MELANGKAH BENDUL
Kata orang tua-tua Melayu, manusia laksana sepohon pokok yang berbuah.Anak-anaknya bagaikan buah-buah pohon itu. Buahnya jatuh ke merata -merata. Ada yang dihanyutkan arus sungai. Entah tersangkut di tebing atau di lembah mana. Digongong unggas – unggas entah jatuh ke bukit atau belukar mana. Biji-biji buah itu tumbuh dan menjadi pohon yang jauh dari pokok asalnya.
Bapaku pernah bercerita, moyang, datuk dan bapanya berasal dari Melayu Pattani. Merek mengikut sunah Nabi Muhammad. Seperti pelakon-pelakon dalam buku Kamasutra – Vatsyayana. Moyang dan daokku, masing-masing telah mencintai lebih dari seorang perempuan. Semua perempuan yang mereka cinta itu, akhirnya menjadi isteri mereka. Semua isteri mereka bermadu.
Moyangku telah meninggalkan ramai zuriat. Mereka tidak kenal antara satu dengan yang lain. Datukku dan beberapa orang kakak dan adiknya telah merayap atau melata ke tanah semenanjung. Zuriat-zuriatnya seperti anak-anak pohon yang bertabruan di muka bumi.
PERHIASAN HIDUP
Bapaku anak jantan. Waris salah seorang dari anak lelaki datokku. Mereka juga hidup berbekalkan cinta. Cinta menjadi perhiasan hidup mereka, seperti emas dan berlian yang menghiasai tubuh wanita.
Pada suatu hari ibuku menyuruh aku mencari bapaku. Katanya, ada orang datang membawa pesan,supaya dia pergi ke kampung Chegar Palas kerana naib kadi hendak membahagikan harta pusaka peninggalan bapa saudaranya. Kampung Chegar Palas terletak di pendalaman, kira-kira tiga puluh kilometer dari kampung kami.
“Orang tu minta ayahmu datang juga-juga,…aaa, ada tanah aruah tu nak diambil kerajaan, nak buat jalan,”kata ibuku.
“Insya Allah, Lamin cari akan ayah,”kataku.
“… ayahmu di mana, Lamin?”ibuku bertanya.
“Nun, jauh, dekat Sintok, emak,”jawabku.
“Sintok, bunyi macam cakap Siam je, ... di mana, Lamin?” Ibuku bertanya lagi.
“Kedah,emak, ... di Sintok ada universiti, emak,”jawabku.
“Jauhnya, ... dalam rimba agaknya,”sungut ibuku.
“Ia, emak, kata orang kita, tempat jin bertendang,”kataku.
“Ayahmu tu macam musafir kelana…” sungut ibuku lagi.
Bapaku Pendakwah sambilan. Dia telah merantau dari sebuah kampung ke sebuah kampung. Dari sebuah daerah ke sebuah daerah. Di kampung-kampung yang dikunjunginya, dia telah memberi ceramah agama – ilmu tauhid, fikah dan tasawuf -, dengan kebenaran kadi atau jawatan kuasa masjid dan surau.
GIGI RIMBA
Falsafah mengajar kita; orang lelaki, walau seuzur mana, atau tak upaya melangkah bendul, namun cinta dan keinginannya kepada manusia jenis Hawa tetap segar dalam dirinya. Ada iman. Ada Ihsan. Ada fikir mencari teman. Nafsu manusia perlu berteman. Di hujung perantauan bapaku, dia bagaikan tercampak di sebuah kampung terpencil di gigi rimba dekat perbatasan antara negeri Kedah dengan selatan Thailand.
‘…dengan sukacita ayahanda memaklumkan kepada anakda, dengan kehendak Tuhan, ayahanda telah bernikah dengan seorang janda di kampung tempat ayah menumpang.
Mak cik anakda ingin hendak bertemu dengan anakda. Ayah harap, kalau anakda berdua ada masa lapang datanglah. Ayahanda dan mak cik anakda menunggu dengan rasa tak sabar.
Wang yang anakda kirim pada tiap-tiap bulan kepada ayahanda telah selamat ayahanda terima. Ayahanda mengucapkan terima kasih.’
Aku telah menerima surat dari bapaku. Surat itu bertulisan jadi dengan tulisan besar. Dia terpaksa menulis begitu kerana matanya kabur. Rongga dadaku terasa sebak pada detik-detik aku membaca surat bapaku itu. Hatiku yang sedih segera berubah gembira kerana bapaku yang tua dan cacat itu masih ada orang yang menyayanginya.
Bapaku pernah berkata kepada anak saudaranya, Munir, “…orang jantan tua ni, macam batang kayu reput, hanyut dalam sungai,…nak buat apa, nak buat titi tak boleh, nak buat rakit,…nak buat apa pun tak boleh,…dah tu siapa yang nak....”
“Tapi kita kena ingat, muak, tuake,…kita kena jaga tiga perkara, pertama, bagi orang kasih, kedua, ada ilmu ajar kepada orang, ketiga, harta kekayaan tak boleh bawa ke akhirat,” bapaku menambah.
MEMBACA SALAWAT
Munir gembira bagaikan perempuan tua mendapat suami muda. Bapaku telah mengajarnya dua jenis amalan menggunakan ayat Quran. Ayat Quran, ‘Bismillahir Rahmanir Rahim. Innahu min Sulaiman wa innahu bismillahir Rahmanir Rahim’ . Ayat ini untuk orang sentiasa kasih,suka bercakap dan mahu mendengar percakapan yang mengamalkannya. Ayat Quran itu dibaca pada tiap-tiap pagi dan malam sebanyak tujuh kali diikuti dengan membaca selawat kepada Nabi Muhammad.
Aku percaya Munir telah mengamalkan ilmu itu. Dia mempunyai ramai kawan yang terdiri daripada orang-orang kenamaan. Dia juga memegang jawatan tinggi dalam sebuah universiti swasta.
Dengan pertolongan Allah, setelah mengamalkan ayat Quran yang diajar oleh bapaku, Munir telah memadukan isteri tuanya dengan dua orang perempuan. Yang seorang, pegawai tinggi kerajaan yang telah janda. Seorang lagi gadis remaja lepasan universiti.
“…tengah Milah tidur lena, saya baca tiga kali ayat Quran yang pak ngah beri tu, saya buat tiap-tiap malam Isnin, Khamis, Jumaat, saya hembus ayat Quran tu kepada Milah,…alhamdulillah, jadi,…saya kahwin dengan Ainun, Milah tak marah,”jelas Munir kepadaku.
“Ayat Quran tu,abang nak tau?” Munir baratnya kepadaku.
Aku mengangguk sambil senyum.
Munir membaca ayat itu, “ Ya ayyuhallazina amanu isbiru wa sobiru wa robithu wattagullaha la’allakum tuflihun.”
TUMBUH SUBUR
Aku faham akan maksud ayat Quran itu,’ ‘ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah, dan cukuplak kesabaran kalian, dan perteguhkanlah kekuatan kalian dan patuhlah kepada Allah supaya kalian beruntung.’
“Mujarab,abang,”kata Munir.Bangga.
Pada hujung minggu aku bersama isteriku telah menziarahi bapa dan ibu tiriku. Mereka gembira menerima kedatangan kami. Ibu tiriku telah melayan kami seperti melayan anaknya sendiri. Mesranya amat.
Mereka tinggal dalam sebuah rumah, dangau, terletak dalam kampung yang tumbuh subur pepohon durian,manggis,langsat,cempedak,rambutan dan bermacam-macam pokok lagi. Rumah itu ada satu ruang tanpa anjung. Di bahagian tengah bilik bapa dan ibu tiriku. Di hujung hala ke rimba ruang dapur. Aku mengagakkan dangau itu berukuran 12 X 25 kaki sahaja. Atapnya dari zink tua. Dinding dan lantainya papan-papah lama. Tangga hadapan berpahakan batang kayu bulat dari rimba dan anak-anaknya bebatang dahan kayu rimba jua.
WAKIL RAKYAT
Dari ruang tengah dangau itu dapat melihat sebatang sungai yang mengalir jernih airnya. Airnya turun dari bukit tinggi dan meluncur deras atas batu batan lalu terjun ke lubuk di bawahnya.
Bapaku dan ibu tiriku bersama para warga kampung itu terperosok di tepi rimba raya bergelar ‘mangsa’ janji wakil rakyat dan kerajaan. Kampung mereka tidak ada pembangunan. Negara maju,negeri maju, mereka bernasib seperti peribahasa orang Melayu, ‘sepuluh jong masuk anjing bercawat ekor jua’.
Pada malamnya,aku telah menyampai pesanan dari ibuku supaya bapahku pergi ke kampung Chegar. Dia senyum dan berkata, “…dah meninggal orang tua tu,…dia bapa saudara ayah.”
Aku merenung wajahnya yang tua.
“…tak apalah,…minggu satu lagi, ayah pergi…,banyak harta orang tua tu,”kata bapaku lagi.
“Eloklah ayah,”sahutku.
Bapaku menambah, “…ayah tak nak harta tu, lepas faraid,ayah beri pada anak-anak dia, Bedah,Ramlah.”
DIUJI TUHAN
Isteriku merenung wajah bapaku. Renungannya berpindah pula kepada wajah ibu tiriku. Mereka senyum. Hati mereka setuju dengan kehendak bapaku itu.
“Ayah nak buat apa harta tu, duit mu, adik mu kirim tiap-tiap bulan dah cukup,”kata bapaku.
Aku diam. Hatiku memuji bapaku. Dia seorang pengamal ilmu sufi. Tidak haloba akan harta dunia.
“Orang yang baik, beriman, selalu diuji Tuhan,”aku teringat akan kata-kata Allahyarham Haji Sulong, Pattani . Bapaku telah meniti jalan hidupnya yang lanjut. Di sepanjang perjalanannya, Tuhan melihatnya dan mengujinya. Di hadapan Tuhan, bapaku berdiri dengan patuh. Dia reda menerima segala dugaan dari Maha Pencipta itu.
Dalam keadaan di mamah derita itu, bapaku dilambung gelombang kehidupannya seperti pantun tua orang Melayu ini:
Cau Pandan anak bubunya,
Hendak menyerang ke Melaka,
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung si air mata.
(Disaring dari novel, Kasih Ibuku, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.