Telah empat tahun Tengku Intan mengembara dalam padang derita kerana cinta dan rindukan kekasihnya. Selama itu amanah cintanya kepada ‘Alimin tidak terpunggah. Janjinya dengan kekasihnya kukuh. Teguh. Laksamana gunung batu. Gunung Jerai. Banjaran Titiwangsa.
Tengku Intan memacak azamnya; selagi maut tidak mengheretnya ke alam akhirat, dia tetap menunggu ‘Alimin. Biar pun penantian itu menuntut hidupnya dalam rahang derita. Biar koyak kain kapan dan kopak papan lahadnya, namun cinta kepada kekasihnya tetap subur. Demikian harapan dan nekadnya. Begitu jua tiap kali doanya kepada Allah. Mudah-mudahan Yang Maha Perkasa itu menjadikan hatinya tabah. Kuat. Teguh. Tawakal.
“Eli,…Intan tetap tunggu,…cinta Intan pada Eli tak berubah, tak ada orang lain dalam hati Intan, tak ada,…hanya Eli, sayang,” suara Tengku Intan ada waktu mengenangkan kekasihnya.
Pada hari-hari tidak keuzuran, Tengku Intan sembahyang hajat pada tiap-tiap tengah malam. Doa dirafakkan kepada Allah pada semua sujudnya; semoga Maha Pencipta itu menemukan semula dirinya dengan kekasihnya. Doa begitu diulangkan lagi pada akhir sembahyang hajatnya. Nama ‘Alimin sentiasa di bibirnya bagaikan zikir sang sufi berzikir sembilan puluh sembilan nama kudus.
MENUTUP AURAT
Rakan Tengku Intan, Syahida telah pulang ke Selangor. Beberapa orang temannya lagi telah pulang ke kampung halaman masing-masing di Malaysia. Kadang-kadang terkenang juga Tengku Intan kepada tanah tempat lahirnya, Kuala Kangsar, bengkel labu tanah di kampung Sayung, sahabatnya Mimi, Mak Usu dan Pak Usu yang baik budi.
Tengku Intan telah tinggal di aparmentnya yang baru dibeli dalam kawasan yang berhampiran dengan Masjid Regent's. Tidak jauh dari London Zoo dan Rose Garden. Jika dia hendak menikmati makanan Melayu, gulai ikan, daging daging lembu, rendang daging kambing dan sambal belacan, dia boleh pergi ke sebuah restoran Melayu, bawah tanah di Edgware Road. Tidak jauh dari situ ada sebuah restoran sate milik orang Melayu.
Dua orang gadis Melayu tinggal bersama Tengku Intan di aparmentnya. Jamilah penuntut jurusan kejuruteraan Awam, dari Kuala Rumpin, Pahang dan Maznah penuntut jurusan ekonomi, dari Sanglang, Perlis. Mereka itu gadis-gadis Melayu yang kuat iman. Berakhlak mulia. Mereka berpakaian menutup aurat sebagai wanita Islam sejati.
Tengku Intan tidak mengenakan sebarang bayaran atas mereka. Mereka menjadi teman-teman ‘meredakan kesepian’. Baginya tinggal dengan rakan-rakan yang beriman dan berakhlak mulia terasa hidup seperti dikeliklingi oleh para malaikat.
MERINDUI KEKASIHNYA
Walaupun Tengku Intan mempunyai wang yang cukup. Pada tiap-tiap awal bulan dia menerima wang alauns dari syarikat peninggalan bapanya di Ipoh, tetapi kerana untuk membetahkan hatinya yang sentiasa merindui kekasihnya, dia bekerja sambilan di dua buah syarikat yang menerbitkan buku-buku ilmu pengetahuan Islam, di Kota London.
Masjid Regent's menjadi tempat Tengku Intan mendalami pengetahuan agama Islam. Bertemu dan berbincang dengan kawan-kawan dalam sebuah persatuan bernama Islamic Humanity Assoceation. Persatuan itu adalah sebuah organisasi kebajikan yang menjalankan kegiatan kemanusiaan sejagat, di sekitar kota London dan kota-kota lain di England.
Pada suatu petang, Tengku Intan sedang mencari buku-buku yang dihajatinya, dalam rak-rak, di sebuah gedung buku, di Oxford Street. Seorang pemuda Melayu berambut panjang mencecah batang tengkuk, senyum kepadanya. Mereka berkenalan di situ.
“Saya, Zulkifli,”pemuda itu perkenalkan dirinya.
“…saya Intan,”sambut Tengku Intan.
Hati Tengku Intan memuji pemuda itu. Dia seorang yang beriman dan berakhlak Islam. Pemuda jujur, kerana dia tidak berjabat tangannya.
“ …dah lama di sini,…dari mana?” Zulkifli bertanya.
“Lama, dah empat tahun, dari Kuala Kangsar,”jawab Tengku Intan..
“Encik?”Tengku Intan bertanya.
“…asal, Batu Kurau,…tinggal di Ipoh, …aaa, Kampung Kepayang.”jawab Zulkifli.
“Belajar di sini?”Tanya Tengku Intan lagi.
“…tak, saya datang jumpa isteri saya ,…dia study di London university,”jawab Zulkifli.
PUNTUNG KAKI
Pemuda itu merenung wajah Tengku Intan. Tunduk sejenak. Mengeluh. Menarik nafas panjang. Keadaannya sebagai orang sedang dimamah beban fikiran kusut..
“…maafkan saya, boleh saya nak bercakap panjang dengan Cek?” Zulkifli bertanya.
“…cakap apa?”Tanya Tengku Intan.
“Saya minta maaf, baru berjumpa…, saya nak minta nasihat…,”kata Zulkifli.
Tengku Intan senyum.
Zulkifli tunduk. Wajahnya muram.
“Tak apa,…saya bayar harga buku ni dulu,”kata Tengku Intan.
Zulkifli mengangguk. Dia mengheret dua puntung kakinya keluar dari gedung buku itu.
Dari kaki lima depan gedung buku itu, Tengku Intan dan Zulkifli berjalan beriringan menuju ke sebuah restoran makanan segera tidak jauh dari situ.
“…tadi lagi saya ikut Cik Intan,…dekat kedai minyak atar Arab seberang sana tu,”kata Zulkifli sebaik-baik sahaja masing-masing duduk atas kerusi menghadapi meja.
“Ia,…?”Tengku Intan bertanya.
Zulkifli mengangguk.
“…tak berani juga,…tapi saya macam pernah jumpa…, entah di mana.”
“..pernah tengok saya, di sini, atau di Kuala Kangsar?”
“…bukan di sini, …di Kuala Kangsar...”
Pada ketika jaringan minda Tengku Intan dihinggap oleh ingatan, pemuda itu pernah dilihat di bengkel labu tanah, di Kampung Sayung, tiba-tiba sepasang lubang telinganya diterpa oleh kata-kata Zulkifli.
“Kita minum dulu, saya ambil,…nak minum apa?” Tanya Zulkifli.
“…aaa, oren jus,” jawab Tengku Intan.
BIDANG PERNIAGAAN
Zulkiflki berjalan ke meja kaunter. Sebentar kemudian dia membawa dua gelas minuman atas talam yang ditatangnya.
“…nak makan ayam goreng, tak halal,”kata Zulkifli.
“Minum cukuplah,”sahut Tengku Intan.
Mereka meneguk minuman masing-masing.
Tengku Intan mendengar dengan penuh minat akan kisah yang diceritakan oleh Zulkifli kepadanya. Zulkifli seorang pemuda lepasan tingkatan lima sekolah menengah. Setelah gagal melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi, dia menceburkan dirinya dalam bidang perniagaan di Ipoh sebagai kontraktor kelas ‘F’. Membina bangunan, jalan, parit dan sebaginya.
Perniagaan dalam bidang kontraktor menjadikan dia lemas. Selain dari menghadapi persaingan yang hebat, perbuatan rasuah di kalangan kaki tangan kerajaan menjadi racun perosak perniagaan orang Melayu.
Perkataan-perkataan dalam kamus rasuah telah menjadi wirid tanpa pahala pada Zulkifli. Di antara perkataan-perkataan itu, duit kopi, tumbuk rusuk, sogok wang, cari makan, agong, politik wang, mas kahwin, bayar zakat dan kautim.
Mana-mana kontraktor Melayu yang tidak sanggup memberi rasuah kepada kaki tangan kerajaan, sering kekeringan. Gagal mendapat projek. Akhirnya terpaksa gulung tikar.
KRAF TANGAN
Rakan-rakan Zulkifli yang terpaksa melakukan kautim dengan beberapa orang kaki tangan kerajaan, terpaksa pula menipu kerajaan kerana tidak mahu rugi. Mengguna bahan murah. Bancuh simen campur banyak kapur. Kalau cerucup seratus batang, cukup dengan empat puluh batang.
Zulkifli terpaksa melangkah kaki dari bidang kontraktor. Bidang baru yang telah dipilih, ialah menjadi pengedar dan penjual hasil kraf tangan orang-orang kampung; barang-barang yang diperbuat dari kayu, seramik, labu tanah, kulit siput dan ubat-ubatan tradisional.
Tiga tahun kemudian Zulkifli bercinta dengan seorang gadis – guru sekolah menengah -, keturunan Mendahiling di Tanjung Malim. Percintaan yang penuh dengan madah janji sehidup semati, berenang dalam lautan api, serah badan dan serah nyawa, sumpah dan ikrar dan saban waktu berwirid cinta, akhirnya mereka diijab kabulkan dan menjadi sedpasang suami isteri yang mewah dan bahagia.
Zulkifli ketawa sendirian bila dia teringat akan kata-kata seorang guru agama, di Batu Kurau, Haji Mat Saman. Guru agama itu berkata:
“…orang bernikah ni ada tiga musim. Dari malam pertama hingga tiga bulan, namanya ‘syahrul ‘asal’ (bulan madu), ….dalam musim ni semuanya manis, semuanya wangi, hingga kentut dalam kelambu pun wangi.”
“Musim yang kedua dari bulan ke empat ke akhir bulan ke enam, namanya ‘syahru basal’ (bulan bawang), …dalam musim ni dah lain, tidur dekat hangat. Ketut dalam kelambu, busuk. …semua dah berubah...,”kata Haji Mat Saman lagi.
“Masuk bulan ke tujuh, setrusnya, namanya ‘shahrul kasal’ (bulan malas), …perut isteri dah memboyot, …malas bersolek, isteri duk nak jadi tuan, …suami berbenderakan kain batik, …atau suami macam itik serati, juling, duk jeling anak dara orang…,”tambah Haji Mat Saman.
Kira-kira setahun lalu Zulkifli telah datang menghantar istrinya melanjutkan pelajaran di universiti London. Isterinya menuntut di universiti tersebut dalam bidang pendidikan untuk mendapatkan ijazah Ph.D.- bergelar doktor falsafah..
CAKAP BESAR
Enam bulan kemudian, Zulkifli telah datang melawat isterinya. Sikap isterinya telah berubah. Layanannya tidak seperti dulu lagi. Lagaknya sebagai kebanyakan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Ego. Sombong. Bongkak. Macam kebanyakan mak Datin yang jahil agama Islam.
“…tiga bulan kemudian, saya datang jenguk dia lagi, tapi,”kata Zulkifli.
“Mengapa?”Tanya Tengku Intan.
“…isteri saya, Allahu Akbar,…bila saya bercakap dengan dia, dia balas dengan cakap kasar, macam layan tak layan cakap saya,”jelas Zulkifli.
“Macam tu sekali?”Tanya Tengku Intan.
“Dia kata, dia tak tau nak cakap dengan saya, …pelajaran saya rendah, tak macam dia, …beza pelajaran dia dengan pelajaran saya macam langit dengan bumi,”jelas Zulkifli lagi.
“…Allahu Akbar, isteri tak patut cakap begitu,” kata Tengku Intan.
“…apa nak dikatakan, …silap saya juga, …pilih baju tak ukur badan,”sahut Zulkifli.
“Ia,…eh, ngapa pula?”Tanya Tengku Intan.
Zulkifli geleng-geleng.
“…encik kahwin dengan diatu, …cinta sama cinta, ia?” Tanya Tengku Intan.
“Ia,…tapi cinta tak jamin apa-apa, kalau miskin, tak ada pelajaran, tak setaraf…,”jawab Zulkifli.
Tengku Intan diam. Dia tidak setuju dengan pendapat Zulkifli itu. Pada saat itu dia teringat akan kata-kata ‘Alimin, “...kaya atau miskin tak jadi garis sempadan cinta suami isteri..., yang penting ada timbang rasa, tolak ansur, tak ego.”
“…saya ingat, kami tak boleh hidup bersama lagi,…saya nak ceraikan dia...,” kata Zulkifli.
“Eh, takkan sampai macama tu...,”kata Tunku Intan.
“Apa boleh buat, isteri saya kata, saya tak setaraf dengan dia, saya tak ada pelajaran, dia..., dia suruh saya ceraikan dia...,”jawab Zulkifli.
“...kalau macam tu, terpulang kepada Encikle,…kalau isteri dah macam tu, dayuslah suami kalau tak buat sesuatu…,”jawab Tengku Intan.
“Saya pun fikir begitu,”kata Zulkifli.
“Kalau boleh sabar…,”sahut Tengku Intan.
“Saya sayangkan dia, tapi…,”sambut Zulkifli.
Tengku Intan merenung wajah Zulkifli. Tadi Zulkifli ada menyebut, dia jadi pengedar labu tanah. Seperti penyelidik hasil kraf tangan, Tengku Intan ingin mengetahui dari mana pemuda itu mendapatg labu tanah. Mungkin dari bengkel Alimin di Kampung Sayung.
“Esok saya nak balik,…saya nak lapaz cerai di Ipoh.”
Tengku Intan mengangguk. Hatinya menghitung; bertambah lagi jumlah janda di dunia ini.
“Encik, tadi encik kata Encik mengedar labu tanah,…di mana Encik dapat labu tu?Tanya Tengku Intan.
“Oo, di bengkel Encik ‘Alimin, ustaz ‘Alimin, di Kampung Sayung, di seberang pekan Kuala Kangsar, ...ngapa?”Tanya Zulkifli pula.
“Tak apa, saja tanya...,”jawab Tengku Intan. Tunduk sejenak.
“Cik duduk di Kampung sayungke?”Tanya Zulkifli.
“Tak,…di Bukit Chandan,” jawab Tengku Intan.
FALSAFAH HIDUP
Zulkifli menganggku. Dua biji matanya merenung wajah Tengku Intan. Senyum. Tiba-tiba wajahnya bertukar kepada teduh. Mendung. Sedih sedang mendera hatinya.
“Tapi ustaz ‘Alimin tu tak ada lagi, kata orang dia pergi belajar ke Iraq,…bengkel labu tanah tu dah tutup,”terang Zulkifli.
Tengku Intan diam. Dipaksa dirinya menyembunyikan perasaan sedihnya dari pemuda di hadapannya. Falsafahnya hidupnya; walau bagaimana derita mendera dirinya, biarlah dia sendiri yang menanggung. Tidak akan berkongsi deritanya dengan orang lain. Ibarat menangis tidak boleh mengajar orang lain menangis bersamanya.Tetapi, kalau ketawa, sesumbing mana manusia itu akan mengikutnya ketawa.
“…lepas dia pergi ke Iraq, Adik dia, Mimi, pak saudara dia buat meniaga di bengkel tu,…tapi…,”kata Zulkifli
“Apa, Encik?” Tanya Tengku Intan.
“…orang kampung, jiran dia beritahu saya, deme tu pergi buat umrah ke Mekah,…Allah lebih sayangkan deme tu...,”jawab Zulkifli.
“...mengapa, apa dah jadi?” Tengku Intan bertanya. Tak sabar.
“...tiga beranak tu dah meninggal di sana,…kerana kemalangan jalan raya...,” jelas Zulkifli.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raj’un” suara Tengku Intan tersangkut pada halkumnya.
Tengku Intan menghirup minumannya. Rongga dadanya di kocah degup jantungnya sendiri. Terasa pada batang tengkuknya lembap oleh peluhnya yang keluar memicit. Perasaan sedih meratahnya. Seluruh tubuhnya menggigil.
Pada waktu berpisah dengan Zulkifli depan restoran itu, hati Tengku Intan seperti tercampak ke bengkel labu tanah milik ‘Alimin, di Kampung Sayung.
“Allah Maha Kaya,…Eli, di mana..., Pak Usu, Mak Usu, Mimi..., dah meninggal...” suara Tengku Intan tersangkut pada anak lidahnya.
Dalam bas yang meninggalkan Baker Road menuju ke Regent’s Street, Tengku Intan masih mengesat air matanya. Persaan sedih. Pilu. Sayu laksana puka jerut membungkus dirinya. Hatinya terkenangkan Mimi, Mak Usu dan Pak Usu yang telah banyak berbudi kepadanya.
“…Eli, Intan love you…,miss you…,”teryak hati Tengku Intan.
Bas berlari. Berhenti lagi. Berlari lagi meredah perut jalan raya yang dingin.Kota London menyaksikan air mata kasih gadis Melayu yang rindukan kekasihnya. Terkenangkan tigak orang warga kampung Sayung yang baik budi telah meninggal dunia, di Tanah Suci, Mekah.
(Disunting dari manuskrip novel, Cinta Dan Jihad, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.