeris tidak meluluskan pendaftaran parti politik, maka Ali Kafi dengan ramai pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair telah berjuang dalam pergerakan rahsia. Oleh yang demikian Kerajaan Inggeris telah menganggapkan mereka itu ahli-ahli kongsi gelap atau ’gangster’.
Demikian juga Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Islam Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan badan-badan wanita dan pemuda di bawahnya tidak didaftarkan oleh kerajaan Inggeris. Sementara orang-orang Melayu yaang memihak kepada Inggeris telah menuduh semua organisasi Melayu itu sebagai sarang golongan komunis dan merancang untuk menyerahkan Tanah Melayu kepada Republik Indonesia yang dipimpin oleh Presiden Soekarno.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).

No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.