Sunday, May 15, 2011

KISAH DARI NOVEL

BELALANG DEWA

Haji Adnan telah berkahwin dengan Bedah. Semua anggota masyarakat Orang Asli di Janda Baik, gembira. Mereka gembira kerana Haji Adnan telah menjadi anggota masyarakat mereka. Perkahwinan Haji Adnan dengan Bedah, sebagai satu penghormatan orang Islam kepada mereka.

Haji Adnan dan Bedah telah berniaga serbuk, kapsul dan air ubat-ubatan tradisional. Banyak ilmu membuat ubat tradisional yang telah didapati oleh Haji Adnan dari Azim. Semua ilmu itu telah gunakan.

Berbagai jenis Minyak hangat atau minyak urut telah dibuat oleh Haji Adnan. Minyak urut belalang dewa, minyak lengkuas ranting, minyak kayu putih dan pelaga hutan dan sebagainya.

KURANG TENAGA

Minyak belalang dewa paling mujarab. Penyakit sengal-sengal sendi, tulang dan urat, penyakit angin, kendur-kendur urat, lenguh-lenguh dan kurang tenaga boleh diurut dengan minyak tersebut.

”Abang, belalang dewa ni panas, ...kalau abang urut, hangat tak boleh tidur...,”kata Bedah sambil senyum.

Haji Adnan ketawa.

”Belalang dewa ni banyak, atas bukit Titiwangsa, ...Tanah Rata,”kata Bedah lagi.

“Ia, ...kalau macam tu kita boleh cari banyak lagi,”kata Haji Adnan.

“Tak payah cari, abang, susah..., kita beli pada budak-budak di sini...,”sahut Bedah.

“ ...ia, budak-budak tu boleh carike?” tanya Haji Adnan.

“Boleh, Bedah boleh cakapkan,”jawab Bedah.

Haji Adnan merenug isteri mudanya. Hatinya berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kepada mereka seorang cahaya mata.

“Kalau perempuan ngandung dua bulan, makan ketis belalang dewa tu dengan sirih, ...boleh gugur...,”jelas Bedah.

”Ia, bagus tu, Bedah,” sahut Haji Adnan.

Mereka berkebun herba atas tanah milik Bedah. Pokok-pokok tongkat Ali, mengkudu susu, pelaga rimba, kacip Fatimah, seruntun, lenggundi, janda galak, misai kucing, halia bara, kunyit bara, lengkuas ranting, temung, lempoyan dan tunjuk langit berderek menghijau atas tanah seluas lima ekar itu.

PARTI POLITIK

Cikgu Zainab tidak mengetahui suaminya telah berkahwin dengan Bedah. Guru pencen itu langsung tidak terfikir yang suaminya akan berkahwin lagi. Tetapi Cikgu Zainab tahu suaminya kuat dan bertenaga. Dia sendiri tidak panas baran lagi. Darah telah tidak naik ke kepalanya dan tidak ada tekanan jiwa (stress) lagi.

Haji Adan telah berjaya menyuntikk keyakinan kepada isteri tuanya. Kononnya, tiap-tiap hari dia keluar rumah atau dalam seminggu dua dia tidak balik ke rumah, kerana dia berjuang dalam parti politik kerajaan. Ikut wakil-wakil rakyat atau politikus melawat kawasan masing-masing atau berjumpa beberapa orang menteri dan sebagainya.

Cikgu Zainab percaya suaminya seorang pejuang dalam parti politik. Perasaan bangsa membungkus hatinya; suaminya seorang pejuang dan ahli politik yang gigih. Suaminya adalah pewaris perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Dr. Mahathir Mohamad.

MENUNJUKKAN KESETIAAN

Semenjak Haji Adnan melibatkan dirinya dalam parti politik dan berkawan dengan wakil rakyat, dia menunjukkan kesetiaannya kepada isteri tuanya. Tubuh isterinya telah menjadi seperti tepung roti canai atau capati; sentiasa dipicit, ditepuk, dilenyet dan diulinya.

Haji Adnan sering memuji Azmi dari jauh. Hatinya sering mengucap terima kasih kepada pemuda itu. Azmilah yang membuka lebuh raya bagi dirinya. Madu lebah campur, lengkuas ranting yang diberi oleh Azami, telah membina dirinya bertenaga, gagah, kuat dan bagai Badang. Kerani pencen itu telah berjaya ’towering personality’nya.

Bila Haji Adnan berada di rumah Bedah, pada tiap malam dan pagi isteri mudanya itu memberi dia minum ubat dan makan jamu. Hati dan perasaannya berkeadaan seperti orang muda.

“…takke risau, Cikgu?” Munah tujuh kali menjanda bertanya kepada Cikgu Zainab.

“Risau apanya, …tak ada yang nak saya risaukan…,”jawab Cikgu Zainab.

“Takkan tak risau,… nampaknya abang aji tu tak macam dulu lagi…,”kata Munah. Mulutnya memuncung.

“Mengapa, …ada apa?”Tanya Cikgu Zainab.

“Ialah,.…pagi petang melaram aja,…nanti anak dara mana, janda mana kebas…,” kata Muna lagi.

BERSAHABAT RAPAT

Munah perempuan kampung seberang. Kawan lama Cikgu Zainab. Pada masa Cikgu Zainab masih mengajar, Munah telah berniaga di kantin sekolahnya. Pada masa itu mereka berkenalan dan bersahabat rapat.

“Saya ni, Munah, bukan nak cakap besarlah, abang Haji kamu tu tak ke mana...,”kata Cikgu Zainab.

“Ngapa?”Tanya Munah.

“…dia tu dah macam beruk berantai, …puyuh jantan, ….kata orang ke mana berulang badak, gajah, kalau tak ke jenalik, ke sira lama juga,”kata Cikgu Zainab.

“Fasal, siapa yang rantai dia, siapa yang jebak dia?”Tanya Munah.

“Kamu ni, Munah, …kamu tak tau,” kata Cikgu Zainab.

”Apa Cikgu?”Munah bertanya. Mulutnya memuncung. Melopong.

”...saya dah beri makan serbuk mak Sari’ah, nasi kangkang…,”kata Cikgu Zainab.

“Iake, …?”Tanya Munah.

“Ia, lagi pun tak kan dia berani, …saya ni, Munah..., kalau abang Haji kamu nak kahwin lagi, langkah mayat saya dulu...,”kata Cikgu Zainab sambil menepuk dada penuh isinya. Takbur.

Tiada seorang pun dari penduduk-penduduk kampung Mandi Angin itu yang mengetahui Haji Adnan telah menikah dengan Bedah. Tidak ada rakan-rakannya telah mengetahui dia telah memadukan isterinya. Orang-orang politik tidak tahu, kerana mereka tidak bernikah di Bentong atau di Janda Baik. Mereka telah menikah di kampung Orang Asli, di Bidur, Perak.

Munah yang telah tujuh kali menjanda, amat arif perangai orang lelaki. Mereka macam burung tiung dengan buah betik masak; selagi paruh tak patah selagi itu buah betik itu dipatuknya.

GONDANG BERTELUR

Memang telah menjadi pengetahuan Munah. Kebanyakan orang lelaki, bila di hadapan isteri masing-masing, pijak semu pun tak mati, tetapi bila di belakang, macam kijang jantan panjat bukit atau macam gajah turun minyak.

Kadang-kadang Munah ketawa sendirian. Bila ditimbang sama dan disukat cukup; orang perempuan pun sama juga. Di hadapan suami macam gondang bertelur di batang kemahang, tetapi di belakang suami, macam kedidi gatal atas batas sawah. Macam kambing bertemu daun nangka.

”Laki Cikgu ni tentu dah nikah lain,”hati Munah bersuara.

Cikgu Zainab merenung muka Munah. Perempuan itu seperti dia juga, tidak beranak. Macam tanah beracun; batang dan tunjang dipacak, kering jadinya. Benih disemai sambang akhirnya. Kontang.

”...tak siapa nakkan abang Haji tu, Munah, ...dah tua kerepot,”kata Cikgu Zainab.

BULUH TUA

Munah senyum. Munah tahu. Orang lelaki tua macam lengkuas, lagi tua lagi menjadi. Lagi tua lagi dicari oleh tukang masak. orang. Macam buluh tua, tahan dibuat rakit. Dinding rumah. Pagar tanaman. Sekurang-kurangnya dijadikan colok air. Laksana buah kelapa; lagi tua lagi banyak santannya. Banyak lemaknya. Munah faham sangat, pada masa ini ramai anak dara suka bersuami tua.

”Macam nilah, Cikgu,”kata Munah. Senyum.

“ Apa, Munah?”Tanya Cikgu Zainab.

“Tak usah runsing-runsing sangat, abang Haji tu kahwin lainke, tidak ke, Cikgu buat dek aja,”jawab Munah.

“Maunya…,”sahut Cikgu Zainab.

“…ialah, kita ni manusia, Tuhan berkuasa, …mana tau…, kalau abang Haji tu kahwin lain, biarkanlah, dah tua-tua ni takkan nak rebut benda tu aje kot…,”kata Munah.

Cikgu Zainab ketawa. Munah ketawa. Memang telah lama hati Munah berkenankan Haji Adnan. Sekadarkan ikhtiarnya belum cukup. Hati Munah dengan Cikgu Zainab, macam hati Yahudi dengan Arab. Telunjuk lurus kelingking berkait. Harapannya tinggi melangit; pada satu hari nanti dia akan dapat juga berkongsi suami dengan rakannya itu.

Kira-kira sebulan kemudian, pada suatu hari, Munah telah pergi ke rumah seorang kawannya di kampung Janda Baik. Kebetulan pula pada hari itu kawannya itu mengadakan kenduri bercukur rambut cucu lelakinya. Dalam majlis itu Munah telah tertembung dengan Haji Adnan bersama isteri, Bedah.

”Munah, ni kak baru Munah,” Haji Adnan memperkenalkan isterinya kepada Munah.

”Apa khabar, kak?”Tanya Munah sambil berjabat tangan dengan Bedah.

”Khabar baik,”jawab Bedah.

”Kami dah lama kenal, abang Haji,” kata Munah kepada Haji Adnan.

”Ia, abang,” sambut Bedah.

Haji Adnan tercengang. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan

Munah di situ. Munah telah lama bersahabat Bedah. Mereka mula berkenalan pada masa Munah berniaga kantin di pejabat Hal Ehwal Orang Asli pada dua tahun lalu.

Haji Adnan merenung Munah. Sambil senyum dia meletakkan telunjuknya atas mulutnya. Munah senyum. Munah tahu Haji Adnam meminta dia merahsiakan dari Cikgu Zainab. Munah mengangguk. Hatinya gembira bercampur hampa.

”...tolong kawan kak, jangan sampai kak lagi satu tau,”bisik Bedah kepada Munah.

”Tak apa, insya Allah,”kata Munah. Jujur.

”Aku juga yang melepas,”sungut hati Munah.

Dua biji mata Munah merenung dahi Haji Adnan sambil menelan air liurnya sendiri.

(Disunting dari manuskrip novel, Madu Dan Hidayat, oleh: Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.