TIDAK BOLEH WUJUDKAN PERPADUAN AGAMA
Pada tahun semibalan belas tujuh puluhan
Negeri Perak seperti negeri-negeri lain juga, iaitu sesiapa yang hendak mengajar ilmu agama Islam-bersyarah, berceramah dan berdakwah- , kepada orang ramai diwajibkan mempunyai tauliah mengajar dari Sultan Perak. Tauliah itu dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri itu. Tetapi dengan surat kebenaran sementara dari pihak pejabat tersebut, seseorang itu boleh juga berbuat demikian.
Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak telah mengeluarkan surat kebenaran sementara kepadaku untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis agama Islam, di seluruh negeri itu. Sekitar tahun 1969-1977, aku telah berperanan dalam tiga bidang kepentingan orang ramai, iaitu kerjayaku sebagai wartawan, penceramah atau mubaligh dan membimbing pemuda pemudi yang berminat untuk menjadi pemberita atau wartawan dan penulis.
AMALAN ISLAM
Aku mengambil tanggungjawab berceramah dan dakwah agama Islam kepada orang ramai, kerana aku telah mendapati ramai di kalangan umat Islam, tidak mendapat kefahaman ilmu pengetahuan Islam yang cukup. Amalan mereka banyak yang bercampur aduk antara amalan Islam dengan amalan-amalan dalam agama-agama lain dan amalan bersifat khurafat atau tahyul. Perkara itu dapat kita melihat dalam bidang amalan-amalan harian, politik, ekonomi, sosial dan adat istiadat.
Pada satu hari aku telah dijemput oleh Jawatankuasa Masjid Bagan Tiang, Parit Buntar, untuk memberi ucapan dalam majlis menyambut maulidur rasul yang telah diadakan oleh penduduk kampung tersebut.
Majlis yang telah diadakan dalam kawasan masjid itu telah dihadiri oleh lebih seribu orang. Di antara mereka itu ramai alim ulama yang datang dari sekitar daerah Kerian, Larut Matang, dan daerah-daerah, di negeri Kedah dan Pulau Pinang.
SESAMA MANUSIA
Kebetulan pula pada hari itu akhbar telah menyiarkan ucapan Menteri Kewangan, Tan Sew Sin yang telah mencadangkan supaya rakyat negara ini menubuhkan sebuah Barisan Agama-Agama di negara ini. Salah satu dari isi-isi ucapanku dalam majlis itu, aku telah menekankan tentang pentingnya falsafah keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. yang merangkumi keimanan kepda Allah, jihad, hubungan baik sesama manusia, amanah dan budi pekarti yang mulia.
Aku telah mengingatkan mereka yang hadir tentang tentang bahaya Barisan Agama-Agama kepada agama Islam. Aku telah menjelaskan, sekiranaya barisan itu ditubuhkan, maka agama Islam akan tertindas atau terkapai-kapai dalam barisan tersebut.
Aku telah kemukakan pendapatku dalam ucapan itu, iaitu sekiranya kerajaan memberi bantuan kewangan sebanyak satu juta ringgit kepada tiap-tiap agama anggota barisan itu, maka agama Islam akan mendapat jumlah wang yang sedikit berbandingkan dengan wang bantuan yang didapati oleh agama-agama lain.
NEGARA PERINDUSTRIAN
Selain dari itu aku juga telah mengingatkan mereka yang hadir, bahawa pembangunan industri di seluruh negara memanglah baik, tetapi dalam mana-mana negara perindustrian, maruah pemuda pemudinya tidak terkawal, maka umat Islam di negara ini mestilah berusaha menanamkan ilmu pengetahuan Islam kepada anak-anak mereka dalam menghadapi negara perindustrian ini.
Aku telah berucap lebih satu jam.Pada waktu aku hampir menamatkan ucapanku, tiba-tiba ucapanku terganggu, pembesar suara mati kerana wayarnya telah dipotong. Pada ketika itu aku nampak beberapa orang pemuda telah berada di hadapanku. Mereka menunjukkan buku lima masing-masing ke arahku dan mereka telah menjerit-jerit menyuruh aku turun dari pentas.
Dengan hati yang risau aku telah turun dari pentas. Dalam keadaan yang kalut itu, kira-kira dua puluh orang pemuda dari sebuah parti politik telah mengelilingi aku dan mengiringi aku keluar dari majlis itu menuju ke kereta yang sedang menungu. Kemudian mereka membawa aku ke kediaman rasmi Kadi Daerah Kerian, Ustaz Arif bin Haji Yassin.
PARTI POLITIK
Pada waktu aku di rumah kadi itu, barulah aku mendapat tahu, bahawa pemuda itu adalah ahli-ahli sebuah parti politik Melayu rakan parti politik Menteri Kewangan, Tan Sew Sin.
Seminggu kemudian, beberapa orang dari daerah Kerian telah datang ke rumahku di Kuala Kangsar. Mereka telah mengundang aku untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis maulidur rasul yang mereka akan adakan. Semua majlis-majlis itu diadakan dalam kawasan kubu kuat parti Islam.
Pada hari itu, aku telah memberi ucapan dalam tiga majlis maulidur rasul dalam daerah tersebut. Seorang ulama tersuhur, di negeri Perak, Allahyarham Ustaz Haji Mat Saman Kati, telah menyertai aku untuk memberi ucapan, di majlis-majlis tersebut.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.