PARTI KOMUNIS MALAYA
Kerajaan Jepun telah melantik bapaku menjadi ketua kampung Ngor dan kampung-kampung kecil sekitarnya, iaitu Changkat Duku, Tualang Bengok dan Tanjung Tok Yen. Sebagai ketua kampung bapaku telah dianugerahkan sebuah lencana tembaga sebesar mata kukuran dan disekelilingnya berbentuk seperti mata gergaji. Kuasa ketua kampung pada masa itu sama dengan ketua-ketua kampung pada masa ini.
Manakala Parti Komunis Malaya KM) dan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPJA) telah melantik bapaku menjadi ketua orang-orang Melayu yang menyertai pergerakan mereka. Bapaku dan penduduk-penduduk kampung terpaksa menjadi seperti ’golok bermata dua’; menyokong kerajaan Jepun dan menyokong orang-orang dari Parti Komunis Malaya (PKM).
Beberapa orang ahli-ahli Malayan People’s Anti Japanese Army(MPAJA) dan ahli Jawatankuasa cawangan Parti Komunis Malaya (PKM) daerah Kuala Kangsar sering datang menemui bapaku di Paya Pak Banun. Mereka telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk-penduduk kampungku dan kampung-kampung lain.
Di antara keder-keder Parti Komunis Malaya (PKM), Wang Seng (lelaki Cina, berkelulusan Senior Cambridge) dan bekas wartawan sebuah surat khabar Inggeris di Singapura. Dia menganut fahaman Marxisme dan berkiblatkan kepada Komunis China, Baharuddin Tahir atau Baharuddin ’topi mengkuang’, berasal dari Sumatera, tinggal di Kati. Jadi anggota KMM sebelum perang dunia Kedua, menyertai gerakan anti-Jepun dan menjadi anggota PKM dan kader penyusunan massa. Dia sentiasa memakai topi mengkuang, lepasan sekolah agama Islam di Indonesia.
PENJAJAH JEPUN
Seorang guru agama Islam – Mudir Madrasatul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar, Fakeh Haji Ghazali berasal dari Chemor, dekat Ipoh, telah menjadi mubaligh agama Islam bagi pihak Malayan People’s Anti Jamapenese Army (MPAJA).
Fakeh Ghazali telah mengeluarkan fatwa, bahawa orang-orang Melayu dan Islam lebih baik bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) daripada bekerjsama dan menyokong penjajah Jepun dan penjajah Inggeris yang berkuasa atas orang Melayu dan umat Islam.
”Parti Komunis Malaya (PKM) berjuang menentang penjajah Jepun dan Inggeris dan membantu orang Melayu memerdekakan tanah air mereka, tetapi orang Islam jangan sampai merosak akidah kerana bekerjasama dengan pihak parti komunis,” katanya.
Fakeh Ghazali telah memberi amaran kepada umat Islam, bahawa komunis menafikan wujud Allah. Fahaman itu amat bahaya kepada umat Islam, setiap orang Islam yang menganut fahaman komunis menjadi murtad dan kafir.
FAHAMAN KOMUNIS
Menurutnya, penjajah Jepun dan penjajah Inggeris mengamalkan dasar kapitalisme dan memperhambakan manusia. Mereka boleh melakukan apa sahaja asalkan boleh menguasai umat Islam
Dua orang perempuan Cina masih muda kader Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Che Som dan Che Bee telah menjadi penyebar fahaman komunis di kalangan kaum ibu Melayu di kawasan Kuala Kangsar telah tiga kali datang ke kami.
Mereka telah meminta bapaku, supaya memujuk seorang perempuan muda yang cantik, isteri orang, di kampung Changkat Duku supaya menjadi kader Parti Komunis Malaya (PKM) seperti mereka. Tetapi bapaku telah menolak pemintaan mereka itu.
TRCETUS PERTENGKARAN
Pada satu hari, dalam satu perjumpaan antara Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) dengan orang-orang kampungku, telah tercetus pertengkaran antara bapaku dengan beberapa orang ahli Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Pera. Pertengkaran itu terjadi setelah bapaku menentang pendapat mereka yang mengatakan komunisme sama dengan Islam.
”Kalau nak ajak kami masuk komunis, kami tak nak, kami orang Islam,... kami boleh bekerjasama kerana melawan Jepun,...tapi kalau ajak kami jadi kafir kami tak boleh,” kata bapaku kepada mereka.
Pertengkaran itu telah dapat diredakan setelah Baharuddin ’topi mengkuang’ menyokong pendapat bapaku. Dia memberitahu, fahaman komunis tidak boleh diterima oleh orang-orang Islam. Orang-orang Melayu boleh bekerjasama dengan orang-orang komunis kerana sebab-sebab tertentu, seperti menentang penjajah. Walau pun pertengkaran itu menjadi reda dan masing-masing telah faham, tetapi beberapa orang lelaki China telah menyimpan perasaan marah kepada bapaku.
SEBERANG LAUT
Sebenarnya di kalangan Parti Komunis Malaya (PKM) ada di antara orang-orang Cina – sama dengan orang-orang China dalam parti-parti politik mereka sekarang - , yang berhasrat hendak menjadikan Tanah Melayu sebuah negara Cina baru atau Cina seberang laut (nan yang) - negara komunis dan semua orang Melayu menganut komunis.
Singapura yang dulunya sebuah negeri Melayu, tetapi kerana cita-cita kalangan orang-orang Cina seperti yang aku utarakan di atas ini, maka kini pulau itu Temasik itu telah menjuadi sebuah republik yang dikuasai oleh orang-orang China seberang laut.
Sebagai seorang yang telah dewasa dengan pergolakan politik tanah air dan dunia, aku mendapati penjajah yang dilakukan dengan senjata dan politik sama bahasanya dengan penjajahan ekonomi seperti yang wujud di negara kita sekarang ini.
Kejayaan penjajahan ekonomi oleh penghijrah-penghijrah (immigrants) dalam sesebuah negara, akan menjadikan penduduk-penduduk asal negara itu lemah dalam semua bidang. Mereka terkapai-kapai ke sana kemari dalam keadaan ’menang sorak kampung tergadai. Anak-anak muda mereka, walaupun berpendidikan tinggi, tetapi tidak lebih dari jadi buruh dalam negara sendiri, sama ada buruh kasar atau pun buruh berkolar putih.
KEBUN GETAH
Tiga malam kemudian, kira-kira tujuh orang lelaki China telah datang ke dangau kami. Mereka telah mengajak bapaku mengikut mereka ke dalam kebun getah tidak jauh dari belakang dangau kami kerana hendak berunding. Tetapi apa bila tiba dalam kebun getah itu mereka telah menangkap bapaku dan mengikatnya pada sebatang pokok getah di situ.
Mereka memberi kata dua kepada bapaku; kalau bapaku mengaku akan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM), mereka tidak akan membunuh bapaku, tetapi kalau bapaku tidak mahu bekerjasama dengan mereka, maka mereka akan membunuhnya.
Menurut bapaku, setelah dia mengaku akan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan tidak akan menyebelahi Jepun, maka mereka telah melepaskan bapaku dan mereka telah meminta maaf kepadanya.
Semenjak dari malam itu, bapaku telah berpura-pura bekerjasama dengan orang-orang Parti Komunis Malaya (PKM). Secara sulit dia telah berhubung dengan dua orang sheikh ’Pergerakan Parang Panjang’, iaitu Sheikh Othman di Kampung Baiyan, Taiping dan Kiyai Salleh, Batu Pahat, Johor.
TOPI MENGKUANG
Kerana bapa dan ibuku mementing pelajaran aku dan adikku, lebih-lebih lagi kerana di huma kami tiada guru untuk mengajar kami membaca Quran, maka mereka mengambil keputusan berpindah dari huma itu ke kampung kami.
Setelah kami berpindah ke kampung, tidak ramai orang Parti Komunis Malaya (PKM) yang datang ke rumah kami. Hanya Wang Seng dan Baharuddin topi mengkuang yang sering datang secara bersembunyi-sembunyi.
Pada tiap-tiap malam gurila-gurila Parti Komunis Malaya (PMK) sentiasa berkeliaran di sekitar kebun getah dan belukar di pinggir kampung kami. Mereka juga telah menyebarkan surat-surat khabar Parti komunis Malaya (PKM) di kampung kami dan kampung-kampung lain. Di antara surat-surat khabar dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi dan Jawi, ialah Bintang Merah, Berita Benar, Suara Rakyat dan Bintang Timur.
Perigi tempat kami mengambil air mandi terletak di bawah bukit, kira-kira 300 ela dari rumah kami. Kira-kira seminggu sekali aku mendapati surat-surat khabar itu diletak di pinggir telaga itu dan ditutup dengan daun pisang.
BAHAN BACAAN
Sama ada di rumah datukku mahupun di rumah bapaku tidak ada tersimpan surat-surat khabar lama. Datuk dan bapaku seperti kebanyakan orang kampung Melayu di hulu-hulu negeri dan di pendalaman pada masa itu amat jarang membaca surat khabar.
Pada masa itu hanya surat-surat khabar Parti Komunis Malaya (PKM) itu sahaja yang ada. Media itu telah menjadi bahan bacaanku dan sumber ilmu pengetahuan am(general knowlege)ku, terutama mengenai media hal ehwal dunia.
Aku masih ingat-ingat lupa, iaitu pada muka dua surat khabar Bintang Merah ada sebuah artikel tiga kolum. Dalam artikel itu ada tulisan lebih kurang begini ’...British, Amerika dan mereka yang beragama Kristian tidak akan henti-henti untuk memusnahkan umat Islam. Mereka mempengaruhi umat Islam dengan kemewahan hidup, budaya alat mereka yang berlawanan dengan Islam dan bahasa Inggeris, kerana bahasa itu menjadi bahasa dunia’.
Walaupun aku masih belajar dalam darjah tiga di sekolah Melayu, tetapi kerana aku rajin membaca surat khabar Jawi dan buku-buku agama bertulisan jawi juga, maka aku telah mempunyai pengetahuan am yang agak baik berbanding dengan murid-murid sedarjah denganku, di sekolah Melayu tempat aku belajar.
MENJADI WARTAWAN
Walaupun aku masih kanak-kanak, tetapi aku telah mengetahui kerja dan peranan pemberita dan wartawan. Pada usia begitu aku telah mempunyai cita-cita untuk menjadi wartawan seperti Wang Seng anggota Parti Komunis Malaya(PKM) atau macam abang saudaraku, Abdullah Kuak yang pandai menulis rencana-rencana untuk majalah-majalah agama di Pulau Pinang dan Singapura.
Aku mulai mengetahui tugas dan peranan wartawan ialah dari Baharuddin (topi mengkuang) dan Wang Seng. Manakala Wang Seng telah mengajarku mengenai surat-surat khabar di negara China dan negara-negara lain.
Aku masih ingat akan kata-kata Wang Seng, ”...orang baca surat khabar dapat banyak ilmu, orang tak baca surat khabar fikirannya jadi lemah.”
Wang Seng juga orang yang pertama telah mengajar ilmu kewartawanan kepadaku. Walaupun dia tidak mengajarku bagaiamana menulis berita, rencana dan sebagainya, tetapi dia telah memberitahu kepadaku, di mana surat khabar di terbitkan, bagaimana berita-berita, rencana-rencana dan gambar-gambar didapati oleh surat-surat khabar di seluruh dunia. Dia juga memberitahu, orang-orang China memandang wartawan sebagai ’Raja yang tidak bermahkota’.
KEPALA BERITA
Dengan menggunakan surat khabar ’Bintang Merah’, Wang Seng telah mengajarku mengenai kepala berita (head line), berita dalam negeri, berita luar negeri dan beberapa pengetahuan mengenai persurat khabaran.
Wang Seng telah menasihatkan aku, apabila aku telah tamat belajar nanti, pekerjaan yang baik bagiku ialah bekerja sebagai wartawan. Katanya, bekeraja sebagai wartawan boleh memusing dan mencorakkan dunia ini. Menurutnya guru hanya mengajar murid-muridnya di sekolah, tetapi wartawan mengajar semua manusia, walaupun mereka itu raja, presiden, pegawai kerajaan, pedagang, buruh kasar atau para petani di kampung-kampung.
Sementara Baharuddin ’topi mengkuang’, telah memberitahu ramalannya kepada bapa dan ibuku, iaitu apabila aku telah besar dan dewasa nanti, aku akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan dan terkenal atau tersohor. Manakala adikku, Ghazali, akan menjadi seorang yang berilmu pengetahuan, tetapai tidak terkenal atau tidak tersohor seperti aku.
Perkataan dan ramal Baharuddin ’topi mengkuang’ itu telah merangsang semangatku untuk menjadi seorang pemberita atau wartawan. Kerana cita-cita itulah agaknya, aku telah menjadi seorang kanak-kanak yang rajin membaca. Ingin mengetahui sesuatu yang wujud di alam ini. Di sekolahku, aku pernah dimarah oleh dua tiga orang guruku, kerana aku telah banyak bertanya kepada mereka akan perkara-perkara yang mereka tidak dapat menjawabnya atau sengaja tidak mahu menjawab.
MAKAN GARAM
Aku masih ingat, pada masa itu kebanyakan guru tidak suka murid-murid mereka lebih pandai dari mereka. Mereka itu masih kuat memegang pada fahaman ’guru makan garam dulu dari murid’.
Aku sering mendengar dua orang kader Parti Komnunis Malaya (PKM) itu bercakap dengan bapaku, bahawa orang-orang komunis yang menentang Jepun bertujuan untuk membela orang-orang Melayu, membela agama Islam dan menolong mereka menuntut kemerdekaan. Tetapi, walaupun aku masih kecil, aku tidak percaya kepada percakapan mereka itu. Aku sering diberitahu oleh ustaz Mohd.Amin Farid dan ustaz Mohd. Khir Nawawi yang mengajar aku mengaji Quran, iaitu orang-orang komunis tidak percayakan Allah dan musuh agama Islam.
Pada satu hari aku telah terjumpa surat khabar lama, ’Majlis’, dalam peti di rumah datukku. Aku telah membaca surat khabar bertulisan Jawi itu dengan mengeja atau merangkak-rangkak. Aku telah membaca dan memahami rencana pengarangnya, iaitu:
’Punca atau ibu komunis itu ialah di tanah Rusia dan dari sanalah menjalar ke benua China ke India dan juga ke Eropah dan dari situ menjalar pula ke negeri-negeri Islam seperti, Mesir, Turki, Farsi (Iran), dan negeri-negeri sekelilingnya akan tetapi benih itu tidak dapat hidup dengan suburnya di negeri-negeri Islam oleh kerana sangat-sangat berlawanan dengan agama al Quran – oleh itu Mufti Mesir dengan persetujuan ulama-ulama Azhar (Universiti al Azhar) memfatwakan bahawa barang siapa yang menerima atau membenarkan ajaran komunis maka sanya ia telah murtad (keluar dari agama Islam).
Kita pernah mewartakan 30,000 buah masjid Islam di Russia telah ditutup oleh kerajaan komunis sama ada dijadikan panggung wayang atau pun kandang kuda dan jamban dan beberapa banyak pula gereja Kristian telah bernasib seperti masjid-masjid itu.’
Pada masa itu gerila-gerila Parti Komunis Malaya (PKM) dalam kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Perak terdiri dari orang-orang China yang kebanyakan dari mereka penanam-penanam sayur dan tembakau, halia, sayur-sayuran secara haram di dalam kawasan-kwasan Hutan Simpan, di sepanjang kaki banjaran Gunung Bintang Hijau dari daerah Kuala Kangsar hingga ke daerah Grik atau Hulu Perak.
LOMBONG BIJIH
Selain dari mereka itu, terdapat juga guru-guru sekolah cina, peniaga-peniaga kecil seperti tukang basikal, bengkel kenderaan, tukang kayu dan buruh ladang getah dan lombong bijih timah.
Manakala dalam kawasan Sungai Siput Utara, Kinta hingga ke Perak Selatan, Tanjung Maling anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) terdiri dari pemuda dan pemudi China yang bekerja sebagai buruh ladang getah dan buruh lombong bijih Timah. Dan sedikit dari mereka itu terdiri dari guru-guru China, peniga dan mereka yang bekerja dengan kerajaan Inggeris.
Kebanyakan orang-orang China suku Hainam, suku Kong Sai yang bekerja di Rumah Rehat, hotel dan restoran menjadi ahli Parti Komunis Malaya (PKM). ’Parti Komunis Malaya telah mengambil peluang menggunakan perasaan anti-Jepun khususnya di kalangan penduduk-penduduk China. Parti Komunis Malaya telah menubuhkan Tentera Anti – Jepun Penduduk Tanah Melayu. Keanggotaannya terbuka kepada semua penduduk Tanah Melayu. Topi yang dipakai oleh Tentera Anti – Jepun ini mempunyai tiga bintang yang dianggap mewakili orang Melayu, China dan India. Tentera ini juga lebih dikenali sebagai askar Bintang Tiga. Oleh kerana semasa pendudukan Jepun, pertubuhan yang teratur dan kuat untuk menentang Jepun ialah Bintang Tiga yang dikendalikan oleh Parti Komunis, maka ramai orang China, yang tidak pun bersimpati dengan fahaman komunis, telah menganggotai Bintang Tiga kerana mereka bencikan Jepun. Jadi, satu lagi kesan pendudukan Jepun yang penting ialah menguatkan Parti Komunis Malaya.
Usaha Jepun hendak menentang Bintang Tiga membawa kesan yang buruk. Kebanyakan anggota polis Jepun ialah orang Melayu. Apabila Jepun hendak menghapuskan Bintang Tiga, orang Melayu yang menjadi polis Jepun diarah melakukannya. Jadi, sebenarnys pertentangan Jepun dengan Bintang Tiga, telah merupakan pertikaian orang Melayu dengan orang China kerana dalam pasukan polis Jepun ramai orang Melayu dan dalam Bintang Tiga kebanyakan-nya orang China. Dengan itu hubungan orang Melayu dengan orang China menjadi renggang.’
POKOK JERAI
Sementara hartawan-hartawan China menjadi golok mata gua; mereka membantu Jepun dan membantu Inggeris. Kata datukku, bahawa orang-orang China seperti punai dengan pokok jerai, di mana ada buah jerai masak , di situlah banyak burung punai.
Kerana bapakku ketua kampung, maka semua orang China suku Kong Sai yang hidup sebagai setinggan atas tanah Hutan Simpan kerajaan telah ’bergantung harap’ kepadanya, terutama untuk menolong mereka supaya tidak diganggu gugat oleh askar Jepun. Sama ada terpaksa atau secara sukarela, mereka itu adalah penyokong-penyokong Parti Komunis Malaya (PKM).
Mereka sering membawa kepada ayah dan ibuku ayam Tongsan dan sayur-sayuran. Aku telah belajar menggatih basikal dengan menggunakan basikal orang-orang China kebun sayur yang sering datang ke rumahku.
Semenjak pada zaman penjajah Inggeris hingga pada masa ini, ada di antara orang-orang pendatang di Tanah Melayu atau Malaysia mempunyai perasaan jujur bergaul dengan orang-orang Melayu, ada yang perpura-pura bergaul tetapi hati di dalam bermusuhan dan ada pula yang berbaik- baik dengan orang-orang Melayu dengan berazimatkan ’ anti perkauman’ tetapi mereka mempunyai tujuan yang tertentu atau ’ada udang di sebalik batu’.
Sekumpulan orang-orang Cina yang kaya raya di Ipoh telah pergi ke London membuat tuntutan kepada Kerajaan British supaya tidak memberi kemerdekaan kepada orang-orang Melayu. Sementara itu sebilangan besar orang-orang Cina di Johor dan Singapura yang menunggu-nunggu masa untuk menjadikan Singapura sebuah Negara Cina Seberang laut. Mereka telah berhasrat demikian setelah terbitnya sebuah buku geografi di Negara Cina yang memaparkan peta Kepulauan Melayu sebahagian dari Negara China.
Amalan-amalan tidak sihat itu masih berlaku dalam pergaulan hari-hari, politik, sosial, pendidikan dan pernigaaan dan perdagangan pada masa kini. Maka sama ada pemimpin-pemimpin Melayu nampak atau tidak, bahawa falsafah ’telunjuk lurus kelingking berkait’ terus wujud dalam masyarakat ’majmuk dan muhibbah’ di negara ini.
Pada masa aku menulis buku ini, aku khuatir negara kita ini akan berlaku seperti pantun Melayu yang telah ditulis oleh seorang ahli parti Islam, Hizbul Muslimin pada tahun 1945, penulis dan guru agama, Yahaya Nasim:
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padai;
Sini Cina sana Cina,
Malaya jadi pajak judi.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir,Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.