Ir. Wahab seorang yang percayakan dirinya sendiri. Tidak percaya kepada takdir. Kalau dia mahukan sesuatu tetap akan diperolehinya. Kerana dia ada kedudukan dan ada banyak wang, biar seribu rintangan di hadapannya, dia tetap akan mengambil Julia Hani menjadi isterinya.
Bagi Wahab, wang segala-galanya. Sebagai seorang yang berpendidikan sekular, dia sering menyebut ‘money is sacond God’. Ada wang semuanya jadi. Manusia mulia kerana wang. Wang boleh mencorakkan dunia dan manusia.
“Apa susah, semua perempuan macam kambing, sua saja daun muda dimakannyalah, walau pun daun itu akan memudaratkannya..., Julia macam tu juga ...,” kata Wahab kepada rakanya, pegawai bank, Awang Zahid.
Awang Zahid senyum. Pendapat rakannya itu dianggap sebagai budak hingusan.Pendapat itu menghina kamu wanita. Dia berpegang kepada pendapat orang-orang alim; lelaki yang menghina kaum wanita terkeluar dari Suannah Nabi Muhammad. Berfikiran kurang waras. Sombong.
“I akan cari dia, biar dia melutut depan I ..., dia ingat I siapa ..., ini Wahablah ...,” kata Wahab kepada Awang Zahid.
“Suka hati youlah Wahab ..., tapi you percayalah cakap I, kalau manisan lebah jangan you nak jadikan manisan kelulut ...,” kata Awang Zahid.
PENYAKIT IGAUWAN
Awang Zahid berasal dari Bagan Datoh. Sebelum melanjutkan pelajarannya, di sebuah universiti di Australia, dia telah menerima pendidikan di sekolah menengah Izzuddin, di Ipoh.
“You bercakap macam orang politik ..., macam ahli falsafah ...,” balas Wahab dengan senyum tawar.
Awang Zahid senyum.
Wahab tiba di Bandar Raya Ipoh tepat jam 11.00 pagi. Perutnya masih kosong. Kerana penyakit angaunya, dia terlupa hendak mengisi makanan dan minuman ke alam ususnya. Dua ulas bibir mulutnya telah hitam kerana banyak merokok. Dia seperti orang lain juga; apabila kecewa, runsing, duka cita atau putus asa, puntung-puntung rokok sentiasa terjulur di bibirnya.
Dalam sebuah kedai minuman keras dalam Pekan Baru, Wahab menonggahkan segelas arak ke dalam ususnya. Air alkohol itu membakar darahnya. Panas. Fikirannya segar mulai menyimpang dari asas fikiran manusia kamil. Kurang waras. Pada ketika itu dia berkeadaan sama dengan pemimpin-pemimpin dunia yang menuangkan arak ke dalam usus masing-masing pada ketika merangka rancangan keamanan. Mereka menjadi pemabuk melaungkan keamanan tetapi tangan berlumuran darah manusia.
Wahab mengeluarkan secebis kertas dari saku seluarnya. Pada kertas itu tercatat alamat pejabat Julia Hani. Alamt itu telah merangsang hatinya untuk bertemu dengan gadis yang diidam-idamkan itu. Gadis itu akan dipujuk dengan sedaya upayanya supaya bersetuju menjadi isterinya.
“Kalau dia tak makan pujuk ..., aku akan paksa ...,” Wahab telah berfikir pada ketika dia keluar dari lif pejabat Julia Hani.
GEMBALA TUA
Wahab menemui peyambut tetamu di pejabat Julia Hani. Dengan lagak seorang yang berpelajaran tinggi, dia memperkenalkan dirinya kepada penyambut tetamu itu dalam bahasa Inggeris.
“Saya Ir. Wahab ..., saya nak jumpa Nona,” katanya.
“ ...Nona?” Tanya penymbut tetamu.
“Ia, Nona, di pegawai di sini,” jawab Wahab.
“Tak ada orang nama Nona di sini ..., maaf, Encik,” kata penyambut tetamu.
“Ia, maafkan saya, ...namanya Julia Hani ...,” kata Wahab.
“Ooo, Cik Julia Hani ...,” sambut penyambut tetamu.
“Ia, Cik Julia Hani,” kata Wahab.
Penyambut itu merenung wajah Wahab. Dia menaruh sangkaan buruk kepada lelaki itu.
“ ...maaf, Encik, Cik Julia sedang bercuti,” katanya.
“Cik tahu dia bercuti di mana?” Tanya Wahab.
“Minta maaf, saya tak tau ...,” jawab penyambut tetamu.
Wahab meninggalkan penyambut tetamu itu tanpa pamitan - minta diri. Suaranya marahnya tenggelam dalam halkumnya. Dia marahkan penyambut tetamu itu kerana tidak mengetahui ke mana Julia Hani telah pergi. Pada ketika itu dia berkeadaan seperti gembala tua melihat kudanya patah kaki. Hampa. Kecewa.
“Aku mesti jumpa dia ...,” suara hati Wahab.
“Aku tak lepaskan dia, ...dia tetap akan jadi isteri aku,” suara hatinya meyakinkan dirinya.
“Macam mana kalau dia dah ada kekasih,” hatinya bertanya.
“Ah, kekasihke ..., tunangke ..., aku peduli apa, aku mesti dapat ...,” jawab Wahab. Sombong.
Wahab kembali ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanannya pulang ke Kuala Lumpur, dia telah menerima tiga saman dari polis lalu lintas kerana memandu melebihi had laju, di tiga tempat, di lebuh raya utara selatan. Tiga saman oleh polis lalu lintas amat kecil baginya jika dibandingkan nilai cintanya kepada Julia Hani.
Sebaik-baik sahaja Wahab tiba di rumahnya, ibunya memberitahu kepadanya, bahawa rakan ibunya nampak Julia Hani berjalan bersama seorang lelaki tua dan berjanggut, di Kelab Tasik Putrajaya, pada dua hari yang lalu.
“Emak percaya lelaki tu kekasih dia ...,” kata ibu Wahab.
“Tak, emak, takkan dia nak jantan tua tu ..., saya yang muda ni pun dia tak nak ...,” kata Wahab.
“ ... belum tau, Wahab ..., mungkin orang tua itu sesuai bagi Julia, tetapi kamu muda, tak sesuai ...,” sambut ibunya.
“Tak usah merepeklah, emak, tak ada perempuan muda nakkan jantan tua ...,” sambut Wahab dengan mengangkat suaranya.
“Tu emak tak tau ..., tapi emak yakin, si Julia tu ada kekasih ...,” kata ibunya,
Wahab diam. Terasa dirinya tercabar.
“Saya nak siasat,” kata Wahab.
“Siasat buat apa ..., sia-sia saja, Wahab ..., sudahlah, Julia dah tak hendakkan kamu, biarkanlah ...., carilah anak dara lain ...,” kata ibu Wahab,
“Tak ..., tak emak, saya nakkan Julia tu..., kalau orang lain nak ambil dia, langkah mayat Wahab ni dulu ..., emak,” laung Wahab.
“Tak usah merepeklah Wahab ..., kamu tau kuat kamu saja ..., kuat orang lain kamu belum tau ...,” balas ibunya.
Wahab diam.
“Kamu ni Wahab, pelajaran tinggi kamu tak dapat bentuk perangai kamu ..., kalau dah orang tak hendakkan awak, ...ngapa hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pula....,” leter ibu Wahab.
LANJUT UMUR
Wahab diam lagi. Perkataan ibunya dirasainya seperti seketul batu menghempap atas kepalanya.
“Orang lain keluar universiti sama kamu, dah beristeri, beranak dua tiga orang, tapi kamu dah lanjut umur belum berbini lagi ..., salah kamu, suka berfoya-foya ...,” leter ibu Wahab lagi.
Wahab tidak dapat membuka mulutnya. Kata-kata ibunya itu diakuinya. Dia banyak membuang masa berfoya-foya. Beberapa orang anak gadis telah diperdaya. Ada yang telah menjadi mangsa nafsunya.
“Dulu, Kamariah, bukan main budak tu sayangkan kamu ..., dah kamu rosakkan dia ..., kamu tinggalkan ...,” suara ibunya terluah ke luar jendela.
“ ...tu dulu, emak ..., sekarang Wahab tak macam tu lagi ..., Wahab nakkan Julia tu ...,” kata Wahab dengan suara merendah.
“Itu emak tak tau, emak dah malu ...,” kata ibunya.
Wahab berjalan mundar-mandir dalam rumah. Ibunya memerhatikan perangainya. Hati ibunya ada doa agar anaknya menjadi seorang lelaki yang baik. Mendapat isteri yang baik. Hidup dalam sebuah rumah tangga yang aman damai.
Ibu Wahab telah mengembara dalam kehidupannya bersama suaminya berkeadaan ‘rela dalam paksaan’. Perkahwinannya dengan suaminya, Ramli, tanpa kerelaannya sendiri. Pada masa itu dia masih menuntut dalam utingkan lima. Ibu bapanya memaksa dia berkahwin dengan Ramli.
MENJAMIN KEMULIAAN
Perkahwinan tanpa cinta mengubah hati nurani ibu Wahab dari seorang perempuan muda yang lemah lembut kepada seorang isteri yang taat kepada suaminya tanpa cinta. Mementingkan kebendaan. Sombong. Hatinya berubah setelah dia sendiri mengalami kejadian Julia Hani menolak anak lelakinya yang berpelajaran tinggi. Ada kedudukan.
Sejak itu, ibu Wahab mulai melatih dirinya menjadi seorang perempuan yang insaf akan kejahilannya. Kebendaan tidak menjamin kemuliaan bagi manusia. Dia mengakui; sesungguhnya budi bahasa dan kejujuran menjadikan manusia itu mulia.
Wahab tiba di Kelab Tasik Putrajaya kira-kira pada jam 5.00 petang itu. Pada ketika dia tiba di hadapan meja penyambut tetamu kelab itu, dua biji matanya menceria Julia Hani di sekitar perut kelab itu hingga ke dalam cefe berkepung dinding kayu dan kaca.
“Cik kenal seorang perempuan bersama seorang lelaki berjanggut?” Wahab bertanya kepada penyambut tetamu itu.
“ ... kenal, dia Cik Julia Hani ..., penulis sosial dan kebudayaan itu ...,” jawab penyambut tetamu.
“Itu tak penting, saya mahu tau awak kenal tak dia ...,”kata suara meninggikan suara.
“Encik ni siapa nak berkasar dengan saya?” Tanya penyambut tetamu itu.
“Minta maaf, saya terkasar ...,” kata Wahah.
“saya tak tau ..., carilah sendiri,” kata penyambut tetamu sambil berjalan masuk ke pejabat pengurus kelab itu.
Wahah berjalan ke arah tasik. Beberapa orang dalam kelab itu merenung kepadanya melabuhkan punggungnya atas kerusi dan menghadapi meja bulat putih di tepi pagar arak tasik.
“Encik nak minum apa?” Pelayan bertanya kepadanya.
“Ram, saya mahu ram ...,” jawab Wahab.
“Maaf, encik, di sini tak ada jual arak,” kata pelayan itu.
“ ... beri saya aren jus ...,” pesan Wahab.
“ ...makan, encik?” Tanya pelayan lagi.
“Tak mahu ...,” jawab Wahab.
Pelayan berlalu dari meja Wahab.
MINYAK MENGGELEGAK
Wahab bangun dari kerusinya. Sambil menggeliat dia berpaling kepada tasik. Lebih dua puluh orang remaja sedang bermain di tepi tasik itu. Sementara beberapa orang lagi sedang belayar dalam perahu dan berkayak.
Darah muda Wahab bagaikan minyak menggelegak. Dua biji matanya terpandang kepada Julia Hani bersama Profesor Hani sedang berjalan di atas jalan tepi tasik. Pada ketika itu hati Wahab menjerit memanggil nama Julia Hani. Tetapi mulutnya menjadi kelu sejenak kerana dia melihat lelaki berjanggut di sisi Julia Hani lebih tanpa daripada dirinya.
“Celaka, sial ...,” sungut hati Wahab.
Sambil mengesat peluk di dahinya dengan belakang tangan kanannya, dia duduk semula atas kerusi. Seluruh tubuhnya menggigil. Sebentar kemudian pelayan membawa segelas oren jus dan meletakkan atas meja di hadapannya.
“ ...aku jumpa Julia Hani?” Wahab bertanya dirinya sendiri.
“Buat apa jumpa, dia dah ada kekasih,” hatinya menjawab.
“Aku nak ajak dia kahwin ...,” kata Wahab.
“Cermin muka awak dulu ..., kalau setakat ilmu jurutera yang kamu ada, tak usah beranganlah nakkan gadis tu ..., di pilih profesorlah ...,tak pilih awak...” hatinya berkata.
Wahab mengesat peluh pada dahinya dengan sapu tangannya. Degup jantungnya kian kuat. Nekadnya akan menemui Julia. Pada ketika dia sedang didera oleh perasaannya sendiri, Julia Hani dan Profesor Hamidi naik melalui lorong bawah tanah. Mereka mengambil tempat duduk atas sofa depan kaunter penyambut tetamu.
ULAS BIBIR
Gadis penyambut tetamu datang mendapatkan Julia Hani dan Profesor Hamidi.
“Prof. orang di sana tu tadi tanya saya ..., tanya cik Julia Hani,” kata penyambut tetamu.
“Siapa?”Profesor Hamidi bertanya.
“Tak tau, tuan, nampak semacam aje ...,”jawab penyambut tetamu.
“Itulah Ir. Wahab ...,” kata Julia Hani sambil merenung kepada Wahab.
“Ooo, apa dia nak?”Tanya Profesor Hamidi.
“Entah ...,”sahut Julia Hani.
Penyambut tetamu datang beredar ke kaunternya.
Profesor memesan dua cawan tea susu kepada pelayan. Sebaik-baik sahaja pelayan pergi meninggalkan Profesor Hamidi dan Julia Hani, Wahab datang mendapatkan mereka. Wajahnya pucat. Dua ulas bibirnya terketar-ketar. Dia berdiri di hadapan Julia Hani dan Profesor Hamidi. Dua puntung kakinya tidak kukuh di situ.
“Se...sela ...selamat petang ...,” suara Wahab tergagap-gagap.
“Selamat petang,” sahut Profesor Hamidi.
“Siapa, tuan?” Profesor Hamidi bertanya kepada Wahab.
“Saya, Ir. Wahab ..., saya nak jumpa Cik Julia Hani ...,” sahut Wahab sambil merenung kepada Julia Hani.
“Duduklah ..., sila duduk...,” Profesor Hamidi mempelawa Wahab.
“Tak apa, saya nak ajak Cik Julia jumpa di meja sana ...,” sahut Wahab.
“Di sini tak apa ...,”kata Profesor Hamidi.
“ ...tak, mari Cik Julia Hani ...,”jemput Wahab.
“Tak, saya tak mahu pergi ..., di sini saja ..., duduklah ...,”kata Julia Hani serius.
Wahab terpegun. Dia tidak menyangka gadis itu akan berkata demikian kepadanya. Mahu tidak mahu dia terpaksa duduk atas sofa di hadapan Profesor Hamidi dan ke kiri Julia Hani.
“Apa hal?” Jula Hani bertanya sebaik-baik sahaja Wahab duduk.
“ ...sssaya datang nak bincang ..., nak ajak Cik Julia Hani kahwin dengan saya ...,” kata Wahab. Gugup.
“Ooo, nak ajak saya kahwin ...,”kata Julia Hani sambil merenung kepada Profesor Hamidi.
“Ia ...,” sahut Wahab sambil menggigit kuku ibu jarinya.
Julia Hani memandang wajah Profesor Hamidi. Mereka senyum. Hati Wahab terbakar melihat Julia Hani dan Profesor Hamidi senyum. Senyuman mereka tersirat pengertian yang sukar diterjemahkannya.
“Minum ...,” pelawa Profesor Hamidi.
“Tak apa ...,”sahut Wahab.
“Macam nilah Encik Wahab ..., seperti saya katakan pada malam tu ..., petang ni pun tak berubah ...,” sambut Julia Hani.
“... saya merayu ..., saya minta juga-juga, Cik Julia Hani sudi kahwin dengan saya...,” kata Wahab dalam fikiran yang buntu.
“Apa macam, sayang?” Julia Hani bertanya kepada kekasihnya.
“ ...ikut sayang ..., Hani dah boleh timbang sendiri ...,” sahut Profesor Hamidi.
“ Macam nilah, Encik Wahab ..., carilah orang lain ..., saya ni dah ada teman ...,
ini ha, depan saya ni, kekasih saya ..., bakal suami saya ...,” kata Julia Hani sambil senyum.
“Ia, Cik Julia Hani ni kekasih saya ..., dia pilih saya, tak pilih orang lain ...,” kata Profesor Hamidi.
GELAP MATA
Perasaan marah Wahab membakar hatinya. Fikirannya menjadi kalah kepada nafsunya. Mungkin kalau tidak dalam kelab itu dia menjadi gelap mata dan menerajang Profesor Hamidi. Orang yang bentuk tubuhnya seperti Wahab – pendek dan sasa -, walau pun berpelajaran tinggi, tetapi gagal mengawal dirinya dari kemarahan.
“Awak pilih orang tua macam ni...?” Tanya Wahab dengan suara garang seperti menerjah semua kerusi dan meja dalam kelab itu.
Beberapa orang dalam kelab itu merenung ke arah mereka. Ada di antara mereka menduga akan berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini.
“Ia, saya pilih dia ..., orang tua kekasih saya ..., dia lebih sesuai bagi saya berbanding dengan orang lain ...,” sahut Julia Hani.
“Dalam percintaan, Ir. encik Wahab, masing-masing ada selera ..., ada selera pada yang muda ..., ada pada yang tua macam saya ni ...,” kata Profesor Hamidi.
“ ... karut,” kata Wahab.
“Ia, karut bagi Encik Wahab, tapi tak karut bagi saya ...,” sampuk Julia Hani.
Wahab diam. Dia tidak menyangka Julia Hani akan mengeluarkan perkataan begitu kepadanya. Pada ketika itu Wahab berkeadaan seperti si tolol. Tidak dapat menumpang pada fikirannya sendiri. Tenggelam punca.
Wahab senyuman. Tawar. Digagahi dirinya bangun dari kerusi di hadapan dua orang yang telah memukulnya dengan perkataan itu. Dua puntung kakinya terasa akan roboh dik tekanan hatinya yang dimamah kemarahan. Malu. Kecewa.
DENDAM KESUMAT
Pada ketika itu Profesor Hamidi menilai Wahab seorang terpelajar yang tidak ada akhlak. Anak Melayu yang tidak ada pengetahuan adat resam bangsanya sendiri.
Dengan tidak mengeluarkan sebarang ucapan kepada Profesor Hamidi dan Julia Hani, Wahab mneninggalkan mereka dengan perasaan dendam kesumat. Sebaik-baik sahaja tiba di mejanya, dia memanggil pelayan untuk membayar bil minumannya.
“Aku akan ajar orang tua anak haram tu ...,” hati Wahab bersuara pada ketika dia melangkah meninggalkan perut kelab itu.
“Macam mana nak jadi suami Hani, perangai tak semenggah ...,” kata Julia Hani kepada kekasihnya.
“Tapi, kalau Hani mahu ..., masih boleh dibentuk ...,” sambut Profesor Hamidi.
“Ooo, yang nak beri Hani kepada lelaki macam tu ..., yang nak tinggalkan Hani ...,” Kata Julia Hani. Manja campur marah.
“Tak begitu, maksud saya, Wahab tu boleh dibentuk perangainya untuk menjadi manusia yang berakhlak oleh perempuan macam Hani ni ...,”kata Profesor Hamidi.
“Tak payaaah ...,”sahut Julia Hani. Dua bibinya memuncung ke hadapan.
“Ai, dah naik angin,”kata Profesor Hamidi.
“Taaak, Hani tak nak lelaki macam tu ..., nak macam yang ni ...,”kata Julia Hani. Manja.
Profesor Hamidi senyum seperti dia senyum kepada mahasiswanya yang gelabah menjawab soalan dalam peperiksaan.
Di lapangan letak kereta kelab Tasik Putrajaya itu, Wahab beredar dengan menggonggong kemarahannya. Tangan kanannya diacu-acukan ke arah Profesor Hamidi dan Julia Hani.
“... mampus kamu, aku kerjakan ...,” suara Wahab terluah ke sekitar lapangan letak kereta itu.
Hati Wahab terbungkus dalam perasaan seperti perasaan Presiden Bush terhadap Presiden Saddam Hussein di Iraq.
(Disunting dari manuskrip novel, Air Mata Kering Di pipi, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.